Isnin, 26 Julai 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Melayu dalam dilema 'serba salah' - Dr. Mahathir

Posted: 26 Jul 2010 01:54 AM PDT

TUN Dr. Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu sekarang ini sedang berdepan dengan dilema 'serba salah' dalam menentukan kepimpinan negara.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, akibat dilema tersebut orang Melayu sukar membuat pilihan yang tepat akibatnya; "sokong orang itu bawa rebah, sokong orang ini hancur".

Beliau mengingatkan, orang Melayu perlu berani untuk menegur pucuk pimpinan kerana 'sayangkan pemimpin ditegur-tegurkan'.

Katanya lagi, orang Melayu juga pada hakikatnya masih lemah tetapi tidak mahu mengaku kelemahan tersebut.

"Kita kena akui bahawa kita sebenarnya lemah dan kerana kelemahan itu, kita perlu diberikan sedikit kelebihan," tegasnya.

Kerana itu katanya, konsep pembahagian sama rata tidak boleh digunakan sebaliknya perlu dilakukan konsep pembahagian secara adil.

Beliau memberitahu, pembahagian secara adil dengan sedikit kelebihan kepada yang lemah (orang Melayu) akan menjadikan orang Melayu kuat dan mampu bersaing.

"Jika dibuat secara sama rata, sudah tentu yang lemah akan terus lemah dan kebelakang manakala kaum bukan Melayu yang sudah kuat akan menjadi juara," katanya.

Tun Dr. Mahathir menyatakan demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan kepimpinan 200 ahli-ahli UMNO dan pemimpin empat peringkat UMNO Bahagian Cheras, di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya petang ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Beliau juga mengingatkan orang Melayu kini sudah menjadi kaum minoriti yang memerlukan perubahan jika ingin kekal berkuasa.

Sebelum itu, Syed Ali dalam ucapan ringkasnya menjelaskan pertemuan dengan Dr. Mahathir pada petang ini memberi semangat baru kepada ahli-ahli UMNO khususnya Bahagian Cheras.

"Pertemuan ini amat bermakna sekali kepada kita disamping menghargai perjuangan dan kegigihan Dr. Mahathir membela nasib UMNO, orang Melayu dan negara ini," tegasnya.

Sementara itu dalam majlis dialog kemudiannya, Dr. Mahathir turut mendedahkan sikap PAS yang lebih mementingkan agenda politik daripada rakyat.

Beliau menyebut contoh bagaimana PAS ketika berada di dalam Barisan Nasional (BN) tidak berlaku adil kepada konsep permuafakatan.

"Datuk Asri Haji Muda (Presiden PAS) diberikan jawatan Menteri dan bertanggungjawab mengenai tanah rancangan Felda, tetapi dia gunakan jawatan tersebut untuk kumpulkan penyokong PAS," ujarnya.

Akibat daripada itu jelas beliau, Felda telah dijadikan kubu kuat PAS dan akhirnya Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn terpaksa mengeluarkan PAS daripada BN.

Oleh sebab itu tegas Dr. Mahathir, kepercayaan UMNO terhadap keikhlasan PAS untuk bersatu demi orang Islam sudah diragui.

Menurutnya, PAS tidak ikhlas dan tidak boleh dipercayai dalam soal perpaduan umat Islam sepertimana yang dipersetujui oleh UMNO.






Isu perpaduan Islam ; UMNO jangan buang masa layan kerenah PAS – Syed Ali

Posted: 25 Jul 2010 08:14 PM PDT

KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, UMNO tidak perlu membuang masa untuk terus melayan isu perpaduan kerana PAS sudah jelas menolak cadangan tersebut.

Sebaliknya kata beliau, UMNO sewajarnya memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tidak lama lagi.

"Kita tidak ada masa nak layan perangai pemimpin PAS, terutama Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat, lebih elok kita (UMNO) buat kerja untuk rakyat," tegasnya.

Beliau kesal kerana Nik Aziz masih lagi menunjukkan sifat bongkak dan takburnya apabila melemparkan penghinaan ke atas mereka yang bersungguh-sungguh untuk merintis jalan penyatuan umat.

Menurutnya, Nik Aziz tidak layak dilebelkan sebagai ulamak kerana sikapnya yang suka merendah dan mencerca sesama Islam termasuk mereka yang bertaraf Mufti.

"Sebagai pemimpin yang kononnya ada ilmu agama, beliau sepatutnya menerima baik cadangan dan usaha kearah penyatuan umat Islam, bukannya menentang dan bersifat takbur," ujarnya.

Tambah beliau lagi, jika UMNO terlalu beria-ia untuk menjalinkan hubungan baik dengan PAS, UMNO akan terus diperlekehkan sepertimana dilakukan oleh Nik Aziz.

"UMNO memikirkan tanggungjawab ke atas umat Islam dan kepentingan rakyat yang harus diutamakan, tetapi PAS pula dengan angkuhnya menentang usaha tersebut," katanya.

Beliau mengingatkan, selagi UMNO memberi tumpuan kepada usaha tersebut, semakin banyak isu yang akan diputarbelitkan oleh PAS untuk kepentingan politik mereka.

Menurutnya, isu perpaduan umat Islam sengaja dimanipulasikan oleh PAS untuk memerangkap UMNO supaya timbul kebencian rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, Nik Aziz yang begitu angkuh telah menetapkan beberapa syarat jika UMNO ingin bekerjasama dengan PAS.

"Ini semua helah PAS, sedangkan UMNO telah terbukti sebagai sebuah parti yang berjaya mendaulatkan syiar Islam di negara ini melalui pelbagai kaedah dan pelaksanaanya," katanya.

Syed Ali berkata, PAS hanya mengulangi cerita retorik kononnya mereka memperjuangkan Islam tetapi hakikatnya pemimpin mereka sebenarnya yang menentang perpaduan umat Islam.

Oleh sebab itu jelasnya, pemimpin PAS tergamak melemparkan penghinaan, cercaan dan tuduhan melulu kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang bersedia menjadi perantaraan bagi tujuan tersebut.

Katanya, mereka (PAS) menafikan ada pemimpinnya menemui Harussani dalam soal perpaduan umat Islam sambil menuduh Mufti Perak itu sebagai berbohong dan menjadi alat UMNO.

Beliau berkata, media pro-pembangkang juga turut memukul canang Harussani berbohong, tetapi cerita sebenar telah terbongkar apabila Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hassan Ali (gambar atas) mengakui menemui dan berbincang dengan Mufti Perak itu.

"Dalam soal ini, siapa yang berbohong ? Jelas bahawa pemimpin PAS termasuk Nik Aziz sanggup berdusta hanya kerana kepentingan politik," tegasnya.
Sehubungan itu, Syed Ali mencabar pemimpin PAS terutama Nik Aziz supaya mengambil tindakan keatas Hassan kerana telah menemui Mufti Perak untuk berbincang isu penyatuan umat Islam membabitkan PAS-UMNO.

Tiada ulasan:

Pengikut