Jumaat, 20 Ogos 2010

LAMAN BLOG PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN TELOK DATOK

LAMAN BLOG PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN TELOK DATOK


Melayu perlu sedar agenda sebenar pakatan pembangkang

Posted: 19 Aug 2010 09:10 AM PDT


UMNO Selangor meminta semua orang Melayu dan umat Islam di negeri ini supaya sedar akan matlamat sebenar pakatan pembangkang yang bercita-cita mahu menghapuskan hak orang Melayu serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, kesedaran di kalangan golongan itu amat penting bagi memastikan hak orang Melayu serta bumiputera lain termasuk Islam, terus dipelihara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Katanya, kewujudan 'perlembagaan baru' yang didedahkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini menunjukkan bahawa pakatan pembangkang sebenarnya tidak berhasrat untuk memelihara kepentingan orang Melayu dan menegakkan Islam di negara ini.

"Orang Melayu tidak seharusnya lupa bahawa mereka telah dijajah dan dinafikan hak selama 446 tahun bermula sejak zaman kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511.

"Kini adakah orang Melayu sudah puas dengan kemerdekaan yang dinikmati sejak 1957 sehingga mahu bersekongkol dan membiarkan pihak lain mewujudkan 'perlembagaan baru' yang jelas mengenepi hak bumiputera dan kedudukan Islam?

"Perlembagaan baru ini sebenarnya membuktikan agenda serta rancangan sebenar pakatan pembangkang dalam usaha mereka menduduki tampuk pentadbiran di negeri-negeri dan juga negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Harussani, Ahad lalu mengenai kewujudan 'perlembagaan baru' yang dirangka oleh pihak-pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan sekarang.

Menurut Harussani, paling mengejutkan 'perlembagaan baru' itu dikatakan menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga kedudukan Islam yang dijamin dalam Perlembagaan negara.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim semalam mengesahkan wujudnya 'perlembagaan baru' itu dan menyatakan ia adalah perbuatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meraih sokongan bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Dalam pada itu, Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang menyelar sikap sebilangan orang Melayu yang bersekongkol dengan kewujudan 'perlembagaan' sedemikian dan menyifatkan mereka sebagai 'Si Kitol dan Raja Mendeliar'.

Ini kerana, katanya, tindakan mereka yang cuba memainkan sentimen penghapusan hak bumiputera dan kedudukan Islam itu adalah tidak bertanggungjawab seolah-olah satu pengkhianatan kepada agama dan bangsa mereka sendiri.

"Orang Melayu dijajah berpunca daripada orang Melayu sendiri sebagaimana Si Kitol dan Raja Mendeliar mengkhianati serta memecahbelahkan orang Melayu sehingga jatuhnya Kota Melaka ke tangan penjajah.

"Namun hari ini, dua watak dalam sejarah Melayu ini seolah-olah muncul kembali apabila ada pemimpin Melayu (PKR dan Pas) bersekongkol dengan pihak lain untuk menghapuskan hak bangsa dan kedudukan Islam sendiri hanya kerana mahu berkuasa di Putrajaya,'' tegasnya.

Tiada ulasan:

Pengikut