Isnin, 2 Ogos 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Khairy dinasihati tidak mendahului keputusan MT UMNO – Syed Mehdhar

Posted: 01 Aug 2010 09:53 PM PDT

KHAIRY Jamaludin perlu terlebih dahulu merujuk kepada Majlis Tertinggi (MT) sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kebenaran mahasiswa dan penyarah terbabit dalam politik.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Cheras, Syed Mehdhar Syed Abdullah, perkara tersebut merupakan dasar parti dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia tidak sewenang-wenangnya bercakap untuk memenuhi citarasa beliau.

"Khairy tidak sepatutnya mendahului keputusan MT UMNO dan walaupun ianya merupakan satu cadangan, maka eloknya dikemukakan kepada pucuk pimpinan, bukannya menerusi akhbar," katanya.

Katanya, beliau selaku Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan secara automatik menduduki kerusi MT UMNO sewajarnya mengemukakan cadangan dan buah fikiran beliau menerusi saluran parti.

Sebaliknya tegas beliau, tindakan tersebut turut memberi gambaran bahawa keseluruhan ahli-ahli pemuda UMNO bersetuju supaya mahasiswa dan penyarah kembali aktif berpolitik.

"Akibat daripada kenyataan beliau, kita di peringkat bahagian dan akar umbi menjadi serba salah apabila dihujani pelbagai pertanyaan, baik yang menyokong dan yang melemparkan kecaman menentang," uajrnya.

Katanya, sebarang keputusan membenarkan mahasiswa dan pensyarah termasuk guru lepasan ijazah berpolitik harus dibincang dan diputuskan oleh MT UMNO bagi mengelak timbulnya persepsi negatif di kalangan ahli-ahli parti.

Syed Mehdhar kesal kerana kebelakangan ini apa jua isu yang menyentuh dasar parti terlebih dahulu diumumkan secara terbuka sehingga menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

Akibat daripada itu kata beliau, ahli-ahli parti di peringkat akar umbi melihat MT UMNO seperti tidak lagi berfungsi untuk memberi perhatian terhadap isu-isu penting termasuk kebenaran mahasiswa dan pensyarah berpolitik.

"MT UMNO merupakan badan tertinggi yang bertanggungjawab menggubal dasar sama ada untuk kebaikan parti dan kerajaan dengan mengambil kira kepentingan ahli keseluruhannya," tegasnya.

Beliau menjelaskan, selama ini parti-parti pembangkang telah berjaya menyusup masuk ke kampus-kampus untuk menanam politik kebencian di kalangan mahasiawa dan pensayah.

"Saya kecewa kerana Khairy mengeluarkan kenyataan yang membelakangi keputusan MT UMNO dan bimbang isu tersebut turut dieksploitasikan oleh pihak pembangkang," tegasnya.

Beliau menyifatkan kenyataan Khairy baru-baru ini yang dilaporkan mahu mahasiswa dan pensyarah dibenarkan aktif berpolitik dibuat secara terburu-buru.

Tuduhan BN terdesak : Syed Ali sifatkan Zaid semakin ‘lemas’

Posted: 01 Aug 2010 09:34 PM PDT

TUDUHAN Penyelaras Pakatan Rakyat (PR), Datuk Zaid Ibrahim bahawa Barisan Nasional (BN) kini berada dalam keadaan terdesak hanya provokasi politik untuk menutup kepincangan dalam pakatan tersebut, tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Menurutnya, dakwaan Zaid kononnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang merupakan pilihan raya paling kotor dan terakhir bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga merupakan tuduhan berasaskan kepada persespi jahat dan tidak berasas.

"Zaid mengeluarkan kenyataan provokasi bagi menutup segala kepincangan dan ketidakadilan yang berlau dalam PR disamping berusaha memulihkan imej dan reputasi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah tercemar akibat pertuduhan meliwat," tegasnya.

Beliau juga menyifatkan Zaid berada dalam 'kelemasan' kerana rakyat sudah tidak mempercayai perjuangan PR terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipenuhi dengan pelbagai bentuk penyelewengan yang mengkhianati amanah rakyat.

Katanya, Zaid melemparkan tuduhan jahat itu bertujuan untuk mengubah persespsi dan menakut-nakutkan rakyat supaya tidak lagi menyokong UMNO dan BN pada PRU ke-13 akan datang.

"Beliau sanggup membuat hasutan secara terbuka dan menuduh betapa pemimpin UMNO akan lakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa, ini semua dakwaan karut bertujuan memecahbelahkan perpaduan rakyat," ujarnya.

Beliau mengulas kenyataan Zaid seperti yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu hari ini yang menuduh BN tidak akan mengadakan PRU dalam masa terdekat kerana berada dalam keadaan terdesak.

Zaid dalam sidang medianya di Kuantan, Pahang semalam juga menuduh PRU ke-13 kali ini merupakan yang paling kotor dalam sejarah negara manakala Najib pula akan menjadi Perdana Menteri terakhir bagi kerajaan BN.

Menurut Syed Ali lagi, Zaid sebagai 'budak suruhan' Anwar akan menjelajah ke seluruh negeri untuk menyebarkan dakyah politik sebagai persiapan menghadapi PRU akan datang.

"Sasaran utama Zaid adalah memburuk-burukkan Najib kerana pemimpin PKR sedar rakyat kini semakin kuat menyokong kepimpinan Perdana Menteri yang berjaya membawa perubahan," tegasnya.

Menurut Syed Ali lagi, PRU sudah diadakan sebanyak 12 kali di negara ini dan pihak pembangkang tidak pernah menyatakan ianya berlaku dalam keadaan baik di bawah kendalian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Walaupun mereka menang di bebarapa negeri dan berjaya membentuk kerajaan, seperti di Kelantan dan Selangor mereka tetap juga melemparkan tuduhan jahat bahawa SPR tidak adil," tegasnya.

Katanya, jika 12 kali pilihan raya di adakan dan setiap kali pula SPR dituduh berat sebelah, maka seeloknya parti-parti pembangkang tidak perlu menyertai pilihan raya.

Tiada ulasan:

Pengikut