Isnin, 28 Jun 2010

Ahli Parlimen Kota Belud

Ahli Parlimen Kota Belud


Cari Persamaan, Bukan Perbezaan

Posted: 28 Jun 2010 11:06 AM PDT


Ketika saya berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat Kampung Tempasuk 2 di Kota Belud baru-baru ini saya meminta masyarakat di daerah ini meletakkan persamaan di antara satu sama lain dihadapan jauh melebihi daripada perbezaan yang wujud di antara mereka, ini kerana perbezaan boleh menjadi penghalang besar kepada kemajuan rakyat dan negara ini.

Rakyat di negara ini mempunyai banyak perbezaan di antara satu sama lain dari segi pegangan agama, suku bangsa, adat resam dan juga berlainan fahaman ideologi politik.

Jika kita sentiasa menumpukan fokus tenaga kita, masa kita, kita tumpukan kepada perbezaan maka dikhuatiri satu hari nanti perbezaan itu akan memecah belahkan perpaduan kita.

Apa dia persamaan kita? kita serumpun, negeri ini negeri kita, Malaysia ini negara kita, kalau ada yang berlaku kepada keluarga jiran kita yang beragama lain, yang berbangsa lain, sakit mereka itu kita rasa , kalau kita yang sakit, jiran kita juga merasa sakit, itu dia persamaan yang perlu kita kenali bukan perbezaan.

Sejarah negara Malaysia sejak merdeka sehingga sampailah ke hari ini, Malaysia merupakan satu-satu negara di dunia yang mempunyai bangsa, agama serta adat resam yang berbeza-beza.

Hukum akal negara Malaysia ini tidak mampu untuk berada dalam keadaan aman damai seperti sekarang ini kalau dilihat daripada segi perbezaan agama dan juga kaum yang ada di negara kita ini.

Tetapi selama lebih 50 tahun kita telah membuktikan kepada dunia luar walaupun Malaysia ini terdiri daripada pelbagai kaum, pelbagai kepercayaan agama, yang mempunyai pendekatan berbeza ditambah lagi dengan adat resam yang berlainan.

Kita sudah buktikan kepada masyarakat dunia bahawa sesungguhnya rakyat Malaysia meletakkan perpaduan dan kerjasama jauh lebih tinggi daripada perbezaan.

Salam,

DARD

Kongsi Kuasa BN Masih Relevan

Posted: 28 Jun 2010 11:05 AM PDT


Berucap di majlis sambutan Pesta Kaamatan di Kg. Tamu Darat Pinasang, Kota Belud baru-baru ini saya menjelaskan bahwa sistem kongsi kuasa yang dipraktikkan oleh Barisan Nasional di negeri ini merupakan salah satu caranya mengekalkan perpaduan yang masih releven.

BN sentiasa bertungkus lumus memastikan perpaduan antara kaum di negeri ini terus terpelihara ini terbukti dengan sistem kongsi kuasa yang menjadi amalan parti tersebut.

Kongsi kuasa ini terjadi kerana ia telah dirancang dan disusun supaya perpaduan antara kaum di negeri ini terjalin, ianya tidak boleh berlaku begitu sahaja tanpa ada perancangan.

Semua mesti duduk satu meja berkongsi kuasa, sebab itulah pemimpin-pemimpin BN terdahulu dan hingga ke hari ini sentiasa meletakkan kongsi kuasa sebagai asas pentadbiran negara ini.


Tan Sri Chong Kah Kiat sebagai contoh, menjadi Ketua Menteri negeri Sabah bukan kerana mereka mempunyai kerusi DUN yang banyak tetapi beliau dilantik kerana BN mempraktikkan semangat kongsi kuasa.

Begitu juga Ketua Menteri yang lain, walaupun parti mereka tidak mempunyai kerusi yang banyak di dalam DUN, BN angkat mereka menjadi pemimpin kerana itulah salah satu caranya untuk mengekalkan perpaduan yang berkekalan bukan sahaja di negeri ini malah di negara kita.

Malah Parti PBRS ia tidak mempunyai kerusi yang banyak (seorang sahaja Ahli Parlimen) tetapi BN melantik Tan Sri Joseph Kurup sebagi Timbalan Menteri di peringkat kerajaan persekutuan.

Begitu juga di Sabah, LDP dan juga parti-parti yang lain, diangkat untuk berkongsi kuasa kerana kita bernaung dibawah parti BN, bukannya UMNO, LDP, PBS atau PBRS! Semuanya bertanding dibawah tiket BN yang meletakkan kongsi kuasa itu sebagai asas perjuangan. "

Pendek kata, kita telah dididikn oleh pemimpin-pemimpin Bn dari dulu hingga sekarang - kalau menang bukan menang semua, kalau kalah bukan kalah semua.

Salam,
DARD

Generasi Muda Jangan Mudah Terpedaya Fitnah Dalam Internet.

Posted: 28 Jun 2010 10:57 AM PDT


Sewaktu saya merasmikan majlis penutupan Program Pemimpin Belia Berkelibar yang telah diadakan di Ostrich Village Lodge, Kampung Rampaian Laut, Kota Belud, baru-baru ini, saya menasihati generasi muda di negeri ini agar tidak mudah terpedaya dengan fitnah yang disebar luaskan menerusi laman internet, ini kerana ia bertujuan menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan yang menjadi pemerintah di negara ini.

Terdapat laman website yang melontarkan fitnah dan tomahan yang tidak berasas kepada para pemimpin serta kerajaan Barisan Nasional yang bukan sahaja bertujuan mengelirukan pemikiran golongan belia malah rakyat secara keseluruhan demi kepentingan mereka sendiri.

Saya minta kepada adik-adik dalam masa kita melayari di laman internet adik-adik kena berhati-hati, jangan dengar dan cepat percaya segala tomahan serta fitnah yang tertulis di dalam lama website.



Saya minta generasi muda hendaklah bertanggungjawab untuk menepis, menganalisa apa pun maklumat yang sampai kepada kita, jangan sampai bulat-bulat kita terima bulat-bulat juga kita telan.

Program anjuran bersama Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Pantai Barat dan Pejabat Belia Dan Sukan (P) Bahagian Kudat telah disertai seramai 52 peserta terdiri belia dan beliawanis dari Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Pitas dan Tuaran.

Hadir sama pada majlis itu antaranya Pegawai Daerah Kota Belud, Mohd Najib Muntok, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (P) Sabah, Mohd Yusuf Long, Pegawai Belia dan Sukan (P) Bahagian Pantai Barat, Idris Mohd Thaufeck, Pegawai Belia dan Sukan (P) Bahagian Kudat, Azmi Ibrahim, Wakil Ketua Polis Daerah Kota Belud, Ketua Insp. Nor Azmi Yaccob serta para pemimpin setempat yang lain.

Salam,

DARD

44 Pelajar Menerima Wang Pendahuluan Pinjaman PTPTN Di Kota Belud

Posted: 28 Jun 2010 10:56 AM PDT


Pada 12 Jun 2010 bersamaan hari Ahad saya telah menyampaikan Wang Pendahuluan Pinjaman dari PTPTN kepada 44 orang pelajar dari Kota Belud.

Majlis itu telah diadakan di Bilik Mesyuarat Restoren Mayang Sari,Kota Belud.


Sebanyak 66 ribu ringgit dibelanjakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membantu pelajar lepasan SPM dari daerah ini melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara.

Seramai 44 pelajar dari daerah ini telah menerima pinjaman tersebut dan setiap pelajar menerima WPP berjumlah 1500 ribu ringgit bagi membantu pelajar membuat persediaan awal sebelum memulakan pengajian mereka.


Saya juga berharap jumlah pinjaman tersebut dapat ditingkatkan pada masa depan khususnya pelajar-pelajar dari negeri ini yang ditawarkan melanjutkan pengajian ke IPTA dan IPTS di Semenanjung Malaysia memandangkan kos yang amat tinggi.

Saya juga menasihatkan semua pelajar yang menerima WPP itu menggunakan sebaik mungkin dan sepenuhnya bantuan itu.

Salam.

DARD

Takziah Kepada Keluarga Mangsa Kebakaran Di Kampung Lasau Podi, Kota Belud.

Posted: 28 Jun 2010 10:41 AM PDT


2 minggu yang lepas, saya berkesempatan melawat mangsa kebakaran di Kampung Lasau Podi 25 kilometer dari pekan Kota Belud yang menyebabkan kehilangan tiga nyawa membabitkan mendiang Lasunton Atung, 46 tahun, kerani di SK Lasou Podi bersama dua anak perempuannya, Fennisaiah Jussine, 15 tahun dan Jessica Jussine, berumur 5 tahun terkorban dalam kejadian itu.

Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan memohon maaf tidak dapat menghadiri majlis pengkebumian mangsa yang terbabit kerana secara kebetulan sidang Parlimen baru sedang bermula.




Di sesi lawatan itu, ketika meninjau keadaan rumah yang hangus dijilat api saya sempat berbual dengan anak kedua mendiang Lasunton yang terselamat dalam tragedi itu, Jerizal , beliau menceritakan kepada saya dari awal berlakunya kebakaran hingga penemuan jenazah ibunya dan kedua orang adiknya.

Saya juga sempat berbual dengan kakak Jerizal, Veronica yang sedang menuntut di Kolej Kejururawatan Masterskill di Kota Kinabalu dan juga seorang lagi adik mereka, saya dapat merasakan betapa peritnya kehilangan orang yang disayangi.

Air mata bergenang dikelopak mata yang akhirnya tidak tertahan mengalir di pipi adik beradik itu.

Saya pujuk ketiga-tiga mereka yang sentiasa berpelukan antara satu sama lain, agar bersabar menghadapi ujian dari yang Maha Esa, kerana segala apa yang berlaku semuanya adalah ketentuanNya, kita hanya mampu merancang namun yang menentukan segalanya hanya Dia yang maha kuasa.





Ketika ditemubual oleh media massa yang turut serta dalam lawatan itu saya meminta Suruhanjaya Tenaga turun padang ke peringkat kampung mengadakan kempen tentang bahaya penyambungan litar pintas yang bukan sahaja boleh mengakibatkan kebakaran malah boleh mengundang kehilangan nyawa.

Kempen seumpamanya amat penting untuk memberi informasi yang tepat cara penggunaan bekalan elektrik kepada penduduk di kampung-kampung bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Litar pintas merupakan antara salah satu penyebab kebakaran rumah dan perkara seumpamanya perlu diambil perhatian oleh setiap pemiliki rumah bagi mengelak kejadian yang tidak diingini terjadi.

Dengan adanya kempen seperti itu yang diadakan di peringkat kampung, penduduk kampung akan lebih berwaspada dan tidak sewenang-wenangnya membuat penyambungan yang boleh menyebab berlakunya litar pintas.

Penduduk-penduduk kampung yang berada jauh dari jangkauan Jabatan Bomba perlu lebih berhati-hati dengan litar pintas, elakkan menyambung wayar dari rumah ke rumah dan sebagainya ini penting bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kebakaran rumah.

Salam.

DARD

Pengikut