Jumaat, 27 Ogos 2010

PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS

PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS


SALAM NUZUL AL QURAN

Posted: 26 Aug 2010 07:41 PM PDT

Hari ini 27 Ogos 2010 bersamaan dengan 17 Ramadhan 1431 adalah salah satu hari yang berlaku peristiwa penting dalam Islam. Peristiwa Nuzul Al Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini.

Peristiwa Nuzul Al - Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke 41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW. Perkataan 'Nuzul' bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al - Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al - Quran.


'Al - Quran' bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata 'al-Quran mukjizat akhir zaman' atau 'al-Quran yang mempunyai mukjizat'. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah:

"Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)".
(Al-An'am:38)

Al - Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan Al - Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al - Nur bererti cahaya yang menerangi, Al - Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan Al -Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-'Alaq. maksudnya:

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."
(Al-'Alaq:1-5)

Tiada ulasan:

Pengikut