Isnin, 6 September 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Mahasiswa berpolitik ; Syed Ali persoal pendirian Saifuddin

Posted: 05 Sep 2010 08:11 PM PDT

PENDIRIAN terbuka Datuk Saifuddin Abdullah yang mahukan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini diberikan kebenaran berpolitik dilihat sebagai usaha untuk melonjakkan dirinya sebagai 'hero' kepada fahaman liberal.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu sepatutnya lebih realistik kepada persekitaran politik yang berlaku sekarang ini.

Katanya, percanggahan pendapat itu tidak sepatutnya diteruskan oleh Saifuddin menerusi akhbar kerana ia menggambarkan keputusan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah diperlekehkan.

Beliau berkata, kemampuan Saifuddin berselindung disebalik latar belakang ilmu inteleknya tidak bermakna beliau boleh mengetepikan kepentingan UMNO.

Malah katanya, kenyataan terbuka itu akan menimbulkan tanggapan bahawa beliau cuba memperjuangkan fahaman liberal dalam politik sepetimana sedang dilakukan pakatan pembangkang.

Katanya, fahaman liberal dan politik baru sepertimana dibayangkan Saifuddin dan turut dipelopori pembangkang belum lagi sesuai untuk dilaksanakan.

"Kita khuatir apabila dalam usaha beliau untuk menjadi popular, ada tanggapan yang mendakwa nada liberalnya menyamai suara pembangkang terutama Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim," tegasnya.

Beliau mengulas pendirian Saifuddin yang masih berpendirian bahawa pelajar IPT di negara ini perlu diberi kebenaran berpolitik, sepertimana disiarkan oleh sebuah akhbar harian berbahasa Melayu hari ini.

Menurut Syed Ali lagi, UMNO tidak menyekat pelajar IPT aktif berpolitik tetapi pucuk pimpinan beranggapan suasana politik sekarang ini belum lagi sesuai untuk mereka kembali aktif.

Katanya, Saifuddin selaku Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO seharusnya perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang tidak bertentangan dengan aspirasi pati dan kerajaan.
Beliau mempersoalkan apakah agenda sebenar Saifuddin yang tetap berpendirian yang bertentangan dengan keputusan kabinet berhubung isu tersebut.

"Kerajaan sudah menolak pembabitan pelajar IPT dalam politik, tetapi beliau pula masih berpendirian sebaliknya dengan mengambil contoh kebenaran politik pelajar Malaysia di luar negeri," tegasnya lagi.

Sepatutnya kata beliau, Ahli Parlimen Temerloh itu lebih fokus kepada keupayaan dan kemampuan UMNO berdepan dengan pembangkang pada pilihan raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Katanya, pemimpin UMNO terutama wakil rakyat perlu lebih berusaha untuk meningkatkan rekod sokongan rakyat kepada parti berdasarkan kepada keputusan PRU umum yang lalu.

"Dalam susana politik sekarang, pemimpin UMNO tidak perlu menjalani proses untuk popular dengan mencipta isu yang tidak mendatangkan keuntungan kepada parti," tegasnya.

Beliau berkata, semua pihak boleh memberikan pandangan dan cadangan tetapi selaku anggota jemaah kabinet, beliau perlu mengutamakan keputusan kerajaan.

Menurut Syed Ali lagi, kebenaran pelajar IPT berpolitik hanya akan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat kampus apabila berlaku pertembungan di antara penyokong kerajaan dan pro-pembangkang.

"Keadaan akan bertambah sukar setelah pensyarah yang kini telah diberikan kebebasan berpolitik, akhirnya turut terheret dalam konflik kepartian di kampus," tegasnya.

Tiada ulasan:

Pengikut