Rabu, 23 Jun 2010

Apo Kono Eh Jang!

Apo Kono Eh Jang!


PAS Buka Peluang Orang Kafir Perlekehkan Islam

Posted: 23 Jun 2010 03:52 AM PDT

Umat Islam di Malaysia selama-lamanya tidak akan lupa Amanat Hadi Awang, Presiden PAS yang disampaikan di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang berbunyi:

Saudara-saudara sekelian percayalah,
Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.


Setelah terbukti amanatnya menjadi punca perpecahan serius di kalangan umat Islam hingga terjadinya sembahyang dua imam dan penceraian suami isteri, Hadi cuba berdalih dengan menuduh ianya adalah perbuatan UMNO untuk mencemar namanya.

Namun, daripada bukti kertas putih mengenai Memali bertarikh 26 Februari 1986, Amanat Hadi telah dicetak dalam empat versi. Pertama dalam tulisan jawi, dicetak oleh bahagian Penerangan PAS Kelantan untuk sebaran pilihan raya kecil Selising, Kelantan pada tahun 1983. Versi latar belakang hitam dengan tulisan rumi, dicetak oleh PAS Pusat dan dua versi lagi (rumi dan jawi) dicetak oleh Sekretariat Pemuda PAS Pusat. Versi latar belakang hitam dapat dilihat dalam rakaman video polis mengenai peristiwa Memali pada 19 November 1985.

Hadi akhirnya tidak dapat menepis lagi bahawa amanat itu disebarkan oleh PAS sendiri dan sememangnya dibuat oleh dirinya sendiri.

Selain dari menjadi punca perpecahan serius antara umat Islam, ia juga menjadi punca timbulnya kegusaran di kalangan Umat Islam untuk bergaul dan bercampur dengan bukan Islam. Hakikatnya, Hadi adalah antara mereka yang mula-mula meniupkan perasaan curiga dan syak wasangka antara kaum di Malaysia dan kini meneruskannya dengan membantu kempen-kempen menghasut agar Cina membenci Melayu (UMNO) yang diterajui oleh DAP.

PAS suatu ketika dahulu bangga dengan imej ekstrem, rigid dan tidak bertolak ansur dalam soal Islam dan bukan Islam. Mereka menganggap bekerjasama dengan bukan Islam sepertimana UMNO bekerjasama dengan MCA dan MIC menjadikan UMNO kafir dan menyokong UMNO boleh menjadikan seseorang itu kafir.

Tapi semua itu kisah dulu, iaiatu ketika Hadi masih belum melihat bayangan kuasa, dan sebelum Hadi merasai kehangatan pelukan Lim Kit Siang.
Kini, Hadi bukan sahaja mengambil pendekatan seperti UMNO dengan bekerjasama dengan DAP dan PKR, tetapi Hadi melangkah lebih jauh lagi dari UMNO iaitu membuka peluang bagi bukan Islam untuk bertanding atas lambang PAS secara langsung.

Untuk tujuan itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mengumumkan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS atas alasan terdapat ramai penyokong bukan Islam parti itu yang terdiri daripada kaum Tionghua, Siam, Orang Asli, Bumiputera dan lain-lain dan mereka juga harus diberi peluang bertanding.

Dua perkara yang menarik di sini ialah:

1. Fatwa Hadi mengenai bekerjasama dengan bukan Islam bukan sahaja berubah tetapi melebih-lebih dari UMNO sendiri.

2. Sayap baru PAS itu membuktikan bahawa Pakatan Rakyat bukanlah satu pakatan tetapi bersifat berasingan dalam perjuangan.

PAS ingin mempunyai wakil bukan Islam sendiri dan tidak mahu wakil bukan Islam mereka berada dalam DAP atau PKR. Ini janggal sekali kerana mereka merujuk diri mereka sebagai satu Pakatan.

Nama sayap baru PAS iaitu "Himpunan Penyokong PAS" aiaitu Parti Islam SeMalaysia menggambarkan seolah-olah sesiapa sahaja dari bukan Islam yang menjadi anggota sayap ini adalah penyokong Parti Islam, atau penyokong Islam.

Islam adalah agama untuk dianuti dan diamalkan. Islam bukan sebuah parti politik untuk disokong-sokong. Dan apakah yang membuatkan PAS menyangka bahawa adanya orang bukan Islam yang akan menyokong agama Islam sehingga sanggup menjadi ahli dewan perhimpunan tersebut tanpa ada agenda lain?

Hadi Awang, Nik Aziz dan PAS secara keseluruhan sudah terlalu sering menukar-nukar fatwa dan hukum Allah. Dari fatwa mengenai bekerjasama dengan bukan Islam, suara sebagai aurat wanita berkempen dan wanita bertanding pilihanraya, semuanya bertukar-tukar mengikut 'mood' Hadi Awang dan Nik Aziz.

Sesungguhnya, agama bagi PAS hanyalah mainan politik. Dan kini dengan penubuhan sayap baru ini, mereka mengajak orang bukan Islam pula untuk bermain politik atas nama Islam. Dalam ertikata lain, PAS menjemput bukan Islam mempermainkan agama Islam.



Apa Dikecohkan Dengan Mohd Asri Dan Cawangan Dataran Merdeka?

Posted: 22 Jun 2010 08:52 PM PDT

Beberapa hari lepas, portal berita UMNO (www.umno-online.com) menyiarkan cerita eksklusif bahawa terdapat hampir 100 orang ahli akademik dan ulama termasuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan menyertai UMNO Cawangan Dataran Merdeka pada hari Jumaat ini. Saya skeptikal ia akan berlaku sebesar itu. Jika ada pun mungkin sekitar sepuluh orang sahaja yang layak dipanggil ulama dan ahli akademik.

Mengapa ada UMNO Cawangan Dataran Merdeka sedangkan tiada rumah kediaman di situ? Ahli-ahli UMNO Cawangan Dataran Merdeka terdiri daripada peniaga kecil dan mereka yang mempunyai pejabat di sekitar kawasan tersebut. Namun apabila Ketua Cawangan tersebut, yang juga merupakan Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, membuat pengumuman sedemikian tanpa angin dan ribut maka ia menimbulkan tanda tanya di kalangan pemerhati politk. Adakah ia ada udang disebalik batu?

Menurut khabar angin, Setiausaha UMNO Bahagian Bukit Bintang telah memaklumkan kepada Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan bahawa mesyuarat Tahunan UMNO Cawangan Dataran Merdeka tidak cukup korum. Penulis pada mulanya tidak mahu mempercayi cerita ini. Mustahil cawangan Setiausaha Kerja UMNO Malaysia tidak cukup korum untuk mesyuarat. Ini tidak masuk akal. Namun apabila tiba-tiba sahaja beliau mengumumkan kemasukan besar-besaran 100 ulama ke dalam cawangan beliau, maka saya pula mahu mempercayai khabar angun tersebut.

Hanya Jumaat ini akan menjadi penentu benar atau tidak dakwaan ini. Namun yang saya sangat skeptikal bahawa ia akan menjadi kenyataan.

Selebihnya, saya tertanya-tanya apakah yang mahu dhebahkan sangat oleh Datuk Rauf Yussof mengenai kemasukan Dr. Mohamad Asri ke dalam UMNO. Adakah ia akan membantu UMNO atau menimbulkan satu lagi konflik antara UMNO dan kumpulan mufti dan ulama lain? Jangan yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Pandangan Islam Liberal Dr. Mohamad Asri adalah pandangan minoriti di negara kita ini. Dalam politik demokrasi walaupun kita memerlukan sokongan ramai orang tapi keutamaan adalah kepada golongan majoriti.

Dr. Mohd Asri hanya dianggap ulama kerana ia dilantik sebagai Mufti Perlis tetapi tingkah laku dan gaya penulisan beliau tidak pun mencerminkan seorang ulama, yakni muslim yang berpengetahuan tinggi, mempunyai adab budi pekerti, tawadduk dan merendah diri. Baca sahaja tulisan terbaru beliau di Malaysiakini di bawah tajuk Ulama UMNO Bakar Kapal yang secara langsung melemparkan kata-kata kesat dan menipu fakta. Demikian juga tulisan beliau Telan air ludah ustaz! yang menuduh seorang muslim yang lain mengamalkan ajaran yang menjijikkan tetapi apabila disiasat tidak benar dakwaan tersebut.

Saya tidak mempunyai sebarang masalah peribadi dengan Dr. Asri. Jika beliau mahu menyertai UMNO maka kita mengalu-alukan. Jika penyangak, perompak, penipu, alim ulama, ahli akademik, pejuang kemerdekaan, nasionalis, petani, peniaga, usahawan, tokoh korporat, muda tua, wanita dan lelaki boleh masuk UMNO mengapa tidak bekas mufti bernama Mohd Asri Zainul Abdin?

Apa yang menjadi persoalan mengapa ia terlalu terlalu dibesar-besarkan kemasukan tersebut seolah-olah Asri akan menjadi penyelamat UMNO. UMNO hanya akan selamat jika ia memahami hati nurani pengundi, membuat polisi yang menyenangi rakyat dan memakmurkan ekonomi negara. UMNO juga akan selamat jika pemimpin yang diberi amanah sama ada dalam pentadbiran negara mahu pun pentadbiran parti bersifat jujur, amanah, ikhlas, tawadduk dan beriman kepada Allah. Jika ini tidak ada masuklah 1000 ulama pun ia tidak akan memenangi hati rakyat. Lihat sahaja Pas yang ditubuhkan oleh mereka yang mendakwa diri mereka ulama. Berapa kali mereka menang pilihan raya umum?

Apapun kita tunggu jumaat nanti. Mahu tidak mahu Datuk Rauf perlu mengotakan pengumuman beliau atau UMNO sekali lagi akan menjadi lawak jenaka politik. Jika pengumuman ini tidak berlak jumaat ini, maka Datuk Rauf perlulah mencari jalan keluar dari PWTC sebelum ditunjukkan jalannya hujung tahun ini.


Benarkah Datuk Bakke Tidak Layak Menjadi CEO Sime Darby?

Posted: 22 Jun 2010 05:13 PM PDT

Perlantikan Datuk Mohd Bakke Salleh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby yang baru disambut dengan baik oleh mereka yang memahami selok belok dunia korporat.

Namun beberapa ahli politik dan bloggers sosio politik memilih untuk menghentam tokoh korporat ini atas sebab tertentu. Apakah mereka ikhlas tidak mahu melihat Sime Darby dipimpin oleh individu yang tidak layak atau mempunyai agenda lain? Anehnya kebanyakan mereka yang mengkritik perlantikan ini bukan pakar dalam bidang korporat atau mereka yang memahami selok belok dunia korporat.

Penulis mengambil keputusan untuk mendiamkan diri terlebih dahulu untuk melihat riak dan rentak kumpulan ini. Melayu mudah lupa atau sebahagian kita mungkin mudah lupa. Hanya bersandarkan cakap pemimpin politik tertentu maka ada sebahagian rakan-rakan memilih untuk melenting dan marah-marah sehingga sanggup memburukkan seorang anak Melayu yang mempunyai keupayaan tinggi dalam bidang korporat.

Nama Mohd Bakke mula menonjol apabila beliau dilantik oleh kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2001 mengetuai Lembaga Urusan Tabung Haji. Bakke dilantik bagi menjalankan penyusunan semula agensi pelaburan Islam itu dan memulihkan semula reputasinya di kalangan masyarakat. Pengurusan Tabung Haji ketika itu mendapat kritikan kuat masyarakat berkaitan tindakan pelaburannya, penurunan bonus kepada penyimpan dan kes penipuan membabitkan pengeluaran wang kira-kira RM8 juta.

Sebelumnya, Mohd Bakke merupakan antara tonggak Danaharta yang ditubuhkan pada 1997 bagi membantu kerajaan mengatasi kegawatan ekonomi. Inilah antara punca beliau diserang oleh beberapa bloggers yang beranggapan beliau merupakan orang Tan Sri Nor Mohd Yaakop. Jika demikian semua orang yang berkhidmat dengan GLC pada 1997-2003 akan dianggap sebagai orang Nor Yaakop, siapa lagi yang tinggal? Lagi pun apa masalahnya jika ada tokoh korporat yang didik oleh Nor Yaakop? Bukankah Tun Mahathir sendiri memberi kepercayaan kepada Nor Mohd Yaakop untuk membantu memulihkan ekonomi?

Berbalik kepada serangan semberono terhadap Mohd Bakke. Serangan ini sekadar memusnahkan imej seorang lagi anak Melayu yang berjaya di dalam dunia korporat. Antara dakwaan terawal ialah Mohd Bakke menyebabkan Felda Venture rugi RM 200 juta dalam pelaburannya di Amerika Syarikat. Anehnya mereka yang membuat tuduhan tersebut tidak pula menjelaskan apa pelaburan tersebut dan bagaimana ia dianggap rugi. Penulis percaya blogger terbabit juga tidak tahu apa dia pelaburan tersebut.

Namun jika ada sedikit kemahuan untuk menjalankan penyelidikan kita akan mendapati hanya ada satu pelaburan Felda di Amerika Syarikat yang bernilai RM 241.1 juta ialah pembelian 85% ekuiti dalam Twin Rivers Technologies.

" Twin Rivers Technologies Group, an American oleochemical firm that is the third largest fatty acid and the largest biodiesel producer in North America. It is the world's producer of Olestra, a fat replacement and is also one of US largest producers of biodiesel. TRT has extensive ship and rail access, bulk liquid terminals, a refinery and warehousing facilities. The company produced 170 types of products which were used in cosmetics, detergents, food and biofuel. TRT's raw materials are soybeans, palm kernel, sunflower and coconut."

Pembelian ini dilakukan sekitar hujung tahun 2007 dan awal 2008. Bagaimanakah mahu mengukur keuntungan pelaburan sebanyak RM 241 juta ini dalam jangka masa pendek? Ini merupakan pelaburan jangka panjang Felda bagi membolehkan ia menjadi konglomerat besar yang tidak bergantung kepada naik turun harga minyak sawit semata-mata. Felda tidak boleh terlalu bergantung kepada minyak sawit semata sehingga mungkin akan melingkupkan syarikat tersebut jika sesuatu berlaku kepada industri sawit negara.

Menurut pemerhati industri, " The acquisition, worth around US$71mil (RM241.1mil) provides a strategic platform to get Felda's palm products into North America and the move will enable the authority to diversify both geographically and products-wise in the vegetable oils arena."

Isu kedua yang dimainkan ialah pelaburan di Arab Saudi. Selagi lagi para "penembak" Bakke tidak pernah bertanya penyebar dakyah ini apakah pelaburan yang rugi itu.

Penyelidikan penulis mendapati dakwaan ini mungkin merujuk kepada pelaburan Felda dalam perkhidmatan Hotel di Mekah dua tahun lalu. Sekarang sekali lagi kita tertanya-tanya, siapakah yang menceburi bidang perhotelan ini boleh meraih untung dalam masa dua tahun pelaburannya?

Pada tahun lalu, Felda Venture mengambil alih aset gula terbesar negara ini sebagai satu lagi perlaburan jangka panjang. Menurut The Star 6 Mac 2010, "In October last year, Felda's main commercial arm, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (Felda Global) announced a RM1.5bil deal to buy PPB Group's entire sugar assets in the country.
The deal involved the sale of PPB Group's 100% owned Prai-based refinery Malayan Sugar Manufacturing Co Bhd (MSM) for RM1.2bil, the sugarcane farm in Perlis, the 50% stake in KGFP and PPB Group's 20% share in Tradewinds (M) Bhd.

Ini menjadikan Felda pemain industri gula terbesar di Malaysia. Apakah ini satu lagi pelaburan salah Bakke? Agaknya bagi penentang Bakke, duit Felda perlu disimpan di dalam bank sahaja dan ambil faedah tahunan.

Bagaimanakah tokoh yang membawa keuntungan sebelum cukai sebanyak RM 815 juta dan menjana pendapatan RM 15.3 bilion pada 2008 dianggap tokoh melingkupkan Felda?

Selain itu Felda juga dipertanggungjawabkan membangunkan Gedung Makanan Negara sebagai satu lagi projek intensif pertanian. Ini juga memerlukan pelaburan besar dari Felda yang tidak akan mendatangkan keuntungan jangka pendek.

Sesiapa pun boleh membuat pelbagai tuduhan, namun selagi tidak membincangkan secara terperinci setiap tuduhan itu, kita anggap sahajalah ia kerja mereka ini bukan kerana mahu membangunkan negara tetapi kerana ada agenda peribadi atau untuk agenda peribadi seseorang.

Selebihnya pengurangan rizab Felda tidak dapat dielakkan selari dengan hasrat Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan pelbagai bantuan dan pembangunan prasarana dilakukan bagi meningkatkan kualiti kehidupan di Felda. Bantuan pendidikan - biasiswa, skim baucer tuisyen anak-anak felda, pembinaan rumah, pembinaan balai raya, masjid, bantuan penanaman semula, subsidi dan pelbagai geran pertanian untuk peneroka dalam skim pertanian hiliran sebagai pendapatan kedua kepada penerokadiberikan begitu banyak kepada peneroka.

Ini semua tentulah menggunakan rizab atau duit simpanan Felda. Apakah lebih penting Felda mempunyai rizab berbilion tetapi penroka duduk dalam kedhaifan atau Felda menggunakan wang yang ada untuk membantu para peneroka?

Sahabat-sahabat penyokong kerajaan berfikirlah secara waras dan jangan mudah menjadi alat kepada pemimpin politik tertentu baik dalam kerajaan mahu pun di luar kerajaan yang mempunyai agenda tertentu dan kita hanya menjadi bidak yang dicaturkan mengikut kepentingan mereka.

Jika Datuk Bakke yang memulihkan beberapa syarikat lain sebelum ini dianggap tidak layak, tentulah kita juga anggap lucu apabila kumpulan yang sama terang-terangan mahukan orang dalam organisasi tersebut Dato' Azhar Abdul Hamid sebagai pengganti.

Bukankah aneh mereka meminta seluruh lembaga pengarah Sime Darby meletak jawatan kerana membiarkan ditipu oleh pengurusan Sime Darby tetapi mahukan orang dalam pengurusan Sime Darby yang menyebabkan kerugian dilantik sebagai CEO?

Terimalah perlantikan Mohd Bakke. Jika dalam masa akan datang dianggap gagal maka gantilah dengan orang lain. Tiada manusia yang sempurna. Tan Sri Nor Yaakob Dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyebabkan Ban Negara kerugian RM 30 billion satu ketika dahulu tetapi kedua-duanya sekarang ini mempunyai jawatan penting sebagai pencatur ekonomi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di bawah pakatan rakyat.

Siapa mahu menafikan bahawa Tan Sri Nor Mohd Yaakob antara orang yang membantu memulihkan ekonomi negara ketika kegawatan pada 1997? Jika Dr. Mahathir ketika itu mengambil kira pandangan mereka yang kerjanya mahu menjatuhkan orang sahaja tentu Nor Yackop tidak lagi mendapat tempat selepas kerugian Bank Negara tersebut.

Namun sejarah membuktikan bahawa dalam dunia korporat sekali silap bukan bermakna ia bukan seorang ahli korporat atau ahli ekonomi yang baik.

Perlantikan Mohd Bakke telah dibuat, apakah yang membelasah beliau pagi petang siang malam berpendapat Perdana Menteri akan menarik balik perlantikan tersebut hanya kerana pandangan beberapa orang yang sebenarnya tidak pun berjaya dalam hidup mereka.

Jika mahu menegur kerajaan pun biarlah realistik dan rasional bukan emosional.


Tiada ulasan:

Pengikut