Ahad, 20 Jun 2010

Apo Kono Eh Jang!

Apo Kono Eh Jang!


Apa niat Karpal?

Posted: 20 Jun 2010 01:01 AM PDT

Pelik betul manusia yang menjadi pembangkang di Malaysia ini. Mana-mana keputusan yang menyebelahi mereka, maka mereka akan mempertahankan dan puji melangit keputusan itu. Tapi yang peliknya, bila keputusan yang sama kejadiannya itu berlaku dan tidak menyebelahi mereka, maka bertubi-tubilah serangan, kejian, makian, fitnah dan seribu macam cara untuk menafikan keputusan itu. Pelik betul! Apakah itu konsep "adil" yang di dalam konteks pembangkang di Malaysia?

Baru-baru ini, Karpal Singh sekali lagi mendesak kerajaan untuk menggubal undang-undang anti lompat parti. Karpal mendesak agar wujudnya undang-undang yang mewajibkan seorang ADUN atau MP yang melompat parti untuk mengosongkan kerusi DUN atau Parlimen yang dimenanginya.

Hairannya, mengapa ketika Anwar heboh "memancing" YB-YB BN suatu masa dahulu Karpal hanya berdiam diri? Mengapa ketika itu Karpal tidak pula sebok mendesak Kerajaan untuk menggubal undang-undang anti lompat parti ini? Mengapa ketika peristiwa "16hb September" dicanang Anwar, Karpal tidak pula membantah hasrat busuk si sesumpah itu?

Adakah kerana Anwar ketika berkata "we got the numbers" tempohari akan mengutungkan pihak Pakatan Rakyat, maka sebab itu Karpal tidak membantah? Kenapa tak desak kerajaan masa tu? Nampak sangat Karpal tidak ikhlas niat dan tujuannya mendesak kerajaan. Niatnya sama busuk dengan niat Anwar yang ketika itu cuba "mencuri" YB-YB dari BN melompat ke PR.

Sememangnya Karpal tidak berfikir sebelum melakukan desakannya kepada kerajaan. Desakannya ini ternyata bermotifkan "publisiti murahan" demi "political mileage"nya sendiri. Sudah tentu Karpal cuba mempertahankan reputasinya sebagai pengerusi DAP yang kian tercalar. Tambahan pula dia pernah "tersingggung" dengan rakan-rakan kepimpinan Pakatan Rakyat sehingga meminta Anwar bertaubat. Apatah lagi Karpal seakan-akan tidak mampu lagi membela Anwar di Mahkamah di dalam kes liwat II Anwar. Tapi tindakan cuba meraih publisitinya kali ini hanya "memakan diri".

Namun pandangan Nik Aziz adalah bertentangan sekali dengan desakan Karpal. Nik Aziz berpendapat adalah tidak salah lompat melompat parti. Kenyataan Nik Aziz ini adalah berikutan kempen Anwar yang cuba menarik YB-YB BN untuk melompat pada 16hb September. Dengan "fatwa" yang dikeluarkan oleh Pakar "Fatwa" Mengarut PAS ini, apakah Karpal masih lagi cuba membuat "khilaf" dalam maslahat "lompat melompat parti" ini? Kenapa Karpal tidak suruh Tok Guru PAS tersebut untuk "bertaubat"? Fikir-fikirkanlah...

(Oleh: dukeofmontecristo)


Ngeh Meroyan bila wakil DAP sertai acara melompat.

Posted: 19 Jun 2010 11:29 PM PDT

Kenyataan Ketua DAP Perak, Ngeh Koo Ham yang berkata bahawa DAP akan mengambil tindakan saman ke atas ADUN mereka yang melompat parti adalah tak lebih dari satu kenyataan orang yang kecewa.

Ngeh juga menyatakan bahawa wujudnya perjanjian di dalam DAP yang mengandungi akujanji semua wakil rakyat DAP yang bertanding dan menang di kawasan yang ditandingi mereka.

Kononnya, jika ada ADUN yang melanggar perjanjian tersebut, tindakan saman dan pampasan sebanyak RM 5 juta ringgit perlu dibayar oleh wakil rakyat yang melompat tersebut kepada parti.

Selain dari perlu membayar pampasan, ADUN DAP yang meninggalkan parti tersebut juga perlu mengosongkan kerusi yang mereka menangi ketika bertanding di atas bendera parti DAP.

Jika benarlah dakwaan Ngeh tentang wujudnya surat perjanjian dan juga akujanji seperti ini, mengapa ia ditimbulkan hanya setelah ADUN Malim Nawar, Kesvinder Singh keluar dari parti tersebut ?

Mengapa sewaktu ADUN Jelapang Datuk Hee Yit Foong bertindak keluar parti pada awal Februari 2009, Ngeh dan juga para pemimpin DAP langsung tak menyebut tentang hal perjanjian dan ikatan akujanji ini? Malah hingga kini tiada satu saman pun dikeluarkan kepada ADUN Jelapang itu.

Ini menunjukkan bahawa DAP khususnya Ngeh Koo Ham sebagai Ketua DAP Perak kepanasan setelah tindakan wakil partinya keluar dan menyokong Barisan Nasional.

Sebenarnya, surat perjanjian ataupun hal akujanji yang ditimbulkan oleh Ngeh Koo Ham ini hanya satu sandiwara bagi menutup rasa kecewa mereka sahaja. Ancaman untuk mengambil tindakan saman dan desakan supaya mengosongkan kerusi DUN juga merupakan helah DAP bagi menutup malu mereka kepada masyarakat terutamanya rakyat negeri Perak.

Ngeh juga begitu tertekan dengan ADUN DAP Perak yang keluar parti hingga dia sanggup mereka-reka cerita memburukkan peribadi ADUN tersebut. Ngeh menuduh bahawa Kesvinder mempunyai hutang yang banyak dan terpaksa menerima sogokan wang yang ditawarkan oleh kerajaan Barisan Nasional bagi menyelesaikan hutang piutangnya.

Jika ada yang masih ingat, cerita seumpama inilah juga yang Ngeh serta pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Perak war-warkan kepada rakyat Perak terhadap ADUN Jelapang sewaktu beliau membuat keputusan menyokong kerajaan BN berkuasa di Perak.

Tuduhan sebegini telah menjadi satu trend didalam Pakatan Rakyat jika ada wakil rakyat mereka bertindak keluar dari parti dan menjadi wakil bebas yang pro kerajaan.

Malah Anwar Ibrahim sendiri selaku Ketua Pembangkang di Parlimen juga bermain cara politik yang sama iaitu jika ada ADUN atau Ahli Parlimen Pakatan yang melompat, pastinya dituduh wujudnya sogokan jutaan ringgit dari kerajaan Barisan Nasional.

Namun, ketika Anwar diminta menunjukkan bukti tentang dakwaannya tersebut seperti yang dicabar oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zaharin Hashim di Parlimen, Anwar langsung tak mampu membuktikannya tetapi mengeluarkan kenyataan berbelit-belit seumpama ular sawa.

Hakikatnya kini, ramai wakil didalam Pakatan Rakyat sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri ataupun Ahli Parlimen mereka, semakin hilang kepercayaan dengan kepimpinan Pakatan yang baru setahun jagung tersebut.

Sudah ramai diantara mereka yang memilih untuk meninggalkan kapal Pakatan Rakyat yang hampir karam. Cuma wakil dari Pas sahaja yang tak mampu meninggalkan parti. Maklumlah, jika keluar dari parti, alamat hilanglah isteri.

Yang pasti, walau apapun ugutan, ancaman, tuduhan, dan tohmahan yang dilemparkan kepada wakil rakyat pembangkang yang keluar parti dan menyokong kerajaan Barisan Nasional, di mata rakyat ia sebenarnya membuktikan bahawa Pakatan Rakyat kini sedang mengalami krisis kepimpinan yang amat buruk.

Jika keadaan ini berterusan dan ia memang dijangka tak akan berhenti setakat ADUN Malim Nawar ini...., impian Anwar, Lim Kit Siang dan Hadi Awang untuk menawan Putrajaya pasti hancur di tengah jalan.

Nak menjaga kebajikan wakil parti masing-masing sendiri pun tak berkemampuan, bagaimanakah Pakatan Rakyat mahu mengambil alih teraju pemerintahan dan menjaga kebajikan rakyat?

(Oleh: pak_long)


Kemungkinan PRU Ke-13 dipercepat

Posted: 19 Jun 2010 08:48 PM PDT

TUN Dr Mahathir Mohamad menyarankan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 perlu diadakan lebih awal dengan alasan kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak mendapat sokongan rakyat ekoran kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dan Parlimen Hulu Selangor serta kedudukan ekonomi negara yang semakin memberangsangkan.

Faktor lain ialah perkembangan mutakhir yang menyaksikan ramai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar parti dan menyertai UMNO serta beberapa anggota DUN dan Ahli Parlimen pembangkang yang juga keluar parti dengan menyatakan sokongan terhadap BN, ditambah pula kemelut berlaku dalam PKR.

Begitu juga isu dan konflik politik yang berlaku di kalangan pemimpin PKR dan PAS Selangor. Maka memang dirasakan BN dan Perdana Menteri perlu mengambil peluang ini untuk memperbaharui mandat baru daripada rakyat.

Pada pandangan pemimpin BN dan UMNO, selagi komposisi Parlimen yang diasak sebilangan ahli Parlimen pembangkang (termasuk sesetengah ahli Parlimen BN juga) yang kurang bersikap 'parliamentarian', yang semacam merosakkan nama baik Parlimen dan perbahasan yang pada keseluruhannya tidak menguntungkan atau tidak memberi banyak faedah kepada rakyat, maka pertimbangan mempercepatkan PRU Ke-13 kelihatannya adalah wajar.

Inilah kesempatan terbaik buat Perdana Menteri memilih bakal wakil rakyat terbaik berasaskan 'pemimpin mendahului rakyat dan pencapaian diutamakan'. Hal ini dilihat tidak perlu mengambil kira akan kekalahan BN di Sibu yang mungkin dianggap sesuatu yang kurang impak berbanding faktor ekonomi yang sudah pulih dan sokongan secara umum rakyat terhadap BN dan Najib yang semakin meluas.

Pada hemat saya, saranan Dr Mahathir perlu dinilai secara serius kerana jika BN mengambil langkah terburu-buru, natijahnya akan memakan diri sendiri seperti berlaku ketika PRU Ke-12 yang sepatutnya tidak perlu diadakan pada 2008 kerana mandatnya boleh dilanjutkan sehingga akhir 2009.
Kecuali PRU Ke-6 pada 1982, semua PRU sejak merdeka diadakan sekitar empat tahun dan yang terpendek tempoh mandatnya ialah tiga tahun lapan bulan (1978-1982). Justeru, tidak janggal sekiranya Najib mahu mengadakan PRU Ke-13 pada bila-bila masa, mungkin awal tahun depan, iaitu tempoh mandat tiga tahun saja daripada tarikh PRU 2008.

Apapun, pada hemat saya, Perdana Menteri atau kerajaan yang ada mempunyai kuasa penuh untuk mengadakan PRU pada bila-bila masa yang pada pendapatnya wajar dan sesuai dengan kehendak kerajaan dan parti yang beliau pimpin.

Persoalan pokok di sini bukanlah lama atau cepatnya tempoh mandat pilihan raya umum itu, tetapi dari segi pertimbangan politik yang memerlukan kewajaran dan rasional bagi mengadakan PRU lebih awal.

Pertimbangan serius perlu dilihat, termasuk apakah kepemimpinan Najib benar-benar mendapat sokongan rakyat? Selain itu, apakah dengan pemulihan ekonomi dapat membantu melonjakkan lagi sokongan rakyat terhadap BN dan UMNO?

Pertimbangan sedemikian penting difikirkan. Soal mengadakan PRU Ke-13 – cepat atau lambat – tidak timbul kerana ia pasti diadakan juga, walaupun sehingga mandatnya mencecah lima tahun pada 2013, popular atau tidak popular BN dan kepemimpinan UMNO, PRU mesti diadakan juga, kecualilah jika kita mahu sistem Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) sekali lagi.

Pandangan sesetengah penganalisis nampaknya lebih melihat kepada kritik atau isu dibawa pembangkang, sedangkan kritikan dalam BN dan UMNO sendiri, pada hemat saya perlu juga diambil kira secara serius sebelum keputusan mengadakan PRU Ke-13 dibuat.

Sejarah menunjukkan kritikan atau isu dalam BN dan UMNO perlu ditangani dengan tuntas atau cekap. Bukan semua kritikan di kalangan ahli BN atau UMNO menentang kepemimpinan. Ini yang gagal difahami sesetengah pemimpin UMNO. Jika kritikan dalaman gagal diselesai, tidak mustahil UMNO sekali lagi berdepan masalah seperti sebelum ini.

Mengenai sokongan akar umbi di luar bandar, pemimpin UMNO khususnya perlu meneruskan usaha merakyatkan parti sehingga terjalin hubungan mesra rakyat. Soalnya adakah rakyat sekarang sudah mula menerima BN dan UMNO? Saya masih ragu-ragu tahap sokongan rakyat, terutama di bandar dan luar bandar.

Dalam beberapa pilihan raya kecil, sokongan orang Melayu terhadap BN dan UMNO tidaklah memberangsangkan, walaupun menunjukkan peningkatan. Justeru, transformasi UMNO bukan saja harus ditumpukan kepada pimpinan peringkat atasan dan negeri, malah juga pada peringkat bahagian dan cawangan.

Jika semua faktor di atas dapat diambil kira dengan baik, tidak salah Najib mengadakan PRU Ke-13 lebih cepat. Beliau mahukan mandat semua rakyat, itu sudah menjadi lumrah politik demokrasi. Perdana Menteri berasakan bahawa mandat yang diberikan rakyat sejak 2008 lalu perlu diperbaharui.

Beliau perlu mendapat sokongan padu rakyat dan juga perlu mendapat semula kuasa kerajaan memerintah di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan jika tidak pun Kelantan. Agak keterlaluan dikatakan mandat PRU Ke-12 adalah mandat yang diberikan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, manakala Najib hanya meneruskan mandat itu yang sepatutnya berakhir pada 2013.

Perlu diingat, apakah semua isu rasuah perlu diselesaikan terlebih dulu, baru PRU Ke-13 hendak diadakan? Itu tidak mungkin. Yang penting, sudah ada kesungguhan kerajaan membanteras segala macam isu seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan ia sudah cukup sebagai suatu kewajaran mengadakan PRU Ke-13, jika mahu ia dipercepatkan.

Walau apapun faktor dikemukakan sebagai asas mengadakan PRU, pada hemat saya, faktor ekonomi adalah yang terpenting. Ini adalah realiti politik demokrasi di Malaysia. Jika ekonomi lemah, lazimnya sokongan rakyat akan berkurangan.

Sebab itu, sekali lagi Dr Mahathir melihat faktor ekonomi sebagai asas cadangan beliau supaya PRU Ke-13 diadakan sekarang. Sebagai ahli akademik, saya juga berasa demikian. Sebabnya, kemerosotan BN/UMNO pada PRU Ke-3 (1969), Ke-10 (1999) dan Ke-12 (2008), jelas memperlihatkan faktor ekonomi yang kurang memberangsangkan ketika itu sebagai faktor nombor satu, selain faktor bukan ekonomi dalam mempertimbangkan sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Dengan ekonomi makin berkembang, Keluaran Kasar Negara (GNP) dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang meningkat, dengan petanda gaji kakitangan swasta dan kerajaan akan naik, harga barang stabil, subsidi kekal dan pelbagai lagi petunjuk politik, maka kewajaran mengadakan PRU Ke-13 sekarang mungkin berasas.

(Oleh Ahmad Atory Hussain)


Pasir: Kita Semua Ditipu Oleh Kerajaan Negeri

Posted: 19 Jun 2010 05:07 PM PDT

1. Terlebih dahulu saya mohon maaf kerana lambat mengemaskini blog ini walaupun ada beberapa isu yang perlu ditulis. Ini kerana saya berada di luar kawasan bercuti bersama anak-anak sempena cuti sekolah.

2. Isu penyelewengan dan salah urus hasil pasir negeri Selangor terus diperkatakan walaupun Select Committee for Competency, Accountability and Transparency (Selcat)telah membuat pendengaran terbuka dan cuba membersihkan pentadbiran kerajaan negeri.

3. Tidak cukup itu, YAB Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim terpaksa menggunakan Setiausaha Politiknya, Saudara Nik Nadzmi Nik Ahmad untuk menukar posisi kerajaan negeri dengan mendakwa saya memberi maklumat yang salah mengenai jumlah kutipan royalti pasir sebelum Kumpulan Semesta Sdn Bhd ditubuhkan. Terdapat juga beberapa bloggers yang "berkhidmat" dengan kepimpinan Selangor menuduh saya pembohong.

4. Untuk kebaikan dan demi perbahasan yang sihat, saya akui ada kekeliruan maklumat yang saya dapat antara hasil royalti pasir dengan hasil semua royalti batuan. Oleh kerana tidak lagi berada dalam pentadbiran kerajaan negeri saya telah tersilap nyata hasil batuan dan mineral keseluruhan dengan royalti pasir.

5. Saya tidak mempunyai data setepatnya kerana data 2007 hanya dapat dikira pada 2008 di mana pentadbiran kerajaan negeri telah berubah pada bulan Mac. Justeru saya terpaksa bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh kerajaan negeri semasa. Rumusan saya mengenai hasil pasir negeri Selangor adalah bersandarkan jawapan Pengerusi Jawatankuasa Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan UsAhawan YB Yaakop Sapari DUN Selangor 2008.

Y.B. TUAN HAJI YAAKOB BIN SAPARI : Bismillahi rahmani rahim. Assalamualaikum WBT. Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, berkaitan dengan soalan Bangi yang juga dibangkitkan oleh Sungai Panjang.

Setelah saya berada di pejabat EXCO, saya mendapat taklimat daripada pegawai. Saya bertanyakan berapakah pendapatan royalti daripada hasil batuan kerajaan negeri. Pegawai memberitahu bahawa pendapatan sekitar dua puluh satu juta dan hasil daripada royalti pasir sekitar tujuh belas juta. Bila saya bertanya kepada REHDA berapakah demand dengan izin untuk pasir seluruh Selangor setahun. Jawapannya sekitar lima puluh juta metrik tan.

Kalau satu tan dikenakan royalti tiga ringgit sepatutnya kerajaan negeri mengutip seratus lima puluh juta matriks setahun, tetapi kenapa tujuh belas juta. Hasil perbincangan dengan Yang Amat Berhormat Dato' Menteri Besar, akhirnya kerajaan negeri memutuskan supaya hasil batuan ini diuruskan sendiri oleh Kerajaan negeri.

Ekoran daripada itu kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah syarikat di bawah MBI namanya Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. dan syarikat ini akan mengendalikan hasil batuan di kerajaan negeri dengan itu sistem pengurusan hasil batuan negeri akan lebih teratur. Senarai syarikat-syarikat yang lepas yang telah mendapat, ada senarai dalam senarai yang diberikan masih ada enam syarikat lagi yang masih beroperasi sampai bulan dua belas. Saya dapati syarikat-syarikat ini ada yang berkait rapat sebahagian besar dengan pemimpin-pemimpin politik kerajaan terdahulu.

Untuk soalan ketiga, berdasarkan jangkaan yang kita ada kita menganggarkan sekurang-kurangnya seratus dua puluh juta yang akan dikutip daripada hasil batuan negeri Selangor dan semua hasil-hasil ini kita akan berikan kepada rakyat sebagai janji kita dalam manifesto menjadikan Selangor sebuah negara maju, bersih dan berkebajikan. Terima kasih. [Petikan Hansard 23 Oktober 2008]


6. Sekarang kerajaan yang sama menyatakan bahawa hasil royalti pasir semasa BN hanya RM 2.9 juta. Adakah saya yang berbohong atau kerajaan negeri?

7. Tidak cukup dengan itu, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dalam ucapan pembentangan Bajet Selangor 2010 menyatakan:

(84) Kelima, bagi pelaksanaan program MES seterusnya, Kerajaan Negeri telah menubuhkan syarikat, iaitu Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bagi melaksanakan Program Meningkatkan Hasil Batuan dan Mineral. Sehingga 21 Oktober 2009, hasil daripada royalti pasir yang telah dijelaskan oleh KSSB kepada Pejabat Tanah dan Galian berjumlah RM 4,678,021.84 berbanding dengan jumlah yang diterima pada tahun yang lalu iaitu RM735,000 pada 2008. Ini tidak termasuk keuntungan yang dihasilkan oleh KSSB sendiri. [Hansard DUN Selangor, 10 November 2009]

8. Manakala dalam satu Kenyataan Akhbar oleh Sekretariat Akbar, Pejabat Menteri Besar Selangor "KERAJAAN NEGERI AGIH KEUNTUNGAN JUALAN PASIR KEPADA JKKK" bertarikh 9 Mac 2010, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan KSSB telah mencatat keuntungan kira-kira RM 20 juta sepanjang tahun lalu.

9. Sebaliknya menurut Pengarah Eksekutif KSSB, Ir. Ramli Abd. Majed dalam pendengaran Selcat baru-baru ini bahawa "keuntungan KSSB sebelum cukai pada 2009 ialah RM10 juta dan setelah ditolak cukai, syarikat itu memperoleh RM8 jutadalam sesi pendengaran SELCAT baru-baru ini kita mendapat maklumat bahawa."

10. Lihat Tan Sri Khalid sendiri memberi pelbagai kenyataan yang mengelirukan dan seolah-olah mahu membohongi rakyat. Kalau saya yang tidak mempunyai kuasa dan sumber tersalah maklumat mungkin masuk akal. Namun apabila mereka yang mempunyai kuasa dan maklumat boleh mengubah statistik hasil pasir sesuka hati tentu menimbulkan tanda tanya kemungkinan ada skandal yang sangat besar dalam industri ini.

11.Jika saya yang di luar pentadbiran dianggap tidak memahami pentadbiran perlombongan pasir, maka apakah kesimpulan yang wajar kita buat kepada mereka yang berkuasa dan mempunyai maklumat tetapi memberi kenyataan yang berbeza dan berbelit-belit?

12. Saya hairan, Nik Nazmi mengambil masa mengulas kenyataan saya tetapi tidak sedikit pun meluangkan masa menjawab persoalan-persoalan yang diutarakan dalam blog saya yang membabitkan kenyataan yang sama.

13. Misalnya mengapa Khalid umum KSSB untung RM 20 juta tahun lalu tetapi kenyataan KSSB hanya RM 10 juta sahaja. Kemana hilang RM 10 juta lagi?

14. Kerajaan negeri juga perlu menjawab mengapa syarikat "untung atas angin" seperti KSSB hanya membayar royalti sebanyak RM 4 juta sedangkan mereka untung RM 10 juta. KSSB hanya menguruskan tender sahaja sedangkan tanah milik kerajaan dan penentuan tanah yang boleh di lombong pasir dilakukan oleh Pejabat Tanah dan Galian. Pernahkah sesiapa antara kita berjumpa dengan kaedah perniagaan broker yang mana keuntungan lebih besar daripada keuntungan pelanggan mereka? Inilah kali pertama dalam sejarah syarikat yang hanya menguruskan pemilihan tender untung lebih besar daripada pemilik harta.

15. Kerajaan negeri juga tidak menjelaskan mengapa pemberian bonus kepada pegawai KSSB begitu besar biarpun belum cukup setahun bekerja. Menteri Besar tidak boleh lepas tangan kerana KSSB berada di bawah anak syarikat milikan penuh Menteri Besar Diperbadankan (MBI). Apakah Tan Sri Khalid memberitahu kita bahawa pemberian bonus tersebut dilakukan tanpa pengetahuan dan kelulusan beliau?

16. Nik Nazmi juga menyatakan saya tidak memanfaatkan potensi besar industri pasir Selangor. Ini memang benar. Kerajaan negeri semasa BN telah membuat keputusan tidak membenarkan perlombongan pasir atas tanah kerajaan atas faktor alam sekitar dan kestabilan tanah. Perlombongan pasir akan menyebabkan tanah menjadi berlubang dan meningkatkan kos jika mahu menambak semula. Ini mengakibatkan tanah milik kerajaan negeri akan jatuh nilai dan pada masa hadapan mungkin banyak tanah di Selangor tidak boleh dibangunkan.

17. Bacalah kenyataan pengarah KSSB sendiri jika perlombongan pasir dilakukan secara intensif di Selangor seperti mana matlamat kerajaan bijaksana pimpinan Khalid Ibrahim, "jika 66 juta metrik tan pasir digali, akhirnya Selangor akan menjadi sebuah negeri yang memiliki lubang yang amat besar sehinggakan rakyatnya tiada tempat untuk tinggal." [Sesi Pendengaran Selcat, JUN 2010].

18. Dahulu semasa BN, kerajaan negeri hanya membenarkan perlombongan pasir atas tanah persendirian. Itu pun mendapat banyak tentangan daripada badan bukan kerajaan NGO) berasaskan alam sekitar. Anehnya sesetengah penggerak NGO ini hari ini berada dalam kerajaan negeri memejam mata sahaja terhadap pemusnahan alam sekitar akibat kegiatan perlombongan pasir secara intensif ini. Siapa yang akan menanggung kos baik pulih tanah kawasan perlombongan pasir ini pada masa akan datang?

19. Oleh kerana Nik Nazmi mendakwa saya tidak berbuat apa-apa untuk mengatasi masalah curi pasir, saya juga ingin mencabar agar kerajaan negeri Selangor agar mendedahkan statistik operasi membanteras perlombongan pasir secara haram sejak 2006 sehingga 2009 dari segi jumlah tangkapan, dakwaan, penyitaan jentera dan kompaun yang telah dikenakan.

20. Saya juga mendapat maklumat bahawa pengurusan KSSB ada membuat rayuan kepada pihak berkuasa bagi mengurangkan kompaun yang dikenakan ke atas beberapa syarikat di bawah pengawasannya. Jika benar, apa rasional dan logik KSSB membuat rayuan pengurangan kompaun bagi pihak kontraktor? KSSB menjaga kepentingan rakyat dan negeri atau kepentingan kontraktor?

21. Kita juga tertanya-tanya apakah motif kerajaan negeri mahu menghadiahkan RM 5, 000.00 kepada JKKK dan Ketua Kampung jika mereka berjaya membantu menangkap pencuri pasir. Apakah ia satu usaha mengatasi kecurian pasir atau usaha membaiki imej sahaja di samping mahu memberi wang lebih kepada jentera politik akar umbi Pakatan? Jika benar mahu maklumat mengapa saksi-saksi yang dibawa oleh Ahli Parlimen Kapar tidak dibenarkan memberi keterangan kepada Selcat?

22. Sehingga satu penjelasan yang munasabah dibuat oleh kerajaan negeri, isu pasir ini menunjukkan betapa isu salah tadbir, penyalahgunaan kuasa dan yang paling teruk pembohongan telah menjadi barah dalam pentadbiran kerajaan negeri.

(Oleh: Dr. Mohamad Khir Toyo)


Tiada ulasan:

Pengikut