Isnin, 5 Julai 2010

Pemuda Johor Bahru

Pemuda Johor Bahru


USUL PEMUDA UMNO JOHOR BAHRU MENJUNJUNG TITAH SULTAN JOHOR – MEMBINA JAMBATAN BAGI MENGGANTIKAN TAMBAK JOHOR

Posted: 05 Jul 2010 10:07 AM PDT

USUL MENJUNJUNG TITAH D.Y.M.M SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI DAN JAJAHAN TAKLUK JOHOR DARUL TA'ZIM – MEMBINA JAMBATAN BAGI MENGGANTIKAN TAMBAK JOHOR

MEMAHAMI

1. Titah D.Y.M.M Sultan Johor yang begitu prihatin dan memahami jiwa dan kemahuan rakyat Johor agar kerajaan mengkaji semula pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor kerana ia amat penting kepada rakyat dan Negeri Johor.

2. Bahawa pembinaan sebuah jambatan bagi menggantikan Tambak Johor yang telah berusia 86 tahun adalah perlu dalam meningkatkan nilai komersial, sosial dan ekonomi khususnya Negeri Johor dan kepada rakyat Johor di sebelah selatan tanahair.

3. Hubungan Malaysia – Singapura telah lama terjalin dalam pelbagai hala dan unik. Bukan sekadar hubungan perdagangan tetapi hubungan kekeluargaan antara rakyat kedua-dua pihak telah berlangsung dan terjalin lebih dari 100 tahun. Hubungan rakyat kedua-dua negara juga terjalin atas hubungan perkahwinan, persaudaraan, kebudayaan, keagamaan dan faktor ekonomi.

4. Kedua-dua negara berkongsi banyak kepentingan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat secara bersama-sama seperti Perjanjian Air, Ruang Udara, Tanah milik Keretapi Tanah Melayu (KTM), Caruman Pekerja (CPF), Pembekalan Pasir dan sebagainya.

MENYEDARI

1. Sokongan yang diberi oleh Kesultanan Johor sehingga tanah milik Istana berhampiran Kampong Bakar Batu seluas 10.8 hektar dijadikan penempatan semula penduduk dari Flat Bukit Chagar dan Tanjung Puteri yang terlibat dalam pembinaan Kompleks Kastam dan Imigresen yang baru bagi menggantikan yang lama di Tanjung Puteri ( sekarang dikenali sebagai Bangunan Sultan Iskandar) maka kerajaan perlu mengkaji semula pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Johor.

2. Pembinaan Bangunan Sultan Iskandar sahaja tanpa pembinaan jambatan menjadikan perkhidmatan Jabatan Imigresen dan Kastam menjadi tidak efektif disebabkan matlamat asal terutamanya untuk melancarkan kenderaan yang memasuki Negeri Johor menggunakan Bangunan Sultan Iskandar tidak tercapai. Saiz Tambak Johor yang tidak lagi sesuai menampung jumlah kenderaan yang semakin meningkat terutama pada waktu puncak, hujung minggu dan cuti-cuti umum memburukkan lagi keadaan.

3. Walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) termasuk mengkaji struktur laluan dan membina laluan tambahan atau 'short term access' dari Tambak Johor ke Bangunan Sultan Iskandar tetapi hingga saat ini masalah kesesakan lalulintas masih diatasi disebabkan bentuk Tambak Johor sendiri yang sempit dan saiznya yang kecil.

4. Selain masalah trafik, laluan air juga di dapati tersekat di Tambak Johor, walaupun skruktur asal tambak terdapat relung yang menghubungkan sebelah timur dan barat Tambak Johor tetapi ianya telah lama tersumbat atau tertutup oleh sampah sarap dan tiada penyelenggaraan yan sempurna. Ini memberi kesan ekologi kepada struktur ekosistem hidupan laut di pesisiran Pantai Lido sehingga banyak hidupan laut mati dan pupus. Jika jambatan dapat dibina dan tambak dipecahkan, aliran air akan bersambung semula antara timur dan barat Selat Tebrau, yang mana lama kelamaan membina semula ekosistem hidupan laut yang semakin pupus.

5. Disamping itu aliran air yang kembali terjalin pasti mencetus semula kerancakan ekonomi khususnya di pesisir Pantai Lido yang terhad disebabkan kualiti air yang teruk pada masa ini. Aktiviti nelayan juga terutama di Sungai Melayu, Gelang Patah dan penternakan berasakan sangkar seperti kupang dan ikan akan kembali menguntungkan. Aktiviti perdagangan melalui saiz kapal-kapal tertentu yang boleh melalui Selat Johor dan pelbagai industri berasaskan pelancongan menjadi satu lagi alternatif perniagaan berbentuk komersial yang boleh digerakkan.

MENGINSAFI

1. D.Y.M.M Sultan Johor telah bertitah meminta kerajaan mengkaji semula pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor kerana ia amat penting kepada negeri dan rakyat Negeri Johor.

2. Keseluruhan rakyat Negeri Johor tanpa mengira Agama dan Bangsa menjunjung titah D.Y.M.M Sultan Johor, agar kerajaan mengkaji semula pembinaan jambatan menghubungkan Johor dan Singapura.

3. Tambak Johor adalah lambang kesan penjajahan Kolonial British dan lambang Dasar Pecah Belah dan Perintah yang diamalkan mereka di Persekutuan Tanah Melayu (ketika itu) termasuk di Negeri Johor sehingga menimbulkan kesan ekonomi dan sentiment kaum.

MAKA, PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN JOHOR BAHRU yang bersidang pada hari ini mengambil ketetapan:

1. Agar kerajaan pimpinan YAB Dato' Seri Najib Bin Tun Abdul Razak, mengkaji dengan serius pembinaan semula jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

2. Segala rundingan dan keputusan berhubung pembinaan jambatan hendaklah mengambil kira kepentingan dan sensitiviti rakyat Negeri Johor.

3. Singapura perlu diajak terlibat sama dalam pembinaan jambatan tetapi tanpa mengikat Malaysia dengan syarat-syarat tertentu kerana mereka juga boleh mendapat faedah dan manafaat dari pembinaan jambatan tersebut.

Share/Save/Bookmark

Tiada ulasan:

Pengikut