Khamis, 9 Ogos 2012

Hamidah Osman

Hamidah Osman


hamidahosman

Posted: 09 Aug 2012 09:20 PM PDT

PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN ROMPIN

PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN ROMPIN


PROGRAM BUBUR LAMBUK PPU BAGI DUN TIOMAN...

Posted: 09 Aug 2012 09:39 AM PDT

Sebagaimana biasa,apabila menjelang Ramadan salah satu acara tahunan PPU Rompin adalah mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai.Program bagi DUN Tioman kali ini telah diadakan di Kampung Tengah selaku tuan rumah.Sebanyak 2 periuk besar yang telah dimasukkan di dalam 1000 mangkuk kecil ini telah diedarkan di bazar Ramadan Kuala Rompin.Program ini telah diadakan secara bergotong-royong dengan kerjasama JKKK Kg Temgah.Sesungguhnya semangat kerjasama dikalangan ahli jelas terpancar melalui program seumpama ini.Rata-rata pengunjung yang menerima sumbangan kecil ini begitu gembira dan mengucapkan syabas kepada PPU atas inisiatif ini.PPU juga merakam terima kasih kepada semua yang telah menyumbang tenaga bagi menjayakan program ini.Syabas..

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN


KAWASAN CAMPURAN JADI TARUHAN!

Posted: 09 Aug 2012 08:22 AM PDT


KAWASAN CAMPURAN JADI TARUHAN

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusoff memberitahu BERNAMA dan RTM, di Wisma Radio, Angkasapuri, semalam, Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) dijangka saingan lebih mencabar. Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, buat kenyataan 3 hari lepas, sekarang adalah masa yang sesuai diadakan PRU13, dengan kelebihan berada di pihak Barisan Nasional (BN).

Telahan tarikh PRU13, semakin menepati ramalan, sebagaimana disebutkan ramai di sekitar bulan Jun ini. Tarikh pilihan raya umum, yang biasanya mengejutkan, sejak beberapa siri PRU, adalah sesuatu yang amat menarik tentang amalan demokrasi ala Malaysia, yang lebih berfokus kepada bagaimana nak kekal kerusi, yang kadang-kadang mengotorkan nilai-nilai murni demoktasi itu sendiri.

Walau apa pun, PRU13 sudah dijangkakan banyak pihak amat berlainan dengan 12 PRU yang lalu. Manifestasi dari gelagat pengundi dalam PRU12, serta kutipan hasil dari 18 siri pilihan raya kecil serta pilihan raya DUN Sarawak, setahun yang lalu, menunggu PRU13, seperti menanti mimpi buruk bagi setengah orang dan kabar gembira bagi setengah pihak lain. Satu perubahan sikap yang radikal hasil tuntutan realiti politik semasa, beberapa andaian dan ramalan terdedah untuk diketengahkan kepada khalayak pengundi.

Yang paling menarik untuk diperhatikan ialah corak pengundian di kawasan campuran, kerana trend pengundi di Malaysia, pengalaman PRU12 dan 16 siri pilihan raya kecil, berbeza mengikut ras atau kaum. Tsunami atau perubahan besar PRU12 ialah perubahan sokongan masyarakat India, di mana sebelum ini, mereka adalah hardcore penyokong BN. Antara 60 hingga 65 peratus pengundi India mengundi calon-calon pembangkang utama: PKR, DAP dan Pas, yang mengadakan persefahaman pilihan raya, untuk satu lawan satu dengan BN. Di samping sedikit ayungan undi Cina dan Melayu dari BN ke pakatan pembangkang, khususnya di Semenanjung.

Di Semenanjung, terdapat 46 kawasan pilihan raya (constituency) Parlimen yang boleh dianggap sebagai kawasan campuran: 27 kawasan dengan pengundi Melayu 50 hingga 59 peratus dan 19 kawasan, pengundi Melayu 40 hingga 49 peratus. Dengan lain perkataan , kawasan yang tidak didominasi oleh satu kaum tertentu. Dari 27 kawasan kelompok, pengundi Melayu 50-59 peratus, BN menang 16, pakatan pembangkang: 11. Sementara, kawasan pengundi Melayu 40-49 peratus, BN dapat 8, pembangkang 11. Dari 46 kawasan Parlimen campuran: BN menang 24 dan pembangkang 22 kerusi.

Dengan keseluruhan analisis gelagat pengundian dalam pilihan raya kecil selepas PRU12, di mana 80 peratus pengundi Cina tidak memihak BN, walaupun peratusan pengundi India sudah naik dari 35 peratus kepada 50 peratus dan pengundi Melayu meningkat ke 60 peratus, dengan andaian kadar yang sama berlalu di seluruh negara, BN akan hilang semua 24 kerusi berkenaan.

Sementara 30 kawasan Parlimen, pengundi bukan Melayu menguasai lebih 60 peratus pengundi, dalam PRU12, DAP menang 24, PKR 1 dan BN 5. BN juga akan hilang semua 5 kerusi berkenaan iaitu Kampar, Labis, Keluang, Gelang Patah, dan Kulai. Kampar merupakan kawasan pengundi Melayu paling rendah (26.87%) yang dimenangi BN, sementara yang lain adalah lebih 30 peratus pengundi Melayu: Keluang (37.8%), Gelang Patah (33.55%), Kulai (31.54%) dan Labis (36.62%), semuanya di Johor. Mengetepikan kes ganjil di Kampar, bolehlah disimpulkan, undi BN bergantung kepada undi Melayu. Kampar, satu masa dulu, satu kawasan tradisi pembangkang, yang pernah menghantar Mendiang Fan Yew Teng ke Parlimen, seorang MP DAP yang lantang dan kritis.


Berbalik ke kawasan campuran di mana peratus pengundi Melayu, di antara 50 hingga 59 peratus, BN menang di 16 kawasan menerusi: UMNO 11, MCA 4, Gerakan 1. BN tewas di 11 kawasan yang ditandingan oleh UMNO 6, MCA 3, MIC 2. Perubahan mood pengundi India, menggagalkan MIC mengekalkan Hulu Selangor dan Kapar. 


Dari 16 kerusi dimenangi BN, 12 adalah dari negeri-negeri selatan: Jempol (57.8% pengundi Melayu), Alor Gajah (57.81), Bukit Katil (53.16), Sekijang (54.96), Ledang (52.92), Ayer Hitam (56.39), Batu Pahat (52.78), Simpang Renggam (54.51), Sembrong (54.09), Johor Bahru (51.03), Pulau (50.08), dan Tanjong Piau (50.16). Di samping Bagan Datoh (56.97), Tanjong Malim (51.23), Sepang (58.70), dan Setiawangsa (56.45). 


11 kerusi tradisi BN hilang kepada PKR di 10 kawasan: Sungai Petani, Padang Serai, Kuantan, Hulu Selangor, Ampang, Kapar, Kuala Langat, Wangsa Maju, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak,  dan 1 kawasan kepada Pas: Hulu Langat.


Bagi kawasan pengundi Melayu di antara 40 hingga 49 peratus, BN menang di 8 dari 19 kawasan, melalui MCA di 5 kawasan: Lumut (48.77 peratus pengundi Melayu), Raub (49.12), Bentong (43.06), Pandan (49.34), dan Tebrau (49.34), dan 3 MIC: Tapah (47.27), Cameron Highlands (43.12) dan Segamat (41.25).


BN gagal pertahan kerusi yang dimenanginya dalam PRU10 (1999) dan PRU11 (2004) di 11 kawasan campuran dalam kelompok yang sama, bila calon-calon MCA, MIC dan Gerakan, gagal meraih undi bukan Melayu, kecuali di Nibong Tebal yang ditandingi calon UMNO. PKR menang 7: Nibong Tebal (45.2% pengundi Melayu), Gopeng (42.53), Selayang (44.79), Kelana Jaya (41.88), Subang (49.96), Batu (44.27) dan Teluk Kemang (40.60), DAP menang 3: Puchong (43.58), Seremban (41.82) dan Bakri (43.40), sementara Pas menang 1 kerusi minoriti Melayu: Kota Raja (47.73% pengundi Melayu). 


Dianalisis berdasarkan angka di atas, senario dalam tempoh 4 tahun selepas PRU12, di kalangan pengundi Melayu: 60 peratus menyokong BN, penngundi, Cina pula 80 peratus condong ke parti-parti dalam Pakatan Rakyat, pengundi India, sudah mengubah sokongan dari 35 peratus ke 50 peratus kepada BN, BN akan hilang semua kerusi yang dimenanginya di kawasan pengundi Melayu kurang dari 60 peratus. 


Andaian Pakatan Rakyat dapat kekalkan semua 80 kerusi yang dimenanginya di Semenanjung tambah 24 kerusi campuran dan 5 kerusi dari kawasan majoriti bukan Melayu, menjadikan Pakatan Rakyat akan menang 109 kerusi Parlimen di Semenanjung. Dari corak pengundian dalam Pilihan Raya DUN Sarawak tahun lepas, jika tak berubah, DAP mengatasi BN jika dijumlahkan undi kerusi negeri dalam setiap kawasan Parlimen, di 7 kerusi Parlimen. Tambahan kepada 1 kerusi Parlimen DAP di Sabah, menjadikan 109 + 7 +1, berjumlah 117. Sudah cukup gabungan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan, dengan simple majoriti.


Secara tidak langsung, kewujudan lebih banyak kawasan pilihanraya campuran, tidak lagi menjadi faktor dominant membolehkan BN memanggil PRU13 dengan bergaya dan selesa. Faktor Johor, faktor Sabah dan Sarawak, faktor simpanan tetap, faktor kubu tradisi, dijangka tidak relevan untuk PRU13.  Dari 12 PRU lepas, Parlimen dibubarkan bila pihak kerajaan dalam nafas yang lega serta mempunyai keyakinan yang cukup tinggi. Mungkin, berdasarkan dilema inilah Pengerusi SPR yang sepatutnya berkecuali tidak mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan pihak parti pemerintah akan berdepan dengan PRU yang paling sengit dalam sejarah.



PRU 13 : KAWASAN MELAYU JADI REBUTAN UMNO, PAS DAN PKR.

Posted: 09 Aug 2012 07:59 AM PDT


REBUTAN KAWASAN MELAYU

Kawasan pilihan raya (constituency) yang didominasi oleh pengundi Melayu di Semenanjung adalah sebanyak 89: 42 kawasan memiliki lebih 80 peratus pengundi Melayu, 47 pula di antara 60 hingga 79 peratus. Dalam PRU12 (2008), kawasan ini BN menang 58 kerusi atau 65.18 peratus melalui UMNO 56, MCA 1 (Alor Setar) dan Gerakan 1 (Gerik), Pas dapat 21, sementara baki 12 dimenangi PKR.

Di Sarawak, 8 dari 31 kerusi Parlimen, memiliki pengundi Bumiputera Islam melebihi 60 peratus, sementara di Sabah ada 12 kawasan seumpama itu. BN menang semua kerusi berkenaan, semua 8 di Sarawak melalui Parti Bumiputera Bersatu (PBB), di Sabah, 10 menerusi UMNO, 1 PBS (Batu Sapi 60.1 peratus Bumiputera Islam) dan 1 UPKO (Putatan, 63.0 peratus).

Keseluruhannya BN menang 78 kerusi, di kawasan dalam kelompok majoriti Melayu di Semenanjung dan Bumiputera Islam di Sabah dan Sarawak. Jumlah kerusi Parlimen dalam kelompok ini ialah 109 atau 49.09 peratus,  dengan BN menguasai 71.55 peratus (78 dari 109). Secara mudah, separuh dari jumlah kerusi atau kawasan Parlimen, adalah berada dalam tangan orang Melayu atau Islam.

Berlandaskan pandangan popular semasa yang dikutip hasil dari 16 siri pilihan raya kecil di semua negeri di seluruh negara, kecuali Perlis, selepas PRU12 serta analisis pilihan raya DUN Sarawak tahun lepas, 80 peratus pengundi Cina menyokong parti-parti gabungan Pakatan Rakyat berbanding 50 peratus dalam PRU12. 60 peratus pengundi Melayu menyokong BN. Pengundi India yang sentiasa konsisten memberi undi kepada BN dalam setiap PRU melakukan perubahan drastik dalam PRU12, sokongan mereka kepada BN menurun hingga 35 peratus, berbanding kebiasaannya sokongan mereka kepada BN sekitar 60 -65 peratus. Keadaan bertambah baik, dengan sokongan yang seimbang kepada BN dan Pakatan Rakyat, 50:50.

Jika secara puratanya angka yang sama tidak berubah, parti-parti Pakatan Rakyat dapat mengekalkan semua 82 kerusi yang dimenanginya dalam PRU12, 24 kawasan campuran (kawasan pengundi Melayu di antara 40 - 59 peratus) di Semenanjung, 5 kawasan majoriti Cina di Semenanjung dan 6 di Sarawak, menjadikan 117 kerusi akan memihak ke Pakatan Rakyat (82 + 24 + 5 + 6). Bermakna Pakatan Rakyat dapat kuasai Putrajaya dengan simple majoriti. (Huraian secara terperinci dalam catatan saya: Kawasan Campuran Jadi Taruhan, 18/04/12)

Dalam PRU12, perbandingan antara parti-parti berasaskan akar umbi Melayu di Semenanjung: UMNO, Pas dan PKR, calon UMNO mewakili BN di 17 kawasan  kawasan campuran (Melayu 40-59 peratus), Pas di 7 kawasan, PKR di 30 kawasan. UMNO dapat 11, Pas 2 dan PKR 18 (7 Melayu).

Kini, UMNO telah memainkan beberapa isu untuk menarik simpati pengundi di kalangan pengundi Melayu, agar terus beri sokongan kepada BN dalam PRU13. Ditumpukan kepada 3R (race, religion & royal). Dalam isu raja, dibangkitkan UMNOlah kuasa mempertahankan raja. Isu Nizar derhaka. Isu menghina raja masa pertabalan Yang Dipertuan Agung.

Sedangkan UMNOlah yang memulakan penghinaan terhadap Raja-raja Melayu. Ingatkan semula krisis Perlembagaan 1988 dan 1993. Pendedahan sifat negatif Raja-raja Melayu menjadi berita utama media mainstream masa itu. Isu-isu rasis dihidangkan kepada masyarakat untuk menenggelamkan isu rasuah, nepotisme, kronisme dan ketirisan. Di samping itu, diperbesarkan isu murtad dan pengaruh serta peranan Christianity.

Usaha ini tidak lain adalah untuk mempertahankan dan mempastikan BN dapat menguasai 89 kerusi majoriti Melayu tersebut sebagai benteng pertahan kuasa kerajaan Persekutuan.

Parti-parti dalam Pakatan Rakyat, Pas dan PKR khususnya, mengelakkan bincang isu rasis dan perkauman serta agama, lebih menumpukan nilai-nilai realiti  global: ketelusan, keikhlasan, amanah (thrushworthy), siddiq (honesty), kesamarataan dan keadilan sosial. Pendekatan lebih mengadaptasi dengan keperluan dan pemikiran terbuka pengundi muda. 

Perubahan mood pengundi, idealisme dan realiti politik semasa serta inspirasi dan kehendak first time voters serta pengundi bawah umur 40 tahun, yang menguasai 39.8 peratus pemilih memungkinkan berbagai kemungkinan. Senario dan gelombang serta trend pengundian orang bukan Melayu, juga dapat membantu pengundi baru ini membuat keputusan.

Apa jadi, jika trend pemikiran bukan Melayu kekal dan tak ubah menjelang PRU13, pengundi Melayu akan turut sama ikuti trend ini, demi mengwujudkan sebagai kerajaan perpaduan, berbilang kaum dan mewakili setiap kelompok, akan mengwujudkan swinging undi dari BN. Andainya, berlaku swinging antara 5 hingga 7 peratus perolehan undi BN dari PRU12, BN akan hilang 9 kerusi majoriti Melayu: Arau, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Jerantut, Jerlun, Larut, Sabak Bernam, Kuala Kangsar dan Temerloh. Jika pembahagian kerusi sama seperti PRU12, 7 akan jatuh ke Pas, dan 2 kepada PKR.

Ini akan menambahkan lagi, pungutan kerusi Pakatan Rakyat jika dicampurkan andaian apa akan berlaku di kawasan campuran dan kawasan majoriti bukan Melayu di bandar. Pengundi yang rasional dan pragmatik, tidak dipengaruhi idealisme rasis dan kepuakan sempit, akan melihat negara kita diperintah oleh kerajaan berbilang kaum, memenuhi tuntutan dan realiti komposisi penduduk. Mereka berfikiran sedikian, tidak mahu negara ditadbir oleh satu kaum atau puak, sementara pembangkang pula oleh kaum lain.

PRU13 sangat istimewa dan mendebarkan kepada semua pihak. Awal lagi beberapa kepimpinan dan mantan kepimpinan negara sependapat PRU13 amat mencabar dan paling sengit. Pengerusi SPR pun keluar kenyataan yang sama. Bagi Pakatan Rakyat, PRU13 peluang untuk mengembangkan pengaruh dan menguasai medan perdana politik negara. 

KEPELBAGAIAN KAUM DALAM POLITIK MALAYSIA.

Posted: 09 Aug 2012 07:45 AM PDT


REALITI KEPELBAGAIAN KAUM DALAM POLITIK MALAYSIA

Tsunami Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 (PRU12), meletakkan satu kesimpulan bahawa politik kepelbagaian kaum adalah satu realiti politik baru abad ke 21 di negara kita. Generasi pasca 13 Mei secara beransur-ansur menolak idealisme rasis, kepuakan dan regionalisme. Kesannya, pengundi generasi baru mula mengetepikan politik yang membabitkan unsur-unsur perkauman. 

Justeru itu, beberapa parti politik telah mengambil langkah berani untuk mengikis gambaran berpihak atau fokus kepada puak atau kelompok tertentu sama ada berbentuk ras, pegangan agama atau kedaerahan. Suasana ini lebih diberi perhatian oleh parti-parti politik akhir-akhir ini. 

Sungguhpun UMNO menggambarkan matlamat akhir serta dasar parti membela nasib orang Melayu, realiti politik ini sudah lama dirintis oleh UMNO. Penubuhan UMNO (Baru) dalam tahun 1988, mengubah dasar UMNO, yang diasaskan oleh Dato' Onn Jaafar, 1946. UMNO (Baru) membuka ruang untuk Bumiputera di Sabah, serta membolehkan kaum minoriti seperti masyarakat Thai di Kedah dan Perlis jadi ahli. Keahlian UMNO sudah diperluaskan tafsiran Melayu. 

Pas mula mengambil pendekatan merapati masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu menerusi Chinese Consultative Council (CCC) menjelang PRU 1986. Pas meletakkan 3 calon Cina Muslim dalam PRU 1986: Ali Abdullah @ Lee Kin Kong (P76 Pekan), Ghazali Ho @ Ho Shing Chong (P71 Tanjong Malim) dan Mohd Radhuan Daniel On (P11 Merbok). Semuanya gagal beserta majoriti besar.

Kegagalan percubaan Pas mendekati masyarakat Cina menerusi kerjasama CCC ini, mengubah strategi Pas dalam pilihan umum berikutnya: PRU 1990. Pas tidak ikut serta kerjasama melalui kesepakatan Gagasan Rakyat bersama Parti Melayu Semangat 46, DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS). Pas bersama dalam pakatan Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) dengan Semangat 46, Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) dan Hizbul Muslimin (Hamim). Kerjasama ini berjaya memulihkan serta mengangkat Pas di pentas perdana arena politik tanahair.

Kehendak semasa sebagaimana manifestasi PRU12, batasan perkauman dan agama semakin terpisah sedikit demi sedikit, peranan Kelab Penyokong Pas yang main peranan oleh bukan Islam, membolehkan calon-calon Pas yang bertanding di kawasan campuran mendapat sokongan yang mengkagumkan. Pengundi bukan Islam sudah mengikis tanggapan Pas sebagai sebuah organ berlandaskan agama yang fanatik dan konservatif. Pengundi bukan Melayu dan bukan Islam meletakkan Pas sama seperti parti-parti lain, tanpa prejudis faham perkauman sempit dan tragis. 

Fenomena realiti politik yang mengikis unsur-unsur rasis ini, akhir-akhir ini diikuti sama oleh beberapa parti lain. Sarawak United People's Party (SUPP), parti yang diasaskan Ong Kee Hui dalam tahun 1959, walaupun sebuah parti berbagai kaum, tetapi lebih dominant di kalangan masyarakat Cina Sarawak dan berkubu di kawasan bandar dan semi-urban, menampakkan perubahan. Setelah kehilangan sokongan masyarakat bandar dalam 2 pilihanraya negeri Sarawak: 2006 dan 2011. 

Dalam mesyuarat agung tiga tahun sekali tahun lepas, SUPP di samping memilih kepimpinan baru di bawah Tan Sri Chin Kah Fui, turut juga memilih Dato' Richard Riot Jaem, berbangsa Bidayuh, Ahli Parlimen Serian yang juga seorang Timbalan Menteri Persekutuan, sebagai Timbalan Presiden. Kali pertama seorang kepimpinan tertinggi semenjak 1959, seorang bukan Cina dipilih. Secara tidak langsung, walaupun sebuah parti berbagai kaum, di mana anggota mewakili masyarakat Bidayuh pernah diletakkan calon untuk mendeduki kerusi Council Negeri serta Parlimen. Sejak dulu, SUPP lebih menumpukan ke kawasan masyarakat Cina dan Bidayuh.

People's Progressive Party (PPP) yang diasaskan oleh dua peguam berbangsa Ceylonese terkemuka, D.R. Seenivasagam dan D.P. Seenivasagam, dalam tahun 1955, sebuah parti yang amat berpengaruh di Lembah Kinta, dalam tahun 1950an dan 1960an. PPP lebih popular di kalangan masyarakat bukan Melayu di Perak, menyebabkan parti-parti pembangkang utama masa itu seperti Socialist Front (gabungan Partai Rakyat Malaya & Partai Buruh), DAP, Gerakan, UDP gagal menyaingi PPP di Ipoh dan kawasan sekitar. Apatah lagi MCA dan MIC. 

Sebelum pilihanraya kerajaan tempatan dimansuhkan oleh Seksyen 15, Akta Kerajaan Tempatan 1966, Majlis Perbandaran Ipoh dikuasai oleh PPP, semenjak merdeka. Kepimpinan PPP dikuasai oleh bukan Melayu dan terasnya masyarakat bukan Melayu sebagai penyokong hardcore. 

Penyertaan pertama PPP dalam pilihan raya negeri dan Parlimen ialah dalam PRU1 (1959). PPP menang 8 kerusi DUN (semuanya di Perak): 2 India, 5 Cina dan 1 Melayu. YB Melayu tunggal PPP itu ialah Mohd Ali Fajar Hussien di Dun Pasir Puteh, kawasan majoriti bukan Melayu. Di Parlimen, menang 4 kerusi, semuanya di Perak, menerusi Seenivasam bersaudara dan 2 ahli bangsa Cina. 

Dalam PRU2 (1964), kerusi berkurang kepada 4 DUN dan 2 Parlimen. Seenivasam bersaudara kekal kerusi mereka di DUN dan Parlimen. Tiada calon Melayu menang.  Dalam PRU3 (1969), prestasi PPP meningkat. Menang 4 Parlimen dan 12 kerusi DUN Perak. Dari 12 kerusi DUN: 3 India, 8 Cina dan 1 Melayu. D.R. Seenivasagam meninggal dunia sebelum pulihanraya. Calon tunggal Melayu yang menang tersebut, Shamsuddin Harun (ADUN Sungai Raya) menjadi penyelamat kepada kerajaan Perikatan. Perikatan menjadi buntu hendak bentuk kerajaan negeri, apabila cuma menang 19 kerusi sementara baki 21 kerusi dimiliki oleh parti-parti pembangkang: DAP, Gerakan, PPP dan Pas. Shamsuddin Harun, ahli veteran PPP menyertai UMNO, untuk membolehkan Perikatan bentuk kerajaan tanpa majoriti.

Apabila demokrasi dipulihkan setelah peristiharan Daruruat ditamatkan, PPP bersama beberapa parti pembangkang utama menyertai Barisan Nasional, kecemerlangan PPP menurun dalam sekelip mata. Dalam PRU4 (1974) calon-calon PPP yang bertanding atas nama BN kalah teruk. Lubuk anti-esblishment Lembah Kinta berpindah kepada DAP. S.P.Seenivasagam sendiri gagal di kubunya sendiri, Menglembu, yang telah dimenangi semenjak 1959.
Kedudukan dan peranan PPP semakin mengecil. Tambahan pula kematian S.P. Seenivasagam. Kepimpinan PPP dibawah R.C.M. Rayan gagal mengembalikan kegemilangan rekod PPP di bawah Seenivasagam bersaudara. Kepimpinan PPP bertukar tangan, semuanya cuma mampu muncul mewakili suara PPP melalui perlantikan ketuanya sebagai Senator. 

PPP mula menampakkan peranan sebagai sebuah organ komponen BN yang berwibawa setelah kepimpinan diambil alih oleh seorang peguam, M. Kayveas. Langkah awal PPP ialah menukar nama dari Parti Kemajuan Rakyat kepada Parti Kemajuan Penduduk. Akrinim PPP dikekalkan. Lambangnya dari bintang 6 bucu berwarna merah dan latar belakang putih ditukar kepada bintang 5 bucu berwarna biru. Perubahan imej dari "rakyat" kepada "penduduk" dan "merah" kepada "biru", dapat mengubah tanggapan lama radikal kepada keharmonian. Dari sebuah parti ragional atau keaerahan kepada parti nasional yang keahliannya tersebar tanpa batasan geografi. Walaupun sudah tidak lagi dikenali sebagai sebuah parti Lembah Kinta, sebagaimana tahun 1960an dulu, tetapi keahliannya  berkisar kepada masyarakat bukan Melayu dan bersifat bandar.

Dalam PRU11 (2004) PPP diberi peluang bertanding 1 kerusi Parlimen dan 1 Dun di Perak. Presidennya M.Kayveas menang di kerusi Parlimen Taiping, sementera Lee Seng, Setiausaha Agung parti, kalah di Dun Pasir Berdamar. Kedua-keduanya kawasan majoriti bukan Melayu. Tapi dalam PRU12 (2008), Kayveas gagal pertahan kerusi.

Selepas tsunami politik 2008, PPP melantik Dato' Nik Sapeia Nik Yusof (bekas ahli UMNO) sebagai salah seorang Naib Presiden. Kali pertama ruang diberi kepada ahli Melayu satu jawatan tertinggi dalam parti. Setakat manakah perubahan ini boleh mempautkan orang-orang Melayu menyertai PPP. Atau mungkinkah selepas ini PPP akan mewakili berbagai kaum, tidak lagi berkisar kepada masyarakat bukan Melayu.

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang diasaskan oleh Dato' Zaid Ibrahim setelah beliau mengambilalih kepimpinan Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), memeriahkan lagi iklim politik memenuhi aspirasi kehendak semasa. AKIM yang diasaskan oleh bekas penyokong Pas dipimpin oleh Cikgu Musa Salleh (seorang bekas YDP Pas Kawasan), 18 tahun lalu, bergerak dalam kalangan masyarakat Melayu dan bersifat luar bandar. Ruang penyebarannya berfokus kepada Kelantan saja. AKIM dibubar dan diambilalih oleh KITA, yang mengasaskan perjuangannya kepada moderat, demokrasi dan keadilan, dengan penyebaran keahlian berbilang kaum dan bergerak sebagai parti nasional. KITA jelmaan atas roh AKIM, melakukan perubahan keseluruhan AKIM. 

Parti yang baru berusia 1 tahun ini, mengumpulkan kepimpinan berbilang kaum dari seluruh negara ini, dijangka akan dibubarkan. Dalam masa terdekat ini, parti akan meminta mandat dari perwakilan untuk menguburkan, atas alasan kegagalan penyebaran pengaruh dan kewangan.

Sayang sekali usaha pragmatik merealisasikan politik alaf baru menerusi pembububaran AKIM dan menggantikan dengan KITA ini, mengundur diri dalam tempoh usia yang terlalu singkat.

DAP sebuah parti berbilang kaum dan mengalami kedewasaan dalam arena demokrasi sejak  45 tahun lalu. Sebagai sebuah parti memperjuangkan sosial demokratik dengan asas kesamarataan dapat bertahan dengan sokongan akar umbi dalam masyarakat bandar. DAP dilabelkan sebagai sebuah parti cauvinis Cina, menjaga kepentingan kaum Cina dan meberi saingan kepada MCA dan Gerakan dalam perebutan undi dalam masyarakat bandar.

DAP yang ditubuhkan dalam tahun 1966 terlibat dalam pilihanraya umum pertama dalam PRU3 (1969). Percubaan pertamanya melahirkan 2 orang YB Melayu. Haji Hassan Haji Ahmad menang di kerusi Dun Sirusa, Negeri Sembilan,  menewaskan calon UMNO, di kawasan campuran. Ibrahim Singgeh menang di kerusi Dun Chenderiang, Perak, kawasan majoriti bukan Melayu. 

Dalam PRU4 (1974), selepas persempadanan kawasan pilihanraya, yang memberi kelebihan kepada kawasan majoriti Melayu, memerosotkan sokongan terhadap DAP. Kawasan Sirusa menjadi kawasan majoriti Melayu dan Chenderiang kawasan campuran. Prestasi DAP di kawasan berkenaan merosot. 

Selepas itu, beberapa DAP berjaya mengutarakan beberapa tokoh Melayu sebagai YB ADUN, semuanya di Perak. Mengisi kekosongan yang ditinggalkan PPP yang menyertai BN. Mohd Salleh Nakhoda Itam (ADUN Guntong 1974-1982), Daing Ibrahim Othman (ADUN Pasir Puteh 1974-1978), Mohd Fadzlan Yahya (ADUN Pasir Berdamar 1982-1990, ADUN Lahat 1990-1995), Mohd Asri Othman (ADUN Darmawan 1990-1995).

Semasa jadi wakil rakyat Daing Ibrahim Othman adalah salah seorang Naib Pengerusi DAP Pusat, sementara Mohd Fadzlan Yahya, Ketua Pemuda Sosialis Pusat. 

Bekas tokoh kesatuan sekerja dan bekas Presiden Ceupacs, Ahmad Nor, merupakan satu-satunya Ahli Parlimen DAP Melayu. Beliau menang di kerusi Parlimen Bayan Baru dalam PRU 1990, kawasan campuran. Ahmad Nor adalah salah seorang Naib Pengerusi DAP Pusat.

Selepas PRU 1990, tiada calon Melayu yang bertanding atas nama DAP menang. Ahmad Ton dari Johor dan Zulkifli Nor dari Pulau Pinang, dua orang kepimpinan DAP Pusat, yang beberapa kali bertanding tapi tak pernah menang.

Selepas tsunami 2008 dan kejayaan DAP menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang, di samping kerajaan campuran di Selangor dan Perak, DAP mula melakukan sedikit perubahan disesuaikan dengan arus politik nasional. Tengku Abdul Aziz Ibrahim, dilantik salah seorang Naib Pengerusi DAP Pusat dan mewakili kerajaan Pulau Pinang di Dewan Negara. 

Penyertaan Ariff Sabri Abdul Aziz (bekas ADUN Pulau Manis, Pahang, dari UMNO), Aspan Alias (aktivis veteran UMNO dari Negeri Sembilan), Abdul Wahab Harari (bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan), memulakan senario baru peranan DAP menerjah ke dalam masyarakat Melayu. Imej cauvinis Cina yang dilabelkan sekian lama oleh media arus perdana dan medan fitnah UMNO, menampakkan kelunturan sedikit demi sedikit. Pendekatan pentadbiran kerajaan Pulau Pinang khususnya membina persepsi baru satu bentuk pentadbiran yang telus, toleran dan berkesan, serta menafikan gambaran negatif yang dicanangkan oleh BN, UMNO khususnya, andainya berlaku pertukaran kerajaan.

ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh menegaskan kalau beliau tahu DAP sebuah parti menjaga kepentingan masyarakat Cina, beliau tidak akan sertai parti itu. Beliau yakin perjuangan DAP adalah untuk semua kaum berteraskan keadilan, kesamaan dan kesamarataan.

Realiti politik harapan pengundi generasi lepas merdeka amnya serta generasi pasca Dasar Ekonomi Baru, menolak secara beransur nilai-nilai rasis, kronisme, tindakan-tindakan non-demokratik serta ugutan dan ancaman. Paparan menakut-nakutkan rakyat dengan berbagai teori dan andaian, sudah ketinggalan zaman.

Sebuah kehidupan sosial yang mengutamakan serta penyuburan nilai-nilai demokratik, kesederhaan,  kesamarataan dan ketelusan yang menjamin keadilan menjadi idaman generasi baru. Justeru itu nilai-nilai rasisme, perkauman sempit, serta peraturan-peraturan yang jumud, seharusnya dibersihkan dalam setiap organ politik, demi masa depan Malaysia yang berbilang kaum lebih harmonis.

Idaman kesederhaan melalui konsep wassatatiyah yang baru dipopularkan UMNO, memperlihatkan pengakuan UMNO bahawa politik berbentuk perkauman melampau dan sempit  tidak diperlukan untuk memenuhi tuntutan generasi baru yang menyedari realiti politik abad ke 21.

Catatan di Terminal Larkin, 09.02.2012

PRE PRU 13 : KEBERANIAN PEMIMPIN DAN PENGUNDI CINA

Posted: 09 Aug 2012 07:38 AM PDT


Keberanian Pemimpin Politik Cina

KEBERANIAN KEPIMPINAN POLITIK CINA

Dalam politik kepartian di Malaysia, kepimpinan parti-parti politik yang berteraskan sokongan masyarakat Cina lebih menampilkan keberanian membuat percaturan menerusi pendapat awam. Ini dibandingkan dengan pemimpin politik parti-parti yang didokongi oleh orang-orang Melayu, dan masyarakat lain. Hakikat ini dapat diperhatikan kepada senario sepanjang perjalanan 54 tahun selepas merdeka.

Dengan kata lain, pemimpin politik Cina lebih berani mendedahkan diri kepada percaturan hidup mati. Sungguhpun ada, penglibatan pemimpin Melayu, tetapi lebih menonjol di kalangan politikus Cina. Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1982, Dato' Lee San Choon, Presiden MCA, yang telah 4 penggal menang di kerusi Parlimen Segamat,  mengorbankan diri meninggalkan kerusi selamat, untuk mencabar Pengerusi Kebangsaan dan Pengasas DAP, Dr Chen Man Hin. Dr Chen menangi kerusi Seremban sejak PRU 1969.

Sungguhpun Lee San Choon menang dengan majoriti kecil 845 undi,  dalam sangan "battle of the giants" tetapi ianya satu kejayaan besar mengikut pengiraan politik, kemenangan di kubu musuh, amat menakjukkan. Kemenangan Lee menggambarkan kehendak sebenar orang Cina dan membuktikan kemantapan MCA di bawah kepimpinan beliau. Lee hendak mengesahkan MCA adalah organ yang sebenarnya mewakili suara masyarakat Tionghua.

Selepas berjaya di medan tempur dalam kubu musuh, Lee San Choon meletak jawatan sebagai MP. Dalam pilihanraya kecil parlimen Seremban, Chen Man Hin rampas kembali kerusinya yang hilang dengan majoriti besar.

Kehebatan pengorbanan diulangi sekali lagi dalam PRU 1990. Keistimewaan kepimpinan Dr Lim Chong Eu yang sentiasa berjaya menghadapi beberapa ujian sebelum itu, hadapi cabaran cukup sengit dalam karier politiknya. DAP melalui Projek Tanjong 11, mengetengahkan pemimpin utamanya, Lim Kit Siang, meninggalkan kubunya di Kota Melaka dan Petaling Jaya, berhijrah ke Pulau Pinang untuk mencabar Lim Chong Eu.

Lim Chong Eu punyai charismatic kepimpinan masyarakat Cina. Beliau adalah Presiden MCA selepas Tun Tan Cheng Lock. Setelah hadapi krisis dalam Parti Perikatan pimpinan Tunku menjelang PRU pertama, 1959, beliau meletak jawatan  dan keluar parti. MCA berdepan dengan PRU 1959 dipimpin oleh Tan Siew Sien, anak Tan Cheng Lock. 

Beliau menubuhkan parti multiracial United Democratic Party (UDP) bersama beberapa tokoh semasa yang meninggalkan MCA bersama beliau digabungkan dengan bekas ahli Parti Negara (pimpinan Dato' Onn Jaafar). Antaranya termasuklah Tan Joo Hing (bekas pemimpin MCA), Dato' Zainal Abidin Abas (bekas pegawai tadbir kanan bersama Dato' Onn menubuhkan Parti Negara). Dalam PRU 1964, Lim Chong Eu menang kerusi parlimen tunggal UDP di Tanjung bersama 4 kerusi Dun Pulai Pinang. 

Dalam tahun 1968, Lim Chong Eu menggabungkan tenaga bersama bekas anggota Partai Buruh seperti Dr Tan Chee Khoon, V. Veerapan, V. David bersama ahli akdemik Prof Syed Hussien Alattas dan Prof Wong Gung-wu menubuhkan sebuah parti, Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Dalam PRU 1969, hasil persefahaman DAP-Gerakan-PPP, mengwujudkan pertandingan satu lawan satu dengan Perikatan, membuahkan kejatuhan kerajaan Perikatan pimpinan MCA di Pulau Pinang, serta kebuntuan Perikatan bentuk kerajaan negeri di Perak dan Selangor kerana kegagalan mendapat simple majority. Kedudukan kerusi Perikatan dengan gabungan pembangkang ialah di Perak 19:21, Selangor 14:14. Gerakan bentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang di bawah Lim Chong Eu.

Dalam tahun 1974, Gerakan bersama parti-parti lain yang memenangi kerusi dalam PRU 1969, kecuali DAP, Sarawak National Party (SNAP) dan Partai Rakyat Malaya, membentuk Barisan Nasional. BN diketuai Gerakan terus menguasai Pulau Pinang di bawah Lim Chong Eu.

Dalam PRU 1990, Lim Kit Siang yang mengetuai projek Tanjong 11, berjaya menewaskan Lim Chong Eu, di kerusi Dun Padang Kota dengan majoriti 760 undi. Cabaran "battle of the giants" siri kedua ini, membuktikan kesungguhan hasrat DAP menguasai kerajaan Pulau Pinang dan menjuarai hasrat masyarakat Cina. Walaupun gagal kuasai kerajaan tetapi DAP memiliki kerusi terbanyak dalam DUN Pulau Pinang iaitu 14, UMNO 11, Gerakan 7, MIC 1. MCA totally out. 

Hebatnya pegangan politikus Cina di Malaysia, selepas kemerosotan MCA dalam PRU 1969, semua Ahli Parlimen MCA menolak sebarang jawatan dalam kerajaan.

Di kalangan kepimpinan parti-parti politik Melayu, belum ada keberanian sedekian rupa dilakukan oleh kepimpinan parti dominan iaitu UMNO dan Pas. Tiada pemimpin besar Melayu meninggalkan kubu dan menyerang medan musuh.

Semasa Tun Hussien Onn jadi Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, beliau cuma dicabar oleh kepimpinan Pas negeri iaitu Hassan Hussien (Pesuruhjaya Pas Johor) dalam PRU 1978, di Sri Gading.

Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai BN dalam 5 PRU. Cabaran utamanya ialah bila PRU pertama beliau sebagai Perdana Menteri, PRU 1982. Beliau ditentang oleh Yusoff Abdullah Rawa, Timbalan Presiden Pas di Kubang Pasu. Yusoff Abdullah Rawa pernah menewaskan Dr Mahathir dalam PRU 1969 di Kota Setar Selatan (sekarang parlimen Pendang).

Dalam PRU 1986, beliau dicabar oleh Dr Azizan Ismail, lebih dikenali sebagai usahawan berjaya dan kurang dikenali dalam politik nasional. Dr Mahathir pernah dengan sinis menyifatkan Dr Azizan adalah calon utana PM, kiranya BN kalah.

PRU 1990 manifestasi dari percubaan BN menghadapi rakyat setelah UMNO diharamkan serta ujian pertama bagi UMNO (Baru). Pas bergabung dalam pakatan Angkatan Perpaduan Ummah bersama Parti Melayu Semangat 46, Berjasa dan Hamim, melepaskan kerusi Kubang Pasu kepada Presiden Hamim, Dato' Sudin Wahab. Sudin Wahab adalah bekas ADUN Pas. Inilah kali pertama, saya kira ketua parti lawan ketua parti dalam kawasan majoriti Melayu.

Dalam PRU 1995, Pas meletakkan Ahmad Mohd Alim, bekas pegawai polis. Calon yang agak asing dalam calculus politik nasional, untuk mencabar seorang PM.

Di saat BN serta Dr Mahathir sendiri hadapi cabaran getir dalam PRU 1999, Pas menghantar tokoh nasionalnya seorang AJK Pas Pusat Ahmad Subky Abdul Latiff ke Kubang Pasu untuk bertembung dengan PM.

Begitu juga sebaliknya di pihak UMNO. Sebagai perbandingannya yang relevan ialah Menteri Besar Kelantan, Tuanguru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA), kerana penggal kepimpinannya agak panjang. Calon-calon yang diletakkan oleh UMNO/BN menentang TGNA semasa dan sebelum beliau memegang jawatan MB, terdiri dari tokoh-tokoh peringkat bahagian sahaja.

Dalam PRU 1990 yang menghasilkan keputusan yang amat luar biasa, rasionalnya belum ada mana-mana kerajaan yang gagal memenangi sebarang kerusi dan gagal jadi pembangkang dalam DUN atau Parlimen. Itulah natijah dari kematian UMNO 1988. Kekalahan kerajaan Pas 1978, boleh hantar 2 wakil sebagai pembangkang dalam DUN.

Dalam PRU 1990, TGNA yang mempertahankan kerusi negeri Semut Api yang dimenanginya dalam PRU 1986, dicabar oleh bekas ADUN Pas kawasan berkenaan, Wan Mamat Wan Yusoff.

Kawasan pilihanraya Dun Semut Api ditukar nama kepada Cempaka, selepas persempadanan kawasan pilihanraya dan mula digunakan dalam PRU 1995. TGNA yang bertanding di Cempaka dalam PRU 1995, dicabar oleh Yusoff Isa, pemimpin tempatan.

PRU 1999, zaman merudum kali kedua bagi UMNO/BN, UMNO meletakkan Ropli Ishak, juga pemimpin peringkat bahagian. Diikuti Rohani Mamat, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pengkalan Chepa dalam PRU 2004 dan Dato' Dr Nik Mohd Zain Omar, Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa dalam PRU 2008.

Begitu jugalah, semasa Dato' Sri Tuan guru Abdul Hadi Awang mempertahankan kerusi DUN nya semasa memegang jawatan Menteri Besar, beliau cuma ditentang oleh pemimpin UMNO peringkat bahagian, Dato' Tengku Zainuddin Tengku Zahid, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Marang.

Keberanian politikus Melayu adalah berjuang di gelanggang sendiri. Dato' Shahrir Abdul Samad, yang dipecat jawatan Menteri Kebajikan Masyarakat dalam tahun 1988, letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru. Beliau bertanding semula dalam pilihanraya kecil tahun berkenaan, sebagai calon bebas berjaya mempertahankan kerusinya mengalahkan calon BN dan PSRM. Kemenangan dengan majoriti  6,000 undi cukup besar bagi seorang calon bebas.

Hari ini, sayang adanya pindaan Perlembagaan di bawah Fasal (6) Perkara 48 Subseksyen 6(5) Jadual Kedelapan Perlembagaan Persekutuan: menghalang Ahli Dewan Rakyat dan ADUN yang letak jawatan bertenading semula dalam tempoh 5 tahun, mulai tarikh perletakan jawatannya.

Jika tidak bolehlah rakyat dan khalayak awam saksikan sejauhmana wakil rakyat yang melompat parti dan dapat semula mandat dari pengundi menerusi proses pilihanraya kecil. Di sinilah ruangnya bagi rakyat melihat sejauhmana opportunistik, kecekalan dan keberanian serta pengorbanan seseorang wakil rakyat yang diberi amanah.

Harapannya sama ada kerajaan yang ada sekarang kekal mempertahankan Putrajaya atau kerajaan baru yang akan dibentuk selepas PRU13 nanti, Fasal 6 Perkara 48 Subseksyen 6(5) Jadual Kedelapan Perlembagaan itu  dipinda demi menjernihkan dan memurnikan nilai-nilai demokratik dan keadilan sejagat, yang menjadi impian dan tuntutan setiap insan.


PRE PRU 13 : SETAKAT MANA FAKTOR POPULARITI TOKOH MEMPENGARUHI PENGUNDI.

Posted: 09 Aug 2012 07:33 AM PDT


Populariti Tokoh

POPULARITI TOKOH DAN PENGUKUR KEMENANGAN PARTI

Sikap dan corak pengundian kaum Cina menjadi parameter keyakinan dan kekuatan pihak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), menyusunatur persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). PRU13 yang belum pasti tarikhnya dan sering kali disebut, sejak UMNO menangguhkan pemilihan kepimpinan 3 peringkat: cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi.

Rumusan dari Persidangan Meja Bulat, anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) minggu lepas, berfokus kepada PRU13, memberi sedikit kelegaan kepada BN, kerana ada beberapa kertaskerja yang menggambarkan kesan positif selepas PRU12 kepada BN. Hasil dapatan kajian Dr Rohana Yusoff dari UUM, menunjukkan majoriti responden menyimpulkan kerajaan negeri Kedah di bawah Pakatan Rakyat kurang berjaya melaksanakan janji pilihan raya.

Kontradiknya, kajian di Sabah pula, menjangkakan BN akan kehilangan 60 peratus kerusi Parlimen, di negeri fixed depositnya. Pemerhatian empirikal Zainon Ahmad dari akhbar The Star: orang Cina di Pantai Barat Semenanjung masih dibaluti rasa tersinggung, sikap serta pendekatan rasis ahli-ahli politik UMNO.

Kajian Dr Fuad Mohd Jali dari UKM, hasil dari 1000 responden di Lembah Kelang, peratus sokongan kepada DS Najib telah meningkat sehingga berakhir setengah tahun pertama 2012, di mana 75 peratus orang Melayu menyokong DS Najib, sementara peratus sokongan kepada DS Anwar Ibrahim dan TG Nik Abdul Aziz menurun. 71 peratus di kalangan masyarakat India dan 69.6 peratus dari kaum Cina, meletakkan Najib sebagai tokoh paling poular. Lebih 80 peratus dari responden masyarakat Bumi Sabah dan Sarawak, menyokong DS Najib.
Peningkatan populariti DS Najib kesan dari beberapa elemen yang dipersembahkan: slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, Model Baru Ekonomi, Kedai Rakyat 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan Rumah Pertamaku. Impaks dari perkara tersebut, sedikit sebanyak berjaya menjernihkan lingkaran tsunami politik 2008.

Dapatan dari Merdeka Centre, menyusul kemudian, menjelmakan berlakunya peningkatan sokongan orang Cina kepada Najib, dari 37 peratus (dalam bulan Mei 2012) ke 42 peratus (dalam bulan Jun), dari keyakinan terhadap pengenalan elemen dan dasar baru kerajaan. 

Sebaliknya, peratusan sokongan orang Melayu dan India telah menurun, berlainan beberapa kajian awal sebelum ini. Sokongan dari kaum Melayu menurun dari 79 peratus ke 75 peratus, dan dari 72 peratus ke 69 peratus bagi masyarakat India. Keseluruhannya tahap populariti Najib telah menurun sebanyak 1 peratus dari 65 peratus ke 64 peratus, dalam tempoh sebulan.

Hasil kajian sebuah NGO, dalam bulan Jun, Centre for Strategic Engagement (CSE), menyimpulkan bahawa berlaku peningkatan 8 peratus sokongan orang Melayu kepada UMNO selepas tsunami politik 2008. Ini adalah kesan dari beberapa dasar baru kerajaan serta pembaharuan dalam pengurusan pentadbiran, di samping penambahbaikkan jentera UMNO, khususnya di peringkat asas: akar umbi. Perubahan-perubahan di bawah kepimpinan Najib, dapat sedikit sebanyak menarik semula pengundi Melayu dan luar bandar ke BN.

Dalam konteks politik pilihan raya, apakah populariti seseorang tokoh akan melonjakkan serta mencerminkan sokongan rakyat kepada parti. Ini masih boleh dihujah dan diteliti ketepatannya. Berdasarkan beberapa sampel dari pengalaman lampau dalam sejarah politik pilihan raya tanah air, ianya mengambarkan populariti dengan prestasi parti.

Dato' Onn Jaafar, seorang pemimpin yang cukup popular. Beliau pemimpin populist atas 3 asas: Pengasas UMNO, keluarga bangsawan, ketua sebuah kerajaan (Menteri Besar Johor). Dalam pilihan raya pertama, Pilihan Raya Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu, 1955; parti kepimpinannya (Parti Negara) dan dirinya sebagai calon, yang bertanding di Johor, ditolak rakyat. Calon-calon Parti Negara, bahagian besarnya bekas pegawai tadbir, seolah-olah mewakili kelas aristokrat. Dari segi populariti jauh terkedepan berbanding calon-calon UMNO dan Pas, masa itu.

Dalam pilihan raya pertama selepas merdeka, Pilihan Raya Umum 1959 (PRU1), beliau menang kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan. Parti Negara juga menang 3 dari 4 kerusi DUN dalam kawasan Parlimen berkenaan; Batu Burok, Ladang dan Bukit Besar. Inilah kerusi Parlimen tunggal kemenangan bagi Parti Negara. Bila Dato' Onn meninggal dalam tahun 1962, Parti Negara menerusi gagal mempertahankan kerusinya, dalam pilihan kecil. 

Asasnya, sebagai parti serpihan UMNO tetapi sebuah parti berbilang bangsa, tetapi pemusatannya adalah Melayu dan luar bandar. Dalam PRU1, Parti Negara meletakkan 10 calon Parlimen dan 30 calon untuk dewan negeri, semuanya Melayu kecuali seorang calon Cina.


Dalam PRU2 (PRU 1964), Parti Negara, meletakkan 4 calon di peringkat Parlimen, semuanya di Terengganu. Ketuanya Gharieb Abdul Raof yang memperolehi 5,345 undi ditewaskan lebih 4,000 undi oleh calon Perikatan, di kerusi Kuala Terengganu Selatan. Sementara 3 calonnya yang lain semuanya hilang wang pertaruhan: Kuala Terengganu Utara (1,020 undi), Dungun (562 undi) dan Terengganu Tengah (383 undi), dalam saingan 3 dan 4 penjuru bersama Perikatan, Pas dan Socialist Front (SF). PRU2 adalah kali terakhir Parti Negara bertanding, yang secara tidak langsung semakin layu dengan pemergian Dato' Onn.

Dr Lim Chong Eu (kemudian Tan Sri), Pengerusi MCA (sekarang Presiden) yang kedua selepas pengunduran Tun Tan Cheng Lock, meletak jawatan ekoran tidak puas hati agihan kerusi pilihan raya, menjelang PRU1. Ketokohan beliau, terus utuh sungguhpun tidak berada di barisan kepimpinan negara. Ujian populariti beliau sebagai pemimpin masyarakat Tionghua, ditonjolkan menerusi organ politik. Beliau berjaya mengumpulkan bekas kepimpinan MCA dan cendekiawan Cina, bersama bekas kepimpinan dan penyokong Parti Negara, menubuhkan United Democratic Party (UDP) dalam tahun 1962. 

Ujian pertama UDP ialah dalam Pilihan Raya Majlis-majlis Tempatan, 1963. UDP berjaya memenangi beberapa kerusi msjlis berkuasa tempatan dan telah menunjukkan asas-asas pertapakan di Pulau Pinang dan sebelah utara Semenanjung. 

Dalam PRU2, UDP meletakkan 27 calon Parlimen: 18 Cina, 8 Melayu dan 1 India, di samping calon-calon untuk dewan negeri, bertanding di seluruh negara, kecuali negeri-negeri Pantai Timur. Menampakkan asasnya walaupun parti berbilang kaum, tetapi bersifat sebuah parti mewakili Cina dan kota. 

Dalam PRU itu, UDP menang 1 kerusi Parlimen dan 4 kerusi DUN di Pulau Pinang sahaja. Dr Lim Chong Eu menang kerusi Parlimen Tanjong dan kerusi Kota. UDP juga menang di kerusi Tanjong Barat, Tanjong Utara dan Tanjong Bunga. UDP menang 3 dari 4 kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Tanjong.

Kemenangan UDP tersebut sama dengan kemenangan Parti Negara dalam PRU1. Kemenangan parti lebih berfokus kepada kemenangan atas populariti dan ketokohan peribadi pemimpin parti. Kemenangan kerusi-kerusi DUN disebabkan kemenangan kerusi Parlimen. Di kawasan lain, calon Parti Negara dalam PRU1 dan calon UDP dalam PRU2, sebahagian besarnya hilang wang pertaruhan, begitu juga prestasi Parti Negara dalam PRU2.

Dalam PRU2, penyertaan UDP disertai Parti Tindakan Rakyat (Petir atau PAP) yang bertapak di Singapura, telah memecahkan undi pembangkang, undi anti-establishment dan undi tidak berparti, memberikan kemenangan besar kepada Perikatan menerusi calon-calon MCA di kawasan perbandaran. Berlakunya pertandingan melebihi 2 penjuru di kebanyakan kawasan antara Perikatan, UDP, SF, Petir dan PPP. 

Kawasan berkenaan cuma menyumbangkan 6 orang Anggota Parlimen berbanding 16 wakil kawasan berkenaan dalam Parlimen Pertama (1959-1964). Mereka adalah: Dr Lim Chong Eu (UDP-Tanjong), Lim Kean Suew (SF-Datok Keramat), Dr Tan Chee Khoon (SF-Batu), D.R.Seenivasagam (PPP-Ipoh), S.P.Seenivasagam (PPP-Menglembu), J.V.Devan Nair (Petir-Bangsar). Mereka adalah pemimpin utama parti masing-masing dan semuanya outspoken Parliamentarians bagi Parlimen Kedua. 

Di kawasan Parlimen Bangsar, calon Petir, Devan Nair, tokoh trade union Singapura mengalahkan tokoh kesatuan sekerja dan pemimpin Partai Buruh yang bertanding atas tiket SF, V.David, di kawasan kubu kuat gerakan kesatuan sekerja. Perolehan undi: Petir  13,494 undi, SF  12,686 undi, calon Perikatan  9,761 undi dan calon PPP 2,219 undi. 

Namun begitu, ketokohan Devan Nair (sedekad kemudiannya, Presiden Republik Singapura), gagal membantu prestasi undi 8 calon Parlimennya yang lain, yang semuanya hilang wang pertaruhan. 

Bagi Dr Lim Chong Eu, hayat UDP tidak lama. Tahun 1968, UDP dibubarkan membolehkan semua ahlinya bersama bekas kepimpinan Partai Buruh Malaya dan beberapa tokoh akademik, mengasas dan menubuhkan sebuah parti multi-racial, Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Dalam PRU3 (PRU 1969), Gerakan di bawah kempimpinan Prof Dr. Syed Hussien Alattas, mewujudkan satu persefahaman pilihan raya (electoral pact) dengan DAP, untuk menggelakkan pertindihan kawasan atau mewujudkan saingan satu lawan satu dengan Perikatan. Hasilnya, Gerakan berjaya menumbangkan kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh MCA bersama UMNO dan MIC. Dr Lim Chong Eu, Timbalan Pengerusi Gerakan, yang mempertahanakan kerusinya di DUN Kota dan Parlimen Tanjong, diberi mandat mengepalai kerajaan negeri.

Selepas pengunduran Dr Syed Hussien, Dr Lim diangkat sebagai Pengerusi Gerakan Pusat, menerusi penyertaan Gerakan ke dalam BN, beliau berjaya mempertahankan kerusi Ketua Menteri sehingga PRU8 (PRU 1990), bila digagalkan oleh Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP di kerusi Padang Kota.

Lim Kit Siang berjaya tumpaskan Dr Lim Chong Eu di kerusi negeri, yang memberikan kerusi DAP menguasai 14 kerusi dari jumlah 33 kerusi DUN, mengesahkan populariti tokoh boleh membantu kemenangan parti. 

Kemasukan Gerakan ke dalam BN, 1974, telah memecahkan keanggotaannya kepada 3 fraksi: kekal dalam Gerakan bersama BN, menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas) dan Parti Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA).

Dr Tan Chee Khoon, amat popular sewaktu menjadi Ahli Parlimen dan ADUN Selangor setelah memenangi PRU2. Politikus yang paling lantang, kritis dan rajin. 

Dalam PRU2, beliau cuma menang 2 undi di kerusi Kepong (DUN Selangor), beliau yang bertanding atas tiket SF, dapat 7,487 undi mengalahkan Chan Khoon Hoon, dari MCA/Perikatan yang dapat 7,485 undi. Di kerusi Parlimen Batu, beliau juga menang tipis, 348 undi. Beliau dapat 10,122 undi, sementara Yap Chin Swee (MCA/Perikatan) 9,774, calon Petir, Dr Too Chow Ching, 2,459 undi. Yap Chin Swee, Setiausaha Politik Perdana Menteri (Tunku) dan calon harapan Perikatan.

Populariti Dr Tan Chee Khoon dalam tempoh 5 tahun, membolehkannya kemenangan cemerlang dalam PRU3. Beliau menang dengan majoriti besar di kedua-dua kerusi yang dipertahankannya. Kali ini beliau bertanding atas tiket Gerakan. Di kerusi Kepong, majoriti undi beliau telah meningkat ke 7,019 undi  mengalahkan lawannya dari Perikatan, Lee Kim Sai, yang dapat 6,291 undi. Dr Tan dapat 13,310 undi.

Di kerusi Parlimen Batu, beliau perolehi 22,720 undi untuk mengalahkan sekali lagi calon Perikatan, Yap Chin Kwee, dengan majoriti 13,948 undi. Undi calon Perikatan cuma 8,772 sahaja, lebih rendah dari PRU2.

Dr Tan Chee Khoon, bersama kumpulannya yang terdiri bekas kepimpinan Partai Buruh dan kesatuan sekerja, menubuhkan Pekemas. Dalam PRU4 (PRU 1974), prestasi calon-calon Pekemas tidak memuaskan. Populariti Dr Tan Chee Khoon, Pengerusi Pekemas, sebagai Ketua Pembangkang Parlimen, menyelamatkannya memenangi kerusi tunggal untuk Pekemas. Di Parlimen Kepong, beliau memperolehi 9,858 undi untuk mengalahkan calon Gerakan/BN, Dr Tan Tiong Hong, yang dapat 9,192 undi, dengan majoriti 666 undi. Calon DAP, dapat 4,296 undi. 

Dr Tan juga bertanding di kawasan majoriti Melayu untuk iaitu kerusi Gombak bagi DUN Selangor. Popularitinya gagal di kawasan ini. Beliau ditewaskan oleh calon UMNO/BN, Zakaria Yahya, yang dapat 7,452 undi, Dr Tan 2,665 undi dan calon DAP , Gangga Nayar 1,272 undi sahaja.

Calon-calon Pekemas dari kalangan bekas Anggota Parlimen Gerakan, semuanya tewas dan hilang wang pertaruhan, kerana pertandingan sebenar adalah antara BN dan DAP. Undi calon Pekemas duduk di tempat ketiga atau keempat. Mereka adalah; V.David (Jelutong), V.Verappan (Nibong Tebal) dan Yeoh Teck Chye (Kuala Lumpur Bandar).

Dalam PRU5 (PRU 1978), Dr Tan Seng Giaw, yang diasuh untuk menggantikan Dr Tan Chee Khoon di Kepong, gagal mempertahankan kerusi Pekemas, bila beliau ditewaskan oleh Dr Tan Tiong Hong, calon Gerakan/BN, dengan 2,228 undi, apabila Tiong Hong dapat 20,055 undi, Seng Giaw 17,827 undi, sementara calon DAP, Khoo Chin Tow dapat 9,971 undi.

Dalam PRU5 (PRU 1978), V.David bertanding atas tiket DAP, selepas meninggalkan Pekemas, di Parlimen Damansara, beliau menang setelah perolehi 21,461 undi, berbanding undi calon BN 18,239 undi, calon Pas 5,386 undi dan calon Pekemas hanya 161 undi sahaja.

Begitu juga dengan Dr Tan Seng Giaw. Beliau berjaya setelah sertai DAP dan bertanding atas tiket DAP dalam PRU6 (PRU 1982) di kerusi Parlimen Kepong. Beliau menang setelah perolehi 29,368 undi berbanding Kerk Choo Ting (Gerakan/BN) 28,165 undi. Beliau menang dengan majoriti 1,205 undi. Seterusnya beliau menang 6 kali berturut di kerusi yang sama hingga kini, dengan peningkatan majoriti: PRU7 16,513 undi, PRU8  22,352 undi , dan terakhir PRU12  23,848 undi.

Seorang wakil rakyat yang secara realiti mencapai kejayaan kerjayanya atas kapasiti peribadi ialah bekas ADUN Selangor kawasan Batu Laut, Abdul Jabar Mohd Yusoff. Beliau bertanding buat kali pertama dalam PRU4 (PRU 1974) sebagai calon bebas. Beliau adalah bekas ahli UMNO, bertanding sebagai calon bebas atas desakan segelintir ahli yang tidak dapat menerima calon yang dikemukakan parti.

Dalam PRU4, beliau perolehi 3,183 undi untuk mengalahkan Abdul Samad Maharuddin (BN) yang perolehi 1,953 undi. Menang dengan majoriti 1,230 undi. Abdul Samad adalah Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor.

Dalam PRU5, atas kecemerlangan perkhidmatannya, beliau berjaya meningkatan majoriti kemenangan sebanyak 1,530 undi. Undi calon BN, Mohd Yusoff Dahlan cuma 2,513 berbanding undi Abdul Jabar sebanyak 4,043 undi. 

Dalam PRU6, Abdul Jabar atau lebih dikenali Cikgu Jabar, berjaya pertahankan kerusi tetapi dengan undi yang merosot. Beliau memperolehi 3,885 undi untuk mengalahkan calon BN, Shahrom Haji Maasom, yang dapat 3,625 undi dan calon Pas, Paujan Haji Siraj, 294 undi sahaja. Menang dengan majoriti kecil, sebanyak 260 undi.

Dalam tahun 1986, Abdul Jabar menyertai sebuah parti baru, yang diasaskan oleh bekas anggota UMNO, yang dikepalai oleh Dato' Raja Nasrom Raja Ishak, bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor dan Zainuddin Mohamad, iaitu Parti Nasionalis Malaysia atau ringkas Nasma, sebuah parti berbilang kaum. 

Abdul Jabar bertanding dalam PRU7, atas tiket parti baru, untuk pertahankan kerusinya serta mencuba di kerusi Parlimen. Beliau ditewaskan dengan majoriti besar oleh calon BN, Sairun Haji Abdul Hamid, yang perolehi 6,993 undi, di mana Abdul Jabar (Nasma) 2,009 undi sahaja, Paujan Haji Siraj (Pas) 488 undi dan Tan Siew Seng (SDP) 266 undi.

 Sementara di kerusi Parlimen Sepang, undi beliau cuma 2,757 undi berbanding Mohd Shariff Jajang (BN) 18,253 undi, K. Ramasen (DAP) 7,092 undi dan Tan Siew Seng (SDP) 439 undi.

Kegagalan Abdul Jabar menjelaskan populariti beliau gagal mencetuskan penerimaan masyarakat terhadap sebuah parti baru. Sebagai sebuah parti baru, cuba menggunakan populariti Abdul Jabar, membantu meluaskan pengaruh. Karier politik beliau berakhir di situ.

Ahmad Nor yang meletakkan namanya popular menerusi jawatan Pengerusi Ceupacs, meletak jawatan sebagai pemimpin NGO berkenaan kerana kecewa dengan dasar kerajaan dalam tahun 1980an, menyertai politik menerusi parti SDP (Socialist Democratic Party), untuk meneruskan perjuangan kelas pekerja. 

Beliau mengetuai SDP menyertai PRU7 (PRU 1986). Beliau cuma mampu meraih 6,112 undi di Parlimen Lembah Pantai, berbanding Abdul Razak Abu Samah (BN) 21,408 undi dan Yap Kew Sing (DAP) 8,868 undi.  Di peringkat DUN, beliau bertanding di kawasan kubu kaum pekerja iaitu kerusi Kelana Jaya. Ahmad Nor cuma dapat 800 undi, menduduki tempat ke 4, dalam persaingan 5 penjuru.

Tokoh silat Melayu, Omar Din Mawai Din, yang bertanding sebagai calon SDP menumpang popularitinya Mahaguru Seni Silat, cuma dapat 477 undi dalam persaingan 4 penjuru di kerusi Parlimen Batu. 

Kegagalan menjuarai perjuangan kaum pekerja menerusi Ceupacs dan SDP, mengalihkan Ahmad Nor ke DAP. Dalam PRU8 (PRU 1990), beliau diletakan DAP bertanding di kawasan padat kelas pekerja iaitu di kerusi Parlimen Bayan Baru. Beliau berjaya memasuki Parlimen setelah perolehi 25,853 undi untuk menewaskan calon BN, Khor Gaik Kim, yang dapat 23,513 undi.

Dalam PRU9, populariti sebagai tokoh sekerja, gagal mempertahankan kerusi berkenaan. Beliau ditewaskan majoriti 6,439 undi oleh calon BN, Wong Kam Hong (32,190 undi), Ahmad Nor (25,351 undi), di kala pengundi bukan Melayu di seluruh negara mengalih arah ke BN. Tokoh DAP, Karpal Singh, yang mempertahankan kubunya buat kali kelima, cuma mampu menang tipis 283 undi di kerusi Parlimen Jelutong.

Usaha pasukan pembangkang menerusi pakatan Ming Court yang membawa kepada Pilihan Negeri Sarawak 1987, menggunakan populariti Tun Abdul Rahman Yaakub, bekas Yang Dipertua Negeri dan bekas Ketua Menteri, gagal menjatuhkan kerajaan BN Sarawak. Walaupun gabungan Permas-PBDS kalah tipis, tetapi Tun Abdul Rahman sendiri kalah di kerusi yang ditandinginya. 

Tun Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara, yang bertanding atas tiket Parti Semangat 46, cuma perolehi 10,058 undi berbanding calon BN, Shahrizat Jalil, 23,447, bila bertanding di kerusi Lembah Pantai, dalam PRU9, sewaktu undi pembangkang mulai beralih ke BN, di seluruh negara, berbanding PRU8.

Dalam PRU10, beliau menang besar bila bertanding di kerusi DUN Jertih, Terengganu, sebagai calon Pas, di waktu rakyat menolak BN, khususnya di kalangan pengundi Melayu.

Dari beberapa sample di atas dapatlah disimpulkan bahawa populariti seseorang tokoh boleh memenangkan parti berasaskan kepada faktor senario politik semasa, senario politik tempatan dan geografi politik. Populariti tokoh lebih besar peranannya di kawasan perbandaran dan kawasan pengundi berpendidikan berbanding pengundi di kawasan luar bandar. Ini lebih dipengaruhi faktor akses maklumat, isu-isu tersirat dan realiti penerimaan isu nasional dan tempatan oleh pengundi.

Dr Azmi Hassan dari UTM dalam responsnya kepada rumusan Persidangan MPN; populariti Najib bukan pengukur kemenangan BN. Sokongan kepada dasar serta pembaharuan dan berbagai transformasi, bukan mencerminkan sokongan parti yang dipimpin oleh tokoh. Sokongan kepada parti lebih banyak dipengaruhi oleh beberapa faktor penentu yang lain. 

Dr Shamsul Adabi Mamat dari UKM, menghujah bahawa pengundi di kawasan luar bandar, mengundi bukan kerana tokoh tetapi memilih parti, hasil dari pemerhatian dan kajian analitikalnya. 

Justeru itu, faktor populariti tokoh bukanlah faktor determinat yang menentukan kemenangan atau perluasan pengaruh parti. Faktor dasar parti, prestasi parti dan kerajaan, serta analitikal realiti keperluan masyarakat semasa yang lebih bersifat penyuburan nilai-nilai demokrasi. Populariti tokoh lain belum diuji, kerana belum menerajui kerajaan Persekutuan, yang mana bdang kuasa lebih luas dan lebih kukuh, berbanding penerajuan sebuah kerajaan negeri. 

nukilan : MOHD ZAIN MAHMOOD. 

SIRI 5 : HUKUM AHLI PAS MENGUNDI DAP ?

Posted: 08 Aug 2012 05:41 PM PDT



Setuju saranan tidak sokong DAP



Sekretariat Ulama Muda Malaysia bersetuju dengan saranan seorang tokoh agama di Tumpat, Kelantan supaya umat Islam tidak menyokong DAP kerana mendakwa parti itu secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam.

Pengerusi jawatankuasa kerja sekretariat tersebut, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, umat Islam perlu berfikir dan bermuhasabah sebelum membuat pilihan agar tidak memilih berlandaskan nafsu atau dendam yang membawa padah buruk.

"Apa yang saya dapat lihat, agenda DAP berbeza dengan MCA dan MIC kerana mereka ini digolongkan sebagai bukan kafir harbi yakni tidak membawa sebarang kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umatnya," katanya mengulas kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah semalam bahawa umat Islam tidak boleh menyokong DAP kerana ia haram serta berdosa.

Gesaan itu adalah ekoran pendirian Pas untuk terus bekerjasama dengan DAP sedangkan pengerusi DAP Karpal Singh berkeras supaya Pas menggugurkan niat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.

Fathul Bari meminta rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam meneliti semula sejarah penubuhan parti Pas, UMNO dan DAP supaya dapat memahami pendekatan yang dibawa setiap parti.
"Allah telah mengurniakan akal serta fikiran, jadi kita perlu memanfaatkan kurniaan itu dan tidak mensia-siakannya," katanya di sini hari ini.

Tambahnya, umat Islam perlu mendidik golongan bukan Islam serta mendekatkan diri dengan mereka agar golongan ini menerima maklumat tepat mengenai dakwah Islam yang suci dan murni.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) Ismail Mina Ahmad berpendapat umat Islam dilarang sama sekali menyokong mana-mana parti atau pertubuhan yang menentang Islam serta pelaksanaan hukum Islam.

"Sesiapa yang menentang Islam serta pelaksanaan hukum Islam maka secara syarak, umat Islam dilarang menyokong golongan ini yang digolongkan sebagai kafir harbi.

"Mereka ini merupakan golongan yang boleh membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta umat Islam amnya," katanya.

Ismail berkata, penolakan ini bukan berlandaskan perasaan namun ia disebabkan penentangan parti tersebut serta bercanggah dengan kedudukan Islam yang dijamin oleh Perlembagaan yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara.

"Jangan cemari kesucian Islam semata-mata kepentingan politik, di mana tanggungjawab kita sebagai pembela agama yang dipertanggungjawab memartabat syiar Islam," katanya. - BERNAMA

SIRI 4 : HUKUM AHLI PAS MENGUNDI DAP ?

Posted: 08 Aug 2012 05:35 PM PDT



PRU-13: Umat Islam dilarang undi DAP



Umat Islam dilarang mengundi DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang kerana jelas perbuatan itu amat menyalahi perintah Allah SWT di dalam al-Quran.

Pengerusi Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Dr. Fadlan Mohd. Othman berkata, ini kerana DAP menentang hebat dasar perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas.
''Mengundi DAP yang menentang perjuangan Islam adalah tidak wajar menurut Islam. 


Di dalam surah al-Maidah ayat kedua telah memerintahkan kita tolong-menolong dalam kebaikan dan ketakwaan dan bukannya tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.

''Justeru, mengundi DAP menyalahi ayat suci ini. Harapan kita masih optimis agar Pas memikirkan kerjasama dengan UMNO yang terbukti berjaya memartabatkan syiar Islam di muka bumi ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

SIRI 3 : HUKUM AHLI PAS MENGUNDI DAP ?

Posted: 08 Aug 2012 05:32 PM PDT


Adalah haram dan berdosa untuk umat Islam menyokong DAP yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud.

Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah berkata, umat Islam juga tidak boleh menyokong mana-mana pihak yang bekerjasama atau menjalin pakatan dengan DAP pada pilihan raya kerana sokongan itu akan turut membawa kemenangan kepada DAP.

Beliau berkata, agenda perjuangan DAP berbeza dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN) yang digolongkan sebagai bukan kafir harbi iaitu tidak membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umat Islam.

"Perjuangan DAP tidak terima Perlembagaan negara, mereka mahu sama rata Islam dan bukan Islam, kuil dan masjid juga mahu sama rata. 

Wajib orang Islam dalam Pas, UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak DAP yang mencari jalan hendak menguasai negara melalui undi pada pilihan raya.

"Parti-parti yang bekerjasama dengan DAP juga berdosa disokong kerana sokongan kepada mereka bermakna kita juga menyokong DAP sebab mereka satu pakatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang mempersoalkan hukum dalam Islam mengenai tindakan ahli Pas mengundi DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menurut Ibrahim, persoalan itu perlu dijawab Pas kerana adalah jelas Pengerusi DAP, Karpal Singh dan keseluruhan pemimpin parti tersebut ketika ini menentang keras penubuhan sebuah negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, DAP berbeza dengan MCA dan MIC yang menjalin kerjasama dengan UMNO dalam BN kerana parti tersebut tidak bermusuhan dengan Islam malah sedia menerima pemerintahan Islam.

"Sebaliknya, DAP tidak mahu, mereka mahu hak sama rata, tidak mahu tinggi rendah, tidak mahu Islam tinggi, sifat harbi mereka sangat jelas iaitu menentang hukum hudud dan penubuhan negara Islam.
"Saya menyeru orang Melayu dan umat Islam supaya pada pilihan raya umum akan datang jangan sokong Pas yang masih tidak mahu keluar daripada pakatan pembangkang, sokong UMNO dan BN supaya orang Melayu dan syiar Islam terus dimartabatkan," katanya.

SIRI 2 : HUKUM AHLI PAS MENGUNDI DAP ?

Posted: 08 Aug 2012 05:27 PM PDT


Undi golongan tentang Islam haram

Pas Kelantan tidak menafikan adalah haram mengundi golongan yang menentang Islam pada dasarnya namun ia dibolehkan bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO.

Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Mohamad Daud berkata, hukum itu boleh berubah mengikut keadaan dan waktu tertentu.

Beliau mendakwa, dalam situasi sekarang, dasar kerajaan BN jelas bercanggah dengan tuntutan agama dan ia sepatutnya ditolak walau dengan apa cara sekalipun.


"Kita sedia maklum UMNO dan BN menolak perjuangan Islam, tolak hukum hudud selain banyak kepincangan yang berlaku dalam pemerintahannya seperti rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.


"Maka, Pas yang memperjuangkan Islam mesti tolak kerajaan yang membenarkan kemungkaran berlaku. Untuk itu, kita memang tidak mampu melainkan dengan adanya pakatan pembangkang seperti sekarang.

"Kalau tidak undi DAP kita tidak boleh menang, jadi kita memerlukan satu gabungan yang besar untuk menjatuhkan kerajaan UMNO dan BN, maka ia dibolehkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mempersoalkan hukum dalam Islam mengenai tindakan ahli Pas mengundi DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.


Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, persoalan itu perlu dijawab oleh Pas kerana adalah jelas Pengerusi DAP, Karpal Singh dan keseluruhan pemimpin parti tersebut ketika ini menentang keras penubuhan sebuah negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.


Difahamkan sebelum ini, pemimpin tertinggi Pas seperti Mursyidul Amnya,  Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa mengeluarkan araDatukhan meminta ahli-ahli parti mereka mengundi DAP.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat mengakui kapasiti yang ada pada parti itu sekarang terlalu kecil dan ia memerlukan kepada pakatan kukuh bagi menumbangkan kerajaan BN yang mempunyai banyak komponen.

SIRI 1 : HUKUM AHLI PAS MENGUNDI DAP ?

Posted: 08 Aug 2012 05:20 PM PDT


Apakah hukum ahli Pas undi DAP?



Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mempersoalkan hukum dalam Islam mengenai tindakan ahli Pas mengundi DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, persoalan itu perlu dijawab oleh Pas kerana jelas Pengerusi DAP, Karpal Singh dan keseluruhan pemimpin parti tersebut ketika ini menentang keras penubuhan sebuah negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.

Beliau berkata, begitu juga dengan hukum daripada sudut syarak mengenai arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi Pas seperti Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang meminta ahli-ahli parti mereka mengundi DAP.


''Adakah ia dibolehkan atau tidak, memandangkan DAP terang-terang mengecam penubuhan negara Islam dan hukum hudud. Ini bukan soal Pas, tetapi kecaman yang dibuat oleh Karpal itu jelas melibatkan kesucian Islam dan kepentingan umat Islam.

''Satu perkara lagi, dahulu ada kepercayaan di kalangan ahli Pas khususnya semasa diadakan kempen-kempen pilihan raya iaitu mengundi Pas masuk syurga, namun kini timbul pula persoalan apa pula hukum mengundi DAP dalam keadaan DAP menolak negara Islam,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau mengulas ketegasan Karpal bahawa DAP akan menentang habis-habisan sebarang cubaan melaksanakan hukum hudud jika pembangkang menang pada pilihan raya akan datang.


Kontroversi pelaksanaan hukum hudud timbul semula berikutan dakwaan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hasan kononnya DAP kini memahami dan menerima pendirian parti itu mengenai negara Islam tetapi ia segera disanggah Karpal dengan menegaskan beliau tidak akan bertolak-ansur dalam isu pelaksanaan hukum tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Ibrahim menyeru umat Islam negara ini bangkit mempertahankan Islam daripada terus diperlekehkan oleh DAP melalui kenyataan-kenyataan yang melampau daripada Karpal.

Beliau berkata, langkah itu wajar memandangkan Karpal ketika ini langsung tidak menghormati Islam dan undang-undang yang terkandung di dalamnya.

Apatah lagi, katanya, dalam keadaan Pas yang kononnya memperjuangkan Islam sudah tidak mampu melakukan apa-apa tindakan terhadap DAP dan Karpal walaupun kecaman tersebut jelas menyentuh kesucian Islam.

''Pembentukan sebuah negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud merupakan asas akidah umat Islam dan ia tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa pun. Soal pelaksanaan itu soal lain tetapi yang penting dua perkara ini merupakan asas akidah Islam.

''Siapa Karpal mahu mempersoalkan perkara itu. Oleh itu, kita wajib bangkit mempertahankan. Ini merupakan satu jihad. Pas tidak lagi boleh diharapkan. Mereka nampaknya terlalu taat dan takut kepada DAP,'' katanya.

Menyentuh isu sama, Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, tiada jalan lain yang harus diambil oleh parti itu kecuali segera keluar daripada pakatan pembangkang.

Beliau berkata, berdasarkan sejarah yang berlaku di Perak selepas pilihan raya umum 2008. Pas hanya sekadar menjadi 'pak turut' kepada DAP walaupun Menteri Besar ketika itu merupakan wakil rakyat daripada Pas.


''Inilah yang berlaku sebenarnya. Dalam isu pemerintahan di Perak ketika pakatan memerintah, DAP lebih berkuasa dan dominan. Pas tidak mampu berbuat apa-apa dan parti itu tidak lebih hanya sebagai 'pak turut','' katanya.

PRU 13 : MENUNGGU BN YAKIN MENANG DUA PER TIGA .

Posted: 08 Aug 2012 05:05 PM PDT

DALAM pilihan raya di negara yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap kerajaan mengidam mendapat kemenangan majoriti dua pertiga untuk membentuk sebuah kerajaan yang kukuh. Kukuh bermakna mendapat sokongan padu rakyat bagi memudahkan kerajaan membuat keputusan dan menentukan dasar. 

Ia juga mengelakkan berlakunya pertukaran kerajaan akibat beli-membeli atau lompat melompat parti di kalangan wakil rakyat jika sesebuah kerajaan hanya mendapat kemenangan tipis. Keadaan ini akan menyebabkan kerajaan tidak stabil dan kucar-kacir. Pelabur tidak akan datang kerana kuasa membuat keputusan sering bertukar tangan. 

Di Malaysia, daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti, Barisan Nasional (BN) memerlukan 148 daripada 222 kerusi Parlimen untuk membolehkannya mendapat kemenangan majoriti dua pertiga. Pada masa ini kerajaan BN menghadapi banyak halangan dalam menentukan hala tuju negara kerana memperoleh kemenangan majoriti mudah dalam PRU-12 lalu, menyebabkan setiap keputusan, peraturan dan rang undang-undang yang memerlukan keputusan Parlimen sering terganggu dan ditentang pembangkang. 

Dalam sistem demokrasi, pembangkang tidak akan bersetuju dengan apa juga keputusan kerajaan. Jika keadaan ini berterusan, ia membantutkan pembangunan rakyat dan negara. Ada juga pendapat mengatakan kemenangan mutlak sesebuah parti akan menyebabkan parti yang memerintah menjadi terlalu bebas membuat keputusan. Ini berlaku kerana dikatakan tidak ada elemen 'check and balance' terhadap kerajaan, khasnya dari segi kepentingan kaum. Pandangan ini disuarakan oleh mereka yang pro-pembangkang atas alasan politik. 

Sebenarnya, keadaan ini tidak akan berlaku dalam kerajaan yang menggunakan pendekatan kongsi kuasa. Dalam BN sendiri ada 13 parti komponen diwakili pelbagai kaum dan kepentingan, termasuk rakyat Sabah dan Sarawak. 'Check and balance' sudah wujud dalam BN sejak Perikatan dan diteruskan dalam BN. Sistem BN lebih praktikal berbanding pakatan pembangkang yang diwakili tiga parti yang jelas berbeza ideologi. PAS tidak boleh hidup sebumbung dengan DAP manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah pertubuhan politik yang tidak mempunyai hala tuju yang jelas. 

Bagi PRU-13 ini, BN mengharapkan kemenangan majoriti dua pertiga dengan mendapat sokongan daripada semua kaum termasuk Cina dan India. Atas keyakinan BN mampu kembali kepada kekuatan asalnya, BN mungkin memerlukan sedikit masa untuk menguatkan kedudukannya sebelum memanggil PRU-13. Atas kertas, BN boleh menang dengan majoriti dua pertiga walaupun mendapat saingan sengit akibat perubahan suasana politik dan kemajuan teknologi komunikasi hari ini. BN terpaksa bekerja kuat untuk mendapatkan semula undi kaum Cina bagi membolehkannya merampas semula beberapa kerusi yang tewas pada PRU-12 lalu. Jika yakin kaum Cina kembali kepada BN sama ada menerusi MCA, Gerakan atau siapa juga calon BN dalam pilihan raya, pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa saja. 

INFO PERLEMBAGAAN : Mendukung Perlembagaan tugas setiap rakyat .

Posted: 08 Aug 2012 04:58 PM PDT


Kita cukup maklum bahawa setiap negara mempunyai falsafah dan prinsip pentadbiran tertentu. Pada amalan dan kebiasaannya dalam sebuah negara moden ketika ini, apabila merdeka dan mempunyai Perlembagaan, falsafah dan prinsip berkenaan dimaktubkan dalam perlembagaannya. Negara kita tidak terkecuali. Segala falsafah dan prinsip pentadbiran negara terkandung dalam Perlembagaan.

Sebagai sebuah negara merdeka juga kita cukup maklum dengan tanggungjawab ahli dan warga negara. Tanggungjawab berkenaan bukan saja tanggungjawab untuk meneruskan kelangsungan kemerdekaan dan membuat pengisian merdeka yang positif tetapi juga memenuhi tanggungjawab melaksana dan menghormati peruntukan Perlembagaan. Perlembagan menjadi dasar dan juga manifesto negara. 
Perlembagaan meletakkan prinsip tertentu dan juga mengandungi perkara yang perlu dipenuhi serta menjadi paksi kepada pemerintahan negara serta sesetengah sistem sosial warga negara. Antara prinsip berkenaan termasuklah demokrasi berparlimen, Raja berperlembagaan, ketinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan Islam sebagai agama bagi negara. Pelbagai prinsip lagi yang dapat kita perhatikan wujud di dalam Perlembagaan termasuklah prinsip berkaitan kesaksamaan, moral serta kedaulatan undang-undang.
Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai prinsip berkenaan, tetapi saya mahu menumpukan penulisan ini kepada tanggungjawab dalam pelaksanaan prinsip berkenaan.

Secara umumnya, kita lihat kebanyakan prinsip ini adalah terletak di bawah tanggungjawab kerajaan. Sebagai contoh, tanggungjawab melaksanakan proses pilihan raya yang menjadi simbol demokrasi berparlimen. Begitu juga dengan tanggungjawab menghormati hak asasi.

Tanggungjawab setiap individu 
Bagaimanapun, perlulah ditegaskan tanggungjawab ini bukan hanya terletak di bahu kerajaan Persekutuan, tetapi juga pentadbiran pada semua peringkat, negeri dan juga kerajaan tempatan. 

Malah, sekiranya kita pergi lebih jauh, Perlembagaan juga meletakkan tanggungjawab pelaksanaan prinsip yang dimaktubkan ke atas setiap individu. Dalam kata lain, setiap individu mempunyai tanggungjawab melaksana prinsip Perlembagaan tertentu. 

Sekiranya kita lihat dalam perbincangan umum, hal ini tidak begitu menyerlah. Ramai menganggap rakyat hanya menjadi pengguna Perlembagaan dan mengharap manfaat daripada pelaksanaan prinsip Perlembagaan oleh pihak kerajaan. 

Ramai yang seolah-olah memperlihatkan bahawa tanggungjawab memenuhi prinsip Perlembagaan itu hanya terletak di atas tanggungjawab kerajaan yang memegang dan melaksanakan amanah pentadbiran negara.
Perlembagaan milik semua

Sehingga kini, secara realitinya, banyak mendengar mengenai keluhan mempersoalkan aspek Perlembagaan sesuatu tindakan kerajaan. Jarang sekali kita mendengar kritikan sedemikian ke atas rakyat atau warga yang tidak menepati prinsip dan falsafah Perlembagaan. 

Saya tidak nafikan tanggungjawab kerajaan itu. Namun, walaupun benar kerajaan hendaklah sentiasa mematuhi peruntukan Per-lembagaan dalam melaksanakan tanggungjawab pentadbiran, perkara yang sama juga perlu diberi perhatian oleh rakyat keseluruhannya. Perlembagaan adalah milik semua. Ia bukan saja milik dan tanggungjawab kerajaan tetapi ia juga milik dan tanggungjawab semua warga negara. Ia juga meletakkan garisan tertentu kepada semua. 

Oleh itu, sekiranya kita menerima Perlembagaan itu adalah undang-undang tertinggi negara yang meletakkan garis panduan dan prinsip tertentu, maka ia juga menyatakan tanggungjawab ke atas semua warga untuk melaksanakannya. Terdapat sesetengah negara menjelaskan tanggungjawab rakyat secara nyata di dalam Perlembagaan. 

Walaupun peruntukan seumpama itu tidak terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan secara harfiah tetapi ia sesuatu yang menjadi begitu sinonim dengan prinsip ketinggian Perlembagaan. Oleh itu, Perlembagaan meletakkan tanggungjawab kepada rakyat melaksanakan prinsip disebut di dalam Perlembagaan. Ia juga meletakkan tanggungjawab ke atas rakyat untuk terus mempertahankan Perlembagaan dan menghormatinya, tidak kira ketika berada di dalam atau di luar negara.

INFO PERLEMBAGAAN : Persepsi Islam dalam Perlembagaan diperbetul .

Posted: 08 Aug 2012 04:49 PM PDT

Tanggapan salah terhadap kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan menyebabkan wujud persepsi khususnya dalam kalangan mereka yang tidak berpeluang mendapat penjelasan berhubung perkara itu. 

Islam masih diterima sebagai agama rasmi negara bukan sebagai agama negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan selain tanggapan Malaysia adalah negara sekular walaupun perkataan sekular tidak ada dalam Perlembagaan. 

Dedah sejarah, kedudukan Islam 

Itulah antara luahan pelajar Malaysia di Australia yang diberi pendedahan mengenai sejarah serta kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan oleh Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dalam kunjungan mereka ke Melbourne dan Sydney, baru-baru ini. 

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata salah faham itu perlu diperbetulkan kerana jika tidak Perlembagaan Persekutuan yang sepatutnya berperanan besar untuk memartabatkan Islam terhad kepada upacara rasmi, ritual dan keagamaan semata-mata. 

Penafsiran Perkara 3 

Oleh itu katanya, penafsiran bagi Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan adalah jelas namun, masih ramai yang salah faham Perkara 3 ini dengan menyatakan Islam agama rasmi negara sedangkan perkataan rasmi tidak wujud dalam Perkara 3. 
Oleh itu, pendekatan benar ialah Islam agama bagi Persekutuan bukan agama rasmi Persekutuan. Dalam konteks ini, Islam haruslah diberi makna sebenar bukan makna yang dimahukan sesetengah golongan. 

Itulah yang kita jelaskan kepada pelajar di Australia kerana daripada maklum balas diterima rata-rata pelajar mengatakan mereka tidak mengetahui perkara itu dan mereka perlukan pembimbing bagi membetulkan persepsi serta salah tanggapan, katanya. 

Selain isu kedudukan Islam dalam Perlembagaan, pertemuan PPMM dengan pelajar Malaysia di dua lokasi itu, turut membincangkan mengenai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), murtad dan undang-undang syariah serta pelaksanaan hukum hudud. 

Zainul Rijal berkata, sebelum ini pelajar di sana bergantung kepada internet untuk mendapatkan maklumat mengenai sesuatu isu dan kini mereka sedar keperluan mendapatkan maklum balas daripada pihak yang pakar bagi mengelak timbul sentimen. 

Syor program literasi lebih kerap 

Katanya, PPMM berpuas hati kerana dapat memperbetulkan salah faham itu dan berharap program pendedahan seperti itu dapat membuka mata rakyat Malaysia khususnya yang berada di luar negara untuk meneroka sumber lain bagi mendapatkan maklumat tepat. 

Program literasi undang-undang yang diadakan di Dewan Malaysia itu turut disertai pelajar bukan Islam dan bukan Melayu termasuk pelajar siswazah universiti di Australia. 

Pengarah Pendidikan Malaysia Australia (EMAS), Dr Jumiati Ismail, dalam ucapan aluannya menyarankan PPMM menganjurkan program itu lebih kerap dan mencadangkan ditubuhkan Kelab Peguam Muda Malaysia Australia.

Pengikut