Jumaat, 25 Jun 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


UMNO tidak sisih golongan ulamak – Nasir Ghani

Posted: 25 Jun 2010 12:55 AM PDT

UMNO tidak pernah mengetepikan sumbangan dan peranan golongan ulamak dalam usaha memantapkan pembangunan negara, kata Naib Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Haji Md. Nasir Ghani.

Beliau menjelaskan, sejak pra-merdeka sehingga kini UMNO sentiasa menghargai malah memperakui peranan yang dimainkan oleh golongan tersebut.

Oleh sebab itu katanya, pada awal penubuhan UMNO ianya menerima sokongan padu guru-guru agama dan sekolah pondok termasuk mereka yang mendapat pendidikan agama daripada luar negeri terutamanya Mesir.

"Golongan agama dari UMNO jugalah yang telah menubuhkan parti PAS apabila mereka tidak sehaluan dengan kepimpinan parti pada ketika itu," tegasnya.

"Ini bermakna UMNO telah menyumbangkan jasa yang besar dalam melahir dan meningkatkan peranan guru agama di negara ini,".

Malah jelas beliau, UMNO sehingga kini sentiasa merujuk kepada golongan ulamak termasuk guru-guru agama dalam sesuatu permasalahan yang berbangkit.

"Jadi tidak timbul tuduhan pihak tertentu terutama pembangkang yang mendakwa UMNO menyisihkan peranan ulamak di negara ini," tegasnya.

Bagaimanapun katanya, anggapan sedemikian mungkin kerana ulamak di dalam UMNO kurang menonjol dan tidak mengejar publisiti.

Md. Nasir menjelaskan, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO sentiasa berusaha meningkatkan peranan dan sumbangan mereka dalam usaha memperluaskan perkembangan syiar Islam.

"Inilah berbeza dengan parti pembangkang yang sejak akhir-akhir ini dilihat seperti memperalatkan guru-guru agama untuk kepentingan politik," tegasnya.
Beliau menyebut contoh bagaimana PAS sanggup mempergunakan guru-guru agama pada setiap kali pilihan raya dalam usaha meraih sokongan pengundi Melayu.

Md. Nasir menjelaskan, ilmu agama yang dimiliki oleh para ulamak harus dihormati dan tidak wajar diperlekehkan apatah lagi diguna untuk kepentingan politik.

Mengulas mengenai ada usaha pihak tertentu untuk membawa bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abdin menyertai UMNO, beliau menjelaskan jika ianya baik kepada parti wajar disokong.

Bagaimanapun beliau mengingatkan, hubungan baik Dr. Asri dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu diambil kira dalam situasi politik masa kini.

"Kita menghormati ilmu agama beliau tetapi kemasukannya ke dalam UMNO dalam keadaan sekarang perlu dilihat daripada banyak aspek," katanya.

Dalam hubungan ini tegas beliau, kemasukan Dr. Asri ke dalam UMNO harus melalui proses biasa dan tidak perlu dilayan sebagai tokoh istimewa.

Tiada ulasan:

Pengikut