Khamis, 24 Jun 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Syed Ali ; jangan dipolitikkan isu lesen judi

Posted: 24 Jun 2010 01:43 AM PDT

KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee hari ini menegaskan kerajaan wajar mengeluarkan lesen pertaruhan judi bola sepak tetapi memerlukan penguatkuasaan yang ketat.

Langkah itu katanya akan berupaya membanteras kegiatan perjudian haram di negara ini.

Katanya, jika kerajaan mengeluarkan lesen perjudian, mana-mana orang Islam yang terbabit perlu ditangkap dan dikenakan tindakan keras.

"Lesen diluluskan untuk aktiviti perjudian membabitkan masyarakat bukan Islam dan orang Islam sudah sedia maklum bahawa judi adalah haram disisi agama," tegasnya.

Langkah itu katanya bagi mengelak berleluasanya sindikit pertaruhan judi bola sepak haram terutama sempena Piala Dunia yang dikatakan mencecah sehingga RM2 bilion.

Beliau berkata, jika lesen tersebut dikeluarkan bermakna kerajaan mampu mengutip cukai sebanyak RM500 juta dengan taksiran potongan 25 peratus.

"Jumlah tersebut boleh digunakan oleh kerajaan untuk menyediakan pelbagai kemudahan prasarana untuk rakyat terutama bukan Islam," katanya.

Jumlah itu juga katanya membolehkan kerajaan membina atau membaik pulih sekolah-sekolah Cina yang sedia ada.

Katanya, hasil cukai daripada judi, anjing dan arak juga sudah lama digunakan oleh kerajaan PAS Kelantan untuk membangunkan kemudahan infrastruktur di negeri tersebut.

"Hasil cukai yang digunakan oleh PAS tidak dipolitikkan kerana kita melihat ianya memberi keuntungan kepada rakyat dalam bentuk penyediaan kemudahan asas," katanya.

Oleh sebab itu jelas beliau, jika diberikan lesen perjudian tidak akan menimbulkan masalah gejala sosial sepertimana dakwaan sesetengah pihak.

Syed Ali mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin yang membantah cadangan kerajaan untuk mengeluarkan lesen judi pertaruhan sukan di negara ini.

Beliau berkata, daripada kerajaan membiarkan wang pertaruhan itu mengalir secara haram, lebih baik cukainya digunakan untuk pembangunan rakyat.

"Kita perlu lebih waras membuat penilaian terhadap isu tersebut, jangan kita politikannya kerana ada agenda tertentu," jelasnya lagi.

Syed Ali berkata, pati-parti politik termasuk komponen Barsian Nasional (BN) perlu melihat perkara ini secara jujur dan tidak dimanupulasikan untuk kepentingan politik.

"Perkara pokoknya kita tidak mahu perjudian haram berleluasa dan kita tiada hak untuk menyekat masyarakat bukan Islam daripada berjudi, itu budaya mereka," katanya.

Beliau menjelaskan, judi tetap haram kepada umat Islam tetapi tidak kepada bangsa lain terutama Cina yang mana perjudian menjadi sebahagian daripada tatacara hidup mereka.

Menurut Syed Ali lagi, jika kerajaan mengharamkan pertaruhan judi bolasepak, kemungkinan mereka (sindikit) akan mengalih perhatian ke negara jiran.

Ini katanya, akan menyebabkan berlakunya pengaliran tunai ke negara asing dan akan merugikan negara.

Sehubungan itu, beliau menyokong cadangan Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Rais Yatim supaya satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk memantau kegiatan perjudian di negara ini.

Syed Ali berkata, suruhanjaya tersebut akan bertanggungjawab memastikan aktiviti perjudian berlesen disamping membanteras kegiatan perjudian haram.

Tiada ulasan:

Pengikut