Khamis, 29 Julai 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Syed Ali kesal arahan KSN supaya tolak surat sokongan pemimpin politik

Posted: 28 Jul 2010 07:06 PM PDT

"SOKONGAN pemimpin politik terhadap permohonan orang awam berhubung tender, permit, lesen, biasiswa, status kewarganegaraan dan sebagainya bukan merupakan satu tekanan terhadap pegawai kerajaan," jelas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.


Sebaliknya menurut beliau, sokongan tersebut merupakan amalan biasa dilakukan oleh mana-mana pemimpin politik tetapi tidak satu paksaan sehingga merumitkan tugas perkhidmatan awam.

Katanya, pegawai kerajaan masih mempunyai kuasa membuat sebarang keputusan berhubung sesuatu permintaan yang diajukan kepada mereka tanpa mengambilkira kepentingan politik.

Oleh sebab itu katanya, tidak kesemua surat sokongan dikeluarkan oleh pemimpin politik termasuk daripada UMNO mendapat layanan seratus peratus daripada pegawai kerajaan.

"Ada kalanya kita minta pegawai kerajaan berikan sedikit perhatian supaya dipertimbangkan terhadap sesuatu permohonan termasuk dalam soal pengagihan tender tetapi surat sokongan itu tidak dilayan dan kita memahami situasi tersebut," tegasnya.

Malah katanya, pemimpin politik terutama UMNO tidak memberi tekanan atau ugutan terhadap pegawai kerajaan jika sesuatu permohonan tidak dilayan dengan sepenuhnya.

Menurut beliau, pemimpin UMNO yang mewakili suara rakyat sentiasa berhadapan dengan pelbagai masalah dihadapi oleh segenap lapisan masyarakat yang memerlukan tindakan segera daripada pihak terbabit.

Katanya, tanggungjawab ini merupakan amanah yang harus diselesaikan oleh pemimpin UMNO dan sudah tentu mereka akan mengemukakan rayuan atau permohonan kepada pegawai kerajaan di pelbagai agensi atau kementerian berkaitan.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan (gambar bwah) baru-baru ini mengarahkan kakitangan awam supaya melaporkan kepada pegawai tertinggi mereka jika terdapat pemimpin politik yang mahukan mereka 'cenderung' kepada sesuatu tawaran tender kerajaan yang dibuat menerusi pelbagai surat sokongan termasuk percakapan, e-mail dan sistem pesanan ringaks (sms).

Sebaliknya kata Sidek keputusan sesuatu tawaran kerajaan perlu dibuat menerusi sistem merit dan bukannya berasaskan kepada surat sokongan daripada pemimpin politik.

Dalam hal ini Syed Ali kesal kerana kenyataan KSN itu seolah-olah memberi gambaran bahawa pemimpin UMNO sering melakukan pelbagai tekanan menerusi surat-surat sokongan terhadap pegawai kerajaan berhubung pelbagai tawaran tender, permohonan lesen dan sebagainya.

"Kita agak kecewa dengan kenyataan tersebut kerana ianya boleh memberi persepsi kurang baik rakyat terhadap kerajaan terutama pemimpin UMNO kononnya mereka tidak mempunyai apa-apa kuasa," tegasnya.

Katanya, rakyat terutama masyarakat akar umbi hanya menemui pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mengemukakan pelbagai aduan dan masalah yang dihadapi, bukannya kepada pegawai kerajaan.

"Kita dengar masalah mereka dan kita berusaha selesaikannya sebaik mungkin termasuk menerusi surat sokongan dan rayuan supaya dipertimbangkan, bukannya kita mengarah atau memaksa kakitangan awam," jelasnya.

Oleh sebab itu katanya, kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan slogan 'rakyat didahulukan pencapaian diutamakan' supaya masalah rakyat diberikan perhatian oleh pemimpin UMNO dan pegawai kerajaan.

Katanya, slogan itu diterjemahkan pula oleh Perdana Menteri ke peringkat akar umbi menerusi program Juara Rakyat bagi memastikan kepentingan rakyat tidak terabai atau dipinggirkan.

"Manakala pemimpin UMNO pula merupakan jambatan untuk membawa masalah rakyat kepada pegawai kerajaan atau agensi terbabit dan biasanya kita susuli dengan surat sokongan supaya diberikan pertimbangan," ujarnya.

Dalam hal ini katanya, KSN tidak sewajarnya mengeluarkan arahan kepada kakitangan perkhidmatan awam kerana langkah tersebut seolah-olah menghalang rakyat membuat aduan kepada pemimpin politik.

Syed Ali mengakui arahan tersebut jika dikuatkuasakan hanya akan memberi kesukaran kepada rakyat dan sekaligus sokongan mereka terhadap pemimpin UMNO akan terhakis.

"Dalam suasana Pilihan raya Umum ke-13 yang bakal tiba, kita tidak mahu sokongan rakyat kepada UMNO akan terjejas gara-gara arahan atau dasar yang tidak membawa kebaikan kepada anggota masyarakat," tegasnya lagi.

Beliau mengingatkan, UMNO merupakan tulang belakang BN yang memerintah dan kakitangan awam sewajarnya memberikan sokongan supaya keyakinan rakyat terhadap kerajaan sentiasa meningkat.

Tiada ulasan:

Pengikut