Khamis, 2 Jun 2011

UMNO Cawangan Bukit Ampang

UMNO Cawangan Bukit Ampang


Graduan penuhi keperluan pasaran bantu tarik pelabur

Posted: 01 Jun 2011 06:21 AM PDT

01/06/2011 7:35pm

PUTRAJAYA 1 Jun — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, graduan yang memenuhi keperluan pasaran merupakan elemen penting dalam menentukan keupayaan negara menarik pelaburan langsung asing dan memacu pertumbuhan sumber domestik yang baru.

Perdana Menteri berkata, kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi sedang melaksanakan langkah jangka panjang bagi meningkatkan kualiti dan kebolehpasaran graduan.

"Antaranya dengan menjadikan kebolehpasaran graduan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) setiap Naib Canselor universiti awam, mengadakan kurikulum keusahawanan, menjalankan program kemahiran tertentu dan melaksanakan program bimbingan pelajar di syarikat awam dan swasta sebelum pelajar menjadi siswazah.

"Dialog berterusan antara universiti dan industri diadakan dalam usaha untuk meningkatkan lagi kualiti graduan. Pendekatan itu juga dijangka mengurangkan masalah tidak sepadan antara penawaran dan permintaan tenaga mahir," katanya semasa melancarkan Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) di sini hari ini.

Najib berkata, kerajaan juga mengadakan program khas sebagai langkah jangka pendek bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan, antaranya program latihan yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara), Khazanah Nasional dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi menyediakan peluang latihan kepada 12,000 graduan.

- Bernama

SIMULASI PILIHANRAYA TIDAK PERLU

Posted: 01 Jun 2011 06:14 AM PDT

Suatu petang saya telah berbincang bersama beberapa rakan-rakan dan tiba-tiba perbincangan tersebut menyentuh berkenaan Simulasi pilihanraya atau pilihanraya olok-olok. Rakan saya masing-masing sayangkan UMNO sewaktu muda dan sehingga kini. Daripada perbincangan tersebut kami mendapati bahawa Simulasi pilihanraya ataupun pilihanraya olok-olok yang telah menjadi 'trend' dan dipersetujui oleh MT dan barisan kepimpinan menampakkan lebih banyak keburukannya daripada kebaikan kepada parti. Pelbagai andaian dan persepsi yang berbentuk negatif telah timbul dikalangan ahli UMNO sendiri dan ini adalah situasi yang saya fikir tidak baik untuk UMNO. Mereka merungut dan mempersoalkan mengapa keputusan ini dibuat tanpa meminta pandangan dari akar umbi diperingkat cawangan kerana merekalah yang akan bermatian melaksanakan tugas setibanya pilihanraya kelak.

Apakah kajian telah dibuat di peringkat Cawangan untuk membuat keputusan bagi mengadakan simulasi pilihanraya?. Salah satu tempias dari simulasi pilihanraya yang dapat dirasai pada tahun 2008 adalah timbulnya perpecahan dalaman parti. Perkara ini perlu diteliti diperingkat kepimpinan tertinggi sebelum keputusan diambil. Saya bukan bertujuan untuk menidakkan keputusan kepimpinan pusat dan tidak menghormatinya tetapi kerana sayangkan UMNO saya berpendapat perlu meluahkannya dan memohon agar keputusan ini dipertimbangkan semula. Persoalan yang sering timbul dikalangan kepimpinan peringkat cawangan adalah apakah rasionalnya mengerahkan jentera pilihanraya sebelum tibanya pilihanraya yang sebenar? Mengapa perlu menayang segala kekuatan jentera sebelum tiba waktu yang sepatutnya? Apakah ianya untuk memberi ruang kepada pihak pembangkang menilai cara kita bekerja dan apakah dengan cara itu akan memberikan kita kekuatan untuk menang di pilihanraya umum akan datang?.

Perkara ini perlu dan harus dinilai semula. Tanyalah pendapat diperingkat Jawatankuasa Cawangan di setiap pelusuk negara dan rasai isihati mereka. Jangan biarkan mereka menyimpan perasaan dan akhirnya meluahkannya sewaktu pilihanraya yang sebenar. Kekuatan UMNO tidak perlu ditayang dan dipertontonkan tetapi ianya perlu digerakkan pada waktu dan masa yang seharusnya digerakkan. Sebagai salah seorang jentera diperingkat cawangan saya merasa gusar kerana seolah-olah kepimpinan atasan tidak memberi kepercayaan yang penuh kepada jentera parti sehingga mengambil keputusan untuk membuat penilaian sebelum tiba waktu yang sebenarnya. Terlalu banyak keburukan yang saya fikir ianya tidak perlu dinyatakan disini kerana ia akan memberikan gambaran yang buruk kepada parti tetapi saya bersedia sekiranya diminta untuk memberikan penjelasan. Sebagai ahli parti dan jentera yang sayangkan UMNO saya memberanikan diri untuk menulis walaupun saya tahu ia akan mengundang pelbagai cabaran selepas ini. Saya mempunyai seluruh kepercayaan kepada barisan kepimpinan parti dan berharap kepimpinan atasan supaya tidak terlalu bergantung kepada laporan yang begitu cantik dipersembahkan sedangkan hakikatnya ia akan mengundang padah dikemudian hari.

-Ahli UCBA

Tiada ulasan:

Pengikut