Rabu, 22 September 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Isu RM4b ; penjelasan Nik Aziz tidak masuk akal – Syed Ali

Posted: 21 Sep 2010 11:17 PM PDT

PENJELASAN Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa beliau tidak tahu menahu sumbangan RM4 bilion daripada sebuah syarikat, I'DA World Group Sdn. Bhd (I'DA World) kepada PAS Kelantan sebagai amat melucukan.

"Penafian Nik Aziz itu seperti badut, tidak masuk akal seorang Menteri Besar tidak tahu apa yang berlaku dalam negeri yang ditadbirnya, apatah lagi membabitkan isu duit sekian banyak," kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Katanya, penafian itu juga memberi andaian bahawa pegawai kerajaan termasuk pemimpin PAS Kelantan sengaja 'menyembunyikan' sumbangan tersebut daripada pengetahuan beliau.

Persoalannya kata beliau, rakyat ingin penjelasan daripada Nik Aziz sama ada sumbangan itu berupa rasuah atau sebaliknya.

"Kita tidak pertikaikan seberapa banyak wang didermakan, tetapi niat dan muslihat sumbangan tersebut perlu dijelaskan kerana membabitkan satu projek yang besar," katanya.

Penjelasan itu juga katanya, mendedahkan tembelang PAS yang sanggup menerima sumbangan 'wang hadiah' berasaskan kepada kelulusan sesuatu projek.

"Ini bermakna PAS yang selama ini melaungkan slogan Membangun Bersama Islam juga tidak terlepas daripada unsur rasuah," jelasnya.

Menurut beliau, pengakuan Nik Aziz tidak tahu-menahu mengenai perkara itu (sumbangan RM4 bilion) bermakna belau sememangnya tidak cekap dan tidak layak memegang jawatan Menteri Besar.

"Nik Aziz kata dia tidak tahu dalam isu RM4 bilion, saya beranggapan senanglah beliau diperbodohkan oleh orang di bawahnya," tegas beliau.

Semalam, Nik Aziz menjelaskan beliau tidak tahu-menahu mengenai sumbangan syarikat terbabit dan kerajaan negeri juga tidak pernah meluluskan projek membangunkan Pantai Seri Tujuh, Tumpat seperti yang didakwa oleh Pengerusi Eksekutif I'DA World, Abdul Rahim Abdul Wahab.

Bagaimanapun, adik Nik Aziz, Nik Din Nik Mat seperti dilaporkan agensi berita Bernama mengesahkan beliau menerima replika cek bernilai RM4 bilion dari Abdul Rahim dalam satu majlis makan malam di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu, baru-baru ini yang dihadiri kira-kira 200 tetamu

Abdul Rahim pula dilaporkan sebagai berkata sumbangan tersebut 'bukan membalas ganjaran' diberikan kerajaan Kelantan kepada syarikatnya membangunkan projek di Tumpat yang bernilai lebih RM300 bilion.

Pada majlis tersebut juga, I'DA World difahamkan turut menyampaikan surat perlantikan kepada 100 kontraktor yang dipilih untuk melaksanakan projek yang dibangunkan firma terbabit.

Sementara itu menurut sumber, syarikat berkenaan dikatakan mempunyai aset lebih AS$2 trilion. Firma itu difahamkan bercadang membangunkan Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) dengan anggaran kos RM313.71 bilion, selain beberapa projek di empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan membabitkan kos RM1 trilion.

Mengulas lanjut isu tesrebut, Syed Ali menambah penafian Nik Aziz juga tidak berasas kerana difahamkan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sudah mengeluarkan surat sokongan kepada syarikat berkenaan yang beralamat di Petaling Jaya, Selangor, bertarikh 19 September 2010.

Surat itu dipercayai telah ditanda- tangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMBK, Ir. Haji Mustafa Salleh di bawah tajuk 'Cadangan Pembangunan Menyeluruh Seri Tujuh (S7) Merangkumi Pelabuhan Pukal, Bandar Pelabuhan dan Perbandaran Seri Tujuh (S7) Membabitkan Penambakan Laut Seluas 144,000 Ekar Sejauh 12KM hingga 18KM Dari Pantai Tumpat, Kelantan'.

"Perbadanan tersebut terletak di bawah tanggungjawab Menteri Besar Kelantan, tetapi Nik Aziz boleh mengaku tidak tahu-menahu, ini bermakna beliau langsung tidak ambil berat terhadap perkembangan pembangunan yang berlaku di negeri tersebut," katanya.

Sehubungan itu, Syed Ali mencadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menjalankan siasatan berhubung isu tersebut.


Tiada ulasan:

Pengikut