Jumaat, 2 Julai 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Lantik Penasihat Undang-Undang Negeri Pakatan Rakyat ; cadangan Anwar bermotif politik

Posted: 02 Jul 2010 01:23 AM PDT

CADANGAN Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya negeri-negeri Pakatan Rakyat (PR) melantik Penasihat Undang-Undang mereka sendiri, tidak lagi perwakilan daripada pejabat Peguam Negara dilihat hanya bermotifkan politik.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, cadangan Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak menjuruskan kepada kepentingan awam.

"Cadangan itu hanya bersifat syak wasangka terhadap kredibiliti pejabat Peguam Negara apabila beliau menuduh ianya mewakili kepentingan Kerajaan Persekutuan," tegasnya.

Beliau kesal kerana Anwar sengaja memanipulasikan perjalanan undang-undang sedia ada bagi mengabui mata rakyat.

Katanya, Anwar cuba mengalih perhatian terhadap kelemahan dan kepincangan dalam pentadbiran negeri-negeri yang dikuasai oleh PR, iaitu Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun katanya, PAS yang sudah memerintah Kelantan hampir 20 tahun lalu tidak membangkitkan kecurigaan mereka terhadap ketelusan dan intergriti pejabat Peguam Negara.

"Ini membuktikan cadangan Anwar untuk melantik Penasihat Undang-Undang mereka sendiri sebagai meneruskan agenda politiknya untuk berkuasa," jelasnya lagi.

Katanya, Anwar sebenarnya mahu supaya dirinya dilihat sebagai jaguh dalam memperjuangkan keadilan setelah disabitkan dengan kes meliwat.

Menurut Syed Ali lagi, penangguhan perbicaraan kes liwat Anwar sehingga 14 Julai ini juga telah menimbulkan pelbagai reaksi rakyat, kebanyakannya mempersoalkan kewibawaan mahkamah.

"Banyak orang bertanyakan kepada saya kenapa kes liwat Anwar begitu liat sekali untuk diselesaikan, mereka mempersoalkan sejauhmana telusnya perjalanan perbicaraan kes tersebut," ujarnya.

Dalam hubungan ini, beliau tidak menolak andaian banyak pihak bahawa peguam bela utama Anwar dalam kes liwat, Karpal Singh sengaja melewat-lewatkan kes tersebut.

Syed Ali menegaskan, beliau tidak berniat untuk mencampuri atau pun mempengaruhi perjalanan perbicaraan kes tersebut, tetapi menyampaikan kekecewaan orang ramai terhadapnya.

"Ada yang membuat andaian bahawa kes liwat Anwar mungkin akan tertangguh sehingga selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan akhirnya kes tersebut digugurkan," katanya.

Syed Ali berpendapat, mahkamah perlu mengambil kira pandangan dan kekecewaan rakyat yang kesal kenapa kes liwat Anwar kerap kali ditangguhkan.

"Pada pandangan saya, apabila mahkamah sentiasa menunda kes liwat Anwar, dikhuatiri akhirnya rakyat tidak lagi menghormati institusi kehakiman di negara ini," katanya.

Syed Ali : bukan Islam jangan politikkan kedudukan agama rasmi negara

Posted: 01 Jul 2010 08:53 PM PDT

KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, mana -mana pihak khususnya bukan Islam tidak sewajarnya mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Menurutnya, bukan Islam harus menerima dan menghormatinya kerana di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan sudah termaktub Islam sebagai agama rasmi negara.

" Sudah jelas ada dalam perlembagaan, jadi Malaysia bukannya negara sekular seperti dakwaan parti politik pembangkang," tegasnya.

Beliau menyelar pihak pembangkang yang sengaja menggunakan kedudukan agama Islam sebagai isu perkauman.

Paling mengecewakan katanya, ada pemimpin pembangkang Melayu turut mempersoalkannya bertujuan menarik sokongan bukan Islam.

"Mereka (pembangkang) bukannya tidak faham perlembagaan, tetapi sengaja menidakkannya untuk kepentingan politik," katanya.

Beliau turut bersetuju pendapat Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar kanan) yang menegaskan bukan Islam tidak seharusnya mempertikaikan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Syed Ali yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan kesal kerana Pengerusi DAP, Karpal Singh masih lagi menentang konsep negara Islam di negara ini dan menuduhnya sebagai sekular.

"Walaupun Karpal menolak cadangan PAS membentuk sebuah negara Islam, tetapi tetap membawa maksud pemimpin DAP itu sememangnya menentang konsep negara Islam seperti yang ada sekarang," jelasnya lagi.

Dalam hubungan ini, Syed Ali mencabar pemimpin PAS supaya menyatakan pendirian berhubung sikap DAP yang masih menentang kewujudan negara Islam.

"Jika pemimpin PAS, terutama Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Aziz Nik Mat berdiam diri, bermakna jelas mereka menggunakan agama sebagai topeng untuk tujuan politik," tegasnya.

Beliau mengingatkan penyokong Pakatan Rakyat (PR) supaya berwaspada dengan muslihat licik DAP yang berhasrat untuk menghancurkan perpaduan Melayu.

"Mereka ada agenda disebalik perjuangan politik, DAP ingin berkuasa di atas keruntuhan perpaduan umat Melayu di negara ini,." tegasnya lagi.

Hubungan dengan Yahudi ; bohong Anwar terbongkar lagi – Syed Ali

Posted: 01 Jul 2010 01:16 AM PDT

PEMBOHONGAN Datuk Seri Anwar Ibrahim terbongkar lagi apabila hubungan rapat beliau dengan tokoh Yahudi didedahkan secara terbuka oleh akhbar Washington Post, Isnin lalu, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.
"Ini bermakna Anwar sememangnya petualang bangsa yang sanggup mengkhianati tanahairnya sendiri," tegasnya.

Sebelum ini katanya, Anwar bermain sandiwara dengan turut mengutuk kezaliman rejim zionis di hadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurutnya, pendedahan oleh akhbar barat itu sepatutnya menyedarkan pemimpin Melayu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa Anwar tergamak lakukan apa sahaja untuk mencapai cita-cita politik.

"Anwar sungguh licik berbohong sehingga penyokongnya terpedaya, tetapi sebenarnya beliau cukup intim dengan tokoh-tokoh Yahudi di luar negara," katanya.

Akhbar utama hari ini melaporkan pendedahan Washington Post bahawa Anwar berada di AS pada 23 hingga 26 Jun lalu bagi 'menjernihkan' hubungan dengan tokoh Yahudi selepas dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti-Yahudi dalam isu Apco Worldwide.

Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, Anwar sanggup ke AS hanya untuk membersihkan diri dan menyatakan kesal kerana menggunakan istilah 'pencerobahan zionis'.

"Penasihat Umum Parti Keadilan rakyat (PKR) itu sedikitpun tidak berasa malu untuk mengemis simpati daripada tokoh Yahudi sehingga terpaksa ke AS bagi membersihkan dirinya," ujarnya lagi.

Dalam hal ini katanya, rakyat terutama penyokong PKR sudah boleh menilai sejauhmana kejujuran Anwar.

Beliau menjelaskan, sebelum ini Anwar menuduh konsep 1 Malaysia yang diilhamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada hubungan dengan syarikat telekomunikasi Israel, Apco Worldwide.

Bagaimanapun katanya, tuduhan tersebut hanya untuk menutup cerita bohongannya yang terbongkar di Parlimen berhubung misi 16 September yang tidak tercapai.

"Sekarang dia berbohong lagi, bukan setakat kepada rakyat Malaysia bahawa beliau mengutuk kekejaman rejim Yahudi, tetapi turut menipu sahabat baiknya, beberapa tokoh Yahudi di Amerika Syarikat," tegasnya.

Sehubungan itu tegasnya, terpulang kepada rakyat untuk menilai sejauhmana jijiknya politik Anwar yang sanggup bersubahat dengan rejim zionis kerana kepentingan agenda peribadi.

"Seluruh dunia khususnya umat Islam mengutuk kezaliman rejim Israel tetapi sebaliknya Anwar yang disanjung oleh PAS dan DAP bersubahat dengan Yahudi," tegasnya.

Syed Ali hairan bagaimana pemimpin PAS yang kononnya berjuang untuk Islam menjadi 'buta' dengan telatah dan muslihat licik Anwar.

"Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat sediri tahu bahawa rejim Yahudi telah membunuh ribuan nyawa umat Islam di bumi Palestin, tetapi masih lagi bersubahat dengan Anwar," tambahnya lagi.

Tiada ulasan:

Pengikut