Khamis, 21 Oktober 2010

Puteri Ipoh Timor

Puteri Ipoh Timor


Politik khidmat mampu bantu UMNO

Posted: 21 Oct 2010 01:39 AM PDT

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Pergerakan Puteri UMNO Perak menggesa UMNO khususnya pergerakan Puteri supaya memfokus kepada pendekatan 'politik khidmat' selepas 'politik pembangunan' dikatakan tidak lagi relevan untuk menawan hati rakyat.

Wakilnya, Rosniza Ismail berkata, pendekatan itu perlu kepada strategi prihatin terhadap masyarakat terutama dalam bidang yang menyentuh soal kesihatan.

Menurut beliau, isu-isu berkaitan kesihatan amat memberikan impak yang besar dan ia perlu didekati dengan pendekatan yang segar.

''Kalau kita membaca ruangan Mega, Utusan Malaysia hari ini, ada disiarkan isu berkenaan 70,000 kes baru kanser payu dara dan ia merupakan pembunuh utama wanita.

''Itu baru kanser dan belum lagi penyakit-penyakit lain. Justeru, menangani isu-isu kesihatan adalah satu khidmat politik yang berkesan untuk menawan hati dan menawan undi wanita muda.

''Setiap bulan, kita ada tema-tema kesihatan tertentu. Februari adalah Hari Kanser Sedunia, Mac (Hari Tibi Sedunia) dan seterusnya hingga November (Hari Diabetes Sedunia). Oleh itu, kepada UMNO khususnya Puteri UMNO, bulan-bulan bertema itu perlu didekati untuk menyerlahkan peranan kita dalam isu kesihatan,'' katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua Puteri UMNO Perak berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam aspek kesihatan pada persidangan perwakilan pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Rosniza berkata, selain itu, pergerakan tersebut juga perlu menjalin hubungan yang lebih akrab dengan golongan jururawat kerana rata-rata usia mereka adalah seusia ahli Puteri UMNO.

''Jangan kita lupa kepada golongan yang mempunyai kaitan rapat dengan kesihatan iaitu jururawat. Mereka perlu kita rapati,'' katanya.

Beliau seterusnya menarik perhatian perwakilan dengan permasalahan 3G iaitu gempal, gemuk dan gebu termasuk 1G iaitu gedik.

''Semua 'G' itu perlu juga ditangani dalam Puteri UMNO. Biarlah kita ada 'G' yang lain iaitu gagah dan suara gegak gempita dengan perjuangan,'' ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menggesa Kementerian Kesihatan supaya memantau pengeluaran ubat-ubatan kesihatan yang tidak diluluskan seperti pil kurus dan kecantikan.

Mengenai cabaran menghadapi pilihan raya umum akan datang, beliau meminta semua ahli UMNO agar memperbaiki imej diri supaya perjuangan parti diyakini rakyat.

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1021&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_07.htm

Juara Rakyat Bulan Wanita dan Kelurga Ipoh Timor

Posted: 10 Oct 2010 09:58 PM PDT



UMNO CAWANGAN GOMBAK SELATAN

UMNO CAWANGAN GOMBAK SELATAN


Melayu...... seharusnya mampu bertarung dengan yang paling kuat!

Posted: 21 Oct 2010 08:13 AM PDT










UCAPAN YAB. DATO' SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK SELAKU PRESIDEN UMNO SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KALI KE-61, 2010 DI DEWAN MERDEKA PWTC "MENDAYA BANGSA MENERAJU KEMAKMURAN"
Bismillahirrahmanirrahim Rabbi ish-rah-li sadri wa-yassir-li amri wahlul uq-datan min-lisani yaf-qohu qauli. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Yang Berbahagia Pengerusi Tetap, Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap, Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden & Puan Sri Norainee Abdul Rahman, YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad & Tun Dr. Siti Hasmah Ali, YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi & Tun Jeanne Abdullah, Naib Presiden-Naib Presiden, Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Ketua-Ketua Komponen Parti BARISAN NASIONAL, Dif-dif Kehormat, Para Tetamu dan Para Jemputan, Para Perwakilan dan Pemerhati, MUKADDIMAH Meng-awali ucapan, marilah kita bersama-sama merenung dua firman Allah SWT. Dalam surah al-Baqarah, ayat 143,berbunyi: "Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu umat Islam „umat pertengahan‟ agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul yakni Muhammad menjadi saksi atas perbuatan kamu".

Dalam surah a-li Imran, ayat 159 pula terkandung firman yang menyebut: "Maka disebabkan rahmat dari Allah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka. Mohonkanlah ampun bagi mereka dan ber-musyawarah dengan mereka dalam urusan itu". Saudara dan Saudari sekalian,

1. Alhamdulillah, kita merafakkan sepenuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita berkumpul sekali lagi dalam dewan yang penuh bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin yang dimuliakan dan sentiasa diambil pengajarannya.

2. Jika dihitung dan dicongak, Perhimpunan Agung kali ke-61 menandakan Dewan Merdeka yang bertuah ini, telah menyaksikan persidangan dilangsungkan sebanyak 25 kali semenjak tahun 1985. Begitulah, UMNO telah bertatih dan berjalan begitu jauh didewasakan oleh waktu.

3. Dalam pada itu, secara sedar atau tidak, selama lebih enam dekad UMNO telah berada di lapangan, menyalakan obor kebangkitan orang-orang Melayu dan membela untung nasib bangsa. Sehubungan itu, dengan tegas kita mahu menyatakan bahawa sepanjang 64 tahun ini, United Malays National Organization atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yakni UMNO, adalah satu-satunya, suluh yang terang-benderang, kepada citarasa dan nurani orang-orang Melayu.

4. Kerana itulah, tidak ada seorang pun dapat menafi apatah lagi menidakkan betapa besarnya pengaruh dan peranan parti keramat ini yang sejak turun-temurun kepimpinannya telah menongkah arus, menghilir pasang, sebagai teraju perubah tanahair.


TALI-TEMALI WAWASAN NEGARA

Saudara dan Saudari sekalian,

5. Apa yang kita perjuangkan hari ini, bukanlah sesuatu yang baru. Sebaliknya ia adalah penerusan kepada aspirasi bangsa Melayu serta rakyat Malaysia di kala kita membuat keputusan untuk menuntut kemerdekaan. Begitulah, semenjak dahulu, tiga prinsip dan pegangan utama kita yang sentiasa konsisten yakni pertama, kesatuan Melayu sebagai teras perpaduan nasional. Kedua, Islam sebagai Addin dan ketiganya kemakmuran negara bertonggakkan keadilan sosial.

6. Jika diimbau sebenarnya, pada awal tahun 50-an, Presiden UMNO ketika itu, Allahyarham Dato' Onn Jaafar telah mengenengahkan idea untuk membuka pintu keahlian parti kepada orang bukan Melayu kerana beliau melihat realiti, bahawa kemerdekaan, tidak mampu dicapai tanpa kaum-kaum yang ada bersetuju berkongsi kuasa.

7. Namun, rancangan Dato' Onn pada masa itu adalah terlalu progresif bagi ahli UMNO yang merasakan kedudukan bangsa Melayu masih belum kuat. Hasilnya, ia telah ditentang oleh majoriti ahli dan pemimpin UMNO. Akibat dari itu, Dato' Onn telah keluar meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu bagi meneruskan cita-citanya.

Kendati pun begitu, kita orang-orang UMNO ini bak kata pantun: Hidup sebumbung, di bawah teratak, Berlain bantal, satu hati, Bercerai kasih, bertalak tidak, Ibarat rambut, bersimpul mati.

8. Di sudut lain, sekalipun idea Dato' Onn pada masa itu tidak dapat diterima UMNO, penggantinya, Almarhum Tunku Abdul Rahman yang telah dipilih menggantikan beliau, menyedari peri pentingnya kerjasama politik pelbagai kaum untuk mencapai kemerdekaan. Tunku kemudiannya mengambil strategi yang pada pandangannya adalah lebih realistik dan mampu diterima majoriti orang-orang Melayu serta pelbagai ras dengan mempelopori satu gabungan bitara antara kaum.

9. Kerjasama ini, telah dizahirkan buat kali pertama pada tahun 1955, melalui perkongsian kuasa Parti Perikatan yang mengumpulkan UMNO, MCA dan MIC, masing-masing, mewakili kaum Melayu, Cina dan India. Kemudian pula, pasca tragedi 13 Mei 1969, kepimpinan negara menyedari bahawa, perpaduan tidak mampu dipupuk dengan hanya menggunakan mekanisma politik tanpa disertai asas sosioekonomi bertunjangkan keadilan sosial.

10. Oleh kerana itu, selanjutnya, Allahyarham Tun Abdul Razak telah menggubal dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru dengan matlamat membaikpulih ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum yang sebelum itu hampir memusnahkan keutuhan perpaduan nasional. Pendekatan baru ekonomi ini, sebetulnya telah dimungkinkan dengan kedinamikan sistem pasaran yang dibina oleh Almarhum Tunku sebelum itu.

Saudara dan Saudari,

11. Di sini, suka saya menarik kembali perhatian sebahagian daripada kita dah pihak-pihak yang barangkali terlepas pandang bahawa, matlamat Dasar Ekonomi Baru sebenarnya, adalah, untuk membina perpaduan nasional. Cumanya, alat dasar yang telah digunapakai bersifat sosioekonomi, bukannya politik semata-mata sepertimana yang dilakukan pimpinan terdahulu melalui penubuhan Parti Perikatan.

12. Dalam helaan nafas yang sama, Tun Razak tidak melupakan kepentingan mekanisma siasah sebagai alat memupuk perpaduan. Beliau, telah memperbesarkan Parti Perikatan dan membentuk tapaknya melalui penubuhan Barisan Nasional. Menerusi landasan kerjasama serta perkongsian kuasa antara kaum, ia diperluaskan melalui negeri-negeri Sabah dan Sarawak.

13. Hendaklah jangan kita lupa, jambatan pertama yang dibina antara negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merentasi Laut China Selatan adalah jambatan politik Barisan Nasional, yakni 11 tahun selepas penubuhan Malaysia. Ia dimantapkan lagi kemudiannya, dengan kehadiran UMNO di Sabah, bumi di bawah bayu, pada tahun 1991.

14. Sejurus, apabila Dasar Ekonomi Baru tamat pada tahun 1990, Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri pada ketika itu, telah memperkenalkan penyataan arah tuju kebangsaan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Melalui kertas kerja bertajuk "Malaysia; Melangkah ke Hadapan" yang disampaikannya semasa melancarkan Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, beliau mevisikan bahawa, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju dalam tempoh tiga dasawarsa.

15. Pada saat itu, diimpikan menjelang tahun 2020, Malaysia akan menikmati taraf hidup yang sama dengan Amerika Syarikat. Pendapatan per kapita Amerika Syarikat pada masa itu adalah kira-kira dua puluh ribu dolar. Sungguhpun kita tahu, ada pihak yang mengatakan matlamat ini adalah angan-angan Mat Jenin, alasan Tun Dr. Mahathir adalah begitu kemas sekali. Beliau menyatakan dalam tempoh Dasar Ekonomi Baru, pukul rata pertumbuhan tahunan negara adalah 6.7 peratus. Jika dalam tempoh tiga puluh tahun hingga 2020, pertumbuhan boleh ditingkatkan kepada tujuh peratus yakni perpuluhan tiga peratus lebih tinggi daripada pukul rata tahun-tahun 1971 hingga 1990, maka wawasan yang dicitakan tidak mustahil untuk dicapai.


16. Di samping aspek ekonomi, beliau telah menggariskan sembilan lagi cabaran sosio-politik yang perlu dihadapi sebelum Wawasan 2020 boleh direalisasikan. Paling utama adalah, mengukuhkan perpaduan nasional atau matlamat untuk membentuk bangsa Malaysia. Pengalaman Dasar Ekonomi Baru menunjukkan bahawa pengagihan saksama hanya akan berlaku dalam ekonomi yang teguh.

17. Apa yang sangat jelas di sini, bagi memastikan perpaduan nasional, kedua-dua mekanisma, politik dan sosioekonomi harus diguna dan dipertemukan. Ertinya, perpaduan nasional tidak akan ampuh tanpa keadilan sosial manakala keadilan sosial pula tidak mampu dicipta tanpa kestabilan politik serta kemakmuran ekonomi yang berteraskan perpaduan nasional. Ringkasnya, ketiga-tiga elemen tersebut adalah saling melengkapi, saling berkait dan saling mengukuhkan antara satu sama lain.

Saudara dan Saudari,

18. Setelah diamanahkan untuk memimpin parti dan negara kira-kira lapan belas bulan yang lepas, dengan penuh tradisi harmoni kesinambungan kepimpinan UMNO yang diserahkan oleh Tun Abdullah, saya telah membuat keputusan untuk tidak mencipta semula roda tetapi untuk mengambil teladan akan kebijaksanaan dan pandangan jauh pendahulu kepimpinan parti dan negara melalui formula yang dicuba serta telah teruji oleh zaman.

19. Maka, lahirlah falsafah induk 1Malaysia yang merupakan penerusan kepada wawasan pragmatik bapa-bapa kita dalam parti dan kerajaan. Perpaduan nasional adalah sesuatu yang dinamik. Ia harus sentiasa dibajai dan dijaga, jika tidak, ia akan hancur berkecai. Parti Perikatan terbentuk diambang Merdeka bertepatan waktunya, namun pasca tragedi 13 Mei 1969, menyaksikan model ini perlu dipulih rawat melalui Barisan Nasional dan elemen keadilan sosial melalui Dasar Ekonomi Baru.

20. Kesimpulannya, susur galur dan tali-temali usaha yang dipasak oleh Almarhum Tunku disambung oleh Allahyarham Tun Razak melalui Barisan Nasional dan Dasar Ekonomi Baru. Allahyarham Tun Hussein pula dikenali sebagai Bapa Perpaduan yang tegas dan tulus dalam melaksanakan khidmatnya. Kemudiannya Tun Dr. Mahathir meneruskannya dengan konsep Bangsa Malaysia. Disusuli Tun Abdullah yang membina usaha memantapkan modal insan dan mengolah Misi Nasional dalam meneraju negara.

Saudara dan Saudari,

21. Sekiranya perpaduan nasional, kemakmuran dan keadilan sosial adalah saling mengikat dan berpilin, maka, selain 1Malaysia, kita memperkenalkan inisiatif Pelan Transformasi Kerajaan atau GTP dan 6 NKRAnya serta Pelan Transformasi Ekonomi atau ETP untuk membina kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.

22. Seperti yang telah dibentangkan sebelum ini, ETP adalah satu pelan yang komprehensif, merangkumi garis-garis besar Model Baru Ekonomi dan lapan prakarsa strategik. Ia juga mengandungi arah tuju yang jelas dengan 12 NKEAnya serta mekanisma pelaksanaan jitu melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Rancangan Malaysia Kesebelas.

23. Dalam hubungan ini lagi, Gagasan 1Malaysia juga adalah selaras dengan nilai-nilai Islam dan semangat yang ditunjukkan sirah Rasulullah SAW dalam pembentukan negara dan ketamadunan Islam terawal di Madinah. Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun lagi harmoni, berasaskan Perlembagaan yang mengutamakan serta mempertahankan agama serta keadilan kepada semua pihak. Perlembagaan itu juga melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada orang-orang bukan Islam.

Saudara dan Saudari,

24. Jelasnya, ini bukanlah impian baru. Inilah impian abadi negara dari dahulu dan selamanya. Ia adalah gagasan Allahyarham Dato' Onn, cita-cita Almarhum Tunku Abdul Rahman, harapan Allahyarham ayahanda saya, kemahuan Allahyarham Tun Hussein, aspirasi Tun Dr. Mahathir dan kehendak Tun Abdullah Badawi. Pastinya, ia kini menjadi wawasan saya, bersama Tan Sri Muhyiddin dan rakan-rakan dalam UMNO, Barisan Nasional dan juga kerajaan.

25. Saya penuh yakin dan percaya, ia adalah hasrat murni didokong tuan-tuan dan puan-puan yang berada di dalam dewan dan di luar dewan, serta semua rakyat negara tercinta ini. Pendek kata, biar siapapun kita, di mana jua berada, kita adalah 1Malaysia.


KEPIMPINAN DALAM BUDAYA MELAYU DAN UMNO

Saudara dan Saudari sekalian,

26. Di atas semua ini, jika diteliti, dalam budaya Melayu, hal kepimpinan amatlah pelbagai. Mulai daripada kepimpinan rumah tangga, dusun dan kampung sampailah kepada kepimpinan bangsa dan negara. Oleh sebab besar dan pentingnya pengaruh dalam kehidupan, maka para pemimpin diberi kepercayaan dan tanggungjawab memandu umat sepertimana tercermin dalam ungkapan "adat memegang kepercayaan orang, jangan sekali-kali menikam belakang, adat memegang kekuasaan, jangan sekali-kali merosakbinasakan, adat memegang kebebasan, jangan sekali-kali lupa batasan".
27. Makanya, di saat ini, biar apa sekalipun suka duka, pahit maung, kritik cela yang dihadapkan lawan kepada UMNO, tawarikh jelas memperlihatkan bahawa, kita sudah bertahan lebih daripada enam puluh tahun dengan khidmat, jasa dan bakti yang mendalam kepada pembangunan umat Melayu juga negara. Tambahan lagi, kebolehan dan kewibawaan UMNO telah tersanjung tinggi bukan sahaja dirantau sebelah sini malah menjangkau ke seantero dunia.

28. Sememangnya lagi, sejak puluhan tahun, apa yang diperkatakan bukanlah omongan kosong. Terakam jelas dalam catatan negara, parti inilah yang telah menukar perpecahan kepada perpaduan, daripada pemikiran terjajah kepada pemikiran merdeka, daripada tidak percaya kepada kebolehan masing-masing kepada keyakinan mandiri yang membanggakan, daripada berputus asa kepada penuh harapan.

29. Jangan kita lupa, parti inilah yang berperanan merubah orang Melayu daripada bangsa yang tidak berkesedaran politik sebelum Perang Dunia Kedua kepada bangsa yang mampu merebut kemerdekaan dengan siasah hujung lidah menundukkan kuasa besar dunia iaitu pihak British.

30. Tidak cukup dengan itu, tersusun kemas dalam rekod negara, parti UMNO-lah yang telah menggerakkan kesedaran nasionalisma, semangat patriotisma dan demokrasi politik. Dalam gambaran besarnya, terbukti utuh bahawa, kepimpinan UMNO telah berjaya sebagai teraju ulung yang mentransformasikan Malaysia dengan begitu pantas seperti apa yang kita kecapi hari ini.

Saudara dan Saudari sekalian,

31. Menyongsong kisah-kisah pencapaian itu, kita ingin bertanya, apakah jenis bangsa yang berjaya menunjangi perjuangan hebat ini? Apakah sistem nilai yang dipegang? Persoalannya di sini, bukanlah kita ingin termanggu dengan kejayaan-kejayaan lalu, namun, marilah kita menyingkap apakah kekuatan dan apakah faktor yang menjadi asas kepada keutuhan pertubuhan yang bermakna ini.

Dalam konteks ini, sesuai jika saya mengungkap beberapa baris puisi indah oleh Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang serta bait-bait coretan gurindam daripada seorang tokoh persuratan, Tenas Effendy yang membicarakan tentang Melayu. Pertama sekali dari segi usul dan asalnya disebut: Melayu itu, kaya falsafahnya Melayu itu, orang yang bijaksana Akal budi bersulamkan daya Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu, Keturunan Acheh adalah Melayu, Saudara dan Saudari, Tidak lengkap lagi senarai ini sebenarnya: Jakun dan Sakai asli Melayu, Arab dan Pakistani, semua Melayu Mamak dan Malbari serap ke Melayu Malah muallaf bertakrif Melayu Mendakap realiti semasa Malaysia pula: Kadazan, Bajau, India Muslim dan Siam, Melanau, Bidayuh dan berpuluh suku kaum, Kita bersama dalam serumpun,

Di sudut perpaduan dan agama dinyatakan bahawa: Watak Melayu menolak permusuhan Setia dan sabar tiada sempadan Maruah dan agama dihina jangan Hebat amuknya tak kenal lawan. Seterusnya dari perspektif kepimpinan dan amanah, Melayu dimadahkan: Menjadi pemimpin sifatnya agung Syarak dipakai adat dijunjung Hidupnya mengabdi kepada rakyat Taat setia membela umat Akhirnya, disimpulkan Melayu itu: Dijadikan induk kuat berdiri Umat sentosa bertuahlah negeri.

Saudara dan Saudari sekalian,

32. Berdasarkan baris-baris yang saya lafazkan, begitu langsung memperlihatkan betapa, dalam sifat, psikologi, dan sikap atau perwatakan Melayu itu terpamer asas-asas yang membenih nilai kepimpinan murni. Jika digarap lagi, demikianlah orang Melayu, meletakkan martabat tinggi kemuliaan sikap pemimpin dan kepimpinan dalam masyarakat.

33. Terbukti, di sudut leluhurnya, bangsa Melayu itu, sejak sekian lama telah merentas ujian waktu. Keperibadian inilah juga yang menyebabkan Melayu diterima sebagai pemimpin dalam sebuah masyarakat majmuk. Sikap inilah juga menjadi bekal sebagai bangsa yang diamanah menggalas kepimpinan negara.

34. Lebih indah pula, ciri kepimpinan Melayu yang saya utarakan ini, telah dimurnikan dengan tibanya ajaran Islam yang menyeru, mendidik dan mendokong pendekatan wasatiyah. Wasatiyah, adalah suatu kaedah mengamalkan kehidupan individu mahupun masyarakat secara berimbang dan syumul dalam segenap bidang terutamanya dalam soal-soal yang menyangkut perpaduan dan kenegaraan.

35. Sesudah itu, dari masa hingga masa, ajaran Al-Quran serta sunnah disulam dan dijalin kemas dalam anyaman hidup seharian orang Melayu. Sejak itulah juga hingga kini, nilai orang Melayu, padat diwarnai dengan hala cara wasatiyah atau pertengahan. Merujuk para ulama tafsir, disyarahkan bahawa, umat wasatiyah secara tuntasnya adalah umat yang adil lagi berdaya maju, bekerja keras untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

KEPIMPINAN UMNO – SATU TANGGUNGJAWAB MORAL DALAM PENGURUSAN KAUM

Saudara dan Saudari sekalian,

36. Lanjutan dari itu, seperkara yang amat mustahak untuk diingat adalah, dalam menentukan jatuh bangun sesebuah negara, kita memerlukan corak kepimpinan yang betul dan pemahaman jujur pada wacananya, apatah lagi dalam sebuah negara bitara seperti Malaysia.

37. Sehubungan itu, bersyukurlah bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kekal stabil serta bebas daripada sebarang konflik besar. Sayugia, setiap orang perlu menerima hakikat bahawa kepelbagaian kaum adalah satu rahmat dan aset anugerah dari Allah SWT.

38. Sesungguhnya, kemajmukan adalah sumber kekuatan kita selama ini. Begitulah dunia tercipta dan akan kekal selamanya begitu. Apa yang mustahak adalah, bagaimana kita memanfaatkan aset ini bagi menunjangi kejayaan negara.

39. Berkait perkara itulah, semua pihak perlu mengambil sikap berlapang dada, kerana sekalipun kita mengamalkan tindakan afirmatif untuk menjamin keadilan sosial, kejayaan seseorang nyatanya, hanyalah dihadkan oleh kreativiti, inovasi dan kesanggupan individu itu sendiri, untuk bekerja keras serta mengambil risiko.

40. Misalnya, kaum bukan Bumiputera, setelah 39 tahun dasar afirmatif dilaksanakan, masih lagi merupakan kaum yang memiliki kekayaan terbesar. Kita menyedari, ada pihak mendakwa tindakan afirmatif itu sendiri yang mendatangkan kesusahan, akan tetapi, bukti empirikal menunjukkan sebaliknya. Sebenarnya, sikap penerima bantuan, cara pelaksanaan dan landskap di mana tindakan itulah yang menjadi punca masalah.

Saudara dan Saudari sekalian,

41. Sementelahan itu, apabila ada pihak yang mula mempersoalkan tentang kedudukan bangsa Melayu sebagai bangsa yang dilindungi dengan hak-hak tertentu, ianya telah menimbulkan kegusaran serta rasa tidak puas hati, kepada kita yang amat terkenal dengan sikap dan sifat akomodatifnya. Ibarat api dalam sekam, perasaan ini telah mula membara dan mungkin menular sehingga berupaya merosakkan keharmonian perhubungan ras yang telah terjalin semenjak dahulu.

42. Sayang seribu kali sayang juga, setelah lima puluh tiga tahun kita merdeka, hari ini, rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan asakan bertalu-talu terhadap teras-teras utama perhubungan kaum yang wujud selama ini. Jika polemik nasional ini tidak ditangani dengan baik, kita berasa amat cuak, kerana, ia berkemungkinan menjadi ancaman kepada perpaduan negara.

43. Sebab itulah, saudara dan saudari, kita perlu sentiasa berwaspada, kita perlu terus mengingatkan diri masing-masing bahawa, kejayaan pertiwi tercinta sememangnya dimungkinkan oleh sumbangan, idea dan pengorbanan pelbagai kaum. Hakikatnya pun, ia bukanlah jasa, mahupun ikhtiar ekslusif satu kaum semata-mata, akan tetapi segalanya merupakan hasil mahsul, tuaian kudrat oleh semua kaum secara kolektif.

44. Apa yang menjadi masalah dalam keadaan ini, ketegangan akan timbul apabila, sejarah dienteng, atau, dilupakan akibat perjalanan masa, atau juga, apabila ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mentafsir semula semua itu, supaya sesuai dengan kepentingan serta agenda sempit kelompok masing-masing.

45. Kerana yang demikianlah, pemimpin oportunis, menangguk di air keruh, sebenarnya musang berbulu ayam, bermain api permusuhan dan memanipulasi keadaan, sangat ditolak dalam kepimpinan. Mereka tidak layak digelar pemimpin.

Saudara dan Saudari sekalian,

46. Awaslah, awaslah kita, terhadap saudagar mimpi yang membuai dengan dogengan, menjadi petualang memintal kepalsuan, menenun kebencian, memperdagang fitnah, mengadun madu dengan tuba, meleceh pengorbanan dan tanpa segan silu, mengajak kita menikmati buah khuldi yang bergentayangan di pohon rendah, sehingga sanggup menggadai segala-galanya.
Saudara dan Saudari sekalian,

47. Bertolak dari situlah, bagi bangsa Melayu khususnya, perasaan mereka amat terhiris kerana ikrar budiman yang telah dipateri di ambang merdeka kini diungkit kembali. Sedangkan, berpayung sumpah dan janji itulah kita sanggup membuat pengorbanan terbesar bagi mencapai sebuah kemerdekaan, yakni berkongsi pemilikan Tanah Melayu dengan kaum-kaum yang lain.

48. Serentak dengan itu, penerimaan kerakyatan yang berasaskan prinsip jus soli atau hak tempat kelahiran berbanding prinsip jus sanguinis yakni hak darah dengan sekelip mata telah mentransformasikan landskap sosiopolitik Tanah Melayu untuk selama-lamanya.

49. Dek kerana itu, kita tidak boleh lagi hidup terpenjara kisah nan lalu tanpa melihat ke hadapan. Pokoknya di sini, sepertimana prinsip keutuhan sebarang kontrak yang dibuat di bawah lembayung kedaulatan undang-undang, jika tidak dihormati, maka tiadalah kepastian, walaupun bagi perkara-perkara asas yang telah dipersetujui bersama.

Analoginya di sini, jika ia berlaku dalam bidang perniagaan, maka pihak yang berbuat demikian akan mendapati diri mereka, tidak lagi dipercayai oleh sesiapapun, apabila memungkiri janji.

50. Seterusnya lagi, jika ikrar setia yang telah diwaad, dilanggar sewenang-wenangnya apabila tidak sesuai dengan selera atau kepentingan tertentu, akan hancurlah kepercayaan dan rapuhlah rasa penghormatan di antara kita, kerana, masing-masing akan dihidapi penyakit kesangsian terhadap motif, kejujuran serta keikhlasan terhadap satu sama lain. Hal yang membarah sebegini berbahaya, saya ulang, amat berbahaya kepada sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia kerana ia berpontensi menghancurkan segala apa yang dibina sejak lebih lima puluh tahun yang lalu.

51. Satu hal yang pasti, timbal balas dipersembahkan bukan sahaja oleh bangsa Melayu, tetapi juga oleh kaum lain. Ia dimanifestasi melalui muafakat murni iaitu bagi memperoleh kerakyatan, orang bukan Melayu telah sanggup menerima prinsip hak keistimewaan sebagaimana termaktub di bawah peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Kemudian itulah, kewarganegaraan Malaysia pada dasarnya bukan lagi bersifat sama rata dan sama rasa tetapi telah disesuaikan dengan realiti yang ada demi matlamat dan kepentingan jangka panjang nasional.

Saudara dan Saudari sekalian,

52. Inilah sebenarnya asas teras kepada kontrak yang telah dimuafakat bapa-bapa pengasas mewakili kaum masing-masing di ambang kemerdekaan. Ia kemudiannya telah dimaktubkan sebagai kontrak sosial nasional, tertinta dalam perkara dan fasal Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara. Mahu tidak mahu, kita sewajibnya menghormati persepakatan mulia yang telah dilakukan kerana itulah kunci kepada kelangsungan dan survival kebangsaan.

53. Kini pula, sebagai generasi kepimpinan mutakhir, kita telah diamanahkan untuk menghadapi tuntutan zaman monumental ini sebagaimana generasi kepimpinan pertama yang telah dihadapkan dengan cabaran untuk membina asas kepelbagaian. Oleh itu, adalah amat tidak bertanggungjawab jika kita memilih jalan berpeluk tubuh dan duduk bersimpuh tanpa berbuat apa-apa. Lebih teruk lagi jika ditanggungkan pula beban ini kepada generasi kepimpinan akan datang.

54. Demikian itulah, kita harus membina landasan baru perhubungan kaum di Malaysia dengan mengambil kira dua prinsip penting. Pertamanya, ia haruslah berasaskan masa depan yang dikongsi bersama dan kedua, ia harus mengambil kira faktor sejarah tanpa mengenepikan realiti hari ini serta potensi masa depan.

Saudara dan Saudari sekalian,

55. Sememangnya, manusia tidak wujud dan hidup dalam sebuah utopia. Manusia tidak dapat lari dari realiti dan persekitaran. Malaysia adalah sebuah negara berasaskan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sepertimana ideologi kebangsaan yang ternukil dalam panca prinsip Rukun Negara.

56. Seperti yang kita maklum, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain Perezapan kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.

57. Seterusnya, saudara dan saudari, kita mesti memahami dan mengetahui bahawa, pindaan terhadap artikel-artikel ini tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan. Ia ditambah kukuh pula oleh Perkara 10 Fasal 4, yang memberi kuasa kepada Parlimen, bagi menggubal undang-undang, melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan Perkara 181.

58. Sehubungan hal ini, hendaklah kita mengetahui bahawa apa yang menjadi polemik hebat hari ini, sama ada tentang kerakyatan selepas merdeka atau hak istimewa orang Melayu sebenarnya, sudah menjadi perdebatan akademik. Ini kerana, dari segi perundangan, peruntukan-peruntukannya sudah pun tersurat dan sekaligus terpateri kemas.

59. Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis yang dianggotai sembilan orang Raja-Raja Melayu. Dalam kata laim, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung.

60. Di sebalik semuanya, suka tidak suka, ada sebab yang amat kuat mengapa perkara-perkara ini tidak dibenarkan untuk dipinda kecuali dengan perkenan Majlis Raja-Raja. Hikmahnya, adalah supaya peruntukan-peruntukan tersebut di letakkan luar daripada forum perbincangan. Jika dibuka juga kepada perbahasan, maka kita bimbang, kita khuatir, ia akan membangkitkan keresahan serta mengapi-apikan "primordial instinct" atau naluri asal wujud antara etnik.

61. Di atas segalanya, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa sejarah telah menunjukkan tidak kira betapa majunya sesebuah ekonomi, betapa berevolusinya sesebuah tamadun, betapa terpelajarnya manusia dan betapa tinggi tahap toleransi, seandai dan sekiranya naluri asal wujud ini tidak diurus dengan baik, kesannya kelak, kita mungkin menyaksikan kezaliman yang sangat dahsyat bakal terjelma, dinyalakan oleh sikap dan disemarakkan sifat tabie manusiawi itu sendiri.

62. Apa yang saya perkatakan ini tidak menghairankan. Di abad ke-20 kita telah dipampangkan dengan kes-kes hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi "holocoust" di Benua Eropah, penyembelihan rakyat Palestin di Asia Barat serta penghapusan etnik di Bosnia dan Rwanda. Jadi, bayangkanlah, apakah kesudahannya, jika setiap generasi rakyat Malaysia mengambil pendirian untuk mempersoal kewajaran kontrak sosial kebangsaan yang telah dimuafakatkan pendahulu mereka sebelum ini.
63. Akibatnya, akan lebih pantas terutama dalam dunia tanpa sempadan dengan kecanggihan sistem teknologi maklumat dan komunikasi yang sentiasa berkembang. Pucuk pangkalnya, saudara dan saudari, mengapa mahu diubah apa yang telah berjalan dengan begitu baik. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus.

Saudara dan Saudari sekalian,

64. Merentasi situasi ini, sebagai orang Melayu yang merupakan kaum majoriti, kita mempunyai tanggungjawab kepimpinan untuk ditunaikan. Satu tanggungjawab moral kepimpinan yang melangkaui kepentingan kaum kita sendiri. Tanggungjawab ini secara alami telah tertakdir dan tertanggung ke atas orang-orang Melayu disebabkan kita adalah dalam rumpun majoriti yang membentuk 67 peratus daripada penduduk Malaysia. Seperti yang telah saya bicarakan di awal ucapan tadi, ketentuan ini disahihkan lagi oleh faktor sejarah serta sikap dalaman bangsa itu sendiri.

65. Begitulah, suratan satu bangsa yang terpilih menerajui kemajmukan. Kepercayaan yang terus-terusan diberi oleh kaum-kaum lain sewajibnya menjadi perangsang agar orang-orang Melayu sentiasa memperbaiki diri dan terkedepan sebagai pemudahcara antara kaum.

66. Dalam pengertian lain, di arus kemodenan dan kerancakan globalisasi, soal hak, harga diri dan asal-usul tidak lagi

membawa apa-apa makna jika bangsa kita mundur dan ketinggalan. Secara otomatis, rasa hormat, rasa menaruh harap oleh pihak lain kepada kita juga akan luntur. Dek yang demikian, pada saat ini juga kita perlu bingkas bangun dan berlari deras bagi menggapai justifikasi peranan umat Melayu dengan penuh berhemah lagi profesional.

GERAK KERJA UMNO

Saudara dan Saudari sekalian,

67. Menjengah ke hadapan, sebermula Perhimpunan Agung Mac 2009, pelbagai rencana dan perancangan rapi serta strategi telah disusun. Jadinya, kita tidak boleh lagi berlengah-lengah dan membuang masa. Mengatasi semua perkara, tumpuan kita sekarang ini adalah terhadap gerak kerja parti. Gerak kerja UMNO sebagai sebuah parti siasah mesti berubah. Kendati begitu, UMNO harus kekal berpegang teguh kepada tujuan asalnya, sebagai sebuah parti Melayu massa yang mampu mengungkap aspirasi bangsa.

68. Laksamana Hang Tuah menyebut, takkan Melayu hilang di dunia. Begitulah, bangsa Melayu terutamanya dirantau ini, telah menjelajah zaman dan menempuh rangkaian suka duka. Ketahuilah, tahun 2011 yang bakal menjelang bukanlah sembarangan. Ia menandakan genapnya tempoh lima ratus tahun, semenjak kejatuhan empayar Melayu Melaka. Di sini, kita harus mengambil pengajaran kenapa sebuah empayar begitu hebat di Kepulauan Melayu yang menjadi persinggahan perdagangan dua benua telah rebah dijajah Portugis.
69. Ironisnya, banyak pihak hanya menumpukan kepada runtuhnya empayar Melayu ini kerana pengkhianatan dari dalam. Ya, memang benar ini sebahagian sebabnya. Tetapi fakta yang tidak kurang penting untuk diambil iktibar ialah ehwal tentera kedua-dua pihak, masing-masing ternyata memperlengkap persenjataan peperangan untuk era yang berlainan.

70. Maksud saya, pihak Portugis menggunakan senjata yang moden untuk zamannya, dengan senapang dan meriam sedangkan pertahanan Melaka waktu itu masih menggunakan senjata yang sesuai dengan zaman yang telah berlalu. Walaupun keris, tombak dan lembing menjadi lambang kepahlawanan, namun ia ternyata tidak mampu menewaskan bedil dan meriam. Begitulah resam dan ketetapan, sunnah putaran alam.

Saudara dan Saudari sekalian,

71. Oleh yang demikian amatlah mustahaknya Melayu alaf ke-3, Melayu abad ke-21 dipersediakan untuk eranya. Dari begitu obsesi terhadap hak, sebaliknya Melayu abad ke-21 wajib mempersiap siagakan dirinya untuk memanfaatkan hak yang ada. Apa gunanya kuota, rizab dan permit jika segalanya dipersiakan. Apa gunanya peluang jika ia digadai demi keuntungan jangka pendek.

72. Lalu, Melayu abad ke-21 harus gigih membina keupayaan dan kemampuan, bukannya sekadar mendabik perabung-perabung dada bahawa mereka harus berjaya kerana ia adalah hak mereka untuk berjaya. Mahu tidak mahu, Melayu abad ini harus berdepan realiti untuk meraih kejayaan.

73. Kita harus menjadi Melayu yang glokal. Saudara dan saudari, saya ingin bertanya, apa kurangnya bangsa Melayu? Melayu...... seharusnya mampu bersaing dengan yang terbaik. Melayu...... seharusnya mampu bertarung dengan yang paling kuat. Melayu...... mesti menjadi yang terhebat di pentas antarabangsa.

74. Justeru, saya sebagai Presiden UMNO...... tidak mahu..... menerima alasan bahawa anak Melayu masih lemah kesan penjajahan hampir lima kurun. Saya sebagai Presiden UMNO beserta rakan-rakan pimpinan dalam parti juga tidak rela...... melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang meminta-minta, kita tidak mahu...... melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang berpuas hati dengan momokan rezeki secupak tak kan jadi segantang.

75. Dengan tegas, saya ingin ingatkan semua bahawa, pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran. Siapa yang berilmu, siapa yang menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran. Oleh itu, janganlah kita mengambil jalan mudah dengan bersifat dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isinya.

Saudara dan Saudari sekalian,

76. Kepada semua pihak hendaklah menyedari, bukankah apa yang Malaysia capai selama lima puluh tiga tahun kemerdekaan adalah juga hasil usaha dan penerajuan bangsa Melayu? Lantas, kita menjadi lemas dan rimas dewasa ini, apabila kedengaran suara-suara sumbang yang cuba memperlecehkan pencapaian orang Melayu. Benar sekali, amat mudah bagi lidah tidak bertulang membuat nista. Mereka dengan suka-suka menuduh perkhidmatan awam sebagai lubuk ketidakcekapan.

77. Walhal, jika perkhidmatan awam negara tidak kompeten, sudah lama kita menjadi negara gagal, tidak mungkin pula akan berjaya berkembang sebegini dari negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden.

78. Terbukti lagi selama ini, kita telah berjaya tanpa perlu ada pengkalan tentera asing dibumi bertuah ini untuk memberi payung keselamatan. Kita juga berjaya..... tanpa perlu keabsahan sebagai negara bangsa yang merdeka dan berdaulat dipertikaikan. Kita juga telah berjaya.... bersama pelbagai kaum membina tanah air keramat ini.

79. Diperakui, kita ada kelemahan, namun kita tetap mampu pada setiap masa bangkit mengatasi cabaran kelemahan yang dihadapkan dengan kudrat, acuan dan cara kita sendiri tanpa bergantung kepada negara lain.

Saudara dan Saudari sekalian,

80. Mendepani segalanya, UMNO akan tetap menunaikan amanahnya untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara. Kita melakukannya bukan sahaja semata-mata melalui kata puitis yang muluk-muluk bahkan dengan inisiatif, program dan dasar yang konkrit.

81. UMNO tidak sekali-kali akan membiarkan bangsa Melayu menjadi bangsa yang melukut ditepi gantang, bangsa yang menjadi dagang di negeri sendiri. Kita komited untuk melakukan bukan sahaja apa yang terbaik, tetapi apa yang betul demi untuk rumpun Melayu. Kita tidak mampu untuk tenggelam dalam keasyikan lampau. Nyatanya, kita bukan sahaja berhadapan dengan cabaran luar tetapi juga cabaran segelintir anak-anak bangsa yang nampaknya sanggup menggadai segala demi kuasa.

82. Sebagai pengajaran dari semua ini, orang UMNO tidak boleh hilang harapan atau bergundah gulana. Ajaran agama Islam juga sangat melarang kita berputus asa. Kita sebagai ahli parti dan orang UMNO tidak mampu untuk terumbang-ambing di kubang kecewa dalam kekalahan, malah kita juga tidak semudah-mudah nak membiarkan UMNO musnah.

83. Demi, membina masa depan, demi terus mendaya bangsa ini, kita harus melalui tiga fasa pemulihan. Fasa pertama dan terpenting adalah memperakui kelemahan dan masalah yang kita hadapi. Fasa kedua adalah untuk membuat muhasabah dan mencari penawar-penawar yang mustajab memperbaiki kekurangan-kekurangan itu. Fasa ketiga pula adalah memulakan gerak kerja. Apa yang penting, ketiga-tiga fasa ini wajib dilalui dengan penuh ketertiban. Jika tidak, rencana perubahan dan pembaharuan tidak akan berjaya.

PENUTUP

Saudara dan Saudari sekalian,

84. UMNO bukanlah sebarang parti, UMNO lahir daripada suara hati dan aspirasi orang Melayu. Menelusuri perjalanannya, UMNO telah dilanda rentetan dugaan yang besar. Tahun 1951, Presiden dan Pengasas UMNO telah meninggalkan parti. Kemudiannya, PAS telah ditubuhkan oleh salah seorang calon Presiden yang tewas kepada Almarhum Tunku dalam pertandingan menggantikan Dato' Onn sebagai pemimpin baru UMNO.

85. Menjelang 1969, UMNO dan rakan-rakannya telah hilang buat kali pertama majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat, sekaligus kita dihadapkan dengan rusuhan kaum dan demokrasi terpaksa digantung. Dunia ketika itu, sudah seperti melambai selamat tinggal kepada UMNO. Detik cemas 1987 pula menyaksikan parti berpecah dua dan negara menghadapi insiden ketegangan kaum.

86. Setahun kemudian, pada 1988, kita berasa amat pilu dan begitu bersedih hati, bagai kilat turun menyambar, bagai garuda datang menyerang, hilang sudah tempat berteduh, patah ranting tempat berpaut, dengan sungguh rasa berhiba-hiba dan pilu, kita terpaksa menerima keputusan dan berita, bahawa, parti UMNO yang sangat berjasa dan menggala baktinya ini telah diharamkan.

87. Selanjutnya, di akhir tahun 90an, kita bukan sahaja menghadapi krisis kewangan antarabangsa, kita turut mengalami kemuraman politik apabila ramai orang Melayu telah tidak lagi memberi sokongan. Kita kemudiannya dilintangi oleh tsunami politik pada tahun 2008 yang amat mendebarkan.

Saudara dan Saudari,

88. Alhamdulillah, walau apa pun jua rintangan, walau apa pun jua dugaan, pada setiap yang terus berusaha, tabah dan bertawakkal kepada Allah Yang Maha Kuasa, kemenangan pasti tiba. Syukur, dalam setiap krisis, UMNO telah berjaya bangkit kembali dan pulih dalam keadaan di mana segala faktor yang ada seolah-olah tidak langsung berpihak kepada kita.

89. Semuanya ini kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO terus berpijak di bumi nyata. Semuanya ini juga dimungkinkan kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO tidak pernah sedetik pun pudar keyakinannya terhadap perjuangan benar ini, tidak pernah pula sesaat pun luluh harapan kepada pucuk pimpinan. Pokoknya, pegangan mulia UMNO telah memanfaatkan bukan sahaja orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia.

90. Hakikatnya, kitalah parti politik pertama yang berani meluaskan medan pemilihan sehingga melibatkan 140,000 orang ahli. Sebelum kita meminda perlembagaan pun, kita terkenal dengan parti politik yang amat kompetitif pertandingannya.

91. Demikianlah murninya impian kita. Demikianlah tulusnya langkah keramat UMNO. Demikianlah menggunungnya harapan orang-orang Melayu.

92. Makanya, bolehkah kita percaya kemakmuran Malaysia akan terus terpelihara sekiranya parti-parti lawan yang kelam kabut, babrak dan goyah memegang tampuk kuasa? Bolehkah rakyat Malaysia meletakkan kepercayaan terhadap mereka ini yang saban waktu dan saban masa hanya mengidam menduduki pusat pemerintahan? Sanggupkah kita menyerahkan Malaysia tercinta ini kepada penkhianat bangsa dan tanahair?

Sesungguhnya,

93. Kepada saudara dan saudarilah nasib parti kita dipertaruhkan. Dalam genggaman saudara dan saudarilah pembelaan UMNO kita dambakan. Di bahu saudara dan saudari sekelianlah, tergalas, warisan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu ini.

94. Ayuh..

Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redahi.. Jangankan ribut, taufan pun mesti kita harungi.. Jangankan air bah, gelombang badai pun harus berani kita renangi.. Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi..

95. Maka, kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!

Demi Islam, Demi Melayu dan Demi Malaysia. Bersamalah Mendaya Bangsa, Meneraju Kemakmuran. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung UMNO kali ke-61, tahun 2010. Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan terima kasih.

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN


Fokus Utama Kita PRU 13 Bukan Politik Cucuk Sate

Posted: 21 Oct 2010 04:58 AM PDT

Fokus Utama Kita PRU 13 Bukan Politik Cucuk Sate

Thursday, October 21, 2010



Mesyuarat agung tahunan Pemuda Umno hari ini ditangguhkan dengan dengan kedua-dua pemimpin nombor satu dan nombor dua dalam pergerakan itu sepakat menolak 'politik cucuk' dan atau 'politik sate'.





ISTILAH INI LAHIR AKIBAT DARIPADA PROSES PEMILIHAN YANG TIDAK DI PERBAIKI. JANJI TINGAL JANJI.

Memulakan ucapannya dengan menegaskan "hubungan serasinya" dengan Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Umno Datuk Razali Ibrahim menegaskan mereka sepakat berkhidmat bersama demi parti dan negara.

PERLU DIBUKTIKAN DENGAN TINDAKAN..... BUKAN SETAKAT KATA-KATA.

"Jangan cucuk (kami berdua). Bab cucuk ini yang tak tahan," katanya sambil meminta semua pihak memberitahu perkara sebenar daripada 'mencucuk' orang lain.

MASALAH DALAMAN YANG TIDAK SELESAI.......

Ketika menyampaikan ucapan penggulungannya lewat petang ini, Razali yang juga timbalan menteri belia dan sukan itu berkata anggota pergerakan itu tidak sepatutnya membiarkan bosnya itu "pening kepala".

EXCO KENA BANTU DAN PIKUL TANGGUNGJAWAB


"Jangan biar beliau celaru sebab dia ada musuh lagi di luar sana," katanya.

ANTARA MUSUH DALAM DAN MUSUH LUAR MANA LEBIH BAHAYA?

Sementara itu, Khairy pula tambil di pentas selepas itu dengan mengaku pemimpin Pemuda Umno di semua peringkat mestilah nampak macam itik yang sentiasa nampak gah.

LAGU LAMA DIPUTAR KEMBALI.....


"Di atas nampak steady (bersedia), tetapi tuhan sahaja yang tahu (gelora) di bawah paras air," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada perwakilan Pemuda Umno yang berani melontarkan buah fikiran dan menegurnya dengan ikhlas dengan tujuan mempertingkat prestasi bersama.

BERANI PEGANG KENA BERANI PIKUL....?


Menyenaraikan sepuluh sikap negatif di kalangan anggota Pemuda, Khairy menegaskan menolak politik sate yang didefinisikannya sebagai budaya "cucuk, api dan kipas."

KENA JUMPA SEMULA SEMUA KETUA PEMUDA BAHAGIAN.......



"Terima kasih pada saudara Razali kerana tidak hendak jadi politik sate dengan saya," katanya.


Menurut Khairy lagi, antara sikap buruk yang perlu dikikis itu: sikap elitis dan ego, syok sendiri, budaya punch card depan pemimpin, 'masuk frame' untuk publisiti, menjadi pak turut kepada bos, talam dua muka dan sikap oportunis.

YANG PENTING KENA FIKIR MACAM MANA NAK TAWAN HATI PENGUNDI MUDA SUPAYA UNDI BN.....

Sumber Bernama


GOMO: Gomo memandang baik apa yang di lontarkan oleh Kedua Dua pemimpin Pemuda UMNO ini. Kematangan berpolitik memainkan peranan dalam menentukkan hala Tuju pemuda UMNO dan seterusnya membawa UMNO ke arah lebih cemerlang dalam menggalas harapan rakyat pada PRU 13 akan datang.


Tak di nafikan Budaya Cucuk Mencucuk ini dah lama berlaku tak kira di mana sahaja ianya pasti akan wujud. Namum itulah ragam Manusia dan kita semua perlu memikirkan sendiri yang mana baik dan yang mana buruk.


Gomo menyarakan kepada semua Ahli UMNO khusunya pemuda agara bersatu hati dalam pemuafakatan yang ada hari ini bagi kita terus mengasak dan mempertajamkan barisan Hadapan UMNO ini dalam mencapai kemenangan besar PRU 13 kelak.


Bila datang musim pemilihan nanti maka kita pilih lah calon kita masing masing. Namun buat masa sekarang ini kita bersatu lah demi kemenangan kita.


Pemuda UMNO Harapan Bangsa, Maka Kita lah jua tunjang dalam perjuangan ini. Hari ini tidak semestinya sama dengan esok!


Blogger Pro Kerajaan usahlah Cucuk Mencucuk! Matlamat kita Fokus pada PRU 13 kelak. Perjuangan belum selesai! Teruskan Agenda menyerang Pakatan Haram Milik Anwar Al Juburi!!!!
Psssttt... Ucapan D.S. Najib penting buat kita jadikan pegangan!


UMNO DULU KINI DAN SELAMANYA

EKSKLUSIF : Khairy Jamaluddin Dalam Dewan Merdeka.

Posted: 21 Oct 2010 04:47 AM PDT

 


Foto eksklusif daripada blog MIM di bawah ni :




Apa macam ? OK tak?

p/s : Thank you Semut Hitam bagi pinjam kamera.

MENJEJAKI ROH PERJUANGAN YANG HILANG.

Posted: 21 Oct 2010 04:41 AM PDT

Rata-rata pemimpin muda UMNO masih mencari definisi tentang apa itu perjuangan dan apa itu yang perlu diperjuangkan. Lihat sajalah wawancara bersama Ketua Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di dalam Mingguan Malaysia. Pelurunya hanyalah peluru kapur yang sipi dan tidak mengenai sasaran.

UMNO juga telah kehilangan warnanya yang asli kerana idealisme perjuangannya sudah dicemari oleh ketamakan, kerakusan dan keangkuhan kuasa. Kerana itu, sebilangan pemimpin kanan UMNO hanya mesra bermusim yakni semasa musim pemilihan parti serta semasa Perhimpunan Agung UMNO dan Pilihan Raya Umum.

Di luar dari musim-musim ini, mereka kembali menyarung baju rasmi yang terlalu formal dan autoritatif serta enggan turun ke padang. Justeru, agenda perjuangan bangsa terus terperangkap dengan cerita tidak pernah tamat ataupun "the never ending story"

Perwakilan dan pemerhati rata-ratanya masih datang dengan 'gaya dan perwatakan' yang sama seperti mana ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) begitu gagah di persada politik tanah air. Baju Melayu dan kemeja linen mereka sentiasa segak dan baru walaupun isi dan gaya perbahasan masih mendatar dan tidak banyak berubah.

Perhimpunan Agung UMNO bukanlah pentas kerajaan di mana pemimpin parti datang dengan baju Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Menteri-Menteri Besar dan sebagainya. Ia juga pastinya bukan pentas untuk suka-suka, pantun memantun, sajak menyajak, seloka dan gurindam, puji memuji, ampu mengampu dan lawak melawak semata-mata.

Perhimpunan Agung UMNO adalah dewan tertinggi parti untuk perwakilan membawa suara akar umbi, melontarkan pandangan, cadangan, teguran dan kritikan serta kemudiannya mencapai konsensus yang perlu dijadikan dasar dan keutamaan parti. Ia perlu dihadam oleh pemimpin kerana itulah martabat sebuah perhimpunan agung.


Melihat beberapa siri Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU Ke-12), kita masih ternanti-nanti apakah 'perubahan' yang dijanjikan itu akan benar-benar berlaku.


.

SIRI 2 : MENJEJAKI WARISAN PERIBUMI

Posted: 20 Oct 2010 10:40 PM PDT

Pelajaran Pertama: Malayo-Polinesian & Austronesian.


Pelajaran 1:Belajar apa itu Malayo-Polinesian & Austronesian.

Untuk memahami apa yang dikatakan 'rumpun Melayu' atau Nusantara,kita mesti belajar apakah persamaan antara etnik-etnik di dalam rumpun Nusantara itu.Kita mesti tahu apakah beza antara rumpun Nusantara dengan kelompok-kelompok bangsa yang lain.Saya jujur mengatakan bahawa ketika zaman klasik Kesultanan Melaka,telah timbul apa yang dinamakan rumpun Melayu kerana Kesultanan Melaka telah bertindak sebagai satu empayar yang menakluk seluruh semenanjung dan sebahagian Sumatera;menyambung warisan yang ditinggalkan empayar Melayu Sriwijaya dahulu.Empayar ini amat kuat dan disegani Timur dan Barat sehingga hanya kuasa Eropah sahaja bergabung dengan pengkhianatan dari dalam,yang mampu menumbangkan Kesultanan ini.

Mengapa orang Bugis lebih senang menyerap budaya Melayu Selangor?Mengapa orang Jawa senang berasimilasi dengan orang Melayu Johor?Mengapa orang Banjar,Mendahiling atau Rawa lebih rapat dengan orang Melayu berbanding dengan orang Thai contohnya?Mengapa budaya berkeris ada pada orang Sulu,Jawa,Bugis dan Melayu (sekadar menamakan beberapa contoh)?Kita lebih faham bahasa orang Boyan atau orang Burma?

Kita mesti faham betul-betul perkara ini sebab jika kita tidak memahami perkara ini sebetulnya,nanti ada orang yang dari kelompok bangsa lain contohnya Tai-Kadai akan cuba memutarbelitkan fakta berkaitan kaum dan bangsa ini.Tidak memahami kategori antara bangsa-bangsa ini menyebabkan kegiatan merompak budaya dan identiti akan berlaku.Juga UNTUK MENGELAKKAN KEKELIRUAN BUDAYA sesama sendiri di dalam KELOMPOK YANG SAMA.Contohnya keris adalah budaya etnik-etnik Malayo-Polinesian.Jika orang Melayu berkeris,ini tidak bermakna mereka merompak budaya dari orang Jawa.Jika orang Jawa pakai kain batik,ini tidak bermakna mereka mencuri kain batik orang Kelantan.Kena faham betul-betul.Nanti tidaklah berperang sesama rumpun sendiri disebabkan hal yang remeh-temeh begini.'French Fries' contohnya adalah makanan orang Perancis dan Amerika.Namun tidak pernah orang Perancis berperang dengan orang Amerika semata-mata berebutkan 'French Fries' ('pommes frites' dalam bahasa Perancis).Tetapi ada orang yang ghairah mahu berperang semata-mata ingin berebutkan rendang!Lihat beza mentaliti orang Eropah dengan orang Asia yang terjajah pemikirannya.Apa yang mahu saya katakan lagi,why are you so stupid?

Ok,kita belajar sejarah secara santai.Tidak perlu tension-tension.Anda suka belajar sejarah dengan cara menghafal tarikh-tarikh?Saya pun tidak suka!Sebenarnya sejarah adalah subjek yang menarik.Sejarah melangkaui politik,budaya,geografi dan banyak bidang lain.Sejarah akan menjawab banyak persoalan.Apa,mengapa,bila,dimana,siapa dan bagaimana.Ok,biar saya teruskan 'lecture' saya tentang kelompok budaya dan bahasa yang dikelaskan sebagai,Austronesia.

Austronesia adalah kelompok bahasa yang tersebar di zon yang dinamakan Oceania dan Asia Tenggara sehingga ke Madagaskar.Orang Austronesia pula adalah mereka yang bertutur bahasa-bahasa di dalam kelompok Austronesia.

Dahulu kelompok bahasa ini digelar sebagai Malayo-Polinesia.Kemudian ditemui di Taiwan di mana terdapat kelompok-kelompok pribumi di sana bertutur bahasa mirip bahasa-bahasa dalam Malayo-Polinesia yang kemudiannya dikelaskan sebagai bahasa Formosa.

Gabungan bahasa Formosa dan Malayo-Polinesia inilah kemudiannya digelar Austronesia.

Austronesia adalah salah satu kelompok bahasa utama di dunia.Austronesia juga merupakan kelompok bahasa yang terbesar dari segi jumlah bahasa iaitu kira-kira 1268 jenis bahasa.Austronesia juga memiliki kawasan penyebaran paling luas,iaitu dari Madagaskar hingga ke Pulau Easter.

Bahasa Melayu dan bahasa Jawa adalah dua bahasa Austronesia yang mempunyai ramai penutur.Bahasa Melayu mempunyai lebih 40 juta penutur asli dan bahasa Jawa mempunyai kira-kira 80 juta penutur asli.Dari segi etnologi dan jumlah penutur sebenar,bahasa Melayu adalah bahasa Austronesia yang paling ramai penutur iaitu kira-kira 300 juta penutur (digabungkan dengan Bahasa Indonesia iaitu salah satu dialek dari bahasa Melayu) dan menduduki tangga ke-6 dunia,ranking bahasa paling meluas digunakan.

Bahasa Melayu sebagai bahasa elit Austronesia adalah terkelompok pula ke dalam bahasa Malayo-Polinesian Barat,bersama-sama bahasa Jawa,Sunda,Bugis dan lain-lain.Bahasa Malayo-Polinesian Timur pula termasuklah bahasa-bahasa di kepulauan Pasifik seperti Hawaii,Tonga,Maori,Samoa dan lain-lain.

Ok,sekarang anda faham siapakah itu orang Austronesia?Persamaan antara bahasa-bahasa Austronesia yang paling ketara ialah menyebutkan bilangan jamak sesuatu dengan mengulangi dua kali perkataan.Contohnya jika ada banyak kapal,mereka namakan 'kapal-kapal' (bukan 'kapals').Satu lagi rahsia yang paling ketara namun jarang orang ketahui ialah penyebutan nombor-nombor.Terdapat persamaan ketara antara penyebutan nombor 1 hingga 10 misalnya diantara bahasa Hawaii,Tonga,Samoa dan lain-lain dengan bahasa Jawa,Sunda dan ya...sudah pasti bahasa Melayu.Lihat jadual:



Lihat,nombor-nombor mereka,sama ada dipengaruhi bahasa Melayu atau dipengaruhi bahasa Jawa.Sebab apa?Jawapan yang paling mudah,kena salahkan dua empayar ini:Sriwijaya dan Majapahit.Tetapi kalau nak jawapan yang kompleks,kena jawab dengan sejarah linguistik dan pergerakan kaum-kaum Austronesia.Bahasa Sunda misalnya sebutan nombornya bercampur antara bahasa Melayu dan Jawa.

Ok,itu adalah persamaan antara bahasa-bahasa dalam kelompok Austronesia atau nama klasiknya 'rumpun Melayu'.Rumpun ya...bukan orang Melayu.Serumpun maknanya berkongsi budaya dan bahasa.Orang Batak misalnya berbeza dengan orang Melayu.Jadi orang Batak bukan orang Melayu dari segi etnik-etnik dalam kelompok budaya Austronesia.Masing-masing ada identiti.Apabila bercakap dalam konteks 'dalam rumah sendiri' Melayu adalah salah satu kaum atau sub-bangsa dalam rumpun Austronesia. Samalah apabila bercakap dalam konteks Malaysia,orang Kedah,orang Perak dan orang Kelantan misalnya adalah ORANG MELAYU.Namun bila bercakap soal kenegerian,masing-masing ada identiti sendiri seperti bahasa,senibina,makanan atau pakaian.Jadi bila orang-orang Melayu sedar bahawa ada kaum lain yang seakan sama dari segi wajah,bahasa dan budaya dengan orang Melayu maka mereka menyebut,"kita serumpun" (rumpun Austronesia atau Nusantara).Jadi Thai,Burma,Viet ataupun Mon-Khmer bukanlah serumpun dengan orang Melayu (ditolak faktor asimilasi atau cedokan bahasa dan budaya) sebab asas atau induk mereka berlainan dari orang Melayu.Thai boleh mencedok budaya Melayu Segenting Kra atau Khmer tetapi lihat bahasanya.Jauh berbeza.Ini dinamakan 'asimilasi'.Bukan serumpun.Tetapi ini asimilasi antara dua kelompok berbeza.Kalau anda faham masalah ini,saya tanya anda...orang Siam itu sama atau tidak dengan orang Melayu?Serumpun atau tidak??

Siam adalah nama yang diberikan kepada kerajaan Ayutthaya.Rakyatnya ialah Siam.Tidak kira Tai,Mon,Khmer atau Melayu.Ada satu lagi kerajaan Tai iaitu Sukhotai yang lebih awal dari Ayutthaya.Tetapi Sukhotai bukan 'Siam'.SIAM ADALAH BUDAYA BERCAMPUR ANTARA TAI-MON-KHMER-MELAYU.Siam bukan Melayu dalam ertikata sebenarnya.Jadi konotasi adakah orang Melayu mencedok adat Siam adalah SALAH SAMA SEKALI.Siamlah yang mencedok segala budaya di sekelilingnya!

Inilah gunanya tahu sejarah.Tidaklah nanti kita terkeliru sampai menjatuhkan prestij sendiri secara sukarela.

Orang Tai ('Tai' bermaksud bangsa ini seluruhnya manakala 'Thai' ialah konotasi baru lebih merujuk kepada orang Tai di Thailand) termasuk dalam kelompok Tai-Kadai atau Kradai.Orang Tai ini juga banyak sub-bangsanya seperti orang Shan,orang Li,orang Kam-Sui,Tai-Dam dan lain-lain.Etnik kedua terbesar di China selepas orang Han adalah Zhuang,yang berasal dari bangsa Tai-Kadai ini.Bangsa Tai-Kadai ini asalnya tinggal berselerak di selatan China sehingga ke utara Burma dan Assam di India.Mereka kaum petani (agraria).Tai-Kadai adalah kelompok bahasa yang dipertuturkan oleh semua etnik Tai ini.Mereka juga dilihat berkongsi beberapa budaya,yang paling ketara ialah perayaan Songkran.

Budaya etnik Tai berbeza dengan apa yang dinamakan sebagai 'Siam'.Siam adalah gabungan apa yang saya sebutkan tadi.Mula-mula orang Tai ini tinggal di bawah pemerintahan Empayar Khmer.Jadi asimilasi telah ada dengan budaya Khmer.Kemudian selepas berjaya membebaskan diri dari empayar ini,mereka mula membina kerajaan.Yang paling tersohor ialah Sukhotai.Mereka mula menakluk kerajaan-kerajaan Mon di tengah Thailand pada hari ini.Jadi mereka sudah berasimilasi dengan orang Mon yang lebih dahulu punya peradaban di Indochina.Akhir sekali ketika menubuhkan Ayutthaya,mereka telah berasimilasi dengan teruknya dengan negeri-negeri Melayu Segenting Kra dan Kerajaan Angkor menjadi apa yang dinamakan sebagai 'SIAM'.Ketika menjarah Angkor (serta menakluk sekali Angkor Wat) raja Ayutthaya telah mengangkut beribu-ribu artisan,tukang ukir,tukang batu,para penari dan seniman Khmer ke Ayutthaya.Kemudian apabila mereka mara lebih ke selatan,orang Tai ini melengkapkan identiti mereka sebagai Siam,apabila berasimilasi dengan orang Melayu ketika menakluk negeri-negeri Segenting Kra.Malah Ayutthaya itu sendiri adalah wilayah Negara Sri Dharmaraja,sebuah negeri Melayu Segenting Kra.Kemudian terjadi konflik merebut tanah Ayutthaya dengan U-Thong,raja pertama Ayutthaya yang 'menceroboh' masuk ke Ayutthaya sehingga ke beberapa raja selepasnya.Riwayat Khmer menyebutkan apabila raja Negara Sri Dharmaraja akhirnya tewas,beliau menyerahkan wilayah Ayutthaya sepenuhnya kepada seorang raja Tai dengan syarat mengambil anak-anaknya sebagai anak angkat raja Ayutthaya.

Kita boleh lihat persamaan senibina istana Raja Thai iaitu Grand Palace dengan istana Raja Khmer Kemboja di Phnom Penh:

Istana diraja Khmer Kemboja


Istana Raja Thai di Thailand



Jadi siapa cedok siapa?Khmer adalah berbeza laras bahasa dan bangsa dengan orang Tai.Bahasa Khmer adalah dari kelompok Mon-Khmer.Jika senibina orang Aceh dan Melayu punya persamaan boleh dipertimbangkan kerana satu rumpun,tetapi orang Khmer dan orang Tai dari rumpun berbeza!SEBAB APA TUAN-TUAN?Sebab asimilasi,tidak kira sebab peperangan mahupun perkahwinan.Perkaitan orang Melayu dengan orang Khmer pula banyak terkait akibat perkahwinan raja-raja Melayu Segenting Kra dengan gadis-gadis Khmer.Maka lahirlah raja-raja seperti Suryavarman I mahupun Jayaviravarman.Sujita,seorang raja Melayu Negara Sri Dharmaraja dari keturunan Sriwijaya telah berkahwin dengan puteri Khmer dari keturunan Kambuja.Menarik bukan?

Ingat,jangan jadi katak di bawah tempurung.Melayu di Malaysia mula jadi katak di bawah tempurung selepas dijajah British.Samalah seperti nasionalis Jawa yang terlompat-lompat hulurkan buluh runcing.Itu semua akibat ditipu Belanda.Ingat dua katakunci ini:

1. Dahulu tiada apa yang dinamakan Malaysia atau Indonesia.
2. Budaya adalah milik bangsa BUKAN NEGARA.

Bezanya,nasionalis Jawa ditipu Belanda sehingga jadi terlampau fanatik dengan bangsa khayalan bernama 'Indonesia'.Tetapi Melayu Malaysia ditipu British sampai jadi lembik,tidak bersemangat dan buta sejarah.Datang orang Siam cuit sikit...kelam kabut tak ingat dunia...kemudian menyembah kaki raja Siam tanpa usul periksa.

Jadi saudara saudari sekalian,nampak tak bahawa bahasa kita,budaya kita adalah amat luas menjangkau Malaysia sendiri.Bila bercakap tentang sejarah Melayu JANGAN SESEKALI BERDASARKAN KAWASAN SESEMPIT MALAYSIA.Jangan saudara,jangan.Sebab nenek moyang kita adalah pedagang dan pelaut yang amat disegani Timur dan Barat.Dan kita bukan mula buat kerajaan ketika Kesutanan Melaka.Bukan saudara.Banyak kerajaan-kerajaan sebelum Melaka,yang paling terkenal ialah Empayar Sriwijaya.Belum lagi nak bercakap pasal 'city-states' Melayu yang bertaburan dari utara semenanjung hingga ke Segenting Kra.Itu mungkin makan ratusan tahun Sebelum Masehi,sebab ketika Sriwijaya meluaskan jajahan takluknya,telah ada kerajaan Grahi,Kedah Tua atau Gangga Negara.Sejak bila kerajaan 'city-states' Melayu ini wujud?

Menariknya,prasasti 'Old Malay' ditemui seawal abad ke-7 Masehi.Tulisan 'Old English' pula dijumpai seawal abad 8 Masehi.Salah satunya ialah puisi Beowulf.Itupun bahasanya belum sepenuhnya 'English' sebab ada yang mendakwa ia masih bahasa Anglo-Saxon,suku Jerman Kuno yang membentuk bangsa Inggeris hari ini.Prasasti Melayu Cham pula seawal abad 2 Masehi.Bila bercakap sejarah bangsa,ingatlah...kita adalah antara yang terbaik.

Baiklah para pelajar semua,kelas bersurai.Jumpa lagi di lain artikel.







The History of Thy Beloved,


~Srikandi

Razali: Jangan celarukan kepala 'itik' Pemuda

Posted: 20 Oct 2010 10:24 PM PDT

Razali: Jangan celarukan kepala 'itik' Pemuda
Jimadie Shah Othman
Okt 20, 10
8:16pm
Kongsi 23
Mesyuarat agung tahunan Pemuda Umno hari ini ditangguhkan dengan dengan kedua-dua pemimpin nombor satu dan nombor dua dalam pergerakan itu sepakat menolak 'politik cucuk' dan atau 'politik sate'.

Memulakan ucapannya dengan menegaskan "hubungan serasinya" dengan Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Umno Datuk Razali Ibrahim menegaskan mereka sepakat berkhidmat bersama demi parti dan negara.

"Jangan cucuk (kami berdua). Bab cucuk ini yang tak tahan," katanya sambil meminta semua pihak memberitahu perkara sebenar daripada 'mencucuk' orang lain.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungannya lewat petang ini, Razali yang juga timbalan menteri beliau dan sukan itu berkata anggota pergerakan itu tidak sepatutnya membiarkan bosnya itu "pening kepala".

"Jangan biar beliau celaru sebab dia ada musuh lagi di luar sana," katanya.

Sementara itu, Khairy pula tambil di pentas selepas itu dengan mengaku pemimpin Pemuda Umno di semua peringkat mestilah nampak macam itik yang sentiasa nampak gah.

"Di atas nampak steady (bersedia), tetapi tuhan sahaja yang tahu (gelora) di bawah paras air," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada perwakilan Pemuda Umno yang berani melontarkan buah fikiran dan menegurnya dengan ikhlas dengan tujuan mempertingkat prestasi bersama.

Menyenaraikan sepuluh sikap negatif di kalangan anggota Pemuda, Khairy menegaskan menolak politik sate yang didefinisikannya sebagai budaya "cucuk, api dan kipas."

"Terima kasih pada saudara Razali kerana tidak hendak jadi politik sate dengan saya," katanya.

Menurut Khairy lagi, antara sikap buruk yang perlu dikikis itu: sikap elitis dan ego, syok sendiri, budaya punch card depan pemimpin, 'masuk frame' untuk publisiti, menjadi pak turut kepada bos, talam dua muka dan sikap oportunis.

Pas Tahu UMNO Konsisten Perjuangkan Perpaduan Melayu

Posted: 20 Oct 2010 10:18 PM PDT

 

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan hasrat UMNO untuk membincangkan kedudukan orang Melayu dan Islam bukanlah dibuat berdasarkan pertimbangan politik tetapi satu perjuangan konsisten parti itu sejak dari dulu.
Jelasnya perjuangan UMNO tidak pernah berubah kerana sentiasa bersedia dengan sesiapa sahaja bagi membincangkan agenda yang lebih luas khususnya demi agama, bangsa dan negara.
"Kita tidak terdesak. Hasrat kita untuk membincangkan kedudukan orang Melayu, kedudukan Islam tidak bersandarkan pertimbangan politik.
"Saya rasa Pas dari dulu memahaminya tetapi kalau ada pihak-pihak lain yang nak menangguk di air yang keruh yang mengatakan kita terdesak bagi saya UMNO mempunyai kekuatan sendiri kerana kita mempunyai sokongan setia kita sendiri", katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online sebagai mengulas dakwaan kononnya UMNO terdesak sehingga terpaksa bekerjasama dengan Pas.
Tegas beliau lagi isu yang sebenar adalah sampai bila kedudukan agama Islam dan masa depan orang Melayu menjadi pertaruhan hanya kerana persengketaan politik yang berpanjangan.

"Inilah soal pokok yang sebenarnya. Sampai bila disebabkan politik agama kita tergadai, masa depan orang Melayu terjejas. Dalam keadaan ini terserahlah kepada pemimpin Pas untuk melihat keadaan yang sebenarnya", ujar beliau.
Hakikatnya kata beliau UMNO tidak pernah menolak perpaduan orang Melayu malah sudah terbukti sejak zaman Datuk Onn lagi antara kepentingan individu dan parti, UMNO akan memilih parti.
"Perjuangan kita terbukti sejak dari dulu konsisten. Kita tak tergamak untuk menggadai maruah bangsa, agama dan negara semata-mata untuk raih sokongan politik dan kejar jawatan", katanya.

UMNO MELEPASI SEMPADAN GLOBAL.

Posted: 20 Oct 2010 10:11 PM PDT

Parti Komunis China Kagum Perubahan UMNO Berdepan Cabaran Masa Depan

Wakil DPJ Jepun Terkejut PM Aktif Guna Laman Sosial Dekati Rakyat


Duta Korea Utara Yakin UMNO Akan Terus Dapat Sokongan Rakyat


Sudan Kagumi Perjuangan Konsisten UMNO


Presiden, Duta Besar Bosnia Kagumi 1Malaysia

Oleh Ropikah Ahmad.

Duta Korea Utara Yakin UMNO Akan Terus Dapat Sokongan Rakyat



Muslim Sri Lanka Kagumi Karisma UMNO Pertahan Islam

UCAPAN DASAR PRESIDEN UMNO : DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK.

Posted: 20 Oct 2010 09:49 PM PDT

Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran

UCAPAN
YAB. DATO' SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK
SELAKU PRESIDEN UMNO
SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KALI KE-61, 2010
DI DEWAN MERDEKA PWTC

"MENDAYA BANGSA MENERAJU KEMAKMURAN"

Bismillahirrahmanirrahim
Rabbi ish-rah-li sadri wa-yassir-li amri wahlul uq-datan min-lisani yaf-qohu
qauli.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Yang Berbahagia Pengerusi Tetap,

Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap,

Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden & Puan Sri Norainee Abdul
Rahman,

YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad & Tun Dr. Siti Hasmah Ali,

YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi & Tun Jeanne Abdullah,

Naib Presiden-Naib Presiden,

Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO

Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,

Ketua-Ketua Komponen Parti BARISAN NASIONAL,

Dif-dif Kehormat, Para Tetamu dan Para Jemputan,

Para Perwakilan dan Pemerhati,

MUKADDIMAH

Meng-awali ucapan, marilah kita bersama-sama merenung dua
firman Allah SWT.
Dalam surah al-Baqarah, ayat 143, berbunyi:

"Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu
umat Islam „umat pertengahan‟ agar kamu
menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar
Rasul yakni Muhammad menjadi saksi atas
perbuatan kamu".

Dalam surah a-li Imran, ayat 159 pula terkandung firman yang
menyebut:

"Maka disebabkan rahmat dari Allah, kamu
berlaku lemah lembut terhadap mereka.
Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati
kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri
dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah
mereka. Mohonkanlah ampun bagi mereka dan
ber-musyawarah dengan mereka dalam urusan
itu".

Saudara dan Saudari sekalian,

1. Alhamdulillah, kita merafakkan sepenuh rasa syukur ke
hadrat Allah SWT yang telah memberi izin dan inayah-Nya
supaya kita berkumpul sekali lagi dalam dewan yang penuh
bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas junjungan
besar Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin yang
dimuliakan dan sentiasa diambil pengajarannya.

2. Jika dihitung dan dicongak, Perhimpunan Agung kali ke-61
menandakan Dewan Merdeka yang bertuah ini, telah
menyaksikan persidangan dilangsungkan sebanyak 25 kali
semenjak tahun 1985. Begitulah, UMNO telah bertatih dan
berjalan begitu jauh didewasakan oleh waktu.

3. Dalam pada itu, secara sedar atau tidak, selama lebih enam
dekad UMNO telah berada di lapangan, menyalakan obor
kebangkitan orang-orang Melayu dan membela untung
nasib bangsa. Sehubungan itu, dengan tegas kita mahu
menyatakan bahawa sepanjang 64 tahun ini, United Malays
National Organization atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu yakni UMNO, adalah satu-satunya, suluh yang
terang-benderang, kepada citarasa dan nurani orang-orang
Melayu.

4. Kerana itulah, tidak ada seorang pun dapat menafi apatah
lagi menidakkan betapa besarnya pengaruh dan peranan
parti keramat ini yang sejak turun-temurun kepimpinannya
telah menongkah arus, menghilir pasang, sebagai teraju
perubah tanahair.

TALI-TEMALI WAWASAN NEGARA

Saudara dan Saudari sekalian,

5. Apa yang kita perjuangkan hari ini, bukanlah sesuatu yang
baru. Sebaliknya ia adalah penerusan kepada aspirasi
bangsa Melayu serta rakyat Malaysia di kala kita membuat
keputusan untuk menuntut kemerdekaan. Begitulah,
semenjak dahulu, tiga prinsip dan pegangan utama kita
yang sentiasa konsisten yakni pertama, kesatuan Melayu
sebagai teras perpaduan nasional. Kedua, Islam sebagai
Addin dan ketiganya kemakmuran negara bertonggakkan
keadilan sosial.

6. Jika diimbau sebenarnya, pada awal tahun 50-an, Presiden
UMNO ketika itu, Allahyarham Dato' Onn Jaafar telah
mengenengahkan idea untuk membuka pintu keahlian
parti kepada orang bukan Melayu kerana beliau melihat
realiti, bahawa kemerdekaan, tidak mampu dicapai tanpa
kaum-kaum yang ada bersetuju berkongsi kuasa.

7. Namun, rancangan Dato' Onn pada masa itu adalah terlalu
progresif bagi ahli UMNO yang merasakan kedudukan
bangsa Melayu masih belum kuat. Hasilnya, ia telah
ditentang oleh majoriti ahli dan pemimpin UMNO. Akibat
dari itu, Dato' Onn telah keluar meninggalkan UMNO dan
menubuhkan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu bagi
meneruskan cita-citanya.

Kendatipun begitu, kita orang-orang UMNO ini bak kata
pantun:

Hidup sebumbung, di bawah teratak,
Berlain bantal, satu hati,
Bercerai kasih, bertalak tidak,
Ibarat rambut, bersimpul mati.

8. Di sudut lain, sekalipun idea Dato' Onn pada masa itu
tidak dapat diterima UMNO, penggantinya, Almarhum
Tunku Abdul Rahman yang telah dipilih menggantikan
beliau, menyedari peri pentingnya kerjasama politik
pelbagai kaum untuk mencapai kemerdekaan. Tunku
kemudiannya mengambil strategi yang pada pandangannya
adalah lebih realistik dan mampu diterima majoriti orang-
orang Melayu serta pelbagai ras dengan mempelopori satu
gabungan bitara antara kaum.

9. Kerjasama ini, telah dizahirkan buat kali pertama pada
tahun 1955, melalui perkongsian kuasa Parti Perikatan
yang mengumpulkan UMNO, MCA dan MIC, masing-
masing, mewakili kaum Melayu, Cina dan India. Kemudian
pula, pasca tragedi 13 Mei 1969, kepimpinan negara
menyedari bahawa, perpaduan tidak mampu dipupuk
dengan hanya menggunakan mekanisma politik tanpa
disertai asas sosioekonomi bertunjangkan keadilan sosial.

10. Oleh kerana itu, selanjutnya, Allahyarham Tun Abdul
Razak telah menggubal dan melaksanakan Dasar Ekonomi
Baru dengan matlamat membaikpulih ketidakseimbangan
sosioekonomi antara kaum yang sebelum itu hampir
memusnahkan keutuhan perpaduan nasional. Pendekatan
baru ekonomi ini, sebetulnya telah dimungkinkan dengan
kedinamikan sistem pasaran yang dibina oleh Almarhum
Tunku sebelum itu.

Saudara dan Saudari,

11. Di sini, suka saya menarik kembali perhatian sebahagian
daripada kita dah pihak-pihak yang barangkali terlepas
pandang bahawa, matlamat Dasar Ekonomi Baru
sebenarnya, adalah, untuk membina perpaduan nasional.
Cumanya, alat dasar yang telah digunapakai bersifat
sosioekonomi, bukannya politik semata-mata sepertimana
yang dilakukan pimpinan terdahulu melalui penubuhan
Parti Perikatan.

12. Dalam helaan nafas yang sama, Tun Razak tidak
melupakan kepentingan mekanisma siasah sebagai alat
memupuk perpaduan. Beliau, telah memperbesarkan Parti
Perikatan dan membentuk tapaknya melalui penubuhan
Barisan Nasional. Menerusi landasan kerjasama serta
perkongsian kuasa antara kaum, ia diperluaskan melalui
negeri-negeri Sabah dan Sarawak.

13. Hendaklah jangan kita lupa, jambatan pertama yang dibina
antara negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak
merentasi Laut China Selatan adalah jambatan politik
Barisan Nasional, yakni 11 tahun selepas penubuhan
Malaysia. Ia dimantapkan lagi kemudiannya, dengan
kehadiran UMNO di Sabah, bumi di bawah bayu, pada
tahun 1991.

14. Sejurus, apabila Dasar Ekonomi Baru tamat pada tahun
1990, Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri pada ketika itu,
telah memperkenalkan penyataan arah tuju kebangsaan
Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun
2020. Melalui kertas kerja bertajuk "Malaysia; Melangkah
ke Hadapan" yang disampaikannya semasa melancarkan
Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, beliau
mevisikan bahawa, Malaysia akan menjadi sebuah negara
maju dalam tempoh tiga dasawarsa.

15. Pada saat itu, diimpikan menjelang tahun 2020, Malaysia
akan menikmati taraf hidup yang sama dengan Amerika
Syarikat. Pendapatan per kapita Amerika Syarikat pada
masa itu adalah kira-kira dua puluh ribu dolar.
Sungguhpun kita tahu, ada pihak yang mengatakan
matlamat ini adalah angan-angan Mat Jenin, alasan Tun
Dr. Mahathir adalah begitu kemas sekali. Beliau
menyatakan dalam tempoh Dasar Ekonomi Baru, pukul
rata pertumbuhan tahunan negara adalah 6.7 peratus. Jika
dalam tempoh tiga puluh tahun hingga 2020, pertumbuhan
boleh ditingkatkan kepada tujuh peratus yakni perpuluhan
tiga peratus lebih tinggi daripada pukul rata tahun-tahun
1971 hingga 1990, maka wawasan yang dicitakan tidak
mustahil untuk dicapai.

16. Di samping aspek ekonomi, beliau telah menggariskan
sembilan lagi cabaran sosio-politik yang perlu dihadapi
sebelum Wawasan 2020 boleh direalisasikan. Paling utama
adalah, mengukuhkan perpaduan nasional atau matlamat
untuk membentuk bangsa Malaysia. Pengalaman Dasar
Ekonomi Baru menunjukkan bahawa pengagihan saksama
hanya akan berlaku dalam ekonomi yang teguh.

17. Apa yang sangat jelas di sini, bagi memastikan perpaduan
nasional, kedua-dua mekanisma, politik dan sosioekonomi
harus diguna dan dipertemukan. Ertinya, perpaduan
nasional tidak akan ampuh tanpa keadilan sosial manakala
keadilan sosial pula tidak mampu dicipta tanpa kestabilan
politik serta kemakmuran ekonomi yang berteraskan
perpaduan nasional. Ringkasnya, ketiga-tiga elemen
tersebut adalah saling melengkapi, saling berkait dan saling
mengukuhkan antara satu sama lain.

Saudara dan Saudari,

18. Setelah diamanahkan untuk memimpin parti dan negara
kira-kira lapan belas bulan yang lepas, dengan penuh
tradisi harmoni kesinambungan kepimpinan UMNO yang
diserahkan oleh Tun Abdullah, saya telah membuat
keputusan untuk tidak mencipta semula roda tetapi untuk
mengambil teladan akan kebijaksanaan dan pandangan
jauh pendahulu kepimpinan parti dan negara melalui
formula yang dicuba serta telah teruji oleh zaman.

19. Maka, lahirlah falsafah induk 1Malaysia yang merupakan
penerusan kepada wawasan pragmatik bapa-bapa kita
dalam parti dan kerajaan. Perpaduan nasional adalah
sesuatu yang dinamik. Ia harus sentiasa dibajai dan dijaga,
jika tidak, ia akan hancur berkecai. Parti Perikatan
terbentuk diambang Merdeka bertepatan waktunya, namun
pasca tragedi 13 Mei 1969, menyaksikan model ini perlu
dipulih rawat melalui Barisan Nasional dan elemen keadilan
sosial melalui Dasar Ekonomi Baru.

20. Kesimpulannya, susur galur dan tali-temali usaha yang
dipasak oleh Almarhum Tunku disambung oleh
Allahyarham Tun Razak melalui Barisan Nasional dan
Dasar Ekonomi Baru. Allahyarham Tun Hussein pula
dikenali sebagai Bapa Perpaduan yang tegas dan tulus
dalam melaksanakan khidmatnya. Kemudiannya Tun Dr.
Mahathir meneruskannya dengan konsep Bangsa Malaysia.
Disusuli Tun Abdullah yang membina usaha memantapkan
modal insan dan mengolah Misi Nasional dalam meneraju
negara.

Saudara dan Saudari,

21. Sekiranya perpaduan nasional, kemakmuran dan keadilan
sosial adalah saling mengikat dan berpilin, maka, selain
1Malaysia, kita memperkenalkan inisiatif Pelan
Transformasi Kerajaan atau GTP dan 6 NKRAnya serta
Pelan Transformasi Ekonomi atau ETP untuk membina
kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.

22. Seperti yang telah dibentangkan sebelum ini, ETP adalah
satu pelan yang komprehensif, merangkumi garis-garis
besar Model Baru Ekonomi dan lapan prakarsa strategik. Ia
juga mengandungi arah tuju yang jelas dengan 12 NKEAnya
serta mekanisma pelaksanaan jitu melalui Rancangan
Malaysia Kesepuluh dan Rancangan Malaysia Kesebelas.

23. Dalam hubungan ini lagi, Gagasan 1Malaysia juga adalah
selaras dengan nilai-nilai Islam dan semangat yang
ditunjukkan sirah Rasulullah SAW dalam pembentukan
negara dan ketamadunan Islam terawal di Madinah.
Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu, terdiri
daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun
lagi harmoni, berasaskan Perlembagaan yang
mengutamakan serta mempertahankan agama serta
keadilan kepada semua pihak. Perlembagaan itu juga
melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan
mengamalkan agama kepada orang-orang bukan Islam.

Saudara dan Saudari,

24. Jelasnya, ini bukanlah impian baru. Inilah impian abadi
negara dari dahulu dan selamanya. Ia adalah gagasan
Allahyarham Dato' Onn, cita-cita Almarhum Tunku Abdul
Rahman, harapan Allahyarham ayahanda saya, kemahuan
Allahyarham Tun Hussein, aspirasi Tun Dr. Mahathir dan
kehendak Tun Abdullah Badawi. Pastinya, ia kini menjadi
wawasan saya, bersama Tan Sri Muhyiddin dan rakan-
rakan dalam UMNO, Barisan Nasional dan juga kerajaan.

25. Saya penuh yakin dan percaya, ia adalah hasrat murni
didokong tuan-tuan dan puan-puan yang berada di dalam
dewan dan di luar dewan, serta semua rakyat negara
tercinta ini. Pendek kata, biar siapapun kita, di mana jua
berada, kita adalah 1Malaysia.

KEPIMPINAN DALAM BUDAYA MELAYU DAN UMNO

Saudara dan Saudari sekalian,

26. Di atas semua ini, jika diteliti, dalam budaya Melayu, hal
kepimpinan amatlah pelbagai. Mulai daripada kepimpinan
rumah tangga, dusun dan kampung sampailah kepada
kepimpinan bangsa dan negara. Oleh sebab besar dan
pentingnya pengaruh dalam kehidupan, maka para
pemimpin diberi kepercayaan dan tanggungjawab
memandu umat sepertimana tercermin dalam ungkapan
"adat memegang kepercayaan orang, jangan sekali-kali
menikam belakang, adat memegang kekuasaan, jangan
sekali-kali merosakbinasakan, adat memegang
kebebasan, jangan sekali-kali lupa batasan".

27. Makanya, di saat ini, biar apa sekalipun suka duka, pahit
maung, kritik cela yang dihadapkan lawan kepada UMNO,
tawarikh jelas memperlihatkan bahawa, kita sudah
bertahan lebih daripada enam puluh tahun dengan
khidmat, jasa dan bakti yang mendalam kepada
pembangunan umat Melayu juga negara. Tambahan lagi,
kebolehan dan kewibawaan UMNO telah tersanjung tinggi
bukan sahaja dirantau sebelah sini malah menjangkau ke
seantero dunia.

28. Sememangnya lagi, sejak puluhan tahun, apa yang
diperkatakan bukanlah omongan kosong. Terakam jelas
dalam catatan negara, parti inilah yang telah menukar
perpecahan kepada perpaduan, daripada pemikiran terjajah
kepada pemikiran merdeka, daripada tidak percaya kepada
kebolehan masing-masing kepada keyakinan mandiri yang
membanggakan, daripada berputus asa kepada penuh
harapan.

29. Jangan kita lupa, parti inilah yang berperanan merubah
orang Melayu daripada bangsa yang tidak berkesedaran
politik sebelum Perang Dunia Kedua kepada bangsa yang
mampu merebut kemerdekaan dengan siasah hujung lidah
menundukkan kuasa besar dunia iaitu pihak British.

30. Tidak cukup dengan itu, tersusun kemas dalam rekod
negara, parti UMNO-lah yang telah menggerakkan
kesedaran nasionalisma, semangat patriotisma dan
demokrasi politik. Dalam gambaran besarnya, terbukti
utuh bahawa, kepimpinan UMNO telah berjaya sebagai
teraju ulung yang mentransformasikan Malaysia dengan
begitu pantas seperti apa yang kita kecapi hari ini.

Saudara dan Saudari sekalian,

31. Menyongsong kisah-kisah pencapaian itu, kita ingin
bertanya, apakah jenis bangsa yang berjaya menunjangi
perjuangan hebat ini? Apakah sistem nilai yang dipegang?
Persoalannya di sini, bukanlah kita ingin termanggu
dengan kejayaan-kejayaan lalu, namun, marilah kita
menyingkap apakah kekuatan dan apakah faktor yang
menjadi asas kepada keutuhan pertubuhan yang bermakna
ini.

Dalam konteks ini, sesuai jika saya mengungkap beberapa
baris puisi indah oleh Sasterawan Negara, Allahyarham
Usman Awang serta bait-bait coretan gurindam daripada
seorang tokoh persuratan, Tenas Effendy yang
membicarakan tentang Melayu.

Pertama sekali dari segi usul dan asalnya disebut:

Melayu itu, kaya falsafahnya
Melayu itu, orang yang bijaksana
Akal budi bersulamkan daya

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,

Saudara dan Saudari,

Tidak lengkap lagi senarai ini sebenarnya:

Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muallaf bertakrif Melayu

Mendakap realiti semasa Malaysia pula:

Kadazan, Bajau, India Muslim dan Siam,
Melanau, Bidayuh dan berpuluh suku kaum,
Kita bersama dalam serumpun,

Di sudut perpaduan dan agama dinyatakan bahawa:

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Seterusnya dari perspektif kepimpinan dan amanah,
Melayu dimadahkan:

Menjadi pemimpin sifatnya agung
Syarak dipakai adat dijunjung

Hidupnya mengabdi kepada rakyat
Taat setia membela umat

Akhirnya, disimpulkan Melayu itu:

Dijadikan induk kuat berdiri
Umat sentosa bertuahlah negeri.

Saudara dan Saudari sekalian,

32. Berdasarkan baris-baris yang saya lafazkan, begitu
langsung memperlihatkan betapa, dalam sifat, psikologi,
dan sikap atau perwatakan Melayu itu terpamer asas-asas
yang membenih nilai kepimpinan murni. Jika digarap lagi,
demikianlah orang Melayu, meletakkan martabat tinggi
kemuliaan sikap pemimpin dan kepimpinan dalam
masyarakat.

33. Terbukti, di sudut leluhurnya, bangsa Melayu itu, sejak
sekian lama telah merentas ujian waktu. Keperibadian
inilah juga yang menyebabkan Melayu diterima sebagai
pemimpin dalam sebuah masyarakat majmuk. Sikap inilah
juga menjadi bekal sebagai bangsa yang diamanah
menggalas kepimpinan negara.

34. Lebih indah pula, ciri kepimpinan Melayu yang saya
utarakan ini, telah dimurnikan dengan tibanya ajaran Islam
yang menyeru, mendidik dan mendokong pendekatan
wasatiyah. Wasatiyah, adalah suatu kaedah mengamalkan
kehidupan individu mahupun masyarakat secara
berimbang dan syumul dalam segenap bidang terutamanya
dalam soal-soal yang menyangkut perpaduan dan
kenegaraan.

35. Sesudah itu, dari masa hingga masa, ajaran Al-Quran serta
sunnah disulam dan dijalin kemas dalam anyaman hidup
seharian orang Melayu. Sejak itulah juga hingga kini, nilai
orang Melayu, padat diwarnai dengan hala cara wasatiyah
atau pertengahan. Merujuk para ulama tafsir, disyarahkan
bahawa, umat wasatiyah secara tuntasnya adalah umat
yang adil lagi berdaya maju, bekerja keras untuk
kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

KEPIMPINAN UMNO – SATU TANGGUNGJAWAB MORAL
DALAM PENGURUSAN KAUM

Saudara dan Saudari sekalian,

36. Lanjutan dari itu, seperkara yang amat mustahak untuk
diingat adalah, dalam menentukan jatuh bangun sesebuah
negara, kita memerlukan corak kepimpinan yang betul dan
pemahaman jujur pada wacananya, apatah lagi dalam
sebuah negara bitara seperti Malaysia.

37. Sehubungan itu, bersyukurlah bahawa Malaysia sebagai
sebuah negara berbilang kaum dan agama, kekal stabil
serta bebas daripada sebarang konflik besar. Sayugia,
setiap orang perlu menerima hakikat bahawa kepelbagaian
kaum adalah satu rahmat dan aset anugerah dari Allah
SWT.

38. Sesungguhnya, kemajmukan adalah sumber kekuatan kita
selama ini. Begitulah dunia tercipta dan akan kekal
selamanya begitu. Apa yang mustahak adalah, bagaimana
kita memanfaatkan aset ini bagi menunjangi kejayaan
negara.

39. Berkait perkara itulah, semua pihak perlu mengambil sikap
berlapang dada, kerana sekalipun kita mengamalkan
tindakan afirmatif untuk menjamin keadilan sosial,
kejayaan seseorang nyatanya, hanyalah dihadkan oleh
kreativiti, inovasi dan kesanggupan individu itu sendiri,
untuk bekerja keras serta mengambil risiko.

40. Misalnya, kaum bukan Bumiputera, setelah 39 tahun dasar
afirmatif dilaksanakan, masih lagi merupakan kaum yang
memiliki kekayaan terbesar. Kita menyedari, ada pihak
mendakwa tindakan afirmatif itu sendiri yang
mendatangkan kesusahan, akan tetapi, bukti empirikal
menunjukkan sebaliknya. Sebenarnya, sikap penerima
bantuan, cara pelaksanaan dan landskap di mana tindakan
itulah yang menjadi punca masalah.

Saudara dan Saudari sekalian,

41. Sementelahan itu, apabila ada pihak yang mula
mempersoalkan tentang kedudukan bangsa Melayu sebagai
bangsa yang dilindungi dengan hak-hak tertentu, ianya
telah menimbulkan kegusaran serta rasa tidak puas hati,
kepada kita yang amat terkenal dengan sikap dan sifat
akomodatifnya. Ibarat api dalam sekam, perasaan ini telah
mula membara dan mungkin menular sehingga berupaya
merosakkan keharmonian perhubungan ras yang telah
terjalin semenjak dahulu.

42. Sayang seribu kali sayang juga, setelah lima puluh tiga
tahun kita merdeka, hari ini, rakyat Malaysia sedang
berhadapan dengan asakan bertalu-talu terhadap teras-
teras utama perhubungan kaum yang wujud selama ini.
Jika polemik nasional ini tidak ditangani dengan baik, kita
berasa amat cuak, kerana, ia berkemungkinan menjadi
ancaman kepada perpaduan negara.

43. Sebab itulah, saudara dan saudari, kita perlu sentiasa
berwaspada, kita perlu terus mengingatkan diri masing-
masing bahawa, kejayaan pertiwi tercinta sememangnya
dimungkinkan oleh sumbangan, idea dan pengorbanan
pelbagai kaum. Hakikatnya pun, ia bukanlah jasa,
mahupun ikhtiar ekslusif satu kaum semata-mata, akan
tetapi segalanya merupakan hasil mahsul, tuaian kudrat
oleh semua kaum secara kolektif.

44. Apa yang menjadi masalah dalam keadaan ini, ketegangan
akan timbul apabila, sejarah dienteng, atau, dilupakan
akibat perjalanan masa, atau juga, apabila ada pihak-pihak
tidak bertanggungjawab yang cuba mentafsir semula
semua itu, supaya sesuai dengan kepentingan serta agenda
sempit kelompok masing-masing.

45. Kerana yang demikianlah, pemimpin oportunis, menangguk
di air keruh, sebenarnya musang berbulu ayam, bermain
api permusuhan dan memanipulasi keadaan, sangat ditolak
dalam kepimpinan. Mereka tidak layak digelar pemimpin.

Saudara dan Saudari sekalian,

46. Awaslah, awaslah kita, terhadap saudagar mimpi yang
membuai dengan dogengan, menjadi petualang memintal
kepalsuan, menenun kebencian, memperdagang fitnah,
mengadun madu dengan tuba, meleceh pengorbanan dan
tanpa segan silu, mengajak kita menikmati buah khuldi
yang bergentayangan di pohon rendah, sehingga sanggup
menggadai segala-galanya.

Saudara dan Saudari sekalian,

47. Bertolak dari situlah, bagi bangsa Melayu khususnya,
perasaan mereka amat terhiris kerana ikrar budiman yang
telah dipateri di ambang merdeka kini diungkit kembali.
Sedangkan, berpayung sumpah dan janji itulah kita
sanggup membuat pengorbanan terbesar bagi mencapai
sebuah kemerdekaan, yakni berkongsi pemilikan Tanah
Melayu dengan kaum-kaum yang lain.

48. Serentak dengan itu, penerimaan kerakyatan yang
berasaskan prinsip jus soli atau hak tempat kelahiran
berbanding prinsip jus sanguinis yakni hak darah dengan
sekelip mata telah mentransformasikan landskap
sosiopolitik Tanah Melayu untuk selama-lamanya.

49. Dek kerana itu, kita tidak boleh lagi hidup terpenjara kisah
nan lalu tanpa melihat ke hadapan. Pokoknya di sini,
sepertimana prinsip keutuhan sebarang kontrak yang
dibuat di bawah lembayung kedaulatan undang-undang,
jika tidak dihormati, maka tiadalah kepastian, walaupun
bagi perkara-perkara asas yang telah dipersetujui bersama.
Analoginya di sini, jika ia berlaku dalam bidang perniagaan,
maka pihak yang berbuat demikian akan mendapati diri
mereka, tidak lagi dipercayai oleh sesiapapun, apabila
memungkiri janji.

50. Seterusnya lagi, jika ikrar setia yang telah diwaad,
dilanggar sewenang-wenangnya apabila tidak sesuai dengan
selera atau kepentingan tertentu, akan hancurlah
kepercayaan dan rapuhlah rasa penghormatan di antara
kita, kerana, masing-masing akan dihidapi penyakit
kesangsian terhadap motif, kejujuran serta keikhlasan
terhadap satu sama lain. Hal yang membarah sebegini
berbahaya, saya ulang, amat berbahaya kepada sebuah
negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia
kerana ia berpontensi menghancurkan segala apa yang
dibina sejak lebih lima puluh tahun yang lalu.

51. Satu hal yang pasti, timbal balas dipersembahkan bukan
sahaja oleh bangsa Melayu, tetapi juga oleh kaum lain. Ia
dimanifestasi melalui muafakat murni iaitu bagi
memperoleh kerakyatan, orang bukan Melayu telah
sanggup menerima prinsip hak keistimewaan sebagaimana
termaktub di bawah peruntukan Perkara 153 Perlembagaan
Persekutuan. Kemudian itulah, kewarganegaraan Malaysia
pada dasarnya bukan lagi bersifat sama rata dan sama rasa
tetapi telah disesuaikan dengan realiti yang ada demi
matlamat dan kepentingan jangka panjang nasional.

Saudara dan Saudari sekalian,

52. Inilah sebenarnya asas teras kepada kontrak yang telah
dimuafakat bapa-bapa pengasas mewakili kaum masing-
masing di ambang kemerdekaan. Ia kemudiannya telah
dimaktubkan sebagai kontrak sosial nasional, tertinta
dalam perkara dan fasal Perlembagaan Persekutuan yang
menjadi undang-undang tertinggi negara. Mahu tidak
mahu, kita sewajibnya menghormati persepakatan mulia
yang telah dilakukan kerana itulah kunci kepada
kelangsungan dan survival kebangsaan.

53. Kini pula, sebagai generasi kepimpinan mutakhir, kita telah
diamanahkan untuk menghadapi tuntutan zaman
monumental ini sebagaimana generasi kepimpinan pertama
yang telah dihadapkan dengan cabaran untuk membina
asas kepelbagaian. Oleh itu, adalah amat tidak
bertanggungjawab jika kita memilih jalan berpeluk tubuh
dan duduk bersimpuh tanpa berbuat apa-apa. Lebih teruk
lagi jika ditanggungkan pula beban ini kepada generasi
kepimpinan akan datang.

54. Demikian itulah, kita harus membina landasan baru
perhubungan kaum di Malaysia dengan mengambil kira
dua prinsip penting. Pertamanya, ia haruslah berasaskan
masa depan yang dikongsi bersama dan kedua, ia harus
mengambil kira faktor sejarah tanpa mengenepikan realiti
hari ini serta potensi masa depan.

Saudara dan Saudari sekalian,

55. Sememangnya, manusia tidak wujud dan hidup dalam
sebuah utopia. Manusia tidak dapat lari dari realiti dan
persekitaran. Malaysia adalah sebuah negara berasaskan
keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang
sepertimana ideologi kebangsaan yang ternukil dalam
panca prinsip Rukun Negara.

56. Seperti yang kita maklum, kedudukan orang Melayu serta
Bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain dari segi
politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan
Persekutuan. Ia terkunci kemas dalam artikel-artikel
Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait
Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan
dan Perkara 153 mencakupi antara lain Perezapan kuota
perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.

57. Seterusnya, saudara dan saudari, kita mesti memahami
dan mengetahui bahawa, pindaan terhadap artikel-artikel
ini tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan Majlis Raja-
Raja mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan. Ia
ditambah kukuh pula oleh Perkara 10 Fasal 4, yang
memberi kuasa kepada Parlimen, bagi menggubal undang-
undang, melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara,
hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak
kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh
peruntukan Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan Perkara 181.

58. Sehubungan hal ini, hendaklah kita mengetahui bahawa
apa yang menjadi polemik hebat hari ini, sama ada tentang
kerakyatan selepas merdeka atau hak istimewa orang
Melayu sebenarnya, sudah menjadi perdebatan akademik.
Ini kerana, dari segi perundangan, peruntukan-
peruntukannya sudah pun tersurat dan sekaligus terpateri
kemas.

59. Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam
Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa
jua, tanpa kebenaran Majlis yang dianggotai sembilan orang
Raja-Raja Melayu. Dalam kata laim, sia-sia sahaja jerit
pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan
bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang
tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan,
ia tetap tidak boleh disinggung.

60. Di sebalik semuanya, suka tidak suka, ada sebab yang
amat kuat mengapa perkara-perkara ini tidak dibenarkan
untuk dipinda kecuali dengan perkenan Majlis Raja-Raja.
Hikmahnya, adalah supaya peruntukan-peruntukan
tersebut di letakkan luar daripada forum perbincangan.
Jika dibuka juga kepada perbahasan, maka kita bimbang,
kita khuatir, ia akan membangkitkan keresahan serta
mengapi-apikan "primordial instinct" atau naluri asal wujud
antara etnik.

61. Di atas segalanya, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa
sejarah telah menunjukkan tidak kira betapa majunya
sesebuah ekonomi, betapa berevolusinya sesebuah
tamadun, betapa terpelajarnya manusia dan betapa tinggi
tahap toleransi, seandai dan sekiranya naluri asal wujud ini
tidak diurus dengan baik, kesannya kelak, kita mungkin
menyaksikan kezaliman yang sangat dahsyat bakal
terjelma, dinyalakan oleh sikap dan disemarakkan sifat
tabie manusiawi itu sendiri.

62. Apa yang saya perkatakan ini tidak menghairankan. Di
abad ke-20 kita telah dipampangkan dengan kes-kes
hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi
"holocoust" di Benua Eropah, penyembelihan rakyat
Palestin di Asia Barat serta penghapusan etnik di Bosnia
dan Rwanda. Jadi, bayangkanlah, apakah kesudahannya,
jika setiap generasi rakyat Malaysia mengambil pendirian
untuk mempersoal kewajaran kontrak sosial kebangsaan
yang telah dimuafakatkan pendahulu mereka sebelum ini.

63. Akibatnya, akan lebih pantas terutama dalam dunia tanpa
sempadan dengan kecanggihan sistem teknologi maklumat
dan komunikasi yang sentiasa berkembang. Pucuk
pangkalnya, saudara dan saudari, mengapa mahu diubah
apa yang telah berjalan dengan begitu baik. Janganlah yang
elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi
putus.

Saudara dan Saudari sekalian,

64. Merentasi situasi ini, sebagai orang Melayu yang
merupakan kaum majoriti, kita mempunyai tanggungjawab
kepimpinan untuk ditunaikan. Satu tanggungjawab moral
kepimpinan yang melangkaui kepentingan kaum kita
sendiri. Tanggungjawab ini secara alami telah tertakdir dan
tertanggung ke atas orang-orang Melayu disebabkan kita
adalah dalam rumpun majoriti yang membentuk 67 peratus
daripada penduduk Malaysia. Seperti yang telah saya
bicarakan di awal ucapan tadi, ketentuan ini disahihkan
lagi oleh faktor sejarah serta sikap dalaman bangsa itu
sendiri.

65. Begitulah, suratan satu bangsa yang terpilih menerajui
kemajmukan. Kepercayaan yang terus-terusan diberi oleh
kaum-kaum lain sewajibnya menjadi perangsang agar
orang-orang Melayu sentiasa memperbaiki diri dan
terkedepan sebagai pemudahcara antara kaum.

66. Dalam pengertian lain, di arus kemodenan dan kerancakan
globalisasi, soal hak, harga diri dan asal-usul tidak lagi
membawa apa-apa makna jika bangsa kita mundur dan
ketinggalan. Secara otomatis, rasa hormat, rasa menaruh
harap oleh pihak lain kepada kita juga akan luntur. Dek
yang demikian, pada saat ini juga kita perlu bingkas
bangun dan berlari deras bagi menggapai justifikasi
peranan umat Melayu dengan penuh berhemah lagi
profesional.

GERAK KERJA UMNO

Saudara dan Saudari sekalian,

67. Menjengah ke hadapan, sebermula Perhimpunan Agung
Mac 2009, pelbagai rencana dan perancangan rapi serta
strategi telah disusun. Jadinya, kita tidak boleh lagi
berlengah-lengah dan membuang masa. Mengatasi semua
perkara, tumpuan kita sekarang ini adalah terhadap gerak
kerja parti. Gerak kerja UMNO sebagai sebuah parti siasah
mesti berubah. Kendati begitu, UMNO harus kekal
berpegang teguh kepada tujuan asalnya, sebagai sebuah
parti Melayu massa yang mampu mengungkap aspirasi
bangsa.

68. Laksamana Hang Tuah menyebut, takkan Melayu hilang di
dunia. Begitulah, bangsa Melayu terutamanya dirantau ini,
telah menjelajah zaman dan menempuh rangkaian suka
duka. Ketahuilah, tahun 2011 yang bakal menjelang
bukanlah sembarangan. Ia menandakan genapnya tempoh
lima ratus tahun, semenjak kejatuhan empayar Melayu
Melaka. Di sini, kita harus mengambil pengajaran kenapa
sebuah empayar begitu hebat di Kepulauan Melayu yang
menjadi persinggahan perdagangan dua benua telah rebah
dijajah Portugis.

69. Ironisnya, banyak pihak hanya menumpukan kepada
runtuhnya empayar Melayu ini kerana pengkhianatan dari
dalam. Ya, memang benar ini sebahagian sebabnya. Tetapi
fakta yang tidak kurang penting untuk diambil iktibar ialah
ehwal tentera kedua-dua pihak, masing-masing ternyata
memperlengkap persenjataan peperangan untuk era yang
berlainan.

70. Maksud saya, pihak Portugis menggunakan senjata yang
moden untuk zamannya, dengan senapang dan meriam
sedangkan pertahanan Melaka waktu itu masih
menggunakan senjata yang sesuai dengan zaman yang
telah berlalu. Walaupun keris, tombak dan lembing menjadi
lambang kepahlawanan, namun ia ternyata tidak mampu
menewaskan bedil dan meriam. Begitulah resam dan
ketetapan, sunnah putaran alam.

Saudara dan Saudari sekalian,

71. Oleh yang demikian amatlah mustahaknya Melayu alaf ke-
3, Melayu abad ke-21 dipersediakan untuk eranya. Dari
begitu obsesi terhadap hak, sebaliknya Melayu abad ke-21
wajib mempersiap siagakan dirinya untuk memanfaatkan
hak yang ada. Apa gunanya kuota, rizab dan permit jika
segalanya dipersiakan. Apa gunanya peluang jika ia digadai
demi keuntungan jangka pendek.

72. Lalu, Melayu abad ke-21 harus gigih membina keupayaan
dan kemampuan, bukannya sekadar mendabik perabung-
perabung dada bahawa mereka harus berjaya kerana ia
adalah hak mereka untuk berjaya. Mahu tidak mahu,
Melayu abad ini harus berdepan realiti untuk meraih
kejayaan.

73. Kita harus menjadi Melayu yang glokal. Saudara dan
saudari, saya ingin bertanya, apa kurangnya bangsa
Melayu? Melayu…… seharusnya mampu bersaing dengan
yang terbaik. Melayu…… seharusnya mampu bertarung
dengan yang paling kuat. Melayu…… mesti menjadi yang
terhebat di pentas antarabangsa.

74. Justeru, saya sebagai Presiden UMNO…… tidak mahu…..
menerima alasan bahawa anak Melayu masih lemah kesan
penjajahan hampir lima kurun. Saya sebagai Presiden
UMNO beserta rakan-rakan pimpinan dalam parti juga
tidak rela…… melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang
meminta-minta, kita tidak mahu…… melihat bangsa
Melayu menjadi bangsa yang berpuas hati dengan
momokan rezeki secupak tak kan jadi segantang.

75. Dengan tegas, saya ingin ingatkan semua bahawa,
pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan
kemahiran. Siapa yang berilmu, siapa yang menguasai
maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran.
Oleh itu, janganlah kita mengambil jalan mudah dengan
bersifat dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk
berbanding isinya.

Saudara dan Saudari sekalian,

76. Kepada semua pihak hendaklah menyedari, bukankah apa
yang Malaysia capai selama lima puluh tiga tahun
kemerdekaan adalah juga hasil usaha dan penerajuan
bangsa Melayu? Lantas, kita menjadi lemas dan rimas
dewasa ini, apabila kedengaran suara-suara sumbang yang
cuba memperlecehkan pencapaian orang Melayu. Benar
sekali, amat mudah bagi lidah tidak bertulang membuat
nista. Mereka dengan suka-suka menuduh perkhidmatan
awam sebagai lubuk ketidakcekapan.

77. Walhal, jika perkhidmatan awam negara tidak kompeten,
sudah lama kita menjadi negara gagal, tidak mungkin pula
akan berjaya berkembang sebegini dari negara pertanian
berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian
moden.

78. Terbukti lagi selama ini, kita telah berjaya tanpa perlu ada
pengkalan tentera asing dibumi bertuah ini untuk memberi
payung keselamatan. Kita juga berjaya….. tanpa perlu
keabsahan sebagai negara bangsa yang merdeka dan
berdaulat dipertikaikan. Kita juga telah berjaya…. bersama
pelbagai kaum membina tanah air keramat ini.

79. Diperakui, kita ada kelemahan, namun kita tetap mampu
pada setiap masa bangkit mengatasi cabaran kelemahan
yang dihadapkan dengan kudrat, acuan dan cara kita
sendiri tanpa bergantung kepada negara lain.

Saudara dan Saudari sekalian,

80. Mendepani segalanya, UMNO akan tetap menunaikan
amanahnya untuk memartabatkan bangsa, agama dan
negara. Kita melakukannya bukan sahaja semata-mata
melalui kata puitis yang muluk-muluk bahkan dengan
inisiatif, program dan dasar yang konkrit.

81. UMNO tidak sekali-kali akan membiarkan bangsa Melayu
menjadi bangsa yang melukut ditepi gantang, bangsa yang
menjadi dagang di negeri sendiri. Kita komited untuk
melakukan bukan sahaja apa yang terbaik, tetapi apa yang
betul demi untuk rumpun Melayu. Kita tidak mampu untuk
tenggelam dalam keasyikan lampau. Nyatanya, kita bukan
sahaja berhadapan dengan cabaran luar tetapi juga
cabaran segelintir anak-anak bangsa yang nampaknya
sanggup menggadai segala demi kuasa.

82. Sebagai pengajaran dari semua ini, orang UMNO tidak
boleh hilang harapan atau bergundah gulana. Ajaran
agama Islam juga sangat melarang kita berputus asa. Kita
sebagai ahli parti dan orang UMNO tidak mampu untuk
terumbang-ambing di kubang kecewa dalam kekalahan,
malah kita juga tidak semudah-mudah nak membiarkan
UMNO musnah.

83. Demi, membina masa depan, demi terus mendaya bangsa
ini, kita harus melalui tiga fasa pemulihan. Fasa pertama
dan terpenting adalah memperakui kelemahan dan
masalah yang kita hadapi. Fasa kedua adalah untuk
membuat muhasabah dan mencari penawar-penawar yang
mustajab memperbaiki kekurangan-kekurangan itu. Fasa
ketiga pula adalah memulakan gerak kerja. Apa yang
penting, ketiga-tiga fasa ini wajib dilalui dengan penuh
ketertiban. Jika tidak, rencana perubahan dan
pembaharuan tidak akan berjaya.

PENUTUP

Saudara dan Saudari sekalian,

84. UMNO bukanlah sebarang parti, UMNO lahir daripada
suara hati dan aspirasi orang Melayu. Menelusuri
perjalanannya, UMNO telah dilanda rentetan dugaan yang
besar. Tahun 1951, Presiden dan Pengasas UMNO telah
meninggalkan parti. Kemudiannya, PAS telah ditubuhkan
oleh salah seorang calon Presiden yang tewas kepada
Almarhum Tunku dalam pertandingan menggantikan Dato'
Onn sebagai pemimpin baru UMNO.

85. Menjelang 1969, UMNO dan rakan-rakannya telah hilang
buat kali pertama majoriti dua pertiga dalam Dewan
Rakyat, sekaligus kita dihadapkan dengan rusuhan kaum
dan demokrasi terpaksa digantung. Dunia ketika itu, sudah
seperti melambai selamat tinggal kepada UMNO. Detik
cemas 1987 pula menyaksikan parti berpecah dua dan
negara menghadapi insiden ketegangan kaum.

86. Setahun kemudian, pada 1988, kita berasa amat pilu dan
begitu bersedih hati, bagai kilat turun menyambar, bagai
garuda datang menyerang, hilang sudah tempat berteduh,
patah ranting tempat berpaut, dengan sungguh rasa
berhiba-hiba dan pilu, kita terpaksa menerima keputusan
dan berita, bahawa, parti UMNO yang sangat berjasa dan
menggala baktinya ini telah diharamkan.

87. Selanjutnya, di akhir tahun 90an, kita bukan sahaja
menghadapi krisis kewangan antarabangsa, kita turut
mengalami kemuraman politik apabila ramai orang Melayu
telah tidak lagi memberi sokongan. Kita kemudiannya
dilintangi oleh tsunami politik pada tahun 2008 yang amat
mendebarkan.

Saudara dan Saudari,

88. Alhamdulillah, walau apa pun jua rintangan, walau apa
pun jua dugaan, pada setiap yang terus berusaha, tabah
dan bertawakkal kepada Allah Yang Maha Kuasa,
kemenangan pasti tiba. Syukur, dalam setiap krisis, UMNO
telah berjaya bangkit kembali dan pulih dalam keadaan di
mana segala faktor yang ada seolah-olah tidak langsung
berpihak kepada kita.

89. Semuanya ini kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO terus
berpijak di bumi nyata. Semuanya ini juga dimungkinkan
kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO tidak pernah sedetik
pun pudar keyakinannya terhadap perjuangan benar ini,
tidak pernah pula sesaat pun luluh harapan kepada pucuk
pimpinan. Pokoknya, pegangan mulia UMNO telah
memanfaatkan bukan sahaja orang Melayu tetapi seluruh
rakyat Malaysia.

90. Hakikatnya, kitalah parti politik pertama yang berani
meluaskan medan pemilihan sehingga melibatkan 140,000
orang ahli. Sebelum kita meminda perlembagaan pun, kita
terkenal dengan parti politik yang amat kompetitif
pertandingannya.

91. Demikianlah murninya impian kita. Demikianlah tulusnya
langkah keramat UMNO. Demikianlah menggunungnya
harapan orang-orang Melayu.

92. Makanya, bolehkah kita percaya kemakmuran Malaysia
akan terus terpelihara sekiranya parti-parti lawan yang
kelam kabut, babrak dan goyah memegang tampuk kuasa?
Bolehkah rakyat Malaysia meletakkan kepercayaan
terhadap mereka ini yang saban waktu dan saban masa
hanya mengidam menduduki pusat pemerintahan?
Sanggupkah kita menyerahkan Malaysia tercinta ini kepada
penkhianat bangsa dan tanahair?

Sesungguhnya,

93. Kepada saudara dan saudarilah nasib parti kita
dipertaruhkan. Dalam genggaman saudara dan saudarilah
pembelaan UMNO kita dambakan. Di bahu saudara dan
saudari sekelianlah, tergalas, warisan Parti Kebangsaan
Melayu Bersatu ini.

94. Ayuh..
Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redahi..
Jangankan ribut, taufan pun mesti kita harungi..
Jangankan air bah, gelombang badai pun harus berani kita
renangi..
Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi..

95. Maka, kepada semua saya berpesan, kepada semua saya
beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun
sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan.
Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-
panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga
badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan
saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita
pertahankan!

Demi Islam, Demi Melayu dan Demi Malaysia.
Bersamalah Mendaya Bangsa, Meneraju Kemakmuran.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan
Perhimpunan Agung UMNO kali ke-61, tahun 2010.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh dan terima kasih.

Pemuda UMNO - Bergegar Atau Digegarkan?

Posted: 20 Oct 2010 05:53 PM PDT

Pemuda UMNO - Bergegar Atau Digegarkan?


Oleh Dr Novandri Hasan Basri

Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda Malaysia selesai kelmarin. Selepas kelmarin, apa lagi?

Persoalan inilah yang perlu difikirkan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Exco-exco Pemuda Pusat, Ketua Pemuda Negeri, Ketua Pemuda Bahagian dan keseluruhan kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia.

Kita sudah malas dengan retorik politik yang hanya berkobar-kobar selama setengah hari tetapi follow-up dan kelangsungan gerakan Pemuda UMNO tidak seperti yang digambarkan di dalam Dewan Merdeka, PWTC.

Kerungsingan untuk memikirkan keaktifan dan keberkesanan gerak kerja Pemuda UMNO Malaysia sepatutnya dikongsi bersama oleh keseluruhan ahli sayap parti. Tanpa kemampuan menggerakkan aktiviti-aktiviti sayap parti itu, segala yang berlaku di dalam Dewan Merdeka kelmarin hanya sekadar celoteh untuk memenuhi atur cara mesyuarat.

Tetapi penulis bukan pessimis bahkan optimistik dengan apa yang dihidangkan oleh perwakilan Pemuda UMNO di PWTC. Penulis berkata demikian kerana penekanan yang dicadangkan dan dijanjikan menampakkan perubahan angin perjuangan sayap tersebut.

Memang wajah politik Pemuda UMNO Malaysia mendatangkan pelbagai persepsi yang banyak negatif daripada positifnya. Tetapi persepsi itu bergantung kepada isi hati pihak yang menilainya. Tidak perlu kita membincangkan 'isi hati' parti pembangkang kerana modus operandi mereka hanya satu iaitu memburuk-burukkan parti UMNO/BN.

Maka, tidak perlu kita membuang masa memikirkan pihak tersebut.

Tetapi penulis lebih memikirkan 'isi hati' generasi muda yang sepatutnya di tangani oleh Pemuda UMNO Malaysia dengan baik. Generasi muda mempunyai perspektif politik yang berdasarkan kepada olahan dan kritikan yang berdasarkan pemikiran yang lebih intelek dan liberal.

Perspektif tersebut bagaimana pun menyediakan pegangan politik yang tidak berdasarkan kepada ketaatan kepada parti tetapi parti yang sepatutnya taat kepada mereka.

Pemikiran ini tidak ada salahnya kerana parti politik hanyalah sekadar kenderaan yang digunakan untuk memudahkan aliran perlaksanaan terhadap misi dan visi pihak-pihak yang menggunakan 'kenderaan' tersebut.

Tetapi generasi muda jangan nafikan tentang keperluan wang untuk melaksanakan sesuatu aktiviti. Yang memualkan ialah wang yang masuk ke dalam poket tetapi sumbang kerja sungguh memalukan. Penulis menyarankan orang yang sedemikian itu supaya letak jawatan!

Penulis hanya mengharapkan wujudnya satu semangat baru yang tidak hanya berlandaskan kepada kronisme politik tetapi lebih kepada kemampuan ahli-ahli Pemuda UMNO mengerakkan jentera aktiviti Pemuda UMNO. Favouritsme tidak patut wujud.

Manakala aktiviti-aktiviti Pemuda UMNO yang diakui berkesan menyentuh dan rapat kepada rakyat, patut dikembangkan dan dibantu

SERUAN POLITIK BARU SEOLAH TIADA SAMBUTAN........BENARKAH?

Posted: 20 Oct 2010 05:50 PM PDT

Salhan K Ahmad
Okt 20, 10
9:13pm
Perhimpunan agung tiga sayap Umno tahun ini bermula dengan seruan daripada ketua-ketua sayapnya supaya anggota parti mengamalkan budaya politik baru ke arah kesederhanaan. Namun indikasi yang ditunjukkan daripada para perwakilan setakat ini dilihat masih belum menunjukkan bahawa saranan berkenaan diterima dengan baik.




PERSOALANNYA MENGAPA PERWAKILAN PEMUDA TAK TERIMA?

Istilah yang diperkenalkan ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam ucapan dasarnya seperti "manhaj" (kaedah) dan "maqassid" (tujuan) dalam mencapai "politik baru" itu juga nampaknya diabaikan oleh para perwakilan di perhimpunan Pemuda petang ini. Sebaliknya tumpuan dalam perbahasan perwakilan antaranya berkisar kepada wakil Pemuda Kedah, Basorri Hassan dalam menilai prestasi Khairy sebagai ketua pergerakan tersebut.

ADAKAH KETUA PEMUDA TAK BUAT KERJA? Basorri nyata kesal apabila Khairy tidak berjaya memperkukuhkan pergerakan pemuda di negeri itu. Keadaan ini dikhuatirinya akan menjejaskan peluang Umno untuk merampas kembali pentadbiran negeri itu. Malah, beliau juga seolah-olah cuba mencabar seruan oleh Khairy supaya pergerakan itu mengambil pandangan yang lebih sederhana dalam memperjuangkan isu melibatkan kepentingan Melayu. Tanpa berselindung, Basorri dalam sesi perbahasan ucapan dasar ketua pergerakannya petang ini berkata, Khairy lebih banyak "bergaduh" dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) daripada menjalankan usaha untuk "memperkasakan" pergerakan itu di Kedah.


SEPATUTNYA MEMPERKASAKAN PEMUDA SEBALIKNYA........ "Pemuda sendiri di pusat jangan tengok kawan di bawah kecil, tapi kena ingat yang bawah juga tengok orang di atas kecil," katanya yang seolah-olah kecewa kerana menyokong Khairy dalam pemilihan lalu.

EXCO PEMUDA PUSAT BUAT HAL MASING-MASING....? JAGA BIRO MASING-MASING Basorri berkata, beliau merupakan satu-satunya ketua pemuda di negeri itu yang menyokong Khairy sebagai ketua sayap pergerakan tersebut. 3G - gemuk, gempal dan gebu Umum mengetahui, Kedah dipengaruhi kuat oleh Datuk Mukhriz Mahathir -- anak kepada bekas presiden Umno yang sering dianggap tidak sebulu dengan Khairy. Khairy dalam ucapan penggulungannya kemudian memulangkan paku buah keras kepada Basorri.

ADAKAH INI SIKAP SEBENAR SEORANG KETUA PEMUDA? Dengan sinis, Khairy menyimpulkan bahawa pandangan seperti itu merupakan antara sikap yang patut dikikis oleh pemuda Umno sekiranya anggotanya ingin memperkukuhkan pergerakan tersebut. Menurut Khairy, ramai di kalangan anggota Pemuda yang menyatakan bahawa mereka sayang kepada parti, namun lebih banyak berfikir untuk memenangi pemilihan parti. Katanya lagi, anggota parti sebaliknya perlu mencontohi kesepakatan yang ditunjukkan dalam Pakatan Rakyat -- "Kalaupun mereka tidak sokong (pemimpin tertentu) dalam parti, kalau ada orang parti mereka kena serang, mereka akan bangun pertahankan."


BANYAK LAGI YANG BOLEH DICONTOHI BUKANNYA PAKATAN REPUT TU..... Sementara itu di sayap Puteri pula, tahap perbahasan perwakilannya dilihat agak mengecewakan untuk perhimpunan seperti ini. Isu yang menarik perhatian dan dilaporkan agensi berita ialah isu "3G" -- iaitu keadaan fizikal anggota pergerakan tersebut yang "gemuk, gempal dan gebu."


MASIH BANYAK LAGI YANG PERLU DIPERBAIKI OLEH PUTERI......SELALUNYA LAYU SEBELUM BERKEMBANG....FIKIRKAN.... Perkara itu dibangkitkan wakil Perak yang mengaitkannya dengan tahap obesiti di Malaysia. "Bagaimanapun bukan wanita saja yang ada 3G tetapi lelaki pun ada 3G siap tambah 2G lagi, iaitu gendut dan gondol, jadilah 5G," katanya, seperti dilaporkan Bernama.

MODEL POLITIK BARU

Posted: 20 Oct 2010 05:35 PM PDT

Model Politik Baru UMNO ini akan meningkatkan darjat serta maruah parti ini ke satu tahap yang berbeza dari zamannya yang dahulu dan akan menjadikan UMNO sebagai sebuah parti politik Melayu yang dihormati oleh semua kaum.

Model Politik Baru UMNO ini hendaklah memiliki beberapa nilai penting. Sistem yang ada dalam UMNO sudah baik. Namun sistem yang baik mesti disusuli dengan nilai yang baik agar ia bermanfaat. Nilai tersebut adalah:

1. Keterbukaan

2. Perjuangan untuk rakyat

3. Pencapaian kepimpinan teras kejayaan

4. Bermoral dan ketertiban.

"DEMI MASA , SESUNGGUHNYA MANUSIA DALAM KERUGIAN"........

Posted: 20 Oct 2010 05:28 PM PDT

Masa merealisasikan budaya politik baru UMNO

SAYAP parti UMNO, baik Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri sepakat dan insaf akan kekuatan parti orang Melayu itu perlu diperkukuhkan dan kembali mendapat sokongan rakyat bukan sahaja daripada Melayu tetapi juga bukan Bumiputera.

SEDAR SAHAJA TAK CUKUP KENA PRO AKTIF.

Tetapi jika setakat berbahas dan insaf sahaja tanpa gerak kerja turun padang dan mendekati denyut nadi rakyat, ia tidak memberi apa-apa makna. Sokongan rakyat kepada parti keramat ini akan tinggal di takuk lama.

MASA PEMILIHAN DULU BUAT SEJUTA JANJI, TAPI TAK TUNAI.

Budaya banyak cakap dan asyik berbahas siapa betul, siapa salah patut dikurangkan. Sebaliknya amalan bertindak dan melaksanakan apa yang sudah dipersetujui sebelum ini perlu banyak ditekankan.

BUDAYA BURUNG KAKAK TUA

Kepada perwakilan UMNO yang berkumpul di Dewan Merdeka hari ini, fahami betul-betul mesej dan amanat daripada Presiden UMNO.
Sejak perhimpunan tahun lepas lagi Datuk Seri Najib Tun Razak telah menekankan perlunya UMNO melakukan transformasi jika tidak mahu UMNO diubah.

PRESIDEN HANYA BEKERJA DENGAN TIMBALAN SAHAJA

Menjelang Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 ini juga, Najib masih menggesa ahli-ahli UMNO melakukan transformasi dari peringkat atas sehingga akar umbi.

PEMIMPIN MALAS KENA TUKAR.................JANGAN SAMPAI RAKYAT TUKAR KERAJAAN..........

Dengan keahlian 3.4 juta, sepatutnya UMNO kuat dan mampu mendekati serta mendapat sokongan rakyat. Sesungguhnya, sokongan rakyat kepada UMNO yang merosot pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan beberapa pilihan raya kecil yang lalu perlu dipulihkan dengan secepat mungkin sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.

ORANG MELAYU LEBIH DARIPADA ITU.....

Budaya politik wang dan politik pembangunan yang diamalkan selama ini sudah tidak sesuai dan perlu diubah. Jika UMNO tidak ada masa untuk mengubahnya, kita bimbang hayat parti ini akan berakhir pada pilihan raya akan datang.

CUMA NAKKAN KEPENTINGAN INDIVIDU SAHAJA.....

Amaran ini sebenarnya sudah diberikan oleh rakyat. Imej dan tingkah laku pemimpin dan orang UMNO perlu berubah agar kembali disenangi dan diyakini oleh rakyat.

JANGAN JADI PARTI ELITE... SOMBONG....TAK MAHU DENGAR GRASS ROOT
Model politik baru atau budaya politik baru mesti diserap oleh ahli parti sudah ditekankan berkali-kali oleh Presiden UMNO. Beliau mahu model budaya politik baru yang bersifat inklusif, terbuka dan demokratik diterjemah dalam bentuk pelaksanaan di kalangan ahli UMNO.

GANDINGAN LAMA DAN BARU....BARU KENA LEBIH

Pembaharuan UMNO tidak boleh hanya 'bersalin kulit' sahaja tetapi mesti melibatkan dari dalam parti iaitu dari segi budaya, pemikiran, tindakan dan pertuturan.

BERMULA DARI HATI......AKAL ......TINDAKAN

Orang UMNO kena meninggalkan budaya lama seperti hanya mendekati rakyat apabila ada pilihan raya. Jika amalan ini juga masih ditonjolkan kepada rakyat, maka UMNO jangan salahkan pengundi jika parti ini tidak diterima untuk memimpin rakyat.

TINGGALKAN PEMIMPIN SEBEGINI

Orang UMNO kena memikirkan semula apa nawaitu mereka ketika mahu menyertai parti itu dahulu. Apakah matlamat mereka adalah untuk berjuang demi agama, bangsa dan tanah air? Atau pemikiran ahli UMNO hanya mahu menjadikan parti ini semata-mata batu lonjatan untuk mendapat kekayaan.

RAMAI YANG JADIKAN UMNO BATU LONCATAN SAHAJA

Sebab itu sejak beberapa tahun lalu, rakyat dapat merasakan perjuangan mengejar jawatan hingga melibatkan politik wang amat-amat tidak disenangi oleh mereka. Lantas rakyat telah memberi mesej pada Pilihan Raya Umum 2008.

RAKYAT BUKANNYA BODOH..................

UMNO tidak boleh mengulangi kesilapan itu lagi. UMNO kena berubah dan melakukan transformasi dalam budaya politiknya. Oleh itu, ahli UMNO diseru fahami intipati amanat Presiden UMNO supaya parti tunjang kerajaan Barisan Nasional ini kembali bangkit untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

BERUBAH ATAU DIUBAH......JADI JANGAN SALAHKAN MASA BILA KITA GAGAL UNTUK LAKUKAN PERUBAHAN......SEKALI LAGI KITA GAGAL UNTUK MELIHAT KELEMAHAN DIRI SENDIRI......JADI ADAKAH IANYA AKAN TINGGAL SEBAGAI MEMORI SAHAJA.....

Menara Warisan Merdeka tidak sentuh duit pelabur – PNB

Posted: 20 Oct 2010 05:13 PM PDT

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini berkata, pembangunan projek Warisan Merdeka yang mempunyai menara tertinggi di Malaysia, akan dibiayai melalui dana dalamannya sendiri tanpa 'menyentuh' langsung dana pemegang unit amanahnya.
Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman (gambar) berkata, PNB, sebuah firma pelaburan terbesar di Malaysia, memiliki dana operasinya sendiri yang dikendalikan secara berasingan dengan portfolio dana para pemegang unit amanah.
''Kami akan menggunakan dana sendiri yang dikumpul daripada keuntungan PNB sejak mula operasi (penubuhannya),'' kata Hamad Kama Piah dalam satu taklimat tentang projek Warisan Merdeka di sini hari ini.
Pada taklimat itu, beliau menyangkal spekulasi bahawa projek milik PNB akan menggunakan dana amanah saham dan juga dibiayai oleh kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2011 pada Jumaat lalu mengumumkan bahawa PNB akan membina projek bersepadu melibatkan pembinaan menara setinggi 100 tingkat dengan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara, dua bangunan sejarah negara, yang turut terletak di kawasan yang sama.
Keseluruhan projek itu bernilai RM5 bilion, dijangka siap pada tahun 2015.

Melaka membanggakan negara

Posted: 20 Oct 2010 05:10 PM PDT

Melaka membanggakan negara


Ahli Exco Melaka, Ab. Karim Sulaiman menerangkan sesuatu kepada Najib Tun Razak pada Pelancaran Melaka Maju 2010 di PWTC, Kuala Lumpur, petang semalam.


MELAKA 20 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kejayaan Melaka diisytihar sebagai negeri maju 2010 adalah menepati dengan Wawasan 2020 menerusi empat tonggak utama yang telah digariskan oleh kerajaan.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan dan seluruh rakyat negara ini merasa bangga di atas pengiktirafan yang telah diberikan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) itu.
Najib sebelum ini telah menggariskan empat tonggak utama perubahan pembangunan negara iaitu konsep 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh rakyat Melaka di atas pengisytiharan sebagai negeri maju 2010.
"Sesungguhnya rakyat Melaka harus berbangga kerana mempunyai pemimpin yang kuat bekerja dan berwawasan dalam usaha membangunkan negeri ini. Sudah tentu usaha ini akan sentiasa mendapat sokongan padu daripada kerajaan Pusat," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian menerusi sidang video secara langsung dari Bilik Melur, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur ke Stadium Hang Jebat di sini malam ini.
Turut hadir pada sidang video tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin-pemimpin komponen Barisan Nasional.
Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menerima surat pengiktirafan daripada Ketua Penyelaras OECD, Jon Hall sambil disaksikan oleh Najib dari PWTC.
Selepas itu, beliau telah menandatangani surat ucap tahniah sebelum dimasukkan ke dalam kapsul secara simbolik yang diserahkan kepada Mohd. Ali sambil disaksikan kira-kira 50,000 masyarakat berbilang kaum di Stadium Hang Jebat di sini.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob, Ahli Mesyuarat Kerajaan negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua-ketua jabatan.
Sejurus Perdana Menteri mengisytiharkan Melaka sebagai negeri maju 2010, percikan bunga api menggegarkan seluruh stadium sambil kira-kira 5,000 peserta perarakan berbaju warna hijau mengibarkan bendera Melaka diiringi paluan kompang.
Sementara itu Mohd. Ali dalam ucapannya selepas itu berkata, perisytiharan Melaka sebagai negeri maju oleh OECD membuktikan negeri ini sudah bertaraf maju dan kredibiliti semakin kukuh.
Menurutnya, kerajaan negeri telah merancang dengan teliti ke arah memastikan Melaka mampu mencapai status negeri maju sepanjang tempoh 10 tahun dengan menggubal dasar pembangunan negeri yang mantap, dan merangka objektif pembangunan yang konkrit.
Katanya, apabila rakyat negeri ini memberi kuasa kepada BN untuk memerintah sejak 10 tahun lalu di bawah tiga Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib, ia telah memberi keyakinan kepadanya untuk merealisasikan sasaran negeri maju.
Selepas itu lagu berjudul Melaka Maju Jaya dicipta oleh pelajar dari Universiti Limkokwing dinyanyikan oleh kumpulan koir daripada pelbagai jabatan bagi memulakan sambutan penuh gilang-gemilang.
Kemudian menyusul empat lagi lagu iaitu Muhibah, Kemegahan Negaraku, Nyalakan Tekad dan 1Malaysia.

Pengikut