Isnin, 2 Mei 2011

UMNO Cawangan Bukit Ampang

UMNO Cawangan Bukit Ampang


BN sedia ambil alih pentadbiran Kelantan

Posted: 01 May 2011 07:19 PM PDT

KOTA BHARU 1 Mei - Barisan Nasional (BN) telah bersedia untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang bagi membawa lebih banyak pembangunan ke negeri ini demi kesejahteraan rakyat.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, BN sedia membariskan barisan kepimpinan dinamik yang lebih baik dan dasar-dasar pembangunan yang diyakini berupaya membawa kemajuan kepada negeri dan rakyat.

Malah, katanya, BN juga sedia menggerakkan pelan transformasi ekonomi bagi memajukan lagi negeri ini yang sebenarnya mempunyai banyak potensi tetapi masih ketinggalan dalam banyak aspek akibat kegagalan pemerintahan kerajaan Pas Kelantan.

"Kita berkeyakinan untuk menumbangkan Pas dan memenangi lebih banyak kerusi Parlimen bagi disumbangkan kepada BN Pusat untuk membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga," katanya semasa membuat penggulungan pada Konvensyen BN Kelantan 2011 di sebuah hotel, di sini hari ini.

Konvensyen itu dihadiri oleh lebih 340 perwakilan parti komponen BN termasuk wakil masyarakat Siam.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, pergolakan yang berlaku dalam pakatan pembangkang dan kelemahan kerajaan Pas Kelantan menyelesaikan pelbagai isu rakyat, memberi peluang kepada BN untuk mencapai kemenangan.

"Tetapi kita jangan hanya bergantung harap kepada kelemahan orang lain, itu satu bonus tetapi yang penting kita perlu memperhebatkan gerak kerja dan pelan strategik termasuk mendekati rakyat serta daftar pemilih," katanya.

Pada sidang akhbar kemudiannya, Mustapa berkata, BN menyasarkan untuk mencapai kemenangan mudah di negeri ini pada PRU 13, sekiranya ia diadakan dalam waktu terdekat.

"Kita perlu kerja kuat kerana Pas sebuah kerajaan dan mempunyai beberapa institusi yang boleh digunakan dan (mempunyai) kedudukan kewangan (yang baik).

"Tetapi, (dengan) pelbagai isu terkini termasuk (kes) Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, orang Pas sendiri resah.., orang kampung ramai pertikai, ini akan memberi kelebihan kepada BN," katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, rakyat perlu menilai kejayaan kerajaan pimpinan BN yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diiktiraf dunia, berbanding pembangkang terutama Anwar yang lebih banyak bergelut dengan krisis moral dan integriti.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pemimpin parti komponen supaya meningkatkan perpaduan mereka bagi membentuk satu pasukan yang kuat untuk menjamin kemenangan BN pada pilihan raya akan datang.

-utusan

225 ahli Pas Kuala Kedah sertai UMNO

Posted: 01 May 2011 07:17 PM PDT

ALOR SETAR 1 Mei - Hilang keyakinan terhadap Pas termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mendorong 225 ahli Pas Kuala Kedah keluar parti itu dan menyertai UMNO.

Ketua Pas cawangan Lahar Buluh, Ahmad Marzuki yang mengetuai kumpulan itu menyerahkan borang keahlian mereka kepada Ketua UMNO Kuala Kedah, Datuk Latt Shariman Abdullah satu majlis di Kubang Rotan, di sini semalam.

Menurut Ahmad, 60, mereka menyertai UMNO setelah kecewa dengan janji kosong yang sering ditabur pemimpin Pas terutama berkaitan bantuan ketika Kuala Kedah dilanda banjir teruk pada November lalu.

"Pemimpin Pas masuk kampung tabur janji dan buat kami tertunggu-tunggu. Baru-baru ini, apabila 150 rumah rosak teruk akibat ribut ada juga pemimpin Pas datang dan tabur janji lagi tetapi sampai hari ini tidak ada apa-apa pun.

"Yang ada cuma UMNO Kuala Kedah yang sentiasa prihatin nasib rakyat," katanya ketika ditemui pada sidang media majlis tersebut.

Sementara itu, menurut ahli Muslimat Pas Kuala Sungai, Rahaiza Abdul Rahim, 31, sudah tiba masanya ahli Pas buka mata dan menyedari perjuangan parti yang dimomokkan pemimpin Pas selama ini hanyalah berlandaskan kepentingan peribadi.

-utusan

Tiada lagi PRK 4 negeri

Posted: 01 May 2011 07:16 PM PDT

KUALA LUMPUR 1 Mei — Pilihan raya kecil (PRK) tidak perlu diadakan lagi di empat negeri sekiranya berlaku kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran penggal DUN negeri berkenaan telah genap tiga tahun.

Negeri berkenaan ialah Sabah yang tempoh tiga tahun DUN tamat pada 29 April, Negeri Sembilan (25 April), Selangor (22 April) dan Melaka (21 April).

Kedudukan DUN di negeri berkenaan berdasarkan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun sebelum tamat sesi Parlimen dan DUN seperti yang termaktub dalam undang-undang.

Tiga negeri akan cukup tempoh tiga tahun DUN pada bulan ini adalah Terengganu (6 Mei), Kedah (20 Mei) dan Pahang (21 Mei), manakala DUN yang cukup tempoh tiga tahun bulan hadapan adalah negeri Perlis dan Perak (24 Jun) dan Johor (19 Jun).

Tempoh tiga tahun bagi DUN Kelantan adalah pada 7 Julai manakala Pulau Pinang merupakan negeri terakhir tempoh tiga tahun DUN tamat iaitu pada 21 Julai.

Mandat Kerajaan Persekutuan sekarang akan berakhir pada April 2013.

Rabu lepas, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pilihan raya kecil kerusi Parlimen tidak perlu diadakan selepas 28 April memandangkan penggal Parlimen ke-12 ini telah mencapai tempoh mandat tiga tahunnya.

Abdul Aziz berkata, tempoh akhir bagi mengadakan pilihan raya kecil kerusi DUN adalah berbeza, bergantung kepada tarikh kali pertama DUN berkenaan bersidang selepas pilihan raya umum lepas.

Bagaimanapun, katanya, PRK boleh diadakan selepas tempoh itu sekiranya ada keperluan khas termasuklah jika berlaku situasi kerajaan Pusat atau negeri tidak lagi mempunyai majoriti di dalam Dewan Rakyat atau DUN, menyebabkan kerajaan sedia ada hilang kelayakan untuk memerintah negara atau negeri. — BERNAMA

Pengundi Cina diminta buat pilihan - PM

Posted: 01 May 2011 07:32 AM PDT

KUALA TERENGGANU 30 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kaum Cina di negara ini perlu membuat pilihan sama ada mahu menyokong MCA pada pilihan raya umum akan datang atau kehilangan wakil dalam kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, masyarakat Cina telah diberi mesej yang jelas mengenai perkara itu oleh MCA yang menyatakan parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan Pusat dan negeri sekiranya gagal meraih sokongan masyarakat berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.

Jelasnya, masyarakat itu perlu memilih antara kepentingan suara dalam kerajaan atau menyokong pembangkang.

"Mereka tidak boleh menyokong pembangkang tetapi dalam masa yang sama mengharapkan penyertaan yang kuat kaum itu di dalam kerajaan. Mereka (pengundi Cina) perlu memilih antara dua, jika mahu menyokong pembangkang maknanya mereka perlu korbankan parti-parti dalam kerajaan.

"Namun, jika mahu suara mereka lebih didengari dalam kerajaan, mereka perlu menyokong parti komponen Barisan Nasional (BN). Mesej itu jelas dan mereka (pengundi Cina) tidak akan dapat apa yang dikehendaki jika mereka tidak memilih," katanya selepas merasmikan Perumahan Rakyat Mampu Milik di Pulau Duyung di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian MCA semalam yang sebulat suara tiada akan menerima sebarang jawatan dalam Kabinet mahupun negeri jika parti itu gagal di dalam pilihan raya umum akan datang.

Ditanya mengenai kesediaan MCA untuk terus berada dalam BN selepas keputusan itu dibuat, jelas Perdana Menteri, MCA tetap akan bekerjasama dengan BN kerana mereka yakin hanya parti itu dapat mewujudkan keharmonian dalam negara.

"Kita sudah ada rekod, negara aman di bawah parti ini dan apa pun yang diputuskan oleh MCA, mereka tetap akan berada di dalam BN," jelasnya.

-utusan

WASPADA CUBAAN PIHAK TERTENTU CUBA APIKAN SENTIMEN RAKYAT - PM

Posted: 01 May 2011 07:25 AM PDT

KUALA LUMPUR, 16 April 2011 (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa rakyat termasuk komuniti India supaya sentiasa berwaspada dengan pihak-pihak tertentu yang cuba menjadi hero dengan mengapi-apikan sentimen perkauman pelbagai kaum di negara ini.

Mengingatkan rakyat agar berhati-hati dengan cubaan seumpamanya, Perdana Menteri berkata adalah tidak wajar untuk rakyat menggambarkan setiap masalah yang wujud di dalam negara ini sebagai masalah perkauman.

"Kita tidak seharusnya membenarkan mana-mana pihak untuk mengekspoitasi sebarang isu dan menjadi wira sehari dua.

"Kita wajar melihat pendekatan rasional untuk mencapai penyelesaian yang positif, sekali gus memenangi hati masyarakat," katanya pada majlis sambutan Tahun Baru India di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC), Seri Kembangan dekat sini, Jumaat malam.

Perdana Menteri berkata dengan jumlah penduduk 28 juta orang, bermakna terdapat 28 juta impian yang harus diberi perhatian dan menjadi tugas kerajaan untuk memastikan ia tercapai.

"Kita harus membenarkan semua rakyat menggapai impian masing-masing," katanya.

Kira-kira 12,000 masyarakat India dari pelbagai kawasan hadir memeriahkan majlis itu yang turut menyaksikan Perdana Menteri melancarkan 'Astro Community Buletin' iaitu usahasama antara kerajaan, MIC dan Astro untuk memastikan komuniti India sentiasa mengetahui dan memahami inisiatif diambil kerajaan untuk kepentingan rakyat.

Majlis yang disiarkan secara langsung di saluran Astro Vanavill saluran 201 dan 222 itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden MIC Senator Datuk G Palanivel.

Najib berkata sebagai kerajaan yang prihatin, pendekatan yang diambil bagi menyelesaikan masalah dengan lebih berkesan adalah dengan lebih memahami masalah dan inspirasi setiap kaum.

Beliau berkata penubuhan Jawatankuasa Kabinet bagi komuniti India adalah antara inisiatif kerajaan untuk menyelesaikan masalah masyarakat kaum itu termasuk masalah ketiadaan kad pengenalan, sijil kelahiran, tiada pekerjaan, pinjaman mikro kredit dan penempatan pelajar di universiti.

"Kerajaan BN sentiasa menjaga kepentingan kaum India bersama kaum lain. Saya beri jaminan bahawa isu penting yang dekat di hati kaum India dan masalah mereka akan diselesaikan kerajaan," katanya.

Mengenai pelancaran Astro Community Bulletin, Najib berkata pendekatan itu membolehkan kerajaan membantu masyarakat India selain membolehkan kerajaan mengenalpasti masalah baru kaum itu.

Perdana Menteri berkata kejayaan pelaksanaan Gagasan 1Malaysia berkait rapat dengan penghayatan nilai empati iaitu kebolehan untuk meletakkan diri dalam kedudukan seseorang ataupun sekumpulan yang lain.

"Nilai empati bukan saja membolehkan rakyat melihat dari sudut pandangan sendiri tetapi juga dapat memahami pandangan dan perspektif pihak lain.

"Jika nilai itu dihayati, banyak masalah dalam negara boleh diselesaikan termasuk masalah kuil. Saya amalkan nilai ini, sebab itu banyak masalah dapat diselesaikan dan dapat mencapai situasi menang-menang," katanya.

SUMBER : BERNAMA

Tiada ulasan:

Pengikut