Rabu, 23 Jun 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Mansuhkan pendaftaran pengundi ; Syed Mehdhar bidas Nurul & Khairy

Posted: 23 Jun 2010 01:55 AM PDT

PERGERAKAN Pemuda UMNO Bahagian Cheras mempertikaikan bagaimana Khairy Jamaluddin turut mempersetujui saranan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang mahu rakyat yang tidak mendaftar sebagai pemilih dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut ketuanya, Syed Mehdhar Syed Abdullah, idea tidak 'masuk akal' yang dicetuskan oleh Nurul itu tidak sepatutnya dipersetujui oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia secara terbuka.

Beliau menegaskan, saranan Nurul itu hanya untuk kepentingan PKR dan Pakatan Rakyat (PR) yang sanggup lakukan apa sahaja bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

"Ramai yang hairan kenapa Khairy menyokong Nurul yang mewakili pembangkang mendesak kerajaan melakukan reformasi dalam tatacara proses pengundian di negara ini," ujarnya.

Katanya, cadangan Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai itu akan membabitkan proses pindaan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pindaan perlembagaan.

Beliau memberitahu, membenarkan mereka yang tidak mendaftar sebagai pengundi hanya akan mengundang kesan buruk kepada kestabilan politik negara.

Syed Mehdhar bagaimanapun tidak menafikan berlaku beberapa kes di mana terdapat pengundi yang gagal menunaikan hak mereka pada hari pengundian kerana kesilapan teknikal seperti nama mereka hilang dalam buku daftar pemilih.

Bagaimanapun jelas beliau, kelemahan tersebut bukan alasan yang memerlukan kepada pemansuhan pendaftaran pengundi bagi memberi hak kepada rakyat keluar mengundi.

"Saranan tersebut membabitkan soal perundangan, perlembagaan, rakyat serta kepentingan parti yang memerlukan kajian secara terperinci sebelum dipersetujui bersama," tegasnya.

Sehubungan itu jelasnya, Khairy tidak perlu turut terperangkap dengan strategi pembangkang untuk meruntuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-13.

Katanya, walaupun persetujuan itu mungkin pendapat peribadi Khairy tetapi pertemuan beliau bersama Nurul dan beberapa orang pemimpin PKR dalam satu forum di Kuala Lumpur baru-baru ini akan dilihat sebagai mewakili pemuda UMNO.

"Apabila Khairy bercakap dalam satu forum bersama pembangkang ( gambar atas ) sudah tentu beliau akan dilihat sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan Ahli Parlimen Rembau yang mewakili kerajaan," tegas beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan.

Nurul dalam forum tersebut tersebut mendakwa pada PRU 1999 dianggarkan kira-kira 600,000 orang gagal mengundi kerana nama mereka tidak didaftarkan sebagai pemilih.

Dalam hubungan ini, Syed Mehdhar mencadangkan SPR mengadakan satu mekanisma baru mempercepatkan proses pendaftaran pengundi bagi memastikan mereka layak mengundi.

Katanya lagi, cadangan Nurul dan dipersetujui oleh Khairy itu hanya akan memberi peluang kepada warga asing yang memegang kad pengenalan untuk dipergunakan oleh mereka yang berkepentingan.

"Hak mengundi hanya kepada rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai pengundi dan mereka mempunyai tanggungjawab untuk menentukan mana-mana parti politik mentadbir negara ini," ujarnya lagi.

Judi, hasil haram dan hipokrasi PAS

Posted: 22 Jun 2010 11:48 PM PDT

Oleh Zaini Hassan (Kolumnis Cuit – Utusan Malaysia)

CINA di Malaysia berkongsi budaya dengan kaum sebangsa mereka di seluruh dunia. Salah satu budaya yang menjadi kegemaran mereka ialah berjudi. Sehinggakan di upacara orang mati pun, yang kita nampak di Malaysia ini, mereka akan berjudi sampai ke subuh.

Begitu juga di China, semua benda yang boleh dijadikan judi akan mereka main. Itu sebab dengan jumlah populasi China mencecah 1.3 bilion, jumlah pertaruhan pada Piala Dunia di negara itu antara yang tertinggi di dunia.

Menurut laporan AFP, pertaruhan bola sepak secara talian di China pada tahun 2006 bersamaan dengan dua peratus KDNK negara itu. Angka untuk pertaruhan Piala Dunia 2010 ini belum diperolehi, tapi dijangka melebihi angka 2006 itu.

Bagi orang Islam berjudi itu, dalam apa bentuk sekali pun adalah haram. Tapi, tidak bagi orang China.

Ironisnya dalam budaya Melayu pun, permainan sabung ayam masih dijalankan. Kita tidak pasti sama ada unsur-unsur pertaruhan wang dijalankan.

Menurut seorang rakan dari Kelantan, di negerinya apa saja boleh dipertaruhkan, boleh belaka.

Ia termasuklah dari pertaruhan belalang rusa, suara burung murai batu dan pelbagai burung sehinggalah kepada main wau. Hadiahnya, mungkin selimut toto (bukan loteri Toto) sehingga membabitkan wang seringgit.

Kita tidak pasti sama ada itu dinamakan judi atau tidak. Mungkin Tok Guru Nik Aziz boleh memberi jawapannya.

Setakat dua minggu kegilaan Piala Dunia ini, polis yang melancarkan Ops Soga telah menumpaskan begitu banyak sindiket judi bola sepak haram. Ia membabitkan pertaruhan berjumlah RM300 juta.

Polis meramalkan sehingga akhir temasya itu jumlah pertaruhan akan naik sehingga RM2 bilion (2,000 juta ringgit).

Semua sindiket itu adalah haram. Itu pasal polis melancarkan operasi tersebut. Ini kerana daripada kegiatan haram itu, tiada sesen pun wangnya mengalir ke kocek kerajaan sebagai cukai.

Wang-wang itu masuk terus ke kantung kongsi-kongsi gelap dan kegiatan haram yang sukar dikawal oleh pihak berkuasa.

Di Korea Selatan, pusat Sports Toto yang menjadi pemegang lesen sah untuk aktiviti pertaruhan berkaitan sukan termasuk Piala Dunia menyumbang lebih 25 peratus hasilnya kepada kerajaan.

Jika aktiviti itu disahkan di Malaysia, sumbangan hasil itu boleh digunakan untuk pelbagai projek pembangunan rakyat (misalnya, jika 25 peratus daripada 2,000 juta ringgit bermakna kerajaan akan mendapat RM500 juta dalam bentuk cukai).

Jika aktiviti itu tidak disahkan, wang itu hanya akan mengalir kepada kongsi-kongsi gelap.

Tapi, apabila kerajaan cadangkan kegiatan pertaruhan sukan disahkan – 100 peratus kepada orang China dan bukan Islam sahaja, orang Islam termasuklah orang UMNO sendiri cukup menentang.

Akibatnya pihak polis tidak menang tangan, terpaksa menggunakan wang rakyat, untuk membanteras sindiket haram itu.

Orang-orang PAS seperti biasa menangguk di air keruh. Memanglah judi haram, tapi kita hidup di negara yang berbilang kaum.

Jika semasa muktamar PAS di Kota Bharu baru-baru ini mereka benarkan orang bukan Islam (Cina, khususnya) bertanding atas lambing bulan, mengapa apabila kerajaan mencadangkan soal pertaruhan sukan untuk orang bukan Islam ini, mereka begitu riuh menentang.

Apa beza arak dengan judi. Di negeri Islam Kelantan, arak dibenarkan bagi orang bukan Islam, loteri pun dibenarkan.

Jika itu haram, haramkanlah semuanya.

Jika tidak, PAS patut malu besar nikmati hasil aktiviti haram, kata Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju), anak kelahiran Kelantan semasa berbahas di Dewan Rakyat kelmarin.

Kata Choo Keong, PAS hipokrit dalam isu kesen judi bola sepak sedangkan pada masa yang sama, kerajaan PAS Kelantan meluluskan 40 lesen arak.

Itulah masalahnya apabila politik digunakan untuk menghalalkan cara.

Baca tulisan blogger Kickdefella di bawah ini pula.

Kickdefella akhirnya sependapat dengan Nik Aziz

INGAT lagi dengan blogger Kickdefella ? Nama sebenarnya ialah Syed Azidi Aziz ( gambar) Dia ini cukup kontroversi. Nik Aziz tak mahu dengar namanya lagi. Dulu Kickdefella ialah penulis upahan untuk membantai kerajaan dan Perdana Menteri. Tapi kini, dia sudah berpatah arang dengan Nik Aziz.

Syed Azidi atau juga dikenali sebagai Sheih pernah mengkritik politik anak-beranak Nik Aziz. Itu sebab Nik Aziz 'berbulu' sungguh dengannya.

Tapi dalam entrinya bertajuk : Judi; Siapa untung siapa rugi, Syed Azidi cukup bersetuju pula dengan Nik Aziz. Kenapa ? baca di sini dan renung-renungkanlah…………..

ADA beberapa perkara yang menggusarkan saya di dalam penentangan Judi Bola Sepak oleh pihak-pihak politik. Penentangan Judi Bola Sepak ini datangnya dari segelintir di dalam UMNO dan dijuarai oleh Pakatan Rakyat.

Siapakah yang untung dari segi kewangan jika Judi Bola Sepak tidak dibenarkan di Malaysia secara sah ?

Sudah tentu yang untung ialah mereka yang mendapat manfaat dari 'Dunia Gelap', Judi Bola Sepak dibenar atau tidak, ia akan terus berleluasa dan bertambah-tambah makmur di musim Piala Dunia. 'Dunia Gelap' akan melimpah-limpah keuntungannya.

Negara tidak akan mendapat apa-apa hasil. Rakyat Malaysia yang kaki judi akan terus bertaruh. Tidak kira Cina, India, Melayu atau lain-lain. Ya, judi yang sah atau tidak sah dari segi perundangan Malaysia tetap akan menjadi tumpuan umat Islam yang berminat untuk berjudi. Usah kita nafikan itu semua.

Saya gesa umat Islam dan pemimpin-pemimpin politik mengambil iktibar daripada dasar Membangun Bersama Islam yang sudah 19 tahun ditegakkan di Kelantan.

Di bawah pentadbiran Islam di Kelantan, YAB. Tuan Guru Nik Abdul Aziz terus membenarkan penjualan arak kepada bukan Islam dengan mengenakan cukai arak kepada premis-premis yang menjualkan arak itu.

"Bagi penjualan arak, ia hanya dibenar jual oleh orang bukan Islam kepada golongan itu sahaja, kerana jika ia diharamkan sudah tentu menyulitkan orang bukan Islam untuk menikmatinya," kata Nik Aziz pada 19 November 1992.

Selang dua tahun kemudian pada 26 November 1994, apabila pihak-pihak yang tidak faham dengan dasar Membangun Bersama Islam mengkritik penjualan arak di Kelantan. Nik Aziz berkata :

"Kelantan menggunakan hasil cukai arak, lessen anjing dan sebagainya bagi menampung kos membuat jalan dan lain-lain projek pembangunan. Arak itu sendiri boleh diminum oleh bukan Islam, jadi bila minum oleh mereka, maka untuk menjaga keselamatan, kerajaan mengambil duit dari mana?,".

Bahkan di Kelantan walaupun judi nombor ekor tidak dibenarkan, tetapi judi di dalam bentuk loteri Big Sweeps dibenarkan. Kedai-kedai yang menjadi ejen Big Sweeps terus dibenarkan menjual tiket-tiket loteri di premis mereka di bawah dasar Membangun Bersama Islam.

Jadi kenapakah parti PAS dan parti-parti politik pembangkang ikut bersama segelintir anggota komponen BN menentang pemberian lesen Judi Pertaruhan Bola Sepak?

Apakah kerana pemberian lesen itu akan menggugat pendapatan beberapa orang penting dalam 'Dunia Gelap'.

Dan sekiranya pendapatan beberapa orang penting di dalam 'Dunia Gelap' ini tergugat maka akan ada beberapa parti politik yang tergugat 'derma' yang mereka terima dari hasil mahsul 'Dunia Gelap ?.

Kalau kita ambil iktibar dari Membangun Bersama Islam dan Nik Aziz, sudah tentu tidak salah bagi seorang pemimpin Islam memberi lesen untuk membenarkan aktiviti 'dosa' asalkan ia tidak dibenarkan kepada orang-orang Islam. Jika masalah sosial juga menjadi alasan, arak juga adalah satu punca yang sering membawa kepada maksiat dan jenayah yang besar.

Di dalam soal ini saya sependapat dengan Nik Aziz.

(Petikan daripada Cuit - Utusan Malaysia 23 Jun 2010)













Tukar Jalan Ampang kepada nama Tun Dr. Mahathir : Raja Nong Chik sokong Syed Ali

Posted: 22 Jun 2010 07:40 PM PDT

MENTERI Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menyokong cadangan Datuk Wira Syed Ali Alhabshee supaya nama Jalan Ampang ditukarkan kepada nama Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, cadangan tersebut merupakan idea yang sangat baik bagi mengenang segala jasa dan sumbangan besar Dr. Mahathir kepada pembangunan negara.

Menurut beliau, cadangan pertukaran nama itu kini sudah dirujuk kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail ( gambar bawah) untuk dipertimbangkan.

Syed Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras mengemukakan cadangan tersebut ketika berucap di masjlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Cheras, Ahad lalu.

Majlis tersebut yang sepatutnya dirasmikan oleh Dr. Mahathir telah disempurnakan oleh isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali disebabkan bekas Perdana Menteri itu kurang sihat.

Menurut Raja Nong Chik lagi, nama Jalan Ampang tidak mencerminkan apa-apa makna dan cadangan pertukaran itu sangat wajar bagi menghargai pengorbanan Dr. Mahathir.

Tiada ulasan:

Pengikut