Khamis, 5 Jun 2014

Pentas UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak

Pentas UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak


Strategi Zambry dan keangkuhan DAP?

Posted: 05 Jun 2014 10:09 AM PDT


Zambry Abdul Kadir turun padang mengunjungi setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) tidak kira melibatkan ahli UMNO atau Pas pada Kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan.

"Saya tidak mahu terlalu yakin atau dilihat angkuh tetapi insya-Allah, saya mempunyai keyakinan bahawa BN (Barisan Nasional) boleh melakukan kejutan di kerusi Parlimen Teluk Intan."

Itulah kata-kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir kepada penulis tiga minggu sebelum berlangsungnya penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan ketika kami bertemu di kediaman beliau di Ipoh, Perak.

Seperti biasa Zambry boleh diibaratkan seorang pemimpin yang mampu menjadikan sesuatu yang dilihat mustahil menjadi sebaliknya. Itulah yang beliau lakukan dalam pilihan raya kecil kawasan itu kelmarin ketika tiada siapapun menaruh harapan BN akan merampas kerusi Parlimen tersebut.

Begitu juga ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, ketika semua orang merasakan pemerintahan BN akan berakhir di Perak tetapi akan kembali memerintah Selangor, Zambry membiarkan ia menjadi sekadar ramalan apabila memastikan realitinya BN kekal memerintah Perak tetapi tetap gagal menguasai kembali Selangor.

Dalam bahasa mudah, Zambry tidak pernah mengambil peduli apa juga persepsi, analisis atau tafsiran mana-mana juga pihak sebaliknya sebagai seorang pemimpin yang sudah menempuh satu perjalanan menguruskan politik yang cukup getir di Perak, Zambry melaksanakan misi untuk mengekalkan BN di negeri itu dan merampas kerusi Parlimen Teluk Intan melalui taktikal dan pemikiran strategis.

Bagaimanapun kelebihan yang ada kepada Zambry mungkin tidak termasuk dalam percaturan pakatan pembangkang khususnya DAP yang merasakan mereka tidak mempunyai laluan sukar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan.

Bagi DAP, mereka yakin dengan meletakkan sesiapa juga sebagai calon di kerusi itu kemenangan pasti memihak kepada mereka memandangkan mereka percaya rakyat semakin menolak BN.

Justeru Dyana Sofya Mohd. Daud seorang gadis cantik dan berkelulusan undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta merupakan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang dipilih.

Dyana Sofya yang berusia 27 tahun berhadapan dengan calon BN, Datuk Mah Siew Keong, 53 tahun. Walaupun DAP menguar-uarkan Dyana Sofya sebagai yang cantik, bijak dan berani namun ia masih belum mencukupi untuk mengugat keyakinan Zambry untuk terus berjuang bagi memastikan kemenangan BN.

Sebab itulah, penulis diberitahu bagaimana sepanjang kempen Zambry sama sekali tidak pernah menyentuh soal peribadi calon DAP. Mungkin bagi Zambry tindakan mengkritik, menyerang apatah lagi membandingkan calon dalam pilihan raya bukanlah sesuatu tindakan bijak, sebaliknya ia boleh menimbulkan perasaan menyampah dalam kalangan pengundi.

Selain itu, Zambry ternyata tidak ter­gang­gu dengan sikap DAP dan pakatan pembangkang yang gembira berikutan kehadiran ribuan orang dalam majlis ceramah mereka dan begitu bangga dengan personaliti Dyana Sofya yang bak kata orang `sedap mata memandang'.

Secara diam-diam, Menteri Besar Perak itu turun padang bertemu rakyat secara bersemuka, setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) beliau kunjungi, tidak kira tua atau muda, ahli UMNO atau Pas, penyokong DAP mahupun BN, semuanya Menteri Besar Perak itu temui.

Kesungguhan itulah akhirnya meruntuhkan keangkuhan DAP dan pemimpin-pemimpinnya yang begitu yakin mereka tidak akan menempuh laluan sukar untuk memastikan Dyana Sofya menjadi salah seorang ahli Parlimen termuda penggal ini.

Pendekatan Zambry meranapkan tembok keegoan pembangkang dan memberi isyarat kepada mereka supaya jangan memandang rendah seni politik yang ada kepada Menteri Besar Perak tersebut.

Bagaimanapun Zambry tidak membiarkan beliau keseorangan dalam memastikan kemenangan BN, beliau turut bertanggungjawab mengatur strategi pergerakan jentera BN dan langkah dilihat paling drastik ialah mewujudkan kerjasama erat antara MCA dan Gerakan, khususnya di kawasan Batu 12.

Dalam PRU-13, BN tewas di peti undi ini ketika ia berada di bawah penguasaan Gerakan tetapi dalam PRK Parlimen Teluk Intan, Zambry membuat keputusan ia diambil alih oleh MCA. Langkah itu diterima baik oleh kedua-dua parti dan hasilnya BN menguasai 51.53 peratus undi di situ.

Namun begitu, kejayaan menawan semula kerusi Parlimen Teluk Intan dengan majoriti 238 undi bukanlah sesuatu yang harus diraikan sepanjang masa. Mungkin tanpa pendekatan taktikal Zambry dan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melantik Siew Keong sebagai menteri jika menang dan kesilapan DAP meletakkan calon, sudah pasti BN belum tentu menang di Teluk Intan.

Inilah fakta yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa, begitu juga BN tidak boleh mendabik dada mengatakan pengundi Cina sudah kembali kepada parti itu hanya berasaskan kepada satu dua peti undi. Jangan lupa di sesetengah peti undi, peratusan keluar mengundi adalah rendah dan ini juga menjadi penyumbang kepada kemenangan BN.

Yang jelas dan perlu diutamakan oleh BN ialah bagaimana hendak memastikan 20,000 pengundi setia BN di Teluk Intan akan terus bersama parti itu, khususnya dalam kalangan pengundi masyarakat Melayu dan India yang sudah membuktikan kesetiaan tidak berbelah bahagi mereka kepada BN.

Sementara sokongan daripada kelompok kedua-dua pengundi itu dipertahankan, BN perlu juga terus berusaha menyakinkan sebahagian pengundi Cina untuk turut memihak kepada parti tersebut. Dan dalam soal ini di Perak ia bukan tugas Zambry seorang tetapi semua komponen BN.

Kemenangan di Teluk Intan sebenarnya adalah satu cabaran kepada BN bagaimana hendak mengekalkan penguasaan. Ia memandangkan berdasarkan maklumat yang diterima oleh penulis, ramai penyokong pakatan pembangkang membuat keputusan tidak keluar mengundi atas pelbagai faktor termasuk tidak bersetuju dengan pemilihan Dyana Sofya sebagai calon.

"Bagaimanapun ada juga teori yang menyatakan, penyokong pembangkang se­ngaja berbuat demikian dengan hasrat untuk memberi laluan kepada Siew Keong menjadi menteri dan melalui cara itu ia akan membawa limpahan pembangunan di Teluk Intan, setelah semuanya sudah lengkap, mereka akan mengembalikan kerusi itu kepada DAP,'' kata satu sumber kepada penulis ketika dihubungi di Teluk Intan.

Justeru BN tidak boleh begitu gembira sangat dengan kejayaan yang dicapai di kerusi Parlimen berkenaan apatah lagi dengan majoriti 238 undi - satu jumlah lebih kecil berbanding jumlah undi awal iaitu 375 undi.

Namun begitu dalam pilihan raya walaupun satu undi menang tetap menang, kalah tetap kalah, sebagaimana tahun 2004 Pas memerintah Kelantan dengan kelebihan satu kerusi yang mempunyai kelebihan majoriti hanya dua undi.

Apa yang penting ialah bagaimana BN mengubah majoriti kecil menjadi lebih besar dalam pilihan raya seterusnya dan dalam mencapai impian itu singkirkanlah perasaan leka atau sudah berasa kuat serta buanglah strategi lapuk dalam berkempen.

Warna-warni politik
Torashah

Pengikut