Isnin, 16 Ogos 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Soi Lek diingatkan jangan guna isu kepentingan Melayu untuk jadi popular

Posted: 16 Aug 2010 12:47 AM PDT

PRESIDEN MCA, DATUK Seri Dr. Chua Soi Lek dinasihatkan supaya tidak menjadikan isu 'kepentingan Melayu' sebagai modal politik untuk menonjolkan dirinya supaya dilihat popular.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mengingatkan, Soi Lek harus menerima hakikat bahawa MCA hendaklah menghormati prinsip setiakawan dalam Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, tuntutan Kongres Ekonomi Cina Sabtu lalu yang dirasmikan Soi Lek sudah jelas mempunyai agenda untuk menghapuskan bahasa Melayu dan meminggirkan peluang orang Melayu di dalam sektor ekonomi negara.

Katanya, Presiden MCA itu perlu terima hakikat bahawa hak dan kepentingan Melayu jangan dipertikaikan atau dijadikan isu untuk menjadikan dirinya popular di kalangan masyarakat Cina.

"Jangan berselindung disebalik kepentingan politik untuk memijak bangsa Melayu, sepatutnya mereka (MCA) lebih tahu untuk berterima kasih kepada UMNO," tegasnya.

Beliau menjelaskan, Soi Lek dan masyarakat Cina sepatutnya menghargai pengorbanan orang Melayu terutama UMNO yang sebelum ini banyak bertolak ansur dengan tuntutan mereka.

Katanya, masyarakat Cina di negara ini berpeluang menguasai pelbagai sektor ekonomi kerana orang Melayu sentiasa akur dan bertolak ansur kerana mematuhi prinsip perlembagaan negara.

"Kalau orang Melayu boleh bertolak ansur, kenapa Soi Lek cuba membangkitkan sentimen kaum, seolah-olah dia sedang memimpin satu gerakan pro-pembangkang untuk melemahkan kerajaan," tegasnya.

Beliau bimbang gerakan seperti ini jika tidak dibendung akan mencetuskan satu fenomena baru terhadap penentangan terbuka komponen BN kepada kerajaan yang memerintah.

Beliau berkata, Soi Lek tidak sepatutnya mempertikaikan secara terbuka pelbagai perkara kepentingan Melayu terutama dalam sektor ekonomi, pelajaran dan bahasa serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Katanya, Soi Lek telah menunjukkan sikap keterlaluannya apabila merestui beberapa tuntutan yang dilihat sebagai boleh mengancam masa depan orang Melayu.

Sebagai contohnya Syed Ali menyebut mengenai tuntutan supaya diperbanyakkan penubuhan sekolah vernakular bagi membolehkan negara mengahasilkan lebih ramai pelajar yang mahir berbahasa Mandarin.

"Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan sewaktu kerajaan giat memartabatkannya di seluruh sekolah, MCA pula buat tuntutan yang tidak masuk akal, ini semua duri dalam daging yang akan merosakan perpaduan rakyat," tegasnya.

Beliau juga menyifatkan tuntutan kongres tersebut yang mahukan supaya kerajaan mengkaji semula penyertaan orang Melayu dalam GLC sebagai keterlaluan dan tidak tepat.

Syed Ali berkata, pemimpin MCA tidak perlu iri hati kerana penyertaan orang Melayu dalam GLC adalah terlalu sedikit jika dibandingkan penguasaan masyarakat Cina dalam sektor korporat dan syarikat bukan milik bumiputera.

"Janganlah bersifat tamak, hormatilah orang Melayu yang selama ini sudah banyak berkorban untuk kepentingan mereka (Cina), jangan ambil kesempatan kerana ingin popular," tegasnya lagi,.

Menurutnya, pendirian MCA sejak akhir-akhir ini dilihat semakin senada dengan pihak pembangkang terutama DAP dalam membuat pelbagai tuntutan untuk kepentingan masyarakat Cina.

MCA katanya, tidak dihalang mengemukakan pandangan dan saranan tetapi hendaklah dibuat secara bermoral menerusi saluran parti.

Beliau mengingatkan, onar politik yang melanda MCA termasuk sikap pemimpin mereka tidak akan memberi kekuatan kepada BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Orang Melayu dan UMNO tidak akan berasa lemah dengan sikap mereka (MCA), malah mengingatkan bahawa orang Melayu akan bangkit jika hak dan kepentingan mereka sudah dicabar," tegasnya.

Tiada ulasan:

Pengikut