Akhir minggu lalu ketika majoriti rakyat negara ini meraikan sambutan kemerdekaan ke-55 tahun, ada pula segelintir pihak yang mencemari perayaan itu dengan mengedarkan risalah mendesak bendera negara, Jalur Gemilang ditukar dengan satu bendera baru yang turut dikibarkan di perhimpunan Janji Bersih mereka di Dataran Merdeka, malam Jumaat lalu. 

Pada perhimpunan itu juga, berlaku tindakan memalukan dan tidak beradab memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malah ada seorang daripada mereka melondehkan seluar menunjukkan punggungnya ke arah gambar yang sudah dipijak-pijak itu. 
Beginilah tindakan melampau yang berlaku apabila tohmahan dan membenci pemimpin terus dilaungkan hingga boleh mempengaruhi muda mudi, termasuk pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sehingga tidak dapat berfikir dengan waras hanya kerana berjaya dirasuk untuk membenci kerajaan pimpinan UMNO dan BN. 

Tindakan melampau begini tidak menghairankan kerana muda-mudi yang tidak arif dengan perjalanan sebenar sejarah termakan tohmahan Hishamuddin Rais seorang aktivis proreformasi dan penyokong kuat pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hishamuddin adalah juga antara penganjur perhimpunan malam itu. 
Pandangannya yang songsang dipaparkan melalui dua tulisannya dalam lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat, KeadilanDaily. 

Tulisan pertamanya bertajuk 'Berakhirnya Jalur Temberang' dan yang kedua 'Kelentong UMNO pecah, dongeng merdeka terbarai.' Dia dengan megah menulis: "Semenjak saya memiliki talian internet, setiap tahun saya menjadikan bulan Ogos sebagai bulan melawan lupa dan melawan penipuan... Setelah lebih dari sedekad, hasilnya mula kelihatan." 

Perlekeh perjuangan kemerdekaan 
Benarlah hasilnya ialah mengedar risalah mahu menukar Jalur Gemilang dengan bendera merah putih diberi nama Sang Saka yang dilaungkannya sebagai lambang sebenar kemerdekaan negara hanya kerana ia mula digunakan sebuah pertubuhan menentang penjajahan British, Kesatuan Melayu Muda pada 1938. 

Hishamuddin juga memperlekehkan perjuangan kemerdekaan oleh Datuk Onn Jaafar dan UMNO hingga menuduh negara ini sebagai negara ciplak dengan menyatakan Jalur Gemilang adalah ciplak bendera Star Spangled Banner Amerika Syarikat dan Negaraku pula diciplak daripada lagu keroncong popular Indonesia Terang Bulan. 

Bahkan dia turut mentohmahkan bahawa pejuang kemerdekaan sebenar ialah pertubuhan seperti Kesatuan Melayu Muda, Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan Parti Komunis Malaya tanpa mahu mengakui bahawa PKM dan Chin Peng menentang British bukan mahukan Kemerdekaan negara yang berdaulat tetapi untuk mewujudkan sebuah negara satelit Cina Komunis dengan sekali gus menghapuskan institusi Raja Melayu. 

Perjuangan puak berhaluan kiri KMM pimpinan Ibrahim Yaakob juga bukan mahukan kemerdekaan sebenar tetapi mahu bergabung dengan Sukarno untuk mendirikan Malaya Raya. 

Dukung institusi raja-raja Melayu 

Sejarawan terkemuka, Prof Datuk Dr Ramlah Adam menjelaskan bahawa majoriti orang Melayu di Tanah Melayu ketika itu tidak bersetuju dengan perjuangan itu kerana Melayu mendukung institusi raja-raja Melayu dan Islam. 

Ramlah berkata, bendera Sang Saka itu digunakan dalam ceramah PKMM tetapi majoriti rakyat Tanah Melayu menolak perjuangan mereka. Bendera Sang Saka Merah Putih inilah kemudiannya dikibarkan Sukarno sebagai bendera Indonesia pada 1947. 

Hishamuddin menuduh sejarah diselewengkan tetapi dia sendiri yang melakukannya apabila memperlekehkan Jalur Gemilang dan Negaraku sebagai lambang ciplak. 

Jalur Gemilang sememangnya ciptaan tempatan hasil usaha Majlis Raja-Raja pada 1949 selepas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu apabila sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk memperakukan reka bentuk bendera untuk negara yang baru diwujudkan itu. 

Satu pertandingan untuk mereka bentuk bendera diadakan dengan 373 penyertaan. Tiga daripada reka bentuk dipilih ke peringkat akhir dengan satu daripadanya yang melakarkan bendera mempunyai 11 jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri ciptaan seorang arkitek kerajaan Johor, Mohamad Hamzah dipilih orang ramai melalui akhbar Malay Mail. 

Reka bentuk itu diubah suai beberapa kali yang kemudian diteliti Majlis Raja-Raja pada Februari 1950 dan Jalur Gemilang yang ada sekarang diterima oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada April 1950. 

Demikian juga lagu Negaraku bukan diciplak daripada Terang Bulan tetapi dipilih oleh sebuah jawatankuasa dipengerusikan Tunku Abdul Rahman berasaskan kepada lagu rasmi Kesultanan Perak, Allah Lanjutkan Usia Sultan yang diambil daripada lagu La Rosalie sebuah lagu popular di kepulauan Seychelles tanah jajahan Perancis di lautan Hindi ciptaan seorang Perancis, Pierre Jean de Beranger pada pertengahan 1800. Ia dibawa pulang oleh Raja Abdullah ketika dibuang negeri oleh British di kepulauan itu. Liriknya pula dicipta Saiful Bahri. 

Jelas sekali tohmahan Hishamuddin itu tidak berasas.