upsr
Sebahagian pelajar Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman II tekun menjawab soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di dewan sekolah itu di sini, hari ini. -- fotoBERNAMA
Seramai 517,139 calon yang berdaftar menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di 8,284 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai hari ini hingga Khamis ini.

Pelajar-pelajar yang terlibat terdiri daripada 507,783 calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, 9,345 calon sekolah swasta penghantar Bahasa Melayu dan 11 calon dari sekolah swasta penghantar Bahasa Cina.

Sementara seramai 52,172 petugas terlibat dalam memastikan peperiksaan berjalan dengan lancar kali ini.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, ibu bapa juga kelihatan turut berada di kawasan sekolah bagi memberi semangat kepada anak-anak mereka yang menduduki peperiksaan tersebut.

Bagi Marlina Mazlan, 36, ibu kepada Amir Daniel Ross Affendy dari  Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2 (SKTM2) telah mengambil cuti untuk menemani anak sulungnya menduduki UPSR.
 
Malah beliau turut merasa gementar dan cemas berbanding anaknya memandangkan ini adalah kali pertama anaknya berhadapan peperiksaan besar seperti ini.

Bagi pelajar Nik Aqil Baig, walaupun merasa gementar dan risau berhadapan dengan hari pertama UPSR, beliau telah berusaha merehatkan minda sebelum menghadapi peperiksaan sejak awal pagi ini.

Malah kata anak yatim ini, selain mengadakan perancangan jadual pembelajaran yang sistematik dan melakukan ulang kaji pada saat akhir, dia turut mengerjakan solat hajat.

Guru Besar SKTM2, Mohamad Alwan Ginen berkata pihak sekolah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan pelajar bersedia menghadapi peperiksaan itu termasuk mengadakan latihan tubi serta membantu pelajar yang lemah secara berkelompok.

Sementara itu, di MELAKA, seramai 15,352 murid menduduki UPSR, iaitu peningkatan sebanyak 3.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Melaka Megat Nasir Megat Hashim berkata daripada jumlah itu 102 calon berkeperluan khas menduduki UPSR termasuk calon yang mengalami masalah pembelajaran, buta, pekak dan rabun.

"Tujuh pelajar hari ini terpaksa menduduki peperiksaan di hospital di negeri ini akibat kemalangan jalan raya dan sakit," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata 228 pusat peperiksaan dibuka di negeri itu pada tahun ini berbanding 230 tahun lepas.

Katanya bilangan petugas peperiksaan juga meningkat 29 orang tahun ini kepada 1,405 berbanding 1,376 orang tahun lepas.

Semetara itu di KEDAH, seramai 40,109 pelajar mengambil UPSR di negeri ini, termasuk Zulshafakin Md Shafar, 12, dari Sekolah Kebangsaan Telaga Mas yang merupakan seorang pelajar orang kurang upaya (OKU).
 
Beliau yang kudung kaki kiri dari paras lutut sejak lahir berkata walaupun tidak sempurna seperti orang lain, beliau yakin mampu bersaing dengan pelajar lain untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dalam UPSR.

Anak petani dari Kampung Telaga Mas yang bercita-cita menjadi pendidik berkata walaupun gementar tetapi yakin mampu untuk memperoleh keputusan UPSR terbaik kerana telah bersedia menghadapinya.

Sementara pasangan kembar Nasrul Shafiq dan Nasrul Shakir Rosmi yang juga anak petani berkata mereka sering mengulang kaji pelajaran di rumah, dan sentiasa menyelesaikan segala kerja rumah bersama serta memberi tumpuan kepada guru semasa sesi pembelajaran dalam kelas.- Bernama