Isnin, 30 Ogos 2010

Ahli Parlimen Kota Belud

Ahli Parlimen Kota Belud


Mesyuarat BN Sabah - Kenapa perlu kecoh kalau difahami?

Posted: 30 Aug 2010 01:25 PM PDT

Saya tidak berniat untuk menceritakan apa yang berlaku di dalam mesyuarat BN yang diadakan secara tertutup baru-baru ini. Tetapi oleh kerana banyak spekulasi tentang apa yang berlaku di dalam mesyuarat BN tersebut, saya ingin memberi pandangan saya terhadap perjalanan mesyuarat BN negeri Sabah yang diadakan pada hari selasa 24hb Ogos yang lalu.

Umum tahu bahawa mesyuarat BN pada hari itu diadakan atas kefahaman bahawa komponen parti BN di negeri Sabah mempunyai banyak isu yang ingin dibincangkan melalui platform mesyuarat BN negeri. Malah sebelum itu pun, ramai pemimpin-pemimpin komponen parti telah meluahkan pandangan mereka terhadap beberapa isu terkini di dalam media.

Mesyuarat bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi (YAB Ketua Menteri). Beliau tidak bercakap panjang, hanya dua tiga minit sahaja, kerana mahu masa mesyuarat digunakan untuk sesi perbincangan. Lebih-lebih lagi, mesyuarat perlu dihentikan pada waktu yang ditetapkan oleh kerana majlis berbuka puasa bersama Tuan Yang Terutama akan menyusul selepas mesyuarat tersebut.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa mesyuarat BN sebenarnya tidak berupaya untuk menyelesaikan semua isu yang dibangkitkan di dalam mesyuarat secara sekali gus. Ia tidak mampu berbuat demikian kerana tidak mempunyai kuasa eksekutif walaupun pengerusinya ialah seorang Ketua Menteri. Ini berlainan dengan mesyuarat lain yang mempunyai kuasa ekskutif yang boleh menyelesaikan isu-isu yang ditimbulkan itu. Contohnya, persidangan Dewan Undangan Negeri, persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, mesyuarat kabinet pusat dan negeri, mesyuarat pasca kabinet, mesyuarat tindakan daerah, mesyuarat jawatankuasa penggunaan tanah, mesyuarat kementerian, mesyuarat jabatan dan lain-lain lagi.

Begitu juga, adalah kurang tepat jika orang berfikiran bahawa semua isu perlu dibincangkan di dalam mesyuarat BN. Kalau semua ahli mesyuarat membawa semua isu yang difikirkannya terutamanya yang berbentuk tempatan (localised) atau peribadi masing-masing, maka sudah tentu masa mesyuarat tidak akan mencukupi untuk membincangkan kesemuanya. Bayangkan kalau mesyuarat terpaksa membincangkan masalah setiap daerah di negeri Sabah! Ia terntunya memakan masa sekurang-kurangnya sehari suntuk!Sebab itu ahli-ahli mesyuarat digalakkan membawa isu-isu besar yang ada kaitan dengan kepentingan negeri dan rakyat keseluruhannya dan bukannya isu tempatan atau peribadi yang melulu.

Seperti juga pengerusi dalam mesyuarat-mesyuarat lain, Pengerusi mesyuarat BN boleh meminta ahli mesyuarat untuk tidak menghabiskan masa mesyuarat dengan isu-isu yang dirasakan kurang sesuai untuk dibincang di dalam platform mesyuarat tersebut. Lebih-lebih lagi jika isu-isu itu telah pun dibahas dan dibincang dengan panjang lebar sebelum ini di dalam platform yang lain ataupun satu keputusan tidak akan dapat dicapai di dalam mesyuarat tersebut. Pengerusi juga boleh meminta pandangan ahli-ahli mesyuarat yang lain samada mahu membincangkan isu yang ditimbulkan itu atau tidak.

Kalau ahli-ahli mesyuarat tidak menunjukkan persetujuan untuk meneruskan perbincangan itu, maka Pengerusi boleh meminta isu itu tidak dibincangkan selanjutnya. Sebenarnya itulah yang berlaku di dalam mesyuarat BN negeri baru-baru ini apabila YAB Pengerusi meminta pandangan ahli-ahli mesyuarat yang lain samada isu-isu yang dibawa oleh LDP perlu dibincangkan dalam konteks mesyuarat BN pada hari itu. Untuk rekod, tidak ada seorang pun Presiden atau Pengerusi Perhubungan parti-parti komponen yang meminta perbincangan isu-isu yang dibawa oleh LDP diteruskan.

Sebagai perbandingan, isu-isu yang melibatkan kepentingan orang ramai seperti isu pendatang tanpa izin, isu tanah, isu penambahbaikan struktur BN negeri, isu pembangunan, isu pekerja asing, isu perkhidmatan awam, isu masalah judi mesin slot, isu kemiskinan dan isu pekerja India telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh ahli-ahli di dalam mesyuarat BN tersebut.

Hakikatnya, keputusan-keputusan yang dibuat di dalam sesebuah mesyuarat parti politik seperti mesyuarat BN ini, tentunya sedikit sebanyak akan mengambil kira pertimbangan politik dengan harapan keputusan yang diambil akan memberi pulangan politik yang terbaik kepada BN secara keseluruhannya. Kadang-kadang pertimbangan itu tidak semestinya berpaksikan peraturan dasar atau pemikiran logik semata-mata tetapi lebih kepada bagaimana menyelesaikan isu-isu itu melalui pendekatan politik yang berlandaskan "common-sense" dan "sensibility". Cuma masalahnya ialah, sepertimana yang kita semua sedia maklum, bukan semua ahli mesyuarat boleh menerima penjelasan politik kerana ada yang mahu ianya diselesaikan mengikut selera masing-masing. Maka itulah, tidak menghairankan, jika pada akhir mesyuarat, ada di antara ahli mesyuarat yang tidak mengukir senyum kepuasan ketika meninggalkan bilik mesyuarat.

Terima kasih.

Salam,

DARD.

Posted: 30 Aug 2010 09:32 AM PDT

Tiada ulasan:

Pengikut