Selasa, 4 Februari 2014

Puteri UMNO Kota Marudu

Puteri UMNO Kota Marudu


Mengatur langkah Puteri selepas 100 hari. @emysamsudin

Posted: 03 Feb 2014 09:00 AM PST








POSISI Ketua Puteri UMNO bukanlah jawatan sebarangan. Jika tidak tabah menghadapi dugaan dan cabaran, jangan bermimpi mahu berada di kedudukan nombor satu sayap parti Melayu berpengaruh di Malaysia itu.

Ditambah pula dengan situasi semasa yang memperlihatkan ramai golongan belia termasuk wanita muda lingkungan usia 18 ke 35 tahun semakin cenderung menyokong pembangkang. Jadi, cabaran sebagai Ketua Puteri memang besar.

Individu yang memegang jawatan itu perlu berhadapan dengan tanggapan negatif golongan muda hari ini kononnya apa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya menindas rakyat dan tidak terlepas daripada rasuah.

Itulah senario dihadapi oleh Mas Ermieyati Samsudin sejak diangkat sebagai Ketua Puteri UMNO baharu pada pemilihan parti itu Oktober tahun lalu.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu dipilih bagi menggantikan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Menjangkau 100 hari sebagai Ketua Puteri, Mas Ermieyati yang ramah orangnya mengakui masih banyak yang perlu dipelajarinya untuk membantu parti serta kerajaan BN terus kekal di hati rakyat khususnya golongan wanita muda.

Dalam satu pertemuan baru-baru ini, Mas Ermieyati mendedahkan perkara pertama dilakukannya setelah diangkat sebagai Ketua Puteri ialah mengumpulkan kesemua barisan exco pergerakan itu yang juga baru dipilih terdiri daripada hampir 75 peratus muka baharu.

Tujuannya merapatkan 'saf' pergerakan puteri itu sendiri.

Beliau sedar, selepas pemilihan pasti akan wujud sedikit perpecahan berikutan perbezaan pandangan, malah beliau maklum ada yang 'tidak menyokongnya'. Tetapi beliau positif mahu memacu pergerakan itu terus berkembang memainkan peranan penting kepada parti.

"Alhamdulillah, walaupun saya tahu ada yang mungkin kurang bersetuju dengan saya tetapi mereka menerimanya secara positif dan saya juga bersikap positif terhadap mereka kerana kami berada dalam satu saf kepimpinan sayap. Komitmen setiap ahli dituntut," ujarnya.

Antara langkah pertama yang diambil selepas menerajui sayap termuda itu adalah bertemu dengan semua Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri bagi membincangkan pemilihan barisan kepimpinan pergerakan puteri di peringat negeri. "Kami telah menjadi sayap paling awal menyelesaikan perkara itu," katanya.

Menurut Mas Ermieyati, tempoh 100 hari kepimpinannya sebagai Ketua Puteri UMNO adalah sangat singkat untuk dinilai dan beliau belum berupaya melaksanakan kesemua rancangan yang telah dirangka.

Lagipun beliau tidak mahu terburu-buru.

"Saya melihat dalam tempoh 100 hari ini, saya tidak dapat buat banyak, tetapi yang saya sedang lakukan ini ialah membina asas," katanya.

Sebab itu langkah pertama pergerakan itu adalah menjalankan program daftar pemilih.

"Kami cuba mendaftarkan sebanyak mungkin belia yang akan menjadi penyumbang besar undi pada pilihan raya umum akan datang dan dalam masa sama menambat hati mereka untuk bersama-sama Puteri UMNO menerusi pelbagai program yang telah diatur sepanjang tahun.

"Saya mahu membentuk pergerakan puteri yang bukan hanya sebagai satu sayap parti dalam UMNO tetapi juga dilihat dekat di hati masyarakat melalui sentuhan gerak kerja," jelas beliau.

Mas Ermieyati turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan jentera siber Puteri UMNO kerana menyedari ia antara medium utama memberi penerangan mengenai sesuatu isu kepada kumpulan sasar.

Pergerakan tersebut tidak akan putus asa memberi latihan kepada jentera siber mereka dalam usaha mematahkan dakyah serta tohmahan pembangkang terhadap kerajaan amnya dan UMNO khususnya.

"Kami memang memberi penekanan serius untuk menangani 'perang' media siber ini. Kami mempunyai jentera sendiri tetapi berpendapat dalam isu ini penyelarasan harus dilaksanakan oleh semua sayap UMNO, bukan hanya Puteri sahaja supaya kesannya lebih efektif," katanya.

Apabila diajukan soalan mengenai pergerakan itu yang dilihat lesu di bawah kepimpinan beliau, Mas Ermieyati berharap pandangan itu dilihat daripada sudut positif.

Hakikatnya kata beliau, Puteri UMNO sentiasa ke hadapan dalam membantu rakyat, cuma kurang liputan media kerana berpendapat mereka perlu lebih banyak lagi belajar.

"Saya terima kritikan itu dan seperti saya katakan, barisan kepimpinan kali ini terdiri daripada 75 peratus muka baharu. Kami akui banyak perkara perlu dipertingkat serta diperkemaskan dan dari semasa ke semasa kami berusaha mengatasi kekurangan kami, lagi pun baru 100 hari saya jadi Ketua Puteri, masih banyak program belum dilaksanakan lagi," ujarnya.

Mas Ermieyati turut mengakui pergerakan di bawah pimpinannya tidak menonjol dalam memperjuangkan isu-isu semasa seperti kalimah Allah, kenaikan kos sara hidup dan sebagainya tetapi menafikan tiada tindakan diambil oleh pihaknya.

Sebaliknya, pergerakan tersebut lebih gemar mengadakan diskusi ilmiah dengan pihak-pihak terbabit dalam sesuatu isu.


© Utusan Melayu (M) Bhd

PERGERAKAN PUTERI UMNO KOTA MARUDU BERWAJAH BARU

Posted: 01 Dec 2013 04:03 AM PST


Sharifah Lydia Sharif Dandan 

merupakan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian P.168 Kota Marudu yang baru.
Menang tanpa bertanding pada pemilihan UMNO yang lalu. Jelas menampakkan kematangan ahli-ahli Puteri UMNO dalam melayari pentas politik yang semakin menampakkan taring cabaran.

TAHNIAH!!!

SENARAI LANTIKAN BIRO PERGERAKKAN PUTERI UMNO MALAYSIA 2013

Posted: 01 Dec 2013 03:53 AM PST


BIRO POLITIK : Mas Ermieyati Samsudin
BIRO KEAHLIAH DAN DAFTAR PEMILIH : Zahida Zarikh Khan
BIRO PENERANGAN DAN PEMIDATO : Haryati Hamdzah
BIRO KEBAJIKAN DAN PEMBANGUNAN KELUARGA : Norwahida Pantun
BIRO PELAJARAN : Junaida Mat Ishak
BIRO SAHABAT PUTERI : Haziqah Nasirah Zol Bahari
BIRO MEDIA SOSIAL DAN DIGITAL : Mimie Harianie Alias
BIRO AGAMA : Nurhidayah Mohamad Shahaimi
BIRO SUKAN : Isfarina Mohd. Bali
BIRO KEBUDAYAAN DAN WARISAN : Julie Sabran
BIRO BANTUAN GUAMAN : Natassia Roslan
BIRO EKONOMI DAN KEUSAHAWANAN : Noor Aeiza Hassan
BIRO ANTARABANGSA : Nor Hazreena Mohamed Hashim
BIRO KESEJAHTERAAN BANDAR : Nurhuda Ab. Karim
BIRO ALAM SEKITAR DAN PERTANIAN : Noormadiana Kamaruddin
BIRO HAK ASASI SOSIAL DAN KESELAMATAN : Datin Azura Mohd. Afandi
BIRO KESIHATAN : Dr. Nur Faizah Ali
BIRO PEMBANGUNAN LUAR BANDAR : Asfalinda Anuar
BIRO PENGGUNA : Norrulhuda Marsidiin
BIRO SUMBER MANUSIA : Nasibah Ismail
BIRO IT DAN BIOTEKNOLOGI : Datin Norsabrina Mohd. Noor
BIRO LATIHAN DAN PERKADERAN : June Artisha Mohamad Nazari
BIRO SUKARELAWAN : Nor farhana Alham

Pentas UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak

Pentas UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak


Tujuh peringatan Sultan Azlan Shah.

Posted: 04 Feb 2014 10:04 AM PST

Raja Dr. Nazrin Shah bersama Tunku Zara (kanan), Raja Dihilir Raja Jaafar Raja Muda Musa (dua dari kiri) dan Dr. Zambry Abdul Kadir (kiri) pada Majlis Kesyukuran Sempena 30 Tahun Pemerintahan Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Perak, semalam.

TITAH Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah Sempena Majlis Kesyukuran 30 Tahun Pemerintahan Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak, semalam.

MAHA Suci Allah yang di tangan-Nya segala kerajaan; yang memberi kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan mencabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki; Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki; di tangan Engkau segala kebajikan; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Selawat dan kesejahteraan ke atas Rasul junjungan dan penghulu kami, Nabi Muhammad SAW, semulia-mulia kejadian; kurniakan rahmat ke atas Baginda, demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh kegelapan. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

Alhamdulillah, dengan rahmat dan inayat dari Allah SWT, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, hari ini genap 30 tahun bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan sebagai Sultan, Yang Dipertuan dan raja pemerintah kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan.

Majlis kesyukuran yang dilangsungkan pada pagi ini, adalah atas titah baginda supaya dapat dizahirkan apresiasi baginda kepada seluruh rakyat yang telah membuktikan kesetiaan dalam tempoh 30 tahun pemerintahan baginda.

Baginda bersama Tuanku Permaisuri amat ralat tidak dapat bersama di majlis ini. Baginda berdua menyampaikan salam kepada semua hadirin dan menzahirkan terima kasih di atas perutusan ucap selamat serta doa berterusan daripada rakyat jelata ke atas kesejahteraan baginda berdua.

Kesultanan Melayu Perak diasaskan oleh Sultan Muzaffar Shah I pada tahun 1528. Sultan Muzaffar Shah bersemayam selama 21 tahun di takhta pemerintahan. Seramai 34 Sultan bersemayam di takhta pemerintahan dalam tempoh 486 tahun sejarah Kesultanan Melayu Perak. Dengan penentuan Ilahi, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah mula bersemayam di takhta pemerintahan pada 3 Februari 1984. Baginda ialah Sultan Perak kedua paling lama berada di takhta pemerintahan, selepas Sultan Perak ke-11, Sultan Mahmud Iskandar Shah yang bersemayam di takhta Kerajaan selama 67 tahun di antara tahun 1653 sehingga tahun 1720.

Setiap Sultan telah menyempurnakan amanah sebagai Amirulmukminin. Ketika kita di majlis ini mengangkat kalimah kesyukuran kepada Ilahi, sempena genapnya 30 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, amatlah wajar untuk kita turut menghargai khidmat bakti yang telah diabadikan kepada negeri dan rakyat oleh 33 Sultan terdahulu.

Semoga khidmat bakti kesemua 33 Marhum yang telah kembali ke Rahmatullah, diterima sebagai amal soleh dan diberikan ganjaran sewajarnya kepada roh setiap seorang dari Marhum tersebut. Sama-samalah di Majlis ini, kita menghargai khidmat bakti Marhum-Marhum tersebut dengan membacakan Suratul Fatihah, semoga apa juga ganjaran darinya disampaikan kepada roh Almarhum-almarhum yang telah berada di alam barzakh. Al-Fatihah.

Meskipun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ketika ini masih dinasihatkan oleh pakar-pakar perubatan untuk beristirehat, namun baginda tetap mengikuti perkembangan yang sedang berlaku; malah keadaan semasa rakyat jelata senantiasa berada dalam pemikiran baginda. Sempena ulang tahun 30 pemerintahan, baginda telah menitahkan supaya dizahirkan tujuh peringatan berikut:

Pertama: Berpegang kepada prinsip ketuhanan, menginsafi kebesaran Yang Maha Mencipta berbanding kedaifan insan bertaraf hamba dengan memperlihatkan sifat-sifat tawaduk, kemanusiaan, serta kasih sayang sesama insan di samping tidak melakukan kezaliman sesama makhluk dan tidak melakukan kemusnahan kepada alam ciptaan Ilahi.

Kedua: Menyedari bahawa setiap nikmat adalah anugerah Ilahi; setiap insan wajib mengamalkan sifat bersyukur agar dikurniakan nikmat lebih besar, di samping menerima ujian dengan penuh ketabahan selaras dengan maksud ayat 17 Surah Al An'Aam;

"Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepada mu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri, dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepada mu, maka Dia Maha Kuasa atas setiap sesuatu"

Ketiga: Pangkat dan jawatan adalah anugerah Ilahi dan hendaklah dipenuhi dengan penuh amanah, senantiasa mengingati akauntabiliti kepada rakyat begitu juga akauntabiliti ketika diadili di mahkamah Rabbuljalil di Padang Mahsyar selaras dengan peringatan yang terkandung dalam ayat 9 Surah Ali 'Imran bermaksud;

"Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia untuk (menerima pembalasan pada) hari yang tak ada keraguan padanya". Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji".

Keempat: Negeri Perak dan negara Malaysia telah dilimpahkan dengan nikmat kekayaan sumber dan hendaklah diuruskan secara cekap, jujur, telus lagi berintegriti, menjauhi amalan-amalan rasuah, salah guna kuasa serta pembaziran agar negeri dapat dimakmurkan dan kehidupan majoriti rakyat dapat disejahterakan.

Kelima: Perpaduan rakyat hendaklah sentiasa diutamakan dan tidak boleh dikompromikan. Perpaduan rakyat adalah asas kekuatan negara yang telah memungkinkan kemerdekaan dicapai, ancaman komunis dimusnahkan, kemajuan dicipta serta kemerdekaan tanah air dapat dipertahankan. Bahawa rakyat di negara ini terdiri dari pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai agama, berlatar belakangkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

Kepelbagaian tersebut adalah aset negara jika rakyat berjaya dibimbing untuk berfikiran rasional, mengamalkan sikap saling memahami - saling menghormati, serta tidak mudah dipengaruhi dengan sentimen yang dicetuskan oleh pihak-pihak yang berfikiran sempit lalu memilih untuk mengadu domba rakyat untuk berkonflik secara mensensasikan isu-isu agama, kaum, budaya dan bahasa. Baginda yakin majoriti rakyat bersifat rasional lagi bertanggungjawab; bahawa majoriti rakyat menghargai suasana hidup yang aman, harmoni lagi rukun.

Keenam: Mengamalkan pemerintahan yang berlandaskan undang-undang (rule of law). Undang-undang tidak sahaja perlu digubal tetapi lebih penting untuk dihormati, dikuatkuasakan secara adil - secara saksama, malah dipastikan kelihatan dilaksanakan secara adil - secara saksama, tanpa prejudis - tanpa diskriminasi melalui amalan kehakiman, perundangan dan penguatkuasaan berlandaskan prinsip tanpa gentar - tanpa pilih kasih (without fear or favour).

Ketujuh: Takhta pemerintahan menyempurnakan amanah berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan, berfungsi sebagai tonggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan. Raja Pemerintah wajib mengamalkan dan mempamerkan sifat tidak memihak - tidak partisan - tidak berkepentingan demi menjamin berlakunya keadilan, membantu keberkesanan mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan institusi-institusi perundangan, eksekutif dan kehakiman, lantas meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan amalan demokrasi - berakarkan doktrin pengasingan kuasa.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, Mamanda Menteri Besar, kesemua Raja Bergelar, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Negeri, kakitangan perkhidmatan awam, anggota tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, guru-guru, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, para ulama, penghulu, imam dan pegawai Masjid, pihak swasta, badan-badan berkanun, badan-badan bukan kerajaan, badan-badan sukan serta seluruh rakyat baginda yang telah melaksanakan pelbagai peranan untuk membangunkan negeri. Kepada rakyat baginda yang terdiri daripada kaum Cina, baginda bersama Tuanku Permaisuri mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu (Gong Xi Fa Cai)

Baginda menyeru agar rakyat terus bersatu, hidup dalam semangat muhibah, rukun dan harmoni, membantu membina sebuah negara Malaysia yang maju lagi makmur, rakyatnya kukuh berpadu dan cekal bersatu. Baginda mendoakan agar terbina sebuah negara dan warga yang mendapat rahmat Ilahi seperti yang digambarkan dalam ayat 15 Sura Saba' bermaksud;

"Sesungguhnya bagi kaum Saba' ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka ia itu dua buah kebun di sebelah kanan dan kiri; "Makanlah oleh mu rezeki yang (dianugerahkan) Tuhan mu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya! (Negeri mu) adalah negeri yang baik dan (Tuhan mu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun"

Sempena Majlis kesyukuran memperingati 30 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Paduka Anakanda, Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, sekalian Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, merafakkan sembah, mengulangi ikrar taat setia, sedia menjunjung titah - sedia melaksanakan perintah Paduka Seri Ayahanda, berlandaskan hukum - bersendikan adat; dan akan sama-sama memelihara kemuliaan dan nama baik institusi kesultanan Melayu Perak demi memastikan tradisi negeri bersultan - rakyat beraja yang merupakan identiti sistem berkerajaan di bumi ini terus mendapat pengiktirafan dan penerimaan rakyat.

Ya-Wahid, Ya-Ghaffar, Ya-Latif, Ya-Qayyum, hamba-Mu memanjatkan doa agar Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Permaisuri Tuanku Bainun berada dalam kerukunan, dikurniakan keafiatan, dianugerahkan taufik - dilimpahkan hidayah, senantiasa mendapat rahmat dan lindungan Ilahi.

Warna-warni Politik
Torashah

HAMIM Ledang

HAMIM Ledang


Program Eksekutif Halal

Posted: 04 Feb 2014 12:43 AM PST

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera.

Saya amat berharap agar pembangunan modal insan, kepakaran dan kemahiran dalam industri halal akan terus dipertingkatkan dalam suasana yang lebih berdaya saing. Industri halal bukan sahaja mengenai produk, bahkan ianya merangkumi pembangunan modal insan yang berpengetahuan terhadap hukum syarak dan aplikasi halal dalam proses dan cara kerja.
Majlis Konvokesyen Program Wksekutif Halal ke-3, Bangunan MATRADE Kuala Lumpur

          Dengan adanya pembangunan modal insan yang baik,ia dapat membantu pengeluar-pengeluar produk dan pembekal perkhidmatan halal menggunakan pendekatan yang tepat terutamanya dalam meningkatkan kualiti pengeluaran melalui amalan pengilangan terbaik untuk lebih berdaya saing dalam pasaran global.

Pasaran halal global yang dianggarkan melebihi AS$2.3 trilion setahun menyediakan peluang-peluang yang harus direbut oleh rakyat Malaysia. Selain memenuhi keperluan penduduk beragama Islam seluruh dunia yang dianggarkan berjumlah 2.0 bilion, pasaran halal juga turut  menarik minat pengguna bukan Islam dengan ciri-ciri seperti makanan yang berkhasiat, kaedah penyediaannya yang selamat dan hasilnya yang bermutu tinggi. Ini berikutan peningkatan kesedaran konsumer terhadap produk halal yang senonim dengan produk yang selamat, berkhasiat dan lebih bersih, iaitu suci.

Secara menyeluruh, industri Halal mempunyai potensi pasaran yang lebih besar iaitu bagi memenuhi permintaan lebih daripada 6 bilion pengguna sedunia. Ini amat menggalakkan dan kita harus bersedia untuk merebut peluang-peluang yang sedia ada untuk menyumbang kepada ekonomi negara.

Dalam pelaksanaan program-program untuk membangunkan industri halal, pelbagai usaha dan pendekatan diambil oleh Kerajaan bagi meningkatkan kesedaran mengenai industri halal serta peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan. Industri halal merangkumi pelbagai sektor termasuklah perdagangan, pelaburan dan perkhidmatan sokongan seperti pembangunan standard halal, latihan dan perundingan halal, pembangunan dan penyelidikan halal (R & D) serta pembangunan teknologi dan inovasi halal. Menerusi perkembangan aktiviti-aktiviti berkaitan halal ini Malaysia adalah sebuah negara yang ideal untuk dinobatkan sebagai Hab bagi produk dan perkhidmatan halal global serta Pusat Rujukan Halal Dunia mengenai pengetahuan dan ilmiah bekaitan integriti halal.

Kerajaan juga sentiasa komited dalam menyediakan kemudahan bagi membantu dan memenuhi segala keperluan pengeluar dan pengusaha industri halal. Pada tahun 2013, sebanyak 755 Pekerja Berkemahiran Halal diwujudkan melalui inisiatif Pembangunan Bakat Halal. Pekerja Berkemahiran Halal adalah di kalangan profesional termasuk pengurus, eksekutif, juruaudit, penyembelih, pegawai dan lain-lain. Daripada jumlah tersebut, 67% daripada pelatih adalah daripada sektor pembuatan, 14% adalah dari sektor perkhidmatan, 12% adalah dari universiti-universiti dan selebihnya datang daripada sektor awam.

Pekerja Berkemahiran Halal adalah penting dalam pembangunan ekonomi Halal terutamanya dalam mengukuhkan integriti sepanjang rantaian nilai Halal. Pada tahun 2012, JAKIM telah mensyaratkan keperluan sekurang-kurangnya 2 Pekerja Berkemahiran Halal di setiap syarikat yang diluluskan Sijil Halal Malaysia. Sehingga hujung tahun 2013, hanya terdapat 1,000 Pekerja Berkemahiran Halal di dalam industri halal negara. Peluang-peluang pekerjaan dalam industri ini dijangka meningkat dengan peningkatan inisiatif dan program-program oleh pelbagai agensi Kerajaan. Permintaan bagi pekerja Berpengetahuan Halal pada tahun 2014 disasarkan seramai 2,000 pekerja dan dijangka berkembang kepada keperluan lebih daripada 36,000 pekerja pada tahun 2020.

Dalam arus pembangunan ekonomi Negara, industri Halal juga telah banyak menyumbang kepada peningkatan dalam pembangunan industri, perdagangan dan pembangunan modal insan. Kemahiran dan pengalaman Malaysia dalam menerajui dan membangunkan industri Halal sejak lebih 40 tahun yang lalu telah menarik perhatian dari pelbagai pihak dan negara luar. Ini telah memberi impak terhadap pembangunan industri Halal negara dan negara luar seperti Korea, Jepun dan China yang merujuk kepada Malaysia untuk mempelajari pelbagai aspek pembangunan industri halal. Kerjasama bersama negara lain akan ditingkatkan secara berterusan bagi memperluaskan pasaran produk halal yang berkualiti di persada antarabangsa.

HDC sebagai agensi pembangunan industri halal di bawah MITI memberi tumpuan kepada perspektif ekonomi supaya dapat menyumbang kepada KDNK negara. Pelbagai program dan inisiatif telah dilaksanakan untuk mempertingkatkan sumbangan industri Halal kepada pembangunan ekonomi Negara. Setakat suku ke 3 tahun 2013, terdapat sebanyak 3,705 buah syarikat  telah diluluskan Sijil Halal Malaysia oleh JAKIM berbanding 3,304 pada suku yang sama dalam tahun 2012 dan sebanyak 779 pengeksport Halal telah dikenalpasti. Syarikat-syarikat ini menghasilkan lebih daripada 180,000 produk Halal.


Bagi tempoh Januari sehingga September 2013, eksport Halal negara berjumlah RM24 bilion (peningkatan sebanyak 1.4% berbanding dengan suku yang sama tahun lepas) menyumbang 4.6% kepada jumlah eksport negara. Sektor makanan dan minuman merupakan penyumbang utama (40.8%) diikuti oleh ingredien (32.2%), bahan-bahan minyak sawit (14.4%), kosmetik dan penjagaan diri (6.2%), kimia perindustrian (5.2%) dan farmaseutikal (1.1%). Negara- China, Singapura, Amerika Syarikat, Indonesia dan Jepun kekal sebagai destinasi eksport utama bagi barangan Halal Malaysia. Adalah dijangka jumlah eksport halal akan mencecah melebihi RM 30 bilion bagi keseluruhan tahun 2013. 

          Setakat Disember 2013, pelaburan sejumlah RM8.6 billion telah diluluskan bagi projek-projek pengeluaran produk Halal seperti makanan yang diproses, ingredien halal dan farmaseutikal. Antara pelaburan utama yang diluluskan termasuk Kellogg Asia Products Sdn. Bhd. bernilai RM402 juta; Cargill Palm Products Sdn. Bhd. bernilai RM257 juta dan Adeka Foods Sdn. Bhd. bernilai RM129 juta. Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan amat komited dan sentiasa melipatgandakan usaha dalam pembangunan industri. Kita harus merebut peluang-peluang yang terdapat dalam industri yang berpotensi besar dari segi perniagaan dan peluang-peluang pekerjaan.

Program Eksekutif Halal adalah salah satu usaha berterusan Kerajaan di mana ia merupakan langkah untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan-graduan institusi pengajian tinggi. Di samping itu, penyediaan graduan berkemahiran dan berpengetahuan dalam halal dapat mengimbangi usaha-usaha kami ke arah pembangunan industri halal yang bernilai tinggi. Program-program pembangunan kapasiti dan keupayaan usahawan akan sentiasa dipertingkatkan kepada tahap pengeluaran yang lebih berinovatif menerusi pembangunan dan penyelidikan.

Program seperti ini perlu diteruskan untuk meningkatkan bilangan pekerja berpengetahuan halal atau HKW (Halal Knowledge Workers) seperti yang disyaratkan oleh JAKIM dalam meluluskan Persijilan Halal Malaysia. Dalam pada itu, HKW dapat merancakkan industri halal dunia dengan memenuhi keperluan tenaga kerja berpengetahuan dalam halal dan membuka peluang pekerjaan di syarikat-syarikat di luar Malaysia yang mengamalkan sistem Halal Malaysia.

HDC telah memainkan peranan yang amat berkesan dalam melatih HKW melalui program HEP. Oleh itu adalah menjadi satu keperluan kepada Negara agar HDC diberi mandat untuk menerajui Program Pembangunan Modal Insan Halal atau HTDP (Halal Talent Development Program) yang menyokong hasrat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Halal Dunia yang terkemuka. HDTP akan memberi fokus kepada penyediaan tenaga kerja yang membolehkan perlaksanaan perkhidmatan berkaitan Halal menerusi pembangunan modul halal di institusi pengajian tinggi dan institusi latihan profesional. HDC akan mengambil peranan khusus untuk membangunkan modal insan yang diiktiraf oleh pihak industri di peringkat domestik dan antarabangsa.

Sesungguhnya, usaha jalinan kerjasama di antara  HDC dan Jabatan Pengajian Politeknik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), KFCH International College, Kolej UNITI, Politeknik METro serta UiTM Kota Bharu ini adalah bertepatan serta selaras dengan dasar Kerajaan untuk membangunkan industri halal negara. Adalah diharapkan agar ramai lagi pakar berkemahiran dalam industri halal dapat dilahirkan. Ini seterusnya mewujudkan kelompok modal insan yang berpengetahuan dan menguasai kepakaran dalam industri halal serta mampu mengukuhkan integriti halal.

Saya juga menaruh harapan besar agar program Eksekutif Halal ini akan dapat menjadi pemangkin bagi menyediakan peluang-peluang pekerjaan bertaraf profesional untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju pengeluar produk serta perkhidmatan halal yang bermutu tinggi. Dalam masa yang sama, kemajuan industri halal tempatan juga dapat menyumbang kepada usaha Kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua graduan Program Eksekutif Halal yang menj
adi kebanggaan kesemua ibu-bapa dan juga Negara. Insyaallah, dengan berkat Illahi, mudah-mudahan, dapat kita semua mencapai kesepakatan dan menyumbang kepada kejayaan dalam membangunkan industri halal negara. 

Pengikut