Ahad, 11 Julai 2010

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri


SEGERA DAFTAR PEMILIH

Posted: 11 Jul 2010 02:14 AM PDT

Assalamualaikum.

Politik bagaikan satu makanan buat masyarakat kita hari ini. Di mana-mana pun, politiklah topik yang paling digemari oleh kita semua. Apa pun mengenai politik, ia sangat menarik perhatian. Hari ini, rata-rata orang bercakap mengenai daftar pemilih atau pengundi – juga mempunyai kaitannya dengan politik.

Sebagaimana laporan media baru-baru ini. Masih ramai yang tidak mendaftar sebagai pengundi walaupun pelbagai kemudahan disediakan ke arah tersebut. Lebih mendukacitakan saya apabila kaum Melayu dikatakan paling ramai yang belum mendaftar sebagai pengundi. Mengapa hal itu terjadi, ia masih samar-samar. Malah, kalau ditanya banyak pihak, maka akan banyaklah tangan atau jari yang saling menunding sesama sendiri dalam mencari punca masalah tersebut.

Biarkanlah. Saya tidak berminat untuk menunding jari. Saya hanya berminat untuk mengajak anda berfikir bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah ini.

Bagi saya, kita akan dapat menyelesaikan setiap masalah apabila kita tahu mengenai punca masalah tersebut. Tidak mungkin sesuatu masalah akan terselesai jika puncanya tidak diketahui. Maka sama juga dengan isu daftar pemilih ini. Di manakah puncanya mengapa masyarakat kita, khususnya kaum Melayu belum mendaftar sebagai pengundi.

Saya tidak berhasrat untuk memberikan jawapan kepada persoalan tersebut, namun saya menyerahkan kepada anda untuk menilainya. Sebagai ahli dan pemimpin politik, saya sangat khuatir mengenai perkembangan tersebut.

Khuatir bukan apa, khuatir kerana riwayat politik atau parti yang bertanding dalam sistem pilihan raya kita akan bergantung kepada undi. Maksud saya, apa guna kita mempunyai ahli yang ramai, namun tidak ramai di kalangan mereka yang mendaftar sebagai pengundi walaupun mereka itu adalah berkelayakan.

Ini menjadi satu hal yang sangat penting untuk kita fikirkan. Kita tidak mempunyai banyak masa sebenarnya. Pilihan raya adalah sesuatu yang tidak boleh dijangkakan waktunya. Pokoknya, jika kita tidak mempunyai kesedaran, sampai bila pun masalah ini tidak akan dapat diselesaikan. Ia harus bermula dengan kesedaran betapa sebenarnya setiap undi adalah penyumbang kepada masa depan negara dan bangsa.

Dalam hal ini saya sarankan, pihak paling dekat dengan masyarakat kita, iaitu institusi keluarga perlu turut serta dalam membantu menangani masalah ini. Pada waktu yang sama, parti-parti politik (sudah tentu khususnya UMNO) perlu bergerak dengan lebih berkesan dan bersungguh-sungguh dalam memastikan ahli parti mendaftar sebagai pengundi.

Kita telah melewati tempoh waktu yang rugi sebelum ini. Dan, adalah amat tidak wajar untuk kita terus rugi pada pilihan raya umum akan datang. Apatah lagi dengan keadaan iklim politik semasa di negara ini yang masih kurang menentu, ia sebenarnya sangat menuntut kepada usaha yang saya maksudkan tadi. Bagi saya, peringkat paling penting dalam politik ialah mendaftar sebagai pengundi kerana itulah akhirnya, politik akan pergi.

Saya berharap, hal ini akan dapat difahami dan dimengertikan dengan sebaiknya. Sama-samalah kita mendaftar sebagai pemilih dan membantu mereka yang belum mendaftar agar segera berbuat demikian. Itulah harapan saya.

Tiada ulasan:

Pengikut