Sabtu, 21 Mei 2011

UMNO Cawangan Bukit Ampang

UMNO Cawangan Bukit Ampang


Johns Hopkins kelas pertama

Posted: 20 May 2011 06:53 PM PDT

WASHINGTON 20 Mei - Pembukaan institusi pengajian dan penyelidikan perubatan Universiti Johns Hopkins di Malaysia pada September ini dijangka mendapat sambutan hebat di rantau itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, institut yang akan ditubuhkan di Serdang itu dijangka menarik penuntut bukan saja dari negara-negara di rantau itu, tetapi juga dari Timur Tengah dan benua kecil India.

"Saya yakin program perubatan Johns Hopkins ini akan menjadi satu tarikan luar biasa," katanya pada majlis sempena penubuhan Institut Pendidikan Perubatan Antarabangsa Johns Hopkins Dr. Mohan Swami di Universiti Johns Hopkins di Baltimore, Maryland, kira-kira satu jam perjalanan dari sini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis, ahli perniagaan Malaysia, Tan Sri Mohan Swami dan ketua pegawai eksekutif universiti itu, Edward D. Miller.

Program perubatan Johns Hopkins itu adalah hasil kerjasama dengan Universiti Perdana yang menawarkan hospital pengajian swasta yang mempunyai kemudahan perubatan kelas pertama. Ia akan dibina di Serdang oleh kumpulan Chase Perdana yang diterajui oleh Mohan.

Najib berkata, beliau gembira kerana hospital itu akan mempunyai tenaga kerja bukan sahaja dari Baltimore, tetapi juga dari seluruh dunia.

Perdana Menteri menambah, pentadbiran beliau telah merangka pelan untuk mencari dan menggalakkan rakyat Malaysia yang bekerja di seberang laut untuk pulang berkhidmat di Malaysia, dan pada masa yang sama, meningkatkan usaha ke arah latihan kemahiran.

"Inilah sebabnya saya secara peribadi amat teruja dengan perkongsian ini," katanya.

Johns Hopkins terkenal kerana merintis pelbagai hasil bidang perubatan antaranya penggunaan sarung tangan getah untuk pembedahan.

"Ini telah memberi kesan positif kepada industri getah di Malaysia yang kini merupakan pengeluar dan pengeksport terbesar sarung tangan getah untuk perubatan," kata Najib.

Beliau berkata, penubuhan kampus itu di Malaysia akan mendorong lebih ramai graduan terbaik dari universiti-universiti di Malaysia untuk kekal di negara sendiri, kerana mereka kini berpeluang mengikuti pengajian dari sekolah perubatan terbaik di dunia dan juga menjalankan penyelidikan klinikal lanjutan tanpa perlu ke luar negara.

Mohan pula berkata, pengambilan pertama 100 penuntut adalah pada September ini dan mereka akan ditempatkan di kampus sementara berdekatan ibu pejabat Mardi sehingga kampus tetap siap pada 2013.

"Kita akan mengambil 75 penuntut dari Malaysia. Seramai 50 pemegang biasa JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dijangka belajar di universiti kami," kata Mohan yang juga Canselor pertama Universiti HIHT di India pada 2008.

Katanya, kos keseluruhan program itu, termasuk membina hospital pengajian yang mempunyai 600 katil, adalah sekitar RM2.4 bilion.

Universiti Perdana, yang menawarkan program ijazah sarjana mulai tahun depan, akan dibina di satu kawasan seluas 52 hektar di Serdang.

Ia dibiayai sepenuhnya oleh Chase Perdana dan Turiya Berhad, sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang juga diterajui oleh Mohan. — BERNAMA

Firma AS labur AS$5-$6 bilion di Malaysia - PM

Posted: 20 May 2011 06:51 PM PDT

19/05/2011 10:47am

NEW YORK 19 Mei - Beberapa firma multinasional Amerika Syarikat akan melabur antara AS$5 bilion dan AS$6 bilion di Malaysia dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pelaburan berkenaan akan melibatkan sektor elektronik lanjutan, tenaga yang boleh diperbaharui, minyak dan gas, teknologi maklumat dan komunikasi, penjagaan kesihatan, farmaseutikal serta perkhidmatan.

Malah, beliau berkata, Motorola yang telah beroperasi di Malaysia sejak 37 tahun lepas dengan 7,000 pekerja, akan melabur kira-kira RM4 bilion bagi menubuhkan Pusat Kecemerlangan Global di kilangnya di Pulau Pinang bagi menyediakan sokongan perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh Asia Pasifik.

"Ini merupakan satu pencapaian besar... mereka berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan kerajaan Persekutuan. Mereka kini terlibat dalam sistem teknikal untuk Polis Diraja Malaysia," kata beliau kepada wartawan Malaysia hari ini pada hari kedua lawatan kerja beliau ke New York.

Najib akan melawat Johns Hopkins University di Washington hari ini. - Bernama

Tiada ulasan:

Pengikut