Khamis, 22 Mei 2014

Pentas UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak

Pentas UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak


#P76 Teluk Intan : Buat pengundi-pengundi Teluk Intan, Lim Kit Siang pun kaki songlap duit tabung rupanya?

Posted: 22 May 2014 12:17 AM PDT



Laporan Polis oleh Tony Tan bekas ahli DAP, keatas Lim Kit Siang kerana penyelewangan wang sumbangan kempen PRU13 pada 15 Mei 2014!

Bermula dengan masalah selewang wang oleh Teresa Kok, kini melarat pula kepada Lim Kit Siang dalam isu kutipan dana kempen PRU13 melalui pelbagai tabung. Nampak gaya nya Tony Tan, bekas ahli DAP Seputih istiqamah dalam usaha beliau mendapatkan keadilan.

DAP kini telah diketahui umum sebagai tidak telus dan tidak pernah akan melayan ahli mereka sendiri yang menuntut keadilan. Saman menyaman dan membuang ahli adalah kaedah yang mereka paling gemari untuk menutup sesuatu isu. Ikuti rakaman yang berikut nya...!



Selanjutnya sila lawat ke sini.

Warna-warni Politik
Torashah

HAMIM Ledang

HAMIM Ledang


SIDANG MEDIA KUALA LUMPUR INTERNATIONAL HIJAB FAIR (KLIHF 2014), FLORA TERRACE, HAMPSHIRE PLACE

Posted: 21 May 2014 09:53 PM PDT

1. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Puan Mona Din serta Women of Jannah Wealth Sdn Bhd, selaku penganjur Kuala Lumpur International Hijab Fair (KLIFH 2014) kerana sudi menjemput saya ke sidang akhbar bagi Pameran Perdagangan Fesyen Muslimah Antarabangsa yang bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 13 hingga 15 Jun 2014 akan datang.

2. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan syabas kepada Women of Jannah kerana mengambil inisiatif menganjurkan pameran yang disasarkan akan mengumpulkan bukan hanya pelbagai usahawan fesyen tempatan yang tersohor serta sedang meningkat naik, tetapi juga perniagaan yang terlibat di sepanjang rantaian bekalan industri fesyen dari segenap rantau. 

3. Saya difahamkan bahawa pameran ini akan turut disulami dengan program sampingan seperti sesi perkongsian ilmu serta padanan perniagaan yang akan memberi lebih makna dan impak kepada program ini secara keseluruhannya. Pihak Kementerian amat menghargai inisiatif yang diambil oleh pihak swasta seperti ini, di mana ianya seiring dengan dasar kerajaan yang menggalakkan kerjasama sektor awam dan swasta (public-private partnership) di mana Kerajaan lebih memainkan peranan dalam menyokong dan membantu pihak swasta dalam menjayakan program yang boleh memberi impak kepada industri dan ekonomi negara.


Meningkatkan jumlah dan kualiti usahawan berdaftar

4. Perkara yang membuatkan inisiatif-inisiatif di bawah Women of Jannah ini istimewa pada pemerhatian saya adalah kerana adanya usahawan-usahawan yang lebih berpengalaman bersatu untuk membimbing dan menyokong usahawan-usahawan yang baru sekaligus mewujudkan saingan yang sihat melalui kepelbagaian dalam bidang masing-masing. Ini termasuklah usaha menggabungkan usahawan-usahawan yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan di dalam premis perniagaan yang canggih dan menarik di pusat membeli-belah ternama.
  
5. Saya dimaklumkan cawangan terbaru Women of Jannah baharu sahaja dibuka di pusat membeli belah The Curve, Mutiara Damansara, dengan menempatkan 22 jenama usahawan tempatan. Usahawan yang baru patut merebut peluang untuk melibatkan diri dalam projek sebegini di mana mereka boleh belajar selok belok perniagaan dengan lebih cepat daripada usahawan yang lebih berpengalaman serta terus berinovasi untuk menghasilkan kelainan dalam perniagaan masing-masing.

6. Di Malaysia, cuma 19.7% perniagaan berdaftar adalah milikan wanita berbanding 31.5% di Australia dan 36.2% di Taiwan. Pada masa yang sama, sektor tidak formal di negara ini adalah agak tinggi pada 31 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (GNI). Sektor tidak formal ini merujuk kepada perniagaan tidak berdaftar melalui internet, jualan dari rumah dan sebagainya yang mempunyai potensi untuk berkembang dan meningkatkan jualan, pendapatan serta peluang pekerjaan.  

7. Di sini ingin saya ambil kesempatan untuk menekankan kepentingan program seperti ini yang bukan sahaja untuk memupuk semangat keusahawanan tetapi juga menggalakkan usahawan menyertai perniagaan dengan cara yang sah dan teratur. Ini penting bagi memudahkan perniagaan tersebut dibantu oleh Kerajaan melalui MITI dan pelbagai program-program di bawah 16 Kementerian dan lebih 60 Agensi yang lain serta sistem perbankan berdasarkan keperluan perniagaan masing-masing.

8. Untuk maklumat lanjut mengenai program-program ini, saya galakkan sesiapa yang berminat untuk berhubung terus dengan SME Corp. Malaysia, salah satu agensi di bawah MITI yang turut memainkan peranan sebagai Agensi Penyelaras Pusat bagi program pembangunan PKS seluruh negara. Bantuan dan tunjuk ajar percuma disediakan berhubung nasihat perniagaan dari pendaftaran syarikat sehinggalah kepada akses kewangan serta akses pasaran dengan kerjasama rapat dengan Kementerian dan Agensi kerajaan lain serta pihak swasta termasuklah persatuan-persatuan dan wakil industri.


Memartabatkan Produk Malaysia untuk Pasaran Antarabangsa

9. Satu perkara yang saya perhatikan semenjak saya berada di MITI adalah bagaimana pendedahan kepada  perusahaan dan ekonomi serantau dan global dapat menyumbang kepada anjakan minda dan penambahbaikan berterusan dalam strategi perniagaan. Acara seperti Kuala Lumpur International Hijab Fair (KLIFH 2014) ini bakal menghimpunkan pemain-pemain penting dalam rangkaian perusahaan, perkilangan dan perkhidmatan berhubung industri fesyen dari segenap rantau  di satu tempat bagi memberi peluang kepada pengusaha dan usahawan terutamanya dari Malaysia berinteraksi dan mencari peluang perniagaan, pembekal, pengedar dan sebagainya untuk memajukan perniagaan.  

10. Malah, kita kini di ambang pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) di mana 10 negara anggota ASEAN akan bersatu menjadi pusat pengeluar tunggal. Ini bakal mengembangkan daya pengeluaran serta pasaran dari 30 juta penduduk Malaysia kepada lebih 600 juta penduduk dalam komuniti ASEAN. Oleh yang demikian, usahawan Malaysia patut meningkatkan pengetahuan, proses dan kualiti produk bagi mengeksploitasi sepenuhnya peluang-peluang yang boleh menjadikan perniagaan anda lebih berdaya saing.

11. Di samping menumpukan perhatian kepada pasaran sedia ada, ambil masa untuk meninjau peluang-peluang baru di pasaran antarabangsa dengan bantuan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE). Tingkatkan produktiviti syarikat dengan bantuan Malaysian Productivity Corporation (MPC) dan sertai program-program yang boleh meningkatkan keupayaan, pencapaian serta imej syarikat.


12. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada hari ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah dan selamat berjaya kepada penganjur serta peserta Kuala Lumpur International Hijab Fair 2014. Semoga acara ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua pihak.  


13. Sekian, terima kasih.

MAJLIS PERASMIAN PROGRAM SME SMART PARTNERSHIP, PUTRA WORLD TRADE CENTRE (PWTC), KUALA LUMPUR

Posted: 21 May 2014 09:48 PM PDT

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.


1. Marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat ALLAH Subhanahu Wataala kerana dengan izinNya kita berjaya melaksanakan program SME Smart Partnership yang akan berlangsung selama 2 hari yang kita harap akan memberi impak yang positif, hasil daripada satu pendekatan jalinan perniagaan yang baru dan segar dalam memperkasakan ekonomi Bumiputera, terutamanya yang melibatkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

2. Pelaksanaan Program SME Smart Partnership ini oleh Bahagian Pembangunan Keusahawanan, dengan kerjasama SME Bank iaitu agensi di bawah MITI adalah satu inisiatif yang baik, serta wajar diteruskan.  Ini kerana ianya merupakan mekanisma yang menghubungkan PKS kepada rantaian nilai dan peluang-peluang perniagaan yang wujud dalam pasaran tempatan dan antarabangsa melalui aktiviti padanan dan jalinan perniagaan serta perkongsian pintar yang dijalankan.  Selain itu, PKS juga berpeluang mendapatkan khidmat nasihat yang menyeluruh daripada lebih 20 kementerian/agensi Kerajaan yang mengambil bahagian dan mendapatkan maklumat berkaitan keusahawanan yang disampaikan melalui sesi pocket talk yang telah diatur.


PERANAN PKS DALAM PEMBANGUNAN EKONOMI MALAYSIA 

3. Menurut statistik terkini daripada Banci Ekonomi 2011, PKS merangkumi 97.3% daripada jumlah pertubuhan perniagaan yang dijalankan di Malaysia iaitu berjumlah 645,000.  Kebanyakan PKS adalah dalam sektor perdagangan borong dan runcit, restoran dan penginapan serta pembuatan tekstil dan produk makanan. Dasar muktamad dan pendekatan yang menyeluruh terhadap pembangunan PKS telah menunjukkan hasil dan kesan pada prestasi PKS.  Dalam tempoh 2006 – 2012, PKS telah mencatat kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 6.3%, lebih tinggi daripada pertumbuhan purata ekonomi keseluruhan iaitu 4.7%. 

4. Daripada statistik tersebut, dapat kita simpulkan bahawa PKS memainkan peranan yang sangat penting dalam membangunkan ekonomi negara.  Bagi memperhebatkan lagi peranan tersebut, PKS perlulah mencari peluang meluaskan jaringan dan jalinan perniagaan kerana dengan wujudnya jaringan dan jalinan perniagaan yang kuat antara PKS dengan PKS, dan antara PKS dengan industry players yang lain, tentunya akan dapat menghasilkan impak yang lebih baik dan berterusan kepada ekonomi negara.  

5. Kerajaan akan terus memberi sokongan untuk memantapkan lagi kedudukan PKS dengan memperkenalkan langkah-langkah baru dan merasionalisasi usaha sedia ada untuk membangunkan PKS yang mampan.  Antara langkah-langkah yang telah dikenalpasti oleh Kerajaan adalah memperbaiki sistem sokongan institusi,  memudahkan akses kepada pembiayaan, meningkatkan kemahiran teknologi dan mempertingkatkan akses kepada pasaran.  Untuk membolehkan PKS menembusi pasaran dunia, usaha untuk mempertingkatkan daya saing PKS juga turut dipergiatkan menerusi pelbagai program oleh kementerian/agensi yang berkaitan.  

6. Antara program-program yang dilaksanakan oleh MITI dan agensi-agensi di bawah MITI adalah: 

i) Program Groom Big, Program Pembangunan Vendor, dan Program Satu Daerah Satu Industri di Bahagian Pembangunan Keusahawanan MITI;  

ii) Program Peningkatan Enterpris Bumiputera, SME Competitiveness Rating Enhancement (SCORE), Program 1-InnoCERT, Business Accelerator Programme dan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera oleh SME Corp.;

iii) Program Transformasi Perniagaan Halal, Taman-Taman Halal dan Program Rakan Pintar Strategik di bawah Halal Industry Development Corporation(HDC); 

iv) Program Pembangunan Pengeksport Bumiputera di bawah MATRADE;

v) Enterprise Intervention Innovation Program(EIIP) bagi Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS), Program Pengurusan Lean dan Program Peningkatan Produktiviti dan Inovasi oleh Malaysia Productivity Corporation(MPC); dan

vi) Skim Pinjaman Mudah Bagi Enterpris Kecil dan Sederhana, Skim Pinjaman Mudah Bagi Automasi dan Modenisasi, Skim Pinjaman Mudah Bagi Sektor Perkhidmatan dan Skim Pinjaman Mudah Bagi Usahawan Automotif Bumiputera oleh 


7. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih di atas kehadiran semua peserta yang dijemput bagi menyertai sesi padanan perniagaan dan kaunter khidmat nasihat yang disediakan dalam Program ini.  Ianya tentu akan membantu Kerajaan melaksanakan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dengan lebih berjaya di masa akan datang, sebagaimana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 14 September 2013.  

8. Dalam memastikan wujudnya keseimbangan ekonomi dan sosial di Malaysia, agenda ini memainkan peranan yang penting memandangkan Bumiputera adalah merupakan komposisi terbesar penduduk Malaysia iaitu 67.9% daripada penduduk Malaysia berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Negara 2010.  

9. Lima strategi yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa ucapannya iaitu:
 
i) Mendaya modal insan Bumiputera;
 
ii) Memantapkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat; 

iii) Memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan Bumiputera; 

iv) Memperhebat keusahawanan dan perniagaan Bumiputera; dan 

v) Memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan. 

Lima strategi ini diharap akan dapat menyokong pencapaian pembangunan ekonomi negara pada skala yang lebih besar.  

10. KDNK negara yang dijangka akan berkembang dengan kadar 5.0% hingga 5.5% pada tahun 2014 , tentunya akan dapat dilonjakkan ke satu tahap yang lebih baik daripada yang dijangkakan sekiranya kuasa ekonomi Bumiputera sebagai kaum terbesar di Malaysia dipertingkatkan.  Selain itu, dalam pengumuman prestasi perdagangan negara daripada Januari 2013 hingga Januari 2014, perdagangan negara telah meningkat sebanyak 9.8% berbanding tahun sebelumnya kepada RM121.6 billion manakala eksport negara juga telah meningkat sebanyak 12.29% kepada RM64 billion.  Lebihan dagangan (trade surplus) yang direkodkan adalah berjumlah RM6.36 billion.  

11. Daripada statistik ini, dapat dirumuskan bahawa ekonomi negara kita sekarang berada pada landasan yang baik dan berpotensi untuk terus berkembang maju. Peluang perniagaan yang wujud hasil daripada perkembangan ekonomi yang baik ini sewajarnya direbut dengan pantas dan meluas oleh PKS Bumiputera.  PKS perlulah mempunyai kemahiran untuk bertindakbalas dengan lebih cepat terhadap perubahan persekitaran, dan ini merupakan satu peluang yang perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya dalam bidang keusahawanan yang serba mencabar dan dunia tanpa sempadan kini.

12. Dalam usaha meningkatkan keupayaan PKS Bumiputera dalam bidang ekonomi, bidang-bidang yang berpotensi besar yang boleh diceburiperlu dikenalpasti agar sesuai dengan minat dan keupayaan serta potensi pasaran.  Bidang di dalam sektor pembuatan seperti penghasilan produk makanan sejuk beku, produk kosmetik dan farmaseutikal, komponen dan peralatan elektrikal dan produk multimedia boleh diceburi dan dikuasai oleh PKS Bumiputera.  Selain bidang di dalam sektor pembuatan, bidang di dalam sektor perkhidmatan juga boleh diketengahkan oleh usahawan Bumiputera seperti pelancongan, pendidikan, automotif dan teknologi maklumat yang mempunyai potensi pasaran yang besar.


HASIL PROGRAM SME SMART PARTNERSHIP

13. Di Program SME Smart Partnership ini, saya dimaklumkan bahawa terdapat lebih daripada 20 syarikat GLC, hypermarket dan pemborong luar negara yang akan memberi kerjasama dalam usaha membantu usahawan-usahawan PKS dan export-ready dalam mengembangkan perniagaan mereka. Di samping itu, terdapat lebih daripada 20 booth kementerian/agensi yang bersedia memberikan khidmat nasihat kepada PKS mengenai program-program dan bantuan yang disediakan oleh mereka.  

14. Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua industry players dan kementerian/agensi yang terlibat atas semangat kerjasama yang diberikan kepada Program ini kerana dengan penglibatan ini, satu ekosistem perniagaan yang baik telah berjaya diwujudkan dalam meningkatkan daya saing PKS Bumiputera serta dapat membantu PKS Bumiputera dalam meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai tambah di dalam sektor perniagaan yang diceburi.

15. Dengan adanya Program SME Smart Partnership ini di mana wujudnya kerjasama yang baik dalam pembangunan dan pemerkasaan usahawan Bumiputera, ianya diharapkan agar dapat: 

i) meningkatkan capaian pasaran domestik dan luar negara; 

ii) mempelbagaikan struktur pasaran dan pelanggan PKS;

iii) mengukuhkan hubungan perniagaan di antara PKS dengan industry players yang lain;

iv) meningkatkan inovasi, kapasiti dan daya saing yang sihat; dan 

v) meningkatkan keuntungan melalui penambahan pelaburan dalam syarikat PKS Bumiputera.

Para hadirin yang dihormati sekelian,

16. Dengan outcome ini sebagai panduan, saya berharap Program ini akan menganjakkan PKS Bumiputera ke satu tahap yang lebih baik dan cemerlang serta dapat menyumbang kepada kemakmuran negara dan masyarakat amnya.

17. Akhir kata, semoga Program ini akan membuka ruang dan peluang yang baru untuk kita sama-sama menjayakan matlamat membangun dan memajukan masyarakat usahawan Bumiputera. Insya-Allah, dengan sokongan dan penyertaan PKS Bumiputera dalam lanskap ekonomi negara dan antarabangsa, kita mampu mencapai Wawasan 2020 menuju negara maju berpendapatan tinggi.

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih.

Pengikut